17.1.12

SESEORANG AKAN BERANI BERHUJJAH DALAM PERJUANGAN ISLAM KALAU DIA BEGITU JELAS MATLAMAT HIDUPNYA...

SESEORANG AKAN BERANI BERHUJJAH DALAM PERJUANGAN ISLAM KALAU DIA BEGITU JELAS MATLAMAT HIDUPNYA.....

Alhamdulillah, saya kenal Dr Hassan ini sejak saya berusia 19 tahun lagi ketika itu seorang guru meminta saya dn sahabat saya di Kolej utk membantu Dr Hassan menjalankan SUMMERCAMP beliau pada peringkat mula.... saya masih ingat lagi perkataan Yayasan Sabha...di bangsar..tahun 90-an...

Saya kenal pendiriannya dan perkataan adalah menyamai perbuatannya..beliau bukan sahaja pandai dan pintar berkata-kata tetapi beliau juga adalah melaksanakan apa yang diucapkannya.....

Saya mengikuti perkembangan beliau sehinggalah beliau menjadi orang kuat PAS dan menjadi exco kerajaan negeri......


Orangnya TEGAS seperti dahulu juga...... networkingnya juga berperibadi seperti beliau tegas dalam membuat keputusan setelah dilaksanakan Decision Making dan Problem Solving secara sistematik.....

Moga Allah bersama beliau.....Amin!

Itulah orangnya.....

================================

SESEORANG AKAN BERANI BERHUJJAH DALAM PERJUANGAN ISLAM KALAU DIA BEGITU JELAS MATLAMAT HIDUPNYA...


HASAN Ali pada sidang akhbar di kediaman beliau di Kuala Lumpur, semalam.


SEPERTI yang telah saya nyatakan sebelum ini, saya terperanjat dan bersedih dengan keputusan drastik yang dibuat oleh pimpinan tertinggi parti. Setahu saya, apa juga perbezaan pendapat di antara saya dengan parti telah pun diharmonikan dan dianggap selesai.

Saya telah dijemput menemui ketiga-tiga pimpinan tertinggi parti itu Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Timbalan Mursyidul Am, Datuk Dr.Haron Din dan Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Pertemuan yang penuh kemesraan itu berlangsung di Kota Bharu pada 27 Disember 2011.

Tuan Guru Mursyidul Am menyatakan rasa terharu beliau dengan tindakan memohon maaf saya kerana menarik balik kenyataan yang boleh menyinggung ahli dan penyokong Pas. Atas nama Pertemuan Mahabbah, beliau telah mencadangkan diadakan kenduri besar di peringkat Pas pusat dengan ahli-ahli menyumbang untuk menyatakan kenduri tersebut. Di pihak beliau sendiri, kenduri kecil telah diadakan di JKR 10 sempena Pertemuan Mahabbah tersebut.

Kes melibatkan saya dengan parti telah diharmonikan dengan sepenuhnya. Bagi saya pemecatan saya sebagai ahli Pas adalah kerana saya menyentuh kes Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Himpunan 901.

Saya telah menasihatkan ahli-ahli Pas khususnya mahasiswa dan mahasiswi supaya tidak menghadiri himpunan tersebut. Kes tersebut adalah kes peribadi melibatkan seorang pemimpin. Bagi saya mahasiswa dan mahasiswi sepatutnya menumpukan perhatian kepada pengajian berikutan dengan minggu peperiksaan yang sedang berjalan ketika itu.

Perlu disebutkan kenyataan saya dilihat selari dengan kehendak Presiden Pas sendiri yang tidak menggalak dan tidak juga melarang ahli menyertai perhimpunan tersebut.

Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali melenting dengan kenyataan tersebut dan meminta pucuk pimpinan Pas segera memecat saya. Keesokan harinya Jawatankuasa Pas Pusat bersidang dan memutuskan secara drastik bahawa saya telah dipecat daripada menjadi ahli Pas tanpa memberi peluang kepada saya membela diri terhadap tuduhan-tuduhan yang saya sendiripun tidak dimaklumkan sehingga hari ini.

Pemecatan saya itu tidak menggunakan prosedur yang biasa diamalkan oleh mana-mana pertubuhan termasuk pertubuhan politik. Lazimnya tertuduh diberi peluang untuk membela diri terhadap tuduhan-tuduhan bertulis yang dikenakan kepada pihak tertuduh.

Bagi saya, Pas pusat yang sepatutnya mengamalkan prinsip-prinsip Islam dalam berorganisasi telah tidak mematuhi prinsip-prinsip tersebut di atas. Jelas keputusan itu dibuat secara autokratik dan menyimpang daripada asas-asas mengurus manusia dalam organisasi mengikut prinsip-prinsip Islam.

Saya yakin Presiden Pas dan lain-lain pimpinan ulama faham tentang asas-asas disiplin melibatkan manusia dalam organisasi berpandukan kepada Islam tetapi pengaruh golongan parasit dalam Pas begitu kuat sehingga pucuk pimpinan terpaksa tunduk kepada mereka.

Inilah yang sedang berlaku dalam Pas. Golongan parasit dengan jumlah yang lebih besar dan menggunakan strategi yang licik telah berjaya mengubah arah tuju Pas termasuk dalam kes pemecatan saya ini.

Saya hairan dan cuba mencari hujah yang digunakan oleh pimpinan Pas waktu membuat keputusan memecat saya. Pemecatan saya bukan atas dasar kesilapan yang saya lakukan yang telah pun diharmonikan tetapi semata-mata menegur pimpinan PKR yang menghadapi kes mahkamah yang saya katakan bersifat peribadi. Saya juga hairan bagaimana Pas boleh tunduk dengan tekanan dari PKR yang meminta saya dipecat. Apakah Pas sudah hilang maruah?

Saya dihujani dengan panggilan telefon, pesanan ringkas dan kunjungan bertali arus untuk menanyakan sama ada saya akan membuat rayuan terhadap pemecatan saya itu. Saya masih memerlukan masa untuk mendengar berbagai pendapat daripada sahabat-sahabat khususnya teman-teman ulama saya.

Saya masih sayangkan Pas terutama perjuangan Pas yang asal. Tetapi saya perlu membuat keputusan yang adil untuk diri saya, adil untuk keluarga saya, adil untuk masyarakat dan adil untuk umat seluruhnya. Lebih daripada itu, saya mahukan keputusan saya itu membantu saya mengagungkan Islam, mengangkat martabat bangsa Melayu dan mendaulatkan institusi Raja.

Dalam apa keadaan pun saya telah dan akan terus berjuang baik di dalam mahu pun di luar Pas. Peluang dan ruang terbuka untuk saya, tidak sesempit seperti yang dijangkakan oleh sesetengah pihak, akan saya gunakan sepenuhnya. Saya gembira hidup untuk Islam dan saya reda mati untuk Islam.

Pagi ini saya menerima surat dari Istana memaklumkan tentang pengguguran saya sebagai ahli Exco berkuat kuasa mulai 16 Januari 2012. Di peringkat ini, saya merasakan bahawa tarikh pengguguran itu sebenarnya bercanggah dengan kuatkuasa keahlian saya sebagai ahli Pas yang sepatutnya tamat pada hari akhir tempoh rayuan. Saya tidak ada masalah atas pengguguran sebagai ahli Exco ini.

Sebenarnya saya telah menulis surat kepada Menteri Besar untuk memohon bercuti sehingga hari tamat tempoh rayuan dan Menteri Besar telah pun meluluskan cuti saya itu. Ini bermakna pelucutan saya sebagai ahli Exco berlaku dalam keadaan secara teknikalnya jangka hayat keahlian saya masih berjalan sehingga minggu pertama bulan Februari 2012. Mungkin Menteri Besar terlepas pandang menasihatkan Sultan Selangor mengenai perkara ini.

Seperti saya sebutkan, saya tidak ada masalah di atas pengguguran ini. Malah saya telah bersedia secara mental dan fizikal untuk menghadapinya. Bagi saya, ini adalah asam garam perjuangan. Perkara ini tidak sedikitpun menganggu hasrat saya untuk memperjuangkan sesuatu yang paling murni dalam hidup seorang insan iaitu mengagungkan Islam.

Hanya saya tertanya-tanya apa di sebalik tindakan yang begitu tergesa-gesa untuk memecat dan menggugurkan saya. Tindakan tergesa-gesa ini seolah-olah menampakkan ada pihak yang begitu tidak sabar-sabar untuk mengeluarkan dan menggantikan tempat saya. Walhal dari segi pengguguran ahli Exco saya sepatutnya masih ada tiga minggu lagi tempoh bertenang untuk membuat keputusan yang terbaik.

Kepada rakan-rakan Exco yang lama dan baru ingin mencoretkan satu pesanan supaya berhati-hati memegang mentadbir negeri Selangor. Dalam pembangunan yang begitu pesat jangan sekali-kali keagungan Islam, martabat bangsa Melayu dan kedaulatan institusi Raja serta Perlembagaan dikesampingkan.

Itulah amanah pertama dan utama. Menyisihkan bererti saudara sekalian sudah mengkhianati kuasa dan tanggungjawab yang diamanahkan.

Akhirnya, kepada ahli dan penyokong Pas, kembalikanlah Pas ke landasan asalnya iaitu membangunkan masyarakat berlandaskan al-Quran, As-Sunnah, Ijmak dan Qias. Ahli dan penyokong Pas mesti berani mengambil langkah positif dan tegas untuk membebaskan Pas daripada cengkaman golongan parasit yang mempunyai agenda tersendiri untuk kepentingan peribadi dan kelompok mereka.

SIAPA ketua parasit?

DR. HASAN ALI : Saya diberitahu Pesuruhjaya Pas Selangor dan timbalannya mencabar saya menamakan siapakah parasit yang dimaksudkan. Soal parasit ini pernah saya sebut dalam satu program, sebelum ini. Saya dan teman-teman sebenarnya bercadang untuk mengadakan ceramah-ceramah luar yang berbentuk road show. Saya telah menerima jemputan hampir seluruh Malaysia termasuk Sabah. Tujuan road show ini adalah untuk menerangkan kedudukan sebenar. Pertama, mengenai pemecatan saya daripada Pas dan keduanya, pengguguran saya sebagai Exco kerajaan Selangor. Jadi ketuanya saya tidak umumkan hari ini pengikutnya juga saya tidak umumkan hari ini. Marilah bersama-sama dalam road show saya akan datang dan saya akan maklumkan kepada tuan-tuan.

Bagaimanakah caranya ahli Pas yang mendukung perjuangan asal Pas mahu mengatasi masalah penguasaan golongan parasit itu?

HASAN: Itulah sebabnya kita memerlukan orang seperti saya. Jika dari dalam (parti) kita hendak hindarkan daripada parasit agak sukar sebab dipandu oleh peraturan-peraturan yang menyekat kita daripada menghuraikan masalah ini. Ia juga tidak boleh diselesaikan melalui mesyuarat-mesyuarat sahaja sebab masalah ini mengaitkan hampir satu juta ahli-ahli Pas. Mereka berhak mengetahui isu ini.

Untuk pengetahuan hikmah daripada apa yang berlaku, pertama apabila cawangan bermesyuarat mereka telah membincangkan perkara ini yang mana dulu tidak pernah. Mesyuarat di peringkat kawasan pun serupa dan begitu juga mesyuarat di peringkat negeri dan pusat. Mungkin kita boleh katakan Hasan Ali jolok sarang tebuan tetapi tebuan yang dijolok Alhamdulillah bukan tebuan yang menyengat sebarangan tetapi semata-mata tujuan untuk memandu manusia ke jalan Allah SWT. Inilah yang saya lakukan. Daripada dalam pula apa yang boleh kita lakukan Insya-Allah, saya amat mengharapkan golongan ulama terutamanya. Begitu juga dengan Dewan Pemuda Pas yang nampaknya orientasi mereka seiring dengan orientasi saya. Saya amat berharap Insya-Allah supaya jalinan terus dapat dilakukan bersama teman-teman di dalam walaupun saya berada di luar (parti).

Saya terlalu yakin dan mereka sebahagiannya telah bertemu untuk merundingkan bagaimana jalinan dapat dibuat, kita tentukan parasit-parasit ini dalam waktu terdekat dapat dibebaskan daripada organisasi Pas. Maksudnya luar pun bergerak dalam pun bergerak. Di luar ini memanglah lebih lantang dan garis sempadannya tidak terikat dengan panduan dan Perlembagaan parti. Insya-Allah saya akan lakukan dengan penuh hikmah, bijaksana dan keintelektualan untuk kita bersama-sama menggerakkan supaya Pas kembali berada seperti mana di zaman kepimpinan Allahyarham Datuk Fadzil Noor.

Saya yakin Datuk Seri Abdul Hadi Awang menginginkan Pas menjadi tonggak pertama untuk mempertahankan Islam di bumi Malaysia ini.

Apakah ciri-ciri parasit dan adakah ia berada di dalam Pas atau mana-mana organisasi?

HASAN: Parasit ini mempunyai kumpulan, ada pertemuan-pertemuan, ada gagasan, ada matlamat, ada misi dan visinya. Sebahagian daripada mereka telah bergerak cergas semasa menuntut di luar negara. Sebahagiannya bergerak cergas ketika berada di peringkat awal pekerjaan mereka dan menyusup di mana-mana. Penyusupan ini akhirnya berlaku dan bergerak aktif di dalam Pas. Mereka kemudian memegang jawatan-jawatan penting dan strategik di dalam Pas. Memang mereka minta untuk memegang jawatan-jawatan strategik ini. Kita melihat sekarang apa yang telah berlaku.

Insya-Allah, selepas ini saya akan memberi komen-komen lebih terperinci lagi kerana saya juga telah diminta untuk menghuraikan soal parasit ini, apa yang mesti dilakukan dan bagaimana mereka bercambah dan bergerak. Sebenarnya parasit ini telah wujud 30 hingga 40 tahun lalu. Ia bukan fenomena baru sebaliknya fenomena lama, namun isu parasit ini terus berlanjutan. Saya tahu jaringan kerjasama mereka di peringkat negeri, daerah, pertubuhan-pertubuhan Islam mahupun antarabangsa. Insya-Allah saya dan teman-teman akan menganalisis perkara ini dan akan membentangkannya satu persatu pada masa akan datang.

Adakah golongan parasit ini pro Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ?

HASAN: Saya tidak mahu jawab setakat ini. Biar saya jawab pada situasi yang lain. Lagipun program road show saya akan diadakan tidak lama lagi. Oleh itu saya amat berharap rakyat mengikuti road show ini kerana ada maklumat-maklumat yang boleh dikongsi bersama. Insya-Allah sebahagian daripada isi ceramah saya berkaitan dengan parasit-parasit ini.

Siapakah penganjur road show ini?

HASAN : Pejabat saya sendiri dan dalam masa sama teman-teman lama juga telah bersetuju bersama-sama saya menjayakan road show ini. Ada yang menawarkan kereta, ada yang menawarkan tenaga dan ada yang menawarkan masa. Ingin saya tegaskan di sini apa yang saya lakukan ini tidak ada kepentingan apa-apa tetapi semata-mata untuk mempertahankan kesucian Islam kepentingan orang Melayu dan kepentingan raja-raja Melayu. Inilah tiga perkara penting yang saya perjuangkan.

Apa pandangan Datuk berhubung kenyataan Anwar yang mempertikaikan undang-undang berkaitan kegiatan homoseksual di negara ini?

HASAN: Inilah salah satu sebab saya tidak boleh bersekongkol dengan Anwar Ibrahim. Inilah sebabnya rakyat Malaysia mesti menolak perjuangan Anwar Ibrahim. Kalau kegiatan gay, lesbian, homoseksual dan transgender, itu hendak dihalalkan di Malaysia, saya rasa masyarakat akan bergolak dan berpecah. Saya nampak kekacauan akan berlaku. Ini pandangan saya. Sebenarnya, pandangan Anwar Ibrahim bukan hanya di Mumbai melalui BBC itu sahaja. Kalau tidak salah, itulah pandangan peribadi dan pandangan asasi yang dipegang oleh Anwar Ibrahim dan itu sebab utama saya tidak boleh bersama Anwar Ibrahim, saya yakin pendirian saya adalah tepat.

Adakah objektif road show Datuk untuk bersihkan Pas daripada parasit-parasit itu?

HASAN: Tugas saya bukan untuk membersihkan Pas sahaja. Tugas saya adalah untuk memikul tanggungjawab sebagai khalifah Allah di muka bumi. Jika hendak bersihkan Pas, carilah mana-mana orang Pas untuk bersihkan. Lagi pun saya telah terkeluar daripada Pas. Namun tugas saya lebih besar dan hanya Allah sahaja Maha Mengetahui. Sebab itu di dalam road show itu nanti, pertama saya akan menerangkan kepada masyarakat bagaimana institusi dan pertubuhan yang ada tidak mampu mengangkat ketiga-tiga martabat itu (Islam, Melayu dan Raja-Raja Melayu). Kedua, saya akan terangkan Pas yang sepatutnya menjadi juara untuk mengangkat martabat itu, saya masukkan dalam kategori gagal kerana pengaruh daripada parasit . Ketiga, saya hendak menerangkan, apa pengaruh DAP dan apa pengaruh PKR dalam Pas. Ada teman-teman hendak menulis tentang Anwarisasi dalam Pas maknanya proses ‘menganwarkan’ Pas. Ada pula teman-teman hendak menulis di bawah tajuk Pas kuda tunggangan DAP. Saya objektif dan bersandarkan kepada fakta. Sebab itu di dalam road show saya nanti apa yang kita akan bentangkan kepada masyarakat adalah berdasarkan kepada hasil kajian serta analisis yang kita jalankan. Sebab apa saya hendak adakan road show? Sebab ia membolehkan saya bersemuka dengan rakyat pelbagai lapisan di Bangi saya bertemu dengan golongan intelek. Saya boleh bertemu dengan golongan pertengahan di Kuala Selangor. Saya boleh bertemu dengan penduduk kampung di Tanjung Karang. Ini satu tugas yang berat dan bersama-sama saya sudah ada antara 20 hingga 30 orang.

Menyentuh kenyataan Anwar mempertikaikan undang-undang berkaitan kegiatan homoseksual di negara ini, saya minta penjelasan sekali lagi?

HASAN: Saya tidak akan bersetuju apa-apa cadangan untuk membenarkan kegiatan homoseksual, lesbian atau apa jua bentuk kegiatan tidak bermoral. Dalam isu ini saya juga akan rujuk kepada ulama kerana pendirian ulama bersandarkan hukum-hukum terdapat di al-Quran, al-hadis, qias dan ijmak. Ini bukan persoalan moral yang terasing dan kita harus ingat isu moral berkaitan dengan agama. Walau apa pun saya akan akur dengan pandangan ulama sama ada ulama di dalam Pas mahu pun di luar Pas berhubung isu yang diperjuangkan oleh Anwar Ibrahim bersama teman-temannya yang lain.

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (Nik Aziz) meminta Datuk tutup mulut. Apa komen Datuk?

HASAN: Saya hormati pandangan beliau. Saya asalkan ulama memanglah saya hormati. Saya hormati Datuk Nik Aziz sebagai tok guru, saya hormati Nik Aziz sebagai ulama besar. Nik Aziz pada masa dahulu adalah pemimpin saya. Dia suruh tutup mulut semua orang kena tutup mulut. Semua orang kena tutup mulut termasuk orang yang bercakap kena tutup mulut. Bagaimanapun saya tetap menghormatinya dan Insya-Allah saya akan jadikan nasihat ini sebagai panduan utama di dalam perjuangan saya.

Anwar ketika mengulas pemecatan Datuk telah menyatakan bahawa adalah lebih baik bersihkan pakatan pembangkang daripada individu-individu yang gila kuasa dan duit?

HASAN: Siapa yang gila kuasa? Cuba tuan-tuan fikir saya atau Anwar Ibrahim. Saya telah diberikan kuasa sebagai Exco kerajaan negeri. Bayangkan exco ini selesa, hidup separuh mewah, semuanya dibayar, kuasanya besar, Alhamdulillah. Orang sanggup berbunuh-bunuh untuk menjadi exco. Namun saya korbankan jawatan itu kerana satu idealisme. Bayangkan seorang ini, kumpulkan orang di Sabah, kumpulkan orang di Sarawak untuk menawan Putrajaya pada 16 September. Dia gila kuasa ke atau saya gila kuasa? Bayangkan atas nama gila kuasa, dia kata dalam penjara pun akan menjadi Perdana Menteri. Hasan tidak pernah sebut. Saudara-saudara timbangkanlah. Mengenai gila duit. Masya-Allah jika hendak kata saya gila duit ini, saya dulu perunding pengurusan dan latihan. Tanya isteri saya berapa pendapatan saya pada masa itu sebulan. Saya menyertai Pas semata-mata kerana perjuangan. Jangan tanya saya berapa kerugian saya apabila menyertai Pas setelah hampir 15 tahun. Isteri saya faham, anak-anak saya faham. Saya merupakan exco yang bertanggungjawab infrastruktur dan kemudahan awam. Projek-projek JKR dan JPS. Saya ingat saya tidak ambil satu sen pun. Rekod saya bersih. Hendak disogok-sogok ini saya tidak biasa. Saya pun tidak pernah duduk dengan penyogok, disogok, penyogokan, kesogokan tidak ada, yang ada ialah agaknya teman-teman yang lain. Dari segi psikologinya kadang-kadang kita hendak menafikan yang kita buat kita tuduh orang buat.

Adakah sebab-sebab lain Datuk dipecat sebagai ahli Pas?

HASAN: Saya tidak tahu sebab-sebab lain tetapi saya yakin apa yang berlaku ini satu sejarah buat Malaysia dan saya juga yakin akan ada pelajar ijazah, sarjana atau doktor falsafah buat kajian mengenai peristiwa ini dan pada masa itu baru kita tahu sebab-sebab lain. Di pihak saya, saya tidak tahu kerana kertas pertuduhan itu tidak ada. Saya tidak pernah lihat kertas pertuduhan. Sepatutnya ada kertas pertuduhan dalam bentuk tulisan. Melalui kertas pertuduhan ini jawatankuasa disiplin akan bersidang. Daripada situ mereka akan membuat cadangan kepada Jawatankuasa Pusat. Itu yang biasa tetapi sehingga hari ini satu calit pertuduhan saya tidak terima dan saya tidak tengok. Saya tidak tahu apa kesalahan saya. Mereka tuduh saya merugikan parti. Adakah saya ditemubual di dalam rancangan soal jawab terbitan TV3 merugikan parti. Menurut teman-teman yang menonton soal jawab, mereka berkata daripada Januari sehingga November itu jumlah penonton program itu dikatakan tertinggi. Bukankah bagus untuk Pas? Pemimpin Pas duduk ditemubual dalam rancangan TV3.

Bagaimana pula tuduhan bahawa Datuk alat dan agenda UMNO ?

HASAN: Saya mahu membuat pendedahan ketika berlakunya pertemuan di JKR 10 di Kota Bharu, Kelantan pada 27 Disember lalu. Presiden beritahu kami tidak ada dalam Pas, tidak ada dalam undang-undang dan dasar Pas yang melarang orang Pas bertemu dengan UMNO. Jika ada bagaimana gerakan dakwah hendak dilaksanakan. Cukup setakat ini. Di sini saya juga ingin tegaskan bahawa saya tidak akan menyertai UMNO.

Adakah Datuk masih sayangkan Pas dan masih menganggap sebagai ahli Pas?

HASAN: Sehingga hari ini saya masih menganggap Abdul Hadi sebagai presiden saya dan walaupun saya berada di luar Pas, Nik Aziz masih Mursyidul Am Pas, kekanda saya. Hati besar saya, hati kecil saya masih bersama Pas. Andai ditakdirkan ada jodoh pertemuan saya dengan Pas iaitu apabila parasit-parasit ini sudah tidak ada, bila Pas kembali ke pangkalan asalnya, Hasan Ali akan mengisi borang baru untuk menjadi ahli Pas.

Apa akan berlaku sekiranya parasit-parasit ini masih berada di dalam Pas. Adakah akan berlaku kemusnahan di dalam Pas?

HASAN: Apa yang pasti selagi mereka berada di dalam Pas maka perjuangan Pas akan terkeluar daripada perjuangan asal.





No comments: