18.1.12

Umat Islam Yang Menyokong LGBT Adalah Murtad!

Umat Islam sokong LGBT murtad


DATUK NOOH GADOT


KUALA LUMPUR 17 Jan. – Umat Islam yang menolak hukum agama yang melarang amalan hubungan sejenis seperti yang diperjuangkan kumpulan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dianggap melakukan jenayah akidah dan terkeluar daripada agama Islam atau murtad.

Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor, Datuk Nooh Gadot berkata, ini kerana tindakan itu jika dilakukan dengan akal yang waras sama seperti menghina dan merendahkan hukum Allah SWT.

‘‘Amalan sejenis LGBT ini adalah sesuatu yang keji, kotor, jijik dan dilarang serta ditegah oleh Islam.

‘‘Sesiapa juga yang menghalalkan hukum ini sama ada melalui al-Quran dan hadis juga ijma’ ulama perlu bertaubat nasuha dan kembali mengucap dua kalimah syahadah,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada percubaan beberapa pihak yang mahu menghalalkan hubungan sejenis di negara ini termasuk dengan menekan undang-undang negara yang meletakkan hubungan itu sebagai kesalahan jenayah.

Ia termasuk Majlis Peguam yang menolak hubungan sesama jenis yang dilakukan secara suka sama suka antara orang dewasa suatu jenayah sekali gus tidak harus dibawa ke mahkamah.

Selain Majlis Peguam, hubungan sejenis itu turut mendapat sokongan Institut Hak Asasi Manusia Persatuan Peguam Antarabangsa (IBAHRI) yang mendesak kerajaan menghalalkan aktiviti LGBT dengan meminda undang-undang sedia ada kononnya bagi memastikan perundangan negara seiring dengan undang-undang antarabangsa.

Menurut Nooh, selain pengamal hubungan sejenis, individu yang cenderung kepada kefahaman itu serta mereka yang bersahabat, bekerjasama, bersubahat atau bersetuju dengan perbuatan itu juga dianggap melakukan jenayah akidah.

Ia kata beliau, termasuk mereka yang memberi laluan atau mengeluarkan bantuan kewangan kepada kumpulan yang menyokong kebebasan seksual itu.

‘‘Dalam hal ini kita boleh merujuk kepada firman Allah SWT menerusi surah Hud ayat 113 yang bermaksud: ‘Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim, maka (kalau kamu berlaku demikian), api neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun yang lain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan’,” katanya.

Katanya lagi, kefahaman yang menghalalkan hubungan sejenis juga telah membuang hukum berhubung perkahwinan yang antaranya rukun nikahnya ialah perkahwinan antara lelaki dan perempuan.

Justeru tambah beliau, mereka yang menolak hukum dan ketetapan Allah SWT serta Rasulullah SAW itu bermakna telah menolak al-Quran dan sunah sekali gus tergolong dalam kumpulan yang sesat dengan kesesatan yang nyata.

Dalam pandangan serupa, bekas Fellow Pusat Syariah, Undang-Undang dan Sains Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Mohd. Roslan Mohd. Saludin menilai, kenyataan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai undang-undang homoseksual negara itu bermotifkan politik iaitu mengharapkan sokongan daripada kumpulan yang berfikiran sekular serta liberal.

Anwar juga kata beliau, cuba menonjolkan kepada masyarakat dunia terutamanya Barat bahawa beliau boleh bersifat terbuka dalam perjuangan hak asasi manusia termasuk dalam soal hubungan sejenis meskipun perkara itu jelas ditolak oleh semua agama.

“Di negara ini kenyataan seperti itu mungkin boleh memberikan kelebihan politik daripada sekumpulan kecil kelompok masyarakat, tetapi bagi mereka yang waras ia adalah satu kenyataan yang melampau,” katanya.

Sementara itu, ahli jawatankuasa Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat), Ismail Mina Ahmad berkata, undang-undang mengenai homoseksual tidak sepatutnya dipertikai kerana perbuatan itu ditegah oleh semua agama.

Sambil menyifatkan hubungan sejenis itu merupakan kesalahan yang diketahui meskipun oleh kanak-kanak, beliau berkata, orang dewasa yang menyokong perbuatan itu boleh dianggap terkeluar daripada Islam kerana menolak hukum Allah.

“Justeru saya menasihati umat Islam di negara ini agar tidak menunjukkan sokongan kepada gerakan yang cuba menghalalkan hubungan sejenis termasuk memilih pemimpin yang cenderung menyokong aktiviti seperti itu,” katanya.

No comments: