16.1.12

Tablets Utk Ahli Korporat dan Ahli Perniagaan

Tablet sekuriti tinggi


TABLET terbaru Fujitsu Stylistic Q550 menyasarkan penggunaan mobiliti daripada golongan profesional dan peniaga.


BAGI kebanyakan syarikat pembuat produk komputer tablet, tumpuan pembangunan mereka lebih disasarkan kepada kumpulan pengguna yang menggemari fungsi hiburan, multimedia dan pelayaran web sosial.

Namun, bagi syarikat penyelesaian teknologi Fujitsu yang berpangkalan di Jepun, produk tablet mereka lebih menggariskan objektif membantu perkembangan industri perniagaan secara bergerak atau mobiliti.

Ia ditampilkan pada model tablet terbaru Fujitsu Stylistic Q550 yang mempunyai keupayaan spesifikasi menyokong urusan perniagaan secara berkesan dan menyeluruh.

Tablet kelas eksekutif untuk golongan profesional itu turut direka dengan fungsi canggih dan pintar sesuai dengan keperluan dunia perniagaan.

Menurut Pengurus Pemasaran Produk, Fujitsu PC Asia Pasifik, Edmund Lim, tablet berkenaan unik kerana boleh diintegrasi bersama infrastruktur perniagaan dan capaian kepada data korporat sesebuah syarikat secara selamat.

''Ini kerana, tablet ini terbina dengan fungsi keselamatan cukup tinggi seperti pengesahan biometrik pengguna menerusi cap jari, bacaan kad pintar, aplikasi cip keselamatan serta enkripsi storan SSD.

''Dengan kelebihan ini, pengguna tidak perlu risau tentang isu keselamatan setiap kali bertugas atau mencapai sistem syarikat dari luar kawasan,'' katanya pada taklimat media produk itu di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pacuan sistem operasi Fujitsu Stylistic Q550 disokong oleh perisian Microsoft Windows 7 yang sangat sinonim dengan pengendalian perkhidmatan korporat.

Bagi enjinnya pula, ia disempurnakan bersama pemproses Intel Atom generasi baru yang mempunyai kelebihan prestasi terbaik serta menjimatkan kuasa.

Daripada segi paparan, peranti berkenaan dilengkapi skrin sentuh anticalar pintar bersaiz 10.1 inci dengan pengendalian intuitive input pelbagai daripada empat jari berbanding dua jari pada tablet biasa.

Lebih menarik, ia turut didatangkan bersama pen digital aktif untuk kawalan operasi lebih responsif serta bateri yang boleh diganti untuk kegunaan ketika masa kritikal.

Untuk reka bentuknya, ia mempunyai saiz ergonomik yang mudah dipegang dan ringan iaitu hanya 730 gram.

Dengan kapasiti memori binaan dalam 62 gigabit (GB), Fujitsu Stylistic Q550 kini berada di pasaran Malaysia dengan tawaran harga RM3,770.

No comments: