Ahlan Wasahlan...

Jawatan Kosong Untuk Gadis Bawah 27 Tahun

Minuman Kesihatan dan Kekuatan

Minuman Kesihatan dan Kekuatan
Belum Cuba ..Belum Tahu... Cuba dulu baru tahu..

Baik, buruk yoga pada kesihatan



Sikap pengajar yoga yang memaksa para pengamal senaman itu melakukan aksi di luar kemampuan dikatakan penyumbang kepada kecederaan. - Gambar hiasan


JIKA sebelum ini ketika yoga difatwakan haram untuk diamalkan oleh umat Islam ia telah mencetuskan isu dan polemik di negara ini. Kini, perkara yang sama juga berlaku di New York, Amerika Syarikat (AS).

Tetapi, bagi masyarakat barat isunya tentu bukan soal halal haram atau yang berkaitan akidah tetapi yang membabitkan kesihatan.

Para pengamal yoga di kota raya itu ada yang tersinggung, terkejut malah akan yang terus menghentikan amalan itu apabila satu artikel yang disiarkan dalam seksyen majalah akhbar New York Time edisi Ahad mendakwa aktiviti yoga memudaratkan tubuh pengamalnya.

Sedangkan di New York, sudah menjadi pemandangan biasa bagi golongan wanita profesional muda dan langsing ke pejabat sambil mengepit tikar yoga di ketiak mereka.

Mereka berpusu-pusu menyerbu pusat yoga sama ada sesudah subuh sebelum waktu bekerja bermula atau ketika masa rehat makan tengah hari.

Matlamatnya ialah untuk kekal langsing, cantik dan sihat.

Di AS, malah di Britain jutaan penduduknya mengamalkan yoga setiap hari. Tetapi artikel dalam New York Time menyatakan yoga boleh merosakkan badan mula mencetuskan keraguan di kalangan para pengamal terbabit dan dikatakan akan menjejaskan industri itu secara keseluruhannya.

Artikel yang bertajuk Bagaimana yoga boleh merosakkan tubuh anda itu dikatakan telah menyebabkan pengamal-pengamal senaman itu di AS berfikir dua kali.

Rencana yang dimuatkan dalam beberapa muka surat dalam seksyen majalah akhbar New York Time keluaran hari Ahad itu ditulis oleh penulis sains kanan akhbar itu, William Broad.

Dalam artikelnya Broad mendakwa para pelajar dan juga para jurulatih yoga mencederakan diri mereka apabila terlalu didorong oleh cita-cita melampau dan kurangnya pengetahuan terhadap sesuatu pergerakan yoga.

Dia memetik pandangan bekas pengamal yoga veteran Glenn Black, yang mengalami kecederaan belakang serius selepas beberapa tahun mengamalkan amalan yoga.

Black berkata: "Orang ramai sepatutnya meninggalkan amalan yoga kerana ia cenderung untuk mendatang kecederaan yang serius."

Sudah tentu artikel Broad dan pandangan Black itu mendapat tentangan dan kritikan daripada wakil-wakil dari industri yoga yang membabitkan AS$5 bilion setahun dan kira-kira 20 juta pengikutnya - bertambah lima kali ganda berbanding 10 tahun lalu.

Sensasi, memalukan dan mengelirukan itu antara reaksi terhadap artikel itu daripada para pengamal dan pengikut yoga.

"Saya terperanjat. Yoga telah mengubah hidup saya dan saya suka berlatih yoga - ia menjadikan saya lebih sihat dan lebih tenang. Badan saya terasa lebih segar," katanya Jurutera Sistem, Susan Davies, 28, yang menyertai kelas di Central Park dua kali seminggu.

Katanya, dengan mengamalkan yoga hidupnya lebih seimbang, yakin dan lebih berkesan di tempat kerja.

"Kawan-kawan saya yang melakukan yoga juga berkata demikian," kata Davies.

Paula Tulsi yang mengendalikan pusat yoga di Manhattan berkata, kontroversi itu cukup besar kesannya.

"Mereka yang berada di keliling saya menjadi gila kerana ramai yang mahu mencuba yoga. Tetapi sekarang mereka takut kerana fikir yoga memberikan kesan buruk. Ia sesuatu yang tragik dan menyakitkan hati.

"Ini merupakan satu penghinaan kepada komuniti yoga," katanya.

Terapi urut Eddie Rodriguez, yang mengendalikan pusat terapi fizikal pula berpendapat kebanyakan pusat yoga terlalu sesak.

Orang ramai pula katanya, tidak sedar bahawa kebanyakan jurulatih yoga tidak terlatih walaupun mereka kelihatan seperti berpengalaman.

"Saya menggalakkan pelanggan saya mencuba yoga. Tetapi hanya setelah dicadangkan oleh orang lain. Bukannya terus ke studio yoga disebab tawaran tertentu," katanya.

Namun cerita mengenai kesan buruk yoga tidak sukar untuk ditemui di New York.

Pengurus Seni, Elizabeth Bennett, 45, memberitahu cakera lehernya terseliuh selepas didakwa dibuli oleh jurulatih yoga di sebuah studio di New York.

"Apabila saya teragak-agak malakukan sesuatu posisi, dia mengatakan saya pondan. Terdapat ramai pengajar yang terlalu mendesak pelajar melakukan sesuatu di luar kemampuan hanya untuk menjaga ego mereka," katanya.

Walaupun memiliki insurans kesihatan, dia terpaksa membelanjakan duit sendiri AS$8,000 untuk rawatan akupuntur dan fisioterapi selama sebulan bagi menghilangkan kesakitan yang ditanggung.

Bennett menambah, mereka yang mempercayai bahawa yoga adalah sumber untuk menyembuhkan bukannya mencederakan kini tentunya was-was dan mula berhati-hati dalam memilih pusat yoga.

Pakar anatomi juga memberi amaran - seperti mana rencana Broad - tentang risiko melakukan aksi luar biasa ketika yoga yang boleh menjejaskan tulang belakang dan menghalang aliran darah ke kepala sama ada secara drastik atau beransur-ansur.

Pakar Anatomi, David Patane telah berhadapan dengan kira-kira 10 pesakit yang berhadapan dengan kecederaan akibat yoga.

Katanya, zaman komputer telah memberikan banyak masalah penyakit membabitkan bahagian belakang.

Katanya, duduk terlalu lama misalnya sudah cukup untuk memberikan tekana kepada tulang belakang.

Katanya, ini kan pula posisi-posisi sukar dalam yoga terutama yang membabitkan leher.

Perkara itu katanya, bukan sahaja melemahkan leher tetapi juga tulang belakang.

Pembantu Eksekutif, Megan Branch, 22, mengalami ketegangan bahagian belakang tahun lalu hanya kerana melakukan aksi superman - iaitu meniarap sambil mengangkat tangan dan kaki serentak.

Disebabkan dia berada dalam kelas yang terlalu sesak - kira-kira 70 pelajar - dia terpaksa berbaring di tempat yang kurang selesa.

"Saya rasa sesuatu berlaku pada belakang saya. Kemudiannya saya terus sukar bergerak," katanya.

Masalahnya, terdapat banyak kelas yoga di New York tidak memiliki tenaga pengajar bertauliah.

Kelas yoga komuniti yang menawarkan harga AS$5 antara yang mempunyai ramai pengikut.

Tetapi ia tidak mempunyai pakar untuk membetulkan posisi pelajar atau memberi amaran kemungkinan apa yang mereka lakukan boleh mendatangkan kecederaan.

Di New York, yoga kini menjadi satu industri ekoran permintaan yang meningkat. Sijil untuk menjadi jurulatih atau tenaga pengajar yoga pula boleh didapati dengan mudah. Tidak perlu lesen rasmi untuk mengendalikannya.

Pengajar-pengajar yoga boleh mendapat tauliah hanya dengan mengikuti kursus secara online selama 200 jam.

Ramai pengajar yang sudah tamat latihan tidak tahu antara otot dan hamstring," kata Emilia Conradson yang menukar daripada mengajar yoga kepada perniagaan terapi badan yang turut merawat kecederaan akibat yoga.

"Pemahaman mereka mengenai tubuh badan kurang. Sedangkan yoga ialah tentang fizikal dan spiritual dan ia perlu selamat," katanya.

Salah seorang pengajar yoga Even Tulsi yang marah dengan artikel Broad itu bagaimanapun mengaku bahawa pengajar tidak berpengalaman punca pelajar yoga mengalami kecederaan.

"Bukan yoga yang tidak elok, tetapi cara mengajar yoga yang mencetuskan masalah," katanya.

Jurugambar profesional, Naomi Harris, 38, sebelum ini teruja dengan pas tanpa had untuk menyertai kelas yoga berhampiran rumahnya di Manhattan.

"Ia bercadang untuk mengamalkannya betul-betul. Selama enam bulan saya pergi lima kali seminggu dan merasa cukup baik," katanya.

Tetapi, satu hari dia terjatuh ketika di rumah yang menyebabkan lututnya bengkak.

Namun dia terus juga ke kelas yoga untuk beberapa hari, tetapi lututnya bertambah buruk.

Imbasan mendapati berlaku koyakan teruk pada tisu yang menyambung dua bahagian lututnya yang memerlukan pembedahan.

Katanya, pakar bedah bertanya apa yang dia lakukan, dan sebaik dia memberitahu melakukan yoga lima kali seminggu doktor itu berkata: "Itulah dia!"

Doktor tersebut memberitahu, dia melihat banyak kecederaan akibat yoga yang kemungkinan berpunca daripada posisi lutut dilipat ke bawah badan yang di kenali sebagai pigeon pose.

Selepas melakukan pembedahan, Harris terpaksa bertongkat. Suatu hari dia terserempak dengan pengajarnya dan bertanya apa sudah jadi.

Harris memberitahu yang doktor berkata ia berpunca akibat terlalu banyak melalukan yoga.

Tetapi pengajar itu berkata, dia cedera ketika melakukan yoga kerana karmanya buruk.

"Kini saya antiyoga," kata Harris.

No comments: