Dilahirkan sengau kini penyanyi
AVID Beckham terkenal sebagai selebriti di padang bola. Namun, tiada siapa tahu dia mempunyai kecacatan komunikasi.
Melihat rupanya, siapa sangka beliau mempunyai suara yang kurang sedap. Suaranya agak halus.
Dalam pada itu, kecacatan komunikasi juga melibatkan individu yang memiliki suara sengau, nyaring, garau, gagap ataupun individu yang tidak tahu membaca.
Masalah itu turut dialami oleh seorang penyanyi lelaki, Mohd. Azmira Mohamad Arif, 28, yang dilahirkan sengau.
Bagi Mohd. Azmira, bercakap adalah satu perkara yang amat memenatkan apabila terpaksa mengawal suara agar tidak kedengaran sengau.
Namun, beliau kuatkan semangat kerana minat mendalam dalam bidang nyanyian.
"Saya bersyukur kerana Allah memberikan kelebihan bakat kepada saya untuk menyanyi walaupun mempunyai kekurangan. Sebenarnya bukanlah mudah untuk menyanyi dan pada waktu yang sama mengawal setiap patah sebutan.
Namun saya tidak pernah menganggap ia satu penghalang untuk berjaya dalam bidang yang diminati. Saya percaya, apa juga keadaan seseorang itu yang penting adalah usaha yang berterusan dan bersungguh-sungguh selain tawakal kepada Allah. Rezeki tidak akan datang bergolek tanpa usaha," ujarnya.
Diejek
Sejak zaman sekolah lagi, Mohd. Azmira sering memasuki pertandingan nyanyian seperti nasyid dan bintang asli remaja selepas mendapat sokongan daripada kawan-kawan dan keluarga .
Pada awalnya, Mohd. Azmira tidak yakin dan takut diketawakan tetapi dia percaya pada bakat dan mencuba nasib mencari rezeki dalam bidang nyanyian.
"Saya pernah diejek oleh peminat, diketawakan, dikutuk dan tidak kurang yang mengajuk suara saya yang sengau tetapi saya tidak pernah menyalahkan mereka. Alhamdulillah sekarang ini nampaknya mereka sudah boleh menerima kehadiran saya dalam bidang seni," katanya.
Walaupun tidak memiliki suara sempurna seperti orang lain, beliau terus berusaha menghasilkan lagu dan menerima undangan nyanyian.
Semangatnya tidak pernah berhenti untuk berjaya dalam bidang ini.
"Saya lebih bersemangat apabila nama saya tersenarai dalam pencalonan untuk anugerah popular," ujarnya.
Mohd. Azmira kini boleh berbangga apabila single hasil penat-lelahnya berjudul Laila…O.M.T yang berentak K-Pop kini dijadikan lagu tema sebuah drama.
"Saya juga gembira kerana bakat saya diterima baik di Singapura. Ini membuatkan saya terus bersemangat. Segala yang berlaku ini membuktikan saya perlu bekerja dengan lebih kuat untuk itu," katanya.
Kekurangan diri
Mengakui bukan mudah untuk dia terus berada dalam bidang nyanyian selama empat tahun, Mohd. Azmira tidak mahu kekurangan diri sebagai penghalang untuk meraih kejayaan.
Nasihatnya kepada remaja sekarang yang sangat mementingkan kesempurnaan, supaya berfikiran positif dalam setiap perkara.
"Tiada yang sempurna di dunia ini. Setiap manusia mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing. Kadangkala tanpa kita sedari kekurangan itu adalah satu kelebihan kepada kita," katanya.
Beliau turut berterima kasih kepada pengurusnya, Nazir, ibu bapa, keluarga dan rakan-rakan yang banyak membantu dan memberi sokongan supaya terus kuat dan tabah mengharungi cabaran sebagai anak seni.
No comments:
Post a Comment