1.1.15

Ikhwanul Muslimin Perintis Gerakan Islam dan Hassan al-Bana


Selepas Perang Dunia Yang Pertama, kumpulan yang berhaluan ke Barat bergerak begitu hebat sekali di Mesir. Kebangkitan nasionalisma di dunia Islam mencapai puncaknya dengan penggulingan sistem Khalifah Islam Othmaniah di Turki oleh Kamal Attarturk.

Sheikh Hassan Al Banna menubuhkan Jamaah Ikhwanul Muslimin adalah ekoran dari pemerhatian beliau terhadap kejahilan Ummat Islam terhadap Agama mereka. Ikhwanul Muslimin ditubuhkan dalam tahun 1928, sebaik sahaja beliau keluar dari Darul Ulum. Pemimpin-pemimpin Islam yang terkenal seperti Jamaluddin Al-Afghani, Sheikh Muhammad Abduh dan Sayyid Rashid Ridha' lebih mengutamakan penulisan dan dakwah dalam aktivitinya.



Di antara ciri yang menonjol bagi Harakah Ikhwanul Muslimin ialah penekanannya yang berterusan terhadap kepentingan JIHAD. Jihad yang diajar oleh Ikhwan ialah Jihad yang difahami oleh semua orang Islam iaitu Jihad yang tidak mempunyai sebarang unsur tolak ansur.


Bukannya konsep JIHAD yang direka-reka oleh Puak Modernist. Ikhwan menganggap bahawa ibadat dan amal soleh seseorang Islam itu sia-sia jika ia tidak bersedia untuk mengorbankan nyawanya demi untuk mempertahankan Agama Islamnya. Bersedia untuk mati tanpa mengharapkan sebarang balasan dunia melainkan semata-mata cintakan Allah dan hari Akhirat.

Al Ikhwanul Muslimin menaikkan semangat jihad dengan cara menggalakkan pemuda Islam melakukan latihan menguatkan tubuh badan untuk persediaan perang. Akhirnya mereka menubuhkan Unit tentera mereka sendiri untuk mempertahankan harakah apabila diperlukan. Sheikh Hassan al Banna berkali-kali mengajak orang kampung supaya berjihad menumpas penjajah British dan menghalau mereka selama-lamanya dari Mesir.




Di dalam peperangan Palestin pada tahun 1948, pasukan sukarelawan Ikhwan Muslimin adalah pasukan yang paling berani berperang di pihak Arab. Apabila Bangsa-Bangsa Bersatu mengiktiraf penubuhan negara Yahudi di Palestin, Sheikh Hassan al Banna menyeru semua negara Islam meninggalkan Bangsa-Bangsa Bersatu dan berjihad menentang Yahudi. Sheikh Hassan al Banna dan penyokongnya dengan terang-terang dan berani melaungkan bahawa Islam sajalah agama yang terbaik dan penyelesai kepada semua masalah yang dihadapi oleh Mesir.




Ikhwanul Muslimin tidak berpuas hati dengan undang-undang negara yang hanya meletakkan Islam sebagai Agama Negara. Mereka mendesak supaya undang-undang Islam dijalankan sepenuhnya di mana kerajaan dan rakyat tunduk kepada undang-undang Allah. Sheikh Hasan al Banna berkata dalam satu ucapannya : "Al Ikhwanul Muslimin memegang sikap bahwa Islam mempunyai implikasi yang luas dan menyeluruh. Islam mengawal semua tingkah laku individu dan masyarakat. Setiap sesuatu mestilah tunduk di bawah undang-undangNya dan mengikut ajaranNya. Sesiapa yang menurut Islam dari segi Ibadat saja tetap meniru orang kafir dalam semua hal lain boleh dianggap sama taraf dengan orang kafir".



khwanul Muslimin bercita-cita untuk menubuhkan sebuah negara Islam Mesir yang kuat dan memansuhkan semua parti-parti yang ada. Begitulah tegasnya sikap al Ikhwanul Muslimin sehinggakan menjadi syarat bagi sesiapa yang ingin menjadi ahli harakahnya berhenti dari menjadi ahli sebarang parti politik yang ada di Mesir pada zaman Raja Farouk.
Walaupun al Ikhwanul Muslimin menyokong Nasionalis Arab Sekular dalam soal membebaskan Mesir dari belenggu Penjajah, dan kesatuan Arab, ini bukanlah menjadi matlamat tetapi cara saja. Menyatukan bangsa Arab adalah langkah pertama kepada penyatuan Ummat Islam di negara Arab. Bebas dari penjajahan bermakna Ummat Islam mempunyai kesempatan untuk menubuhkan sebuah negara Islam. Malangnya apabila tergulingnya Raja Farouk dalam Revolusi 23hb. Julai 1952, negara Mesir ditukar kepada sebuah Negara Nasionalis Sekular tulin serta terus melanjutkan polisi membaratkan Mesir seperti yang dibuat oleh pemerintah dahulu.

Masa telah membuktikan bahawa pemerintah yang baru adalah sama ganasnya terhadap pergerakan Islam seperti pemerintah yang dulu juga malah mereka lebih tamak, zalim dan gila kuasa. Al Ikhwanul Muslimin bukan mahukan kuasa untuk kepentingan diri sendiri, malah mereka berjanji berkali-kali untuk menyokong sesiapa yang memerintah asalkan undang-undang Islam dijalankan. Semua ini ditolak mentah oleh diktator Tentera yang baru berkuasa itu.

Percubaan untuk menbunuh Presiden Gamal Abdul Nasser pada December 1954, menjadi alasan yang baik yang ditunggu-tunggu oleh kerajaan untuk menghancurkan Ikhwan al Muslimin. Ikhwan telah dituduh melakukan penembakan itu walaupun Ikhwan berkali-kali menafikannya. Beribu-ribu anggota Ikhwan telah ditangkap, dipenjara dan 6 orang telah digantung hingga mati. Protes dari dunia Islam tidak dilayan langsung. 12 tahun selepas peristiwa itu, iaitu pada tahun 1961, al Ikhwanul Muslimin telah difitnah sekali lagi sebagai penyebab kepada kegagalan dan kemunduran negara.

Akhirnya Presiden Nasser telah menubuhkan satu Jawatankuasa Khas yang penting untuk 'menghapuskan pengaruh gerakan apa yang dipanggil reaksionari Ikhwanul Muslimin'. Beliau (Gamal Abdul Nasser) telah mencadangkan supaya kuasa ketenteraan dan undang-undang digunakan untuk menghancurkan Harakah Islam ini.

Hassan Ismail Hudaybi, seorang hakim dan ulamak terkenal yang menggantikan Hassan al Banna debagai Ketua Penasihat Ikhwan telah disiksa walaupun umurnya sudah tua dan uzur. Pada 29hb. Ogos, 1966 tiga orang pemimpin Ikhwan telah dihukum bunuh. Yang paling terkenal di antara tiga itu ialah Ash-Shaheed Sayyid Qutb yang juga seorang ulamak dan penulis terkenal di dunia Arab. Adiknya Muhammad Qutb yang juga seorang penulis yang terkenal. Dua orang adik perempuannya, Aminah dan Hamidah Qutb pun turut dikurung dalam penjara bertahun-tahun lamanya.

Beberapa tahun dahulu. Sheikh Hassan al Banna telah meramalkan mala petaka ini dan memberi amaran kepada pengikut-pengikutnya bahawa Ikhwanul Muslimin akan dihina, ditentang, ditahan, dianiaya, disiksa dan akan dikenakan kesusahan yang amat pahit. Sementara itu beliau berjanji bahawa kemenangan di dunia dan di akhirat akan tetap bersama Ikhwan akhirnya.

Walaupun Ikhwan al Muslimin ditindas di negaranya sendiri, Ikhwan di Syria, Jordan, Lebanon dan Sudan terus bergiat dengan aktivitinya. Di Geneva, Dr. Said Ramadhan mengahwini anak perempuan Hassan al Banna dan menyibarkan prinsip perjuangan Islam di Barat dengan hebat. Beliau keluar dari Mesir apabila beliau dijatuhkan hukuman bunuh oleh kerajaan Mesir. "


Dunia Islam telah dibahagi-bahagikan sesama kuffar la’natullah sebagaimana makanan dibahagi-bahagikan, bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW bahawa umat Islam akhir zaman seumpama makanan yang dikerumuni oleh musuh-musuh. Khilafah Islamiyyah telah jatuh secara rasminya pada tahun 1924, walaupun secara rohaninya memang telah runtuh jauh lebih lama sebelum itu bermula zaman Kerajaan Bani Umaiyah.

Menurut Sufyan Ath Thauri, salah seorang wali Allah yang tersohor- Khalifah yang benar itu hanya ada lima: Saidina Abu Bakar, Saidina Umar, Saidina Uthman, Saidina Ali dan Khalifah Umar Abdul Aziz. Namun tidak kita nafikan masih ada beberapa orang lagi bekas Khalifah Islam yang telah cuba mengikut cara Rasulullah saw. Muslim yang berjuang di bawah naungan jihad telah diperangi habis-habisan, sehingga umat Islam yang tinggal hanyalah Muslim yang berkulitkan Islam- luar Islam lain di dalam.

Allah SWT telah menjanjikan menerusi lidah Rasul-Nya, akan muncul setiap 100 tahun seorang Mujaddid yang akan menghidupkan kembali ajaran-Nya dan menyalakan kembali api perjuangan para Nabi dan Rasul serta para Sahabat. Antara ciri-ciri seorang mujaddid ialah perjuangannya amat berlainan dengan taifah-taifah yang sezaman dengannya, dia membawa minda perjuangan Islam yang baru- yang belum pernah ada sebelum itu, perjuangannya zahir di awal kurun Hijrah, perjuangannya merebak begitu cepat ke seluruh pelusuk dunia Islam, mendapat tentangan yang hebat pada mulanya walaupun dari dalam dunia Islam sendiri, dibantu dengan karamah dan lain-lain.

Ternyata umat Islam tidak perlu menunggu lama untuk menyaksikan kebangkitan para pemuda-pemudi Islam yang menggelarkan diri mereka Ikhwanul Muslimin, dipimpin oleh al-Imam as-Syahid Hassan al-Banna (masyhur dengan susunan Ma’thurat yang disusun oleh beliau) pada tahun 1928 di Mesir. Al-Banna telah menyediakan satu asas Gerakan Islam (Harakah Islamiyyah) yang kukuh berpandukan kepada sirah perjuangan Rasulullah SAW, yang kini menjadi contoh kepada Gerakan Islam hampir di 70 negara di seluruh dunia pada hari ini.

Meskipun umat Islam hari ini dipisah-pisahkan oleh sempadan negara akibat daripada semangat nasionalisme yang ditiup-tiupkan oleh penjajah kuffar, namun Gerakan Islam tetap mara dan utuh di setiap negara Islam dalam mendepani cabaran dan tekanan pemerintah dari segenap sudut. Hanya nama yang memisahkan antara satu Gerakan Islam dengan Gerakan Islam yang lain. Al-Banna merupakan seorang mujaddid, pejuang, penda’wah, murabbi dan pemimpin yang akhirnya menemui syahid di jalan Allah…

Kini dunia Islam hanya menunggu munculnya mujaddid baru abad ke-15 Hijrah, yang diharapkan mempunyai semangat Salahuddin al-Ayyubi, bagi memimpin umat Islam mendapatkan kembali kota suci Baitul Muqaddis, yang kini dikuasai Yahudi la’natullah. Yang mempunyai jiwa Muhammad Al Fateh, yang memiliki peribadi Nabi, yang berwatak Rasul, yang berminda Al Ghazali, yang setertib Umar Abdul Aziz.

Al-Imam as-Syahid Hassan al-Banna



Beliau dilahirkan pada Oktober 1906 di Mahmudiah, dekat Iskandariah, Mesir. Ayahnya, Ahmad ibn ‘Abd ar-Rahman al-Banna, merupakan lulusan Azhar yang bekerja sebagai tukang jam, juga seorang imam dan guru al-Qur’an di masjid serta telah menghasilkan beberapa buku berkaitan dengan perundangan Islam. Sebagai anak sulung, al-Banna telah dididik dengan suasana keIslaman dan disemai dengan nilai-nilai Islam oleh ayahnya.


Semasa al-Banna kecil, beliau telah diharapkan oleh ayahnya agar menjadi seorang hafiz al-Quran. Al-Banna telah dihantar kepada seorang guru bernama Syaikh Muhammad Zahran yang mempunyai ilmu yang luas dan dalam, bertaqwa serta sangat berwibawa. Cara didikan Syeikh Zahran adalah sangat keras, sehinggakan para pelajarnya, termasuk al-Banna yang masih kecil merasa terbeban dengan hafalan, membaca dan menelaah kitab-kitab, yang faedahnya hanya dapat dirasakan oleh al-Banna setelah beliau dewasa.


Setelah Syeikh Zahran semakin sibuk dengan da’wahnya, sehingga tiada kesempatan untuk terus menjadi guru di sekolah ad-Diniyah ar-Rasyad, ayah al-Banna memindahkan al-Banna ke Madrasah Idadiyah, sambil tetap menyuruh al-Banna menghafal al-Quran di rumah. Pada ketika itu, al-Banna sudah pun menghafal separuh al-Quran.


Minat dan keaktifan Hasan Al-Banna dalam berorganisasi sudah kelihatan sejak dia belajar di madrasah tersebut. Di madrasah itu, al-Banna membentuk organisasi Persatuan Akhlak Mulia (PAM), atas cadangan salah seorang gurunya, yang bertujuan untuk menegakkan akhlak mulia di lingkungan madrasah.


Ketika berusia 13 tahun, Hasan Al-Banna melanjutkan pelajarannya ke Madrasah al-Muallimin al-Awwaliyah di Damanhur walaupun sebenarnya dia belum memenuhi syarat umur minimum 14 tahun. Hafalan al-Qurannya pun belum 100%, tetapi karena mudir madrasahnya melihat kecerdasan al-Banna, beliau memberi pengecualian.

Sejak usia muda ini, Hasan Al-Banna mulai tertarik dengan gerakan sufi yang saat itu marak di Mesir. Selain mengikuti zikir tasawuf, Hasan Al-Banna pun aktif ikut halaqah yang diadakan oleh syeikh-syeikh pemimpin sufi, terutamanya syeikh-syeikh dari tarikat Hashofiyah. Beliau sangat mengagumi tokoh utama dari tariqat ini, yaitu Syeikh Abdul Wahhab al Hashafi bin Syeikh Hasanain al-Hashafi.


Penglibatan al-Banna dalam aktiviti kesufian inilah yang telah membuatkan beliau menyedari betapa perlunya pemupukan sahsiah dan akhlak individu untuk menjadi prasyarat kepada proses pengIslaman masyarakat. Kata Imam Al Ghazali: Tarbiyyah sufi adalah tarbiyyah tertinggi. Dari sini jugalah beliau sedar betapa pentingnya untuk para pejuang mempunyai aurad (himpunan wirid-wirid yang biasa diamalakan oleh para sufi) sendiri yang dapat diamalkan setiap hari. Maka tersusunlah al-Ma’thurat .


Sekalipun Hasan Al-Banna ditarbiyyah secara sufi, namun beliau tetap tidak menyetujui cara hidup sebahagian orang-orang sufi yang berlebihan-lebihan dalam soal ibadah sahaja dan meninggalkan lapangan perjuangan Rasulullah yang syumul. Contohnya: beruzlah (mengasingkan diri) berlebih-lebihan ataupun yang hidup matinya hanya untuk untuk memperolehi kenikmatan beribadah secara peribadi sahaja. Ini sedikit-sebanyak menjadikan perjuangan mereka seakan-akan cara hidup penganut agama Hindu, Buddha dan Kristian.

BELAJAR DI KAHERAH DAN KESEDARAN REFORMASI

Pada 1923, pada usia 16, al-Banna telah memasuki Fakulti Darul ‘Ulum, Azhar yang masyhur di Kaherah. Di Azhar, bila teman-temannya memakai pakaian Mesir (topi khas yg bernama tharbus), al-Banna memakai serban, karena ingin mencontohi Rasulullah SAW. Selama 4 tahun di Kaherah, beliau telah terdedah kepada hiruk pikuk politik di Kaherah pada awal 1920an, dan meningkatkan kesedaran beliau tentang kesan fahaman sekular dan Barat yang telah menembusi masyarakat Islam, hingga ke akar umbi.


Inilah yang menyebabkan al-Banna begitu tersentuh dengan keadaan pemuda-pemudi Islam yang hanyut dari ajaran Islam. Al-Banna meyakini perang untuk memenangi hati dan pemikiran pemuda-pemudi adalah begitu penting untuk menyelamatkan Islam daripada serangan hebat Barat. Semasa belajar di Kaherah, al-Banna menyelami hasil penulisan reformis Islam yang awal, termasuklah Muhammad ‘Abduh (1849-1905), yang merupakan guru ayahnya semasa di Azhar. Tetapi yang banyak mempengaruhi pemikiran al-Banna merupakan murid ‘Abduh, iaitu Rashid Rida (1965-1935).


MENGAJAR DI ISMA'ILIYYAH

Selepas tamat belajar di Darul ‘Ulum pada 1927, berusia 21, al-Banna telah menjadi guru bahasa Arab di sebuah sekolah rendah di Isma’iliyyah. Pada masa itu, Isma’iliyyah merupakan pusat pemerintahan Canal Zone dan menjadi ibu pejabat Suez Canal Company (SCC). Ia menempatkan kem tentera dan kediaman bagi pekerja Barat yang mana menjadikan pekerja dan penduduk Mesir di situ sebagai kelas kedua, iaitu menjadi buruh kasar di perusahaan-perusahaan Eropah itu.


Kehidupan agama Islam yang dianut penduduk Ismailia pun terumbang-ambing dalam pertentangan khilafiah antara pelbagai kelompok tasawuf. Tugas al-Banna yang pertama ialah meningkat kesedaran dan penyatuan aqidah di kalangan masyarakat Ismai’iliyyah. Al-Banna melihat kehadiran kuffar ke Isma’iliyyah sebagai pendudukan tentera, pengeksploitasian ekonomi, pencemaran budaya dan kehilangan maruah.


Ini meningkatkan semangatnya untuk mengusir British daripada Mesir, dan umumnya, pengaruh Barat. Daripada saat al-Banna tiba di Isma’iliyyah, beliau telah melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti masyarakat. Al-Banna berusaha untuk merapatkan diri dengan orang-orang penting di bandar tersebut sambil bergaul mesra dengan seberapa banyak masyarakat umum yang boleh.


PERKEMBANGAN IKHWANUL MUSLIMIN

Pada tahun 1933, di atas kemahuannya sendiri, al-Banna dipindahkan ke Kaherah, di mana beliau turut memindahkan pusat gerakannya. Sejak dari saat itu, Ikhwan telah berkembang dengan pesat dan Kaherah menjadi pusat da’wah. Faktor utama yang menyumbang kepada perkembangan mendadak ini ialah organisasi dan ideologi kepimpinan yang diterapkan oleh al-Banna.


Pada 1934, Ikhwan telah membuka lebih daripada 50 cawangan di Mesir. Pada hujung 1930an, Ikhwan telah mempunyai cawangan di setiap daerah di Mesir. Ikhwan menubuhkan banyak sekolah, masjid dan kilang. Beliau menerbitkan akhbar harian di Kaherah yang diberi nama “al-Ikhwan al-Muslimoon” yang membolehkan beliau berda’wah dengan lebih meluas, berbanding dengan syarahan.


Selepas 1938, Ikhwan mula menampakkan menampakkan luarannya yang bercorak politik. Ikhwan menggesa ke arah dunia Islam yang sejati dan menolak Barat dan sekular. Ikhwanul Muslimin melihat pemikiran sebeginilah yang merosakkan asas masyarakat Islam di era moden, dan menganjurkan kembali kepada Islam sebagai penyelesaian kepada masalah dan penyakit masyarakat Islam. Pada akhir perang dunia kedua, Ikhwan telah mempunyai 500 000 ahli yang aktif dan lebih kurang 2 kali ganda penyokong (ada sumber yang mengatakan 3 juta). Akitiviti Ikhwan mula melampaui sempadan antarabangsa.


Ikhwan turut berkembang dengan pesat di Jordan, Syria, Palestin, Lubnan dan Afrika Utara. Pada awal 1950an, cawangan Ikhwan telah ditubuhkan di Syria, Sudan dan Jordan. Antara 1942-45, al-Banna banyak melawat Jordan bagi mengembangkan sayap Ikhwan di sana. Lebih daripada 2000 cawangan ditubuhkan secara keseluruhannya dan 50 di Sudan. Kemudian, pengaruh Ikhwan telah dirasai di merata tempat di dunia, di Teluk dan negara bukan Arab seperti Iran, Pakistan, Indonesia dan Malaysia.


Dalam usia yang begitu muda, al-Banna telah muncul sebagai pemimpin besar, selaku Mursyidul Am Ikhwan yang pertama. Antara yang berada di bawah pimpinannya ialah tokoh-tokoh hebat seperti Syeikh Amien Al-Husaini (Mufti Palestin), Syeikh Dr Mustafa As-Siba'i (ahli hukum, intelektual dan tokoh pejuang Palestin), Syeikh Muhammad Al-Faraghy (patriot besar yang hanya mahu meninggalkan Iskandariah bila al-Banna yang menyuruhnya, bukannya British dengan segala kekuatan tenteranya).


Peningkatan yang mendadak ini mula menarik perhatian British dan anak didik mereka, iaitu ahli-ahli politik Mesir ketika itu. Mereka mendesak al-Banna untuk tidak meneruskan gerakannya, namun beliau tetap pada kedudukannya. Bahkan Richard Michael, agen CIA di Kedutaan AS di Kaherah, Mesir tampak ketakutan ketika Sirah Nabawiyah yang diajarkan al-Banna telah membangkitkan semangat perjuangan generasi muda muslim.

British mengadakan dunia adalah terlalu fragile dan Mesir hendaklah dibina ke arah modenisasi dan kemakmuran. British membayangkan bahawa Ikhwan perlu mendapatkan pertolongan daripada British untuk terus maju. Al-Banna mendengar dengan sabar, dan kemudian dengan berani dan tegas memberitahu duta British bahawa Mesir dan kesemua harta kekayaannya adalah milik rakyat Mesir dan masa untuk British di Mesir sudah berada di penghujung.


JIHAD DI PALESTIN

Apabila tragedi Palestin berlaku pada 1946, angkatan Ikhwan merupakan antara bala tentera yang aktif. Dengan semangat jihad dan cintakan syahid, angkatan Ikhwan yang serba kekurangan adalah lebih digeruni oleh bala tentera Yahudi la’natullah, berbanding tentera-tentera kerajaan Mesir, Syria dan Jordan yang cukup lengkap dengan peralatan dan latihan, tetapi kosong roh Islam dan tiada pergantungan kepada Allah.


Ini adalah bukti bahawa di sana adanya pertolongan Allah yang tidak tertakluk kepada logik akal, dan juga bukti bahawa Ikhwanul Muslimin adalah Gerakan Islam yang benar dan begitu jugalah Gerakan-Gerakan Islam lainnya yang mengikuti jejak langkah Ikhwanul Muslimin. Angkatan jihad Ikhwan telah pun berjaya sampai ke pintu masuk Tel Aviv dan hampir mampu menguasainya, namun dinafikan oleh pengkhianatan oleh pemerintah-pemerintah Arab pada masa itu.


Ini disebabkan mereka bimbang sekiranya Ikhwan mendapat kemenangan, pengaruh dan sokongan terhadap Ikhwan pasti akan bertambah dan sukar untuk disekat. Untuk itu, Raja Faruk telah memenjarakan ramai ahli-ahli Ikhwan. Perdana Menteri Mesir ketika itu, Noqrashi Pasha telah mengharamkan Ikhwan. Tidak lama kemudian, Perdana Menteri Mesir itu telah dibunuh dan kejadian itu dikaitkan pula dengan Ikhwan. Beberapa bulan berikutnya, segala aset Ikhwan telah dirampas dan beribu-ribu pemuda-pemudi Ikhwan telah ditangkap dan dipenjara.


Pada 1948, al-Banna secara lantang mengatakan bahawa kerajaan Mesir bertanggungjawab di atas kelemahan dan kekalahan tentera Arab dalam Perang Palestin I melawan Yahudi. Akhirnya, al-Banna telah diusir ke bahagian utara Mesir pada tahun 1948.


SYAHIDNYA SEORANG PEJUANG

Akhirnya, satu komplot telah dirancang oleh kerajaan Mesir dan British dan dilaksanakan oleh anjing-anjing mereka untuk membunuh al-Banna. Pada 12 Februari 1949, pada hari yang cerah di sebuah pasar di Kaherah, al-Banna telah ditembak oleh agen kerajaan di hadapan bangunan Persatuan Pemuda Islam. Selepas beliau dibawa ke hospital, beliau telah dibiarkan terlantar di atas lantai dengan darah yang masih mengalir tanpa adanya bantuan dari sesiapa pun untuk menyelamatkan beliau. Dua jam selepas beliau ditembak, beliau meninggal dunia menuju Ilahi. Tiada seorang pun telah dibawa ke muka pengadilan di atas kejadian tersebut. Al-Banna hanya berusia 43 tahun pada ketika itu. Anak perempuan bongsunya juga dilahirkan pada hari yang sama. Ibunya telah menamakannya ‘Ishtisyhad’ iaitu kesyahidan (martyrdom).


Allah SWT adalah sebaik-baik perancang. Allah SWT tidak membiarkan perjuangan al-Banna berkubur begitu sahaja lantaran umur dunianya yang begitu singkat. Benih-benih Islam dan kader-kader pejuang hasil tarbiyyah al-Banna tanpa penat lelah telah meneruskan perjuangan al-Banna.


Al-Banna sendiri lebih suka “mengumpul orang daripada mengumpulkan maklumat ke dalam buku”, dan dengan itu beliau telah membina organisasi Ikhwan dan menyediakan panduan-panduan bagi membolehkan Ikhwan tetap hidup, walaupun tanpa kehadirannya. Hanya sedikit penulisan-penulisan yang dihasilkannya kerana kebanyakkan masanya dihabiskan untuk pentarbiyyahan. Antara bukunya yang terpenting ialah “Warkah Kepada Pelajar Muslim”, di mana al-Banna menerangkan prinsip-prinsip Gerakan Islam.


MURSYIDUL AM IKHWAN

Antara Mursyidul Am Ikhwanul Muslimin yang terawal ialah :

i) al-Imam as-Syahid Hassan al-Banna

ii) Hassan al-Hudaibi

iii) Umar at-Tilmissani

iv) Muhammad Hamed Abul-Nasr

v) Mustafa Masyhur


BEBERAPA TOKOH IKHWAN LAIN

As-Syahid Sayyed Qutb (Mesir)

As-Syahid Abdul Qader 'Audah (Mesir)

Sheikh Mustapha Al-Siba'yi (Syria)

Sheikh Yusuf Al-Qaradawi (Qatar)

Sheikh Sa'eed Hawwa (Syria)

As-Syahid Abdullah 'Azzam (Palestine – syahid di Afghanistan)

Sheikh Muhammad Ahmad Al-Rashid (Iraq)

Sheikh Abdul-Fattah Abu Ghuddah (Syria)

As-Syahid Sheikh Ahmad Yaseen (Palestine – mengasaskan HAMAS)

Sheikh Sayed Sabiq (Mesir)

Sheikh Muhammad Al-Ghazaly (Mesir)

Rached al-Ghannoushi Mahmouz al-Nannah Fathi Yakan (Lubnan)

Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah Muneer al-Ghadban Syeikh Abdul Majeed al-Zindanee Syeikh Muhammad Mahmud Shawwaf (Iraq)

Syeikh Abdul Latif Abu Qurrah


PENUTUP

Berpandukan kepada Gerakan Ikhwanul Muslimin inilah munculnya Gerakan-Gerakan Islam yang lain di setiap watan (negara) Islam di seluruh dunia. Begitulah buah tangan seorang mujaddid, ia pasti akan menular ke seluruh dunia.

Antaranya ialah Jami’at E Islami (Pakistan – diasaskan oleh Sayyid Abul A’la al-Maududi),

Parti Refah (Turki – diasaskan oleh Najmuddin Erbakan, telahpun diharamkan dan beliau telah dipenjara. Parti AK yang memerintah Turki pada hari ini, yang diketuai oleh Recep Tayyip Erdogan, ialah hasil tarbiyyah Najmuddin),
FIS – Front Islamique du Salut (Algeria – memenangi pilihanraya pada 1990, namun dijatuhkan oleh kuasa tentera, beribu-ribu ahli dibunuh dan dipenjara),

HAMAS - Harakah Muqawwamah Islamiah (Palestin) dan Gerakan-Gerakan Islam lain yang diasaskan berdasarkan ideologi Ikhwan.


Gerakan-gerakan ini bergerak serentak di seluruh dunia, mengharungi cabaran mengikut keadaan dan suasana di watan masing-masing, namun mempunyai wihdatul fikr dan wihdatul amal yang satu.


Muktamar di peringkat antarabangsa sering diadakan dan Gerakan-gerakan Islam kini bergerak untuk menegakkan khilafah dan membebaskan bumi Islam dari musuh kuffar dan juga yang bertopengkan Islam.

1. ALLAH MATLAMAT KAMI

2. RASULULLAH PEMIMPIN KAMI

3. AL QURAN PERLEMBAGAAN KAMI

4. JIHAD JALAN KAMI

5. MATI SYAHID CITA-CITA KAMI YANG TERTINGGI

7 Ciri-ciri Pemimpin yang diperlukan oleh umat Islam

  1. Beriman dan bertaqwa

Ini kerana Allah SWT berfirman bahawa bumi ini akan diwariskan kepada hamba-hamba-Nya yang beriman dan bertaqwa :
وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُم فِي الْأَرْضِ كَمَا اسْتَخْلَفَ الَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمْ دِينَهُمُ الَّذِي ارْتَضَى لَهُمْ وَلَيُبَدِّلَنَّهُم مِّن بَعْدِ خَوْفِهِمْ أَمْنًا يَعْبُدُونَنِي لَا يُشْرِكُونَ بِي شَيْئًا
“Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal-amal yang soleh bahawa Dia sungguh- sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di muka bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa, dan sungguh Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diredhai-Nya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka dalam ketakutan menjadi aman sentosa. Mereka tetap menyembah-Ku dengan tiada mempersekutukan sesuatu apapun dengan Aku." [An- Nur : 55]

2. Beraqidah ahli sunnah serta berpegang teguh kepada al-Kitab dan sunnah.


Kata Imam Malik RA,
السنة سفينة نوح من ركبها نجا، ومن تخلف عنها غرق
'As-sunnah itu seperti kapal Nabi Nuh, barangsiapa yang menaikinya akan selamat dan sesiapa yang menyelisihinya akan karam.' [Tarikh Dimasyq, Ibn Asakir]

Pemimpin yang berfaham dengan kefahaman sesat atau tergolong dalam ahli bid'ah akan menghancurkan umat serta membawa kepada malapetaka kepada agama Islam dan fitnah yang besar.

Ini berdasarkan kepada hadith Tsauban RA daripada Rasulullah salallahualaihiwassalam yang bersabda :
إِنَّ مِمَّا أَتَخَوَّفُ عَلَى أُمَّتِي أَئِمَّةً مُضِلِّينَ "Sesungguhnya, yang paling aku takutkan ke atas umatku ialah imam-imam yang menyesatkan". [Riwayat al-Tirmidzi dan Ibn Majah]

3. Berilmu dan mengasihi para ulama' serta suka menerima nasihat dari mereka.


Ulama' adalah pelita Islam, mereka membawa cahaya menerangi manusia maka mana-mana pemerintah yang melazimi ulama' akan terselamat dari kegelapan. Di dalam hadith juga ada menyebut hadith الدين النصيحة 'Agama ini ialah nasihat.' [Riwayat al-Bukhari dan Muslim]

4. Amanah dan jujur dalam menunaikan kewajipan terhadap rakyat


Kata Wahab bin Munabbih rahimahullah,"Apabila seorang pemimpin berkeinginan melakukan kecurangan atau telah melakukannya, maka Allah akan menimpakan kekurangan pada rakyatnya di pasar, di ladang tanaman, pada haiwan ternak dan pada segala sesuatu. Dan apabila seorang pemimpin berkeinginan melakukan kebaikan dan keadilan atau telah melakukannya nescaya Allah akan menurunkan berkah pada penduduknya."

Al-Walid bin Hisyam berkata,"Sesungguhnya rakyat akan rosak kerana rosaknya pemimpin, dan akan menjadi baik kerana baiknya pemimpin."

Kemakmuran umat Islam tidak akan dicapai melainkan dengan memiliki pemimpin yang jujur dan amanah dalam melaksanakan hak-hak dan tanggungjawab mereka.

5. Adil dalam berhukum dan membuat keputusan


ِAllah SWT berfirman : وَلاَ يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَى أَلاَّ تَعْدِلُواْ اعْدِلُواْ هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَى 'Janganlah kebencian kamu kepada sesuatu kaum menyebabkan kamu tidak berlaku adil, berlaku adillah kerana ia lebih mendekati taqwa.' [al-Maidah:8]

Dalam ayat yang lain Allah SWT berfirman :
وَإِذَا حَكَمْتُمْ بَيْنَ النَّاسِ أَنْ تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ
"...dan (menyuruh kamu) agar apabila berhukum di antara manusia supaya kamu berhukum dengan adil .." [an-Nisa:58]

Keadilan ialah tonggak langit, tanpanya langgit bisa runtuh lalu membawa seribu satu macam bala. Adil ialah meletakkan sesuatu pada tempatnya atau bermaksud menghukum dengan hak dan kewajipan yang Allah perintahkan. Lawannya ialah zalim dan melampaui batas.

Tanpa keadilan maka tidak akan ada pertolongan Allah.

Umar bin al-Khaththab RA berkata kepada al-Mughirah ketika mengangkatnya menjadi gabenor Kufah: "Wahai Mughirah, hendaklah orang-orang baik merasa aman denganmu dan orang-orang jahat pula merasa takut terhadapmu".

6. Berani melaksanakan kebenaran dan menunaikan kewajipan


Tidak ada faedahnya seseorang menjadi pemimpin yang penakut dan bacul melainkan dia akan membawa mudharat serta kebinasaan kepada umat.

Keberanian itu dikasihi oleh Allah SWT sebagaimana sabda rasulullah salallahualaihiwassalam : المؤمنُ القويُّ خيرٌ وأحب إلى الله من المؤمن الضعيف ' Mukmin yang kuat itu lebih baik dan disukai oleh Allah daripada mukmin yang lemah.' [riwayat Muslim]

Pemimpin yang berani akan sentiasa membawa kebenaran dan menegakkannya walau ditentang atau diselisihi oleh ramai orang.

Nabi Salallahualaihiwassalam bersabda : لا يزال من أمتي أمة قائمة بأمر الله لا يضرهم من خذلهم ولا من خالفهم ، حتى يأتيهم أمر الله وهم على ذلك ' Tidak akan hilang daripada umatku satu golongan yang akan tetap melaksanakan perintah Allah dan tidak akan memudharatkan mereka orang yang mencela mereka atau menyelisihi mereka sehinggalah datang ketentuan Allah.' [riwayat al-Bukhari]

7. Penyayang dan mengasihi umat Islam serta membela golongan yang lemah


Seorang pemimpin hendaklah memiliki sifat kasih sayang. Nabi Salallahualaihiwassalam bersabda:
اِرْحَمُوْا مَنْ فِي الأَرْضِ يَرْحَمُكُمْ مَنْ فِي السَّمَاءِ
"Sayangilah orang-orang di bumi, nescaya Zat yang ada di langit akan menyayangimu". [Riwayat al-Tirmidzi]

Di dalam hadith yang lain ada menyebut bahawa pertolongan Allah akan diberikan kepada hamba-hambaNya selama mereka membantu orang yang lemah dikalangan mereka. Maka pemimpin Islam ialah mereka yang sentiasa hampir dan menjadi pembela kepada rakyat bawahan bukan sebaliknya menindas mereka !

Rasulullah salallahualaihiwassalam berdoa :
اللَّهُمَّ مَنْ وَلِيَ مِنْ أَمْرِ أُمَّتِي شَيْئًا فَشَقَّ عَلَيْهِمْ فَاشْقُقْ عَلَيْهِ وَمَنْ وَلِيَ مِنْ أَمْرِ أُمَّتِي شَيْئًا فَرَفَقَ بِهِمْ فَارْفُقْ بِهِ
"Ya Allah, bagi siapa yang menjadi penguasa umatku, lalu dia menyulitkan mereka, maka timpakanlah kesulitan kepadanya. Dan barang siapa yang menjadi penguasa umatku, lalu dia menyayangi mereka, maka sayangilah dia.". [riwayat Muslim]

Jangan memilih pemimpin selain dari mereka yang ada tujuh sifat ini kerana kelak kita akan menyesal dikemudian hari !

Ciri Pemuda Hebat Bernama Zubair Bin Awwam

Alhamdulillah bersyukur kita kehadrat Illahi kerana masih lagi diberi nikmat kelapangan masa untuk ana mencoretkan sedikit lagi tentang perasaan anak muda dizaman ini.Ketika menghadiri satu program di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor baru-baru ini, ana tertarik dengan cerita yang dibawa oleh Marabbi ana berkaitan dengan kisah seorang sahabat dizaman Rasulullah S.A.W yang cukup berani dan perkasa dan salah satu yang termasuk dalam golongan yang dijamin syurga oleh Rasulullah.Masha-ALLAH..beruntungnya  sahabat ini...kisah ini juga telah membangkitkan semangat pemuda-pemudi islam dalam berdakwah dijalan ALLAH yang perlu melalui liku-liku cabaran dan dugaan demi menghasilkan insan yang luar biasa yang menghadirkan diri kepada ALLAH AZZAWA JALLA..

Sekarang ini ana akan coretkan sedikit kisah sahabat Rasululllah S.A.W yang bernama Sayyidina Zubair bin Awwam R.A..ana harap kisah ini akan memberi semangat terutama anak muda supaya lebih gigih dan tidah mudah untuk berputus asa dalam menyebarkan Deen Allah.

Riwayat hidup Zubair bin awwam.
Setiap kali nama Thalhah disebut, nama Zubair juga disebut. Dan setiap kali disebut nama Zubair, nama Thalhah pun pasti disebut.
 
Sewaktu Rasulullah SAW mempersaudarakan para sahabatnya di Makkah sebelum hijrah, beliau mempersaudarakan Thalhah dengan Zubair. Sudah sejak lama Nabi SAW bersabda tentang keduanya secara bersamaan, seperti sabda beliau, “Thalhah dan Zubair adalah tetanggaku di syurga.”
Keduanya masih kerabat Rasulullah. Thalhah masih keturunan sebelah datuk moyang Rasulullah yang bernama Murrah bin Ka’ab, sedangkan Zubair masih keturunan sebelah datok moyang Rasulullah yang bernama Qusai bin Kilab. Shafiyah, ibu Zubair, juga emak saudara Rasulullah.
Thalhah dan Zubair mempunyai banyak kesamaan dalam menjalani roda kehidupan.
 
 Masa remaja, kekayaan, kedermawanan, keteguhan dalam beragama dan keberanian mereka hampir sama. Keduanya termasuk orang-orang yang masuk Islam di masa-masa awal, dan termasuk sepuluh orang yang dikhabarkan oleh Rasul masuk syurga, termasuk enam orang yang diamanahi Khalifah Umar untuk memilih khalifah pengganti. Bahkan, hingga saat kematian keduanya hampir sama.
Seperti yang telah kita sebutkan, Zubair termasuk orang-orang yang masuk Islam di masa-masa awal, kerana ia termasuk tujuh orang pertama yang masuk Islam, dan sebagai perintis perjuangan di rumah Arqam. Usianya waktu itu baru 15 tahun. Ia telah diberi petunjuk, cahaya, dan kebaikan saat usia remaja.
 
Ia ahli menunggang kuda dan memiliki keberanian, sejak kecil. Bahkan, ahli sejarah menyebutkan bahawa pedang pertama yang dihunuskan untuk membela Islam adalah pedang Zubair bin Awwam.
Di masa-masa awal, saat jumlah kaum muslimin masih sedikit dan masih bermarkas di rumah Arqam, terdengar berita bahawa Rasulullah terbunuh. Zubair langsung menghunus pedang lalu berkeliling kota Makkah laksana tiupan angin kencang, padahal usianya masih muda belia.
Yang pertama kali dilakukannya adalah memeriksa kebenaran berita tersebut. Seandainya berita itu benar, ia bertekad menggunakan pedangnya untuk memenggal semua kepala orang-orang kafir Quraisy atau ia sendiri yang gugur.
 
Di satu tempat, di bahagian kota Makkah yang agak tinggi, ia bertemu Rasulullah. Rasulullah menanyakan maksudnya. Ia menceritakan berita yang ia dengar dan menceritakan tekadnya. Maka, beliau berdoa agar Zubair selalu diberi kebaikan dan pedangnya selalu diberi kemenangan.
Sekalipun Zubair seorang bangsawan terpandang, namun ia juga merasakan penyiksaan Quraisy. 
 
Orang yang disuruh menyiksanya adalah bapa saudaranya sendiri. Ia pernah diikat dan dibungkus dengan tikar lalu diasapi hingga sukar untuk bernafas. Di saat itulah bapa saudaranya berkata, “Larilah dari Tuhan Muhammad, akan kubebaskan kamu dari siksa ini.”
Meskipun masih muda belia, Zubair menjawab dengan tegas, “Tidak! Demi Allah, aku tidak akan kembali kepada kekafiran untuk selama-lamanya.”
 
Zubair ikut dalam perjalanan hijrah ke Habasyah dua kali. Kemudian ia kembali, untuk mengikuti semua peperangan bersama Rasulullah, hingga tidak satu pun peperangan yang tidak ia ikuti.
Banyaknya bekas luka pedang dan tombak di tubuhnya adalah bukti keberanian dan kepahlawanannya.
 
Marilah kita dengarkan cerita seorang rakannya yang melihat bekas luka yang hampir memenuhi sekujur tubuhnya.
 
“Aku pernah bersama Zubair Bin Awwam dalam satu perjalanan dan aku melihat tubuhnya. Ada banyak bekas sabitan pedang. Di dadanya ada beberapa lubang bekas tusukan tombak dan anak panah. Aku berkata kepadanya, ‘Demi Allah, yang kulihat ditubuhmu belum pernah kulihat di tubuh orang lain.’ Ia menjawab, “Demi Allah, semua luka-luka ini kudapat bersama Rasulullah dalam peperangan membela agama Allah.”
 
Seusai Perang Uhud, dan pasukan Quraisy sedang dalam perjalanan pulang ke Makkah, Zubair dan Abu Bakar diperintahkan Rasulullah memimpin kaum muslimin mengejar mereka agar mereka menganggap kaum muslimin masih mempunyai kekuatan, sehingga mereka tidak berfikir untuk menyerbu Madinah.
 
Abu Bakar dan Zubair membawa 70 tentera muslim. Sekalipun Abu Bakar dan Zubair sebenarnya sedang mengikuti satu pasukan yang menang perang dan berjumlah jauh lebih besar, namun kecerdikan dan strategi yang dipergunakan keduanya berhasil menyebabkan hirui pikuk tentera Quraisy. Mereka menyangka bahawa pasukan yang di pimpin Abu Bakar dan Zubair adalah pasukan perintis dan di belakang pasukan ini masih ada pasukan yang jauh lebih besar. Tentu saja ini membuat mereka takut. Mereka pun mempercepat langkah menuju Makkah.
 
Di perang Yarmuk, Zubair mengetuai satu pasukan tersendiri. Ketika banyak perajuritnya yang lari ketakutan melihat jumlah pasukan Romawi yang begitu banyak, ia berteriak, “Allaahu Akbar”, lalu menyerbu pasukan Romawi sendirian dengan pedangnya.
 
Ia sangat rindu untuk syahid. Ia berkata, “Thalhah bin Ubaidillah memberi nama anak-anaknya dengan nama nabi-nabi padahal tidak ada nabi setelah Muhammad SAW. Kerana itu, aku memberi nama anak-anakku dengan nama para syuhada dengan harapan mereka syahid.”
 
Ada yang diberi nama Abdullah dari nama Abdullah bin Jahsy. Ada yang diberi nama Mundzir dari nama Mundzir bin Amru. Ada yang diberi nama Urwah dari nama Urwah bin Amru. Ada yang diberi nama Hamzah dari nama Hamzah bin Abdul Muthalib. Ada yang diberi nama Ja’far dari nama Ja’far bin Abi Thalib. Ada yang diberi nama Mushab dari nama Mushab bin Umair. Ada yang diberi nama Khalid dari nama Khalid bin Sa’id. Seperti itulah, semua anaknya diberi nama dengan nama-nama para syuhada dengan harapan beroleh syahid seperti mereka.
 
Disebutkan dalam buku sejarah, “Zubair tidak pernah menjadi pegawai daerah atau Gabenor. Tidak pernah menjadi petugas penarik pajak atau cukai. Ia tidak pernah menduduki jabatan kecuali sebagai pejuang perang membela agama Allah.”
 
Ia sangat percaya dengan kemampuannya di medan perang dan itulah kelebihannya. Meskipun pasukannya berjumlah 100 ribu perajurit, namun ia seakan-akan sendirian di arena pertempuran. Seakan-akan dia sendiri yang memikul tanggung jawab perang.
 
Keteguhan hati di medan perang dan kecerdasannya dalam mengatur siasah perang adalah keistimewaannya.
 
Ia melihat gugurnya bapa saudaranya, iaitu Hamzah, di Perang Uhud. Di perang Uhud juga beliau melihat bagaimana tubuh bapa saudaranya dicabik-cabik oleh pasukan kafir. Ia berdiri dekat jenazah bapa saudaranya. Gigi-giginya terdengar gemeretak dan genggaman pedangnya semakin erat. Hanya satu yang difikirkannya, iaitu balas dendam. Akan tetapi, wahyu segera turun melarang kaum muslimin melakukan balas dendam.
***
Ketika pengepungan terhadap bani Quraidzah sudah berjalan lama tanpa membawa hasil, Rasulullah menugaskan Zubair dan Ali bin Abi Thalib. Keduanya berdiri di depan benteng musuh yang kuat dan berkata, “Demi Allah, mari kita rasakan apa yang dirasakan Hamzah. Atau, akan kita buka benteng mereka.” Keduanya melompat ke dalam benteng. Dengan kecerdasannya, ia berhasil membuat takut orang-orang yang berada dalam benteng dan berhasil membuka pintu benteng sehingga pasukan Islam berhamburan menyerbu ke dalam benteng.
***
Di perang Hunain, suku Hawazin yang dipimpin Malik bin Auf menderita kekalahan yang memalukan. Tidak boleh menerima kekalahan yang diderita, Malik beserta beberapa perajuritnya bersembunyi di sebuah tempat, mengintai pasukan Islam, dan bermaksud membunuh para panglima Islam. Ketika Zubair mengetahui kelicikan Malik, ia langsung menyerang mereka seorang diri dan berhasil memporak perandakan mereka.
 
Rasulullah sangat sayang kepada Zubair. Beliau bahkan pernah menyatakan kebanggaannya atas perjuangan Zubair. “Setiap nabi mempunyai pembela dan pembelaku adalah Zubair bin Awwam.”
Bukan kerana sebagai saudara sepupu dan suami dari Asma binti Abu Bakar yang bergelar “Dzatun Niqatain” (memiliki dua selendang), melainkan kerana pengabdiannya yang luar biasa, keberaniannya yang tiada dua, kepemurahannya yang tidak terkira, dan pengorbanan diri serta hartanya untuk Allah, Tuhan alam semesta.
 
Sungguh tepat apa yang dikatakan Hasan bin Tsabit ketika menukilkan sifat-sifatnya.

Janjinya kepada Nabi selalu ia tepati
Atas petunjuk Nabi ia berbakti
Dialah sang pembela sejati
Kata dan perbuatannya bagai merpati
Di jalan Nabi, ia berjalan
Bela kebenaran sebagai tujuan
Jika api peperangan sudah menyala
Dialah penunggang kuda tiada dua
Dialah pejuang tak kenal menyerah
Dengan Rasul, masih keluarga
Terhadap Islam, selalu membela
Pedangnya selalu siaga
Kala Rasul dihadang bahaya
Dan Allah tidak ingkar pada janji-Nya
Memberi pahala tiada terkira

***
Ia seorang yang berbudi tinggi dan berakhlak mulia. Keberanian dan kepemurahannya bagai dua kuda yang digadaikan.
Ia seorang usahawan yang berjaya. Harta kekayaannya melimpah ruah. Semuanya ia dermakan untuk kepentingan Islam hingga saat mati masih mempunyai hutang.
Kedermawanan, keberanian, dan pengorbanannya bersumber dari sikap tawakalnya yang sempurna kepada Allah. Kerana dermawannya, sampai-sampai ia rela mendermakan nyawanya untuk.Islam.
Sebelum meninggal dunia, ia berpesan kepada anaknya untuk melunasi hutang-hutangnya, “Jika kamu tidak mampu melunasinya, mintalah kepada pelindungku.”
Sang anak bertanya, “Siapa pelindung yang ayah maksud?”

Zubair menjawab, “Allah! Dialah sebaik-baik Pelindung dan sebaik-baik Penolong.”
 
Di kemudian hari, sang anak bercerita, “Demi Allah, setiap kali aku kesulitan membayar hutangnya, aku berkata, ‘Wahai Pelindung Zubair, lunasilah hutangnya.’ Maka Allah melunasi hutangnya.”
Di perang Jamal, seperti yang tersebut dalam kisah Thalhah, perjalanan hidup Zubair berakhir.
Setelah ia mengetahui punca permasalahannya, lalu meninggalkan peperangan, beliau disabotaj oleh sejumlah orang yang menginginkan perang tetap berkecamuk. Ketika Zubair sedang melaksanakan solat, mereka menikam Zubair.
 
Setelah itu, si pembunuh pergi menghadap Khalifah Ali, mengabarkan bahawa ia telah membunuh Zubair. Ia berharap khabar itu menyenangkan hati Ali kerana yang ia tahu, Ali memusuhi Zubair.
Ketika Ali mengetahui ada pembunuh Zubair yang hendak menemuinya, ia langsung berseru, “Katakanlah kepada pembunuh Zubair putera Shafiah bahawa orang yang membunuh Zubair tempatnya di neraka.”
 
Ketika pedang Zubair ditunjukkan kepada Ali, ia menciumnya. Lalu ia menangis dan berkata, “Demi Allah, sekian lama pedang ini melindungi Nabi dari marabahaya.”
***
Adakah kata yang lebih indah dari kata-kata Khalifah Ali untuk melepas kepergian Zubair?
Salam sejahtera untukmu, wahai Zubair, di alam kematian.
Beribu salam sejahtera untukmu, wahai pembela Rasulullah.

Huraian Kisah Saidina Umar Memukul Anaknya / Sebat Anak. Benar atau Palsu?

Pastikan anda telah mengikuti Siri Tabarra 1 - 10 sebelum anda membaca dan memahami Tabarra 11.... Jika belum sila hubungi penghantar siri...