Demam sebelum meninggal dunia
KUALA LUMPUR – Dua bayi lelaki malang, Arif Amsyar Ruhi Budiman, tujuh bulan dan Muzaffar Mohd. Faizal, tiga bulan setengah yang meninggal dunia di sebuah rumah asuhan kanak-kanak di Taman Permata, Hulu Klang pada Khamis lalu dilaporkan mengalami demam dan selesema beberapa hari sebelum kematian mereka.
Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Datuk Seri Dr. Hasan Abdul Rahman berkata, kes pertama iaitu Muzaffar menunjukkan bayi berkenaan mempunyai gejala demam, batuk dan selesema sejak dua minggu yang lalu dan telah dibawa ke klinik sebanyak empat kali bagi rawatan.
Menurutnya, ibu mangsa memberitahu, keadaan bayinya itu bertambah baik dan mengalami batuk yang ringan sahaja.
“Bagaimanapun pada 19 Januari lalu pada pukul 2 petang, bayi itu pengsan di pusat jagaan dan dibawa ke klinik swasta untuk rawatan lanjut sebelum disahkan meninggal dunia pada pukul 2.50 petang,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini semalam.
Beliau berkata demikian untuk mengulas kematian dua bayi tersebut di rumah asuhan kanak-kanak di Taman Permata, Hulu Klang dalam kejadian yang berlaku pada pukul 2.50 petang dan 3 petang berkenaan.
No comments:
Post a Comment