26.2.11

Manusia Berjaya dalam Sistem Futuristik!

Perjalanan dunia IT Steve Jobs




SITUASI ini berlaku pada empat tahun lepas. Beratus-ratus orang berkhemah di hadapan kedai alat telekomunikasi Apple Store yang beroperasi di sekitar Amerika syarikat (AS), selama dua hari berturut-turut.

Masing-masing enggan melepaskan peluang untuk menjadi antara kelompok pengguna terawal memiliki sebuah telefon pintar iPhone keluaran Apple.

Meskipun pengeluaran iPhone di pasaran tertunda selama enam bulan, ia sedikitpun tidak mematahkan semangat para pengguna. Apatah lagi pada hari berkenaan mereka terpaksa bersesak-sesak dan berebut-rebut antara satu sama lain.

Bermacam-macam gelagat pengguna diperhatikan. Ada yang sanggup membayar AS$200 (RM680) semata-mata untuk memotong barisan. Ada juga tegar bermalam di depan kedai dengan membawa tilam nipis serta membawa haiwan peliharaan sebagai peneman.

“Saya tidak tidur satu setengah hari,” cerita Grant Johnson, 41, dari Brooklyn, yang sanggup bersekang mata agar tidak terlepas peluang membeli iPhone.

Kemunculan telefon pintar iPhone mencipta fenomena luar biasa di AS, Eropah dan di Asia Tenggara. Bermula daripada pengeluaran iPhone, iPhone 3G, iPhone 3GS sehingga iPhone 4, sambutannya amat menggalakkan. Malah, tempias populariti iPhone turut melanda masyarakat Malaysia.

Apa yang pasti, kecemerlangan penjualan produk Apple Inc., secara tidak langsung melonjak nama Steve Jobs, 55. Dia merupakan tulang belakang yang memastikan agar alat telekomunikasi jenama Apple yang dijual di pasaran berkualiti dan menepati cita rasa pelanggan.

“Terharu dan gembira kerana pengguna menyukai produk yang kami tawarkan. Sebenarnya bukan mudah untuk mereka telefon pintar yang menarik. Bagi saya rekaan tertumpu pada reka bentuknya tetapi ia lebih pada kepuasan ketika menggunakannya. Jadi, kami sentiasa berusaha menghasilkan produk yang terbaik.

“Pada masa yang sama, kami mengelak bertanya kehendak pengguna kerana apabila kita menghasilkan apa yang mereka mahukan, barangkali pada waktu itu mereka mahukan sesuatu yang baru pula,” jelas Jobs yang turut merangkap pengasas bersama dan Ketua Eksekutif Apple dalam satu temu bual.

Laman berita Los Angeles Times, menyiarkan bahawa syarikat Apple Inc. berjaya mengaut keuntungan berlipat ganda selepas melancarkan produk iPhone dan iPad. Sehingga Apple Inc., tersenarai sebagai syarikat kedua di dunia yang mencecah nilai melebihi AS$300 bilion (RM912 bilion).

Penganalisis daripada Goldman Sachs, David Bailey, memberitahu, setiap tahun penjualan iPhone memperlihatkan peningkatan yang begitu drastik. Jika penghujung tahun 2007, sebanyak dua juta iPhone terjual, pada tahun 2008 pula ia meningkat sebanyak sembilan juta. Sementara pada tahun 2009 pula hasil jualan mencecah 20 juta manakala 30 juta pada tahun berikutnya.

Sementara itu, majalah Forbes menyatakan Jobs yang menyambut ulang tahunnya yang ke-55 semalam, memiliki nilai kekayaan berjumlah AS$6 bilion (RM18.26 bilion). Beliau juga disenaraikan oleh majalah terbabit sebagai individu ke-136 terkaya di dunia tahun lalu.

Jobs yang dilahirkan di San Francisco, AS, merupakan anak kepada pasangan Joanne Simpson dan Abdulfattah John Jandali berketurunan Arab Syria. Bagaimanapun bapa kepada empat cahaya mata itu tidak membesar bersama ibu bapa kandungnya.

Sebaliknya, dia dijaga sepenuhnya oleh keluarga angkat, Paul dan Clara Jobs di Silicon Valley, AS, yang sebahagian besar kawasannya dikelilingi ladang aprikot.

Diet ketat

Penggemar baju-T lengan panjang rona gelap dan seluar jean jenama Levi’s itu pernah menuntut di Sekolah Menengah Cupertino di Cupertino, California dan Sekolah Tinggi Homestead H.S di bandar yang sama. Tamat sesi persekolahan, Jobs melanjutkan pengajian di Reed College, Portland, Oregon. Namun tempoh pengajian di kolej seni liberal berkenaan bertahan selama satu semester saja.


JOBS di samping isterinya, Laurene Powell.


Sebaik menamatkan pengajian meninggalkan kolej, Jobs mengambil keputusan merantau ke India untuk mendalami agama Zen Buddhism bersama rakannya, Daniel Kottke. Dalam proses kerohanian tersebut Jobs yang pada ketika itu berusia 19 tahun mempraktikkan diet ketat seperti berpuasa atau makan buah saja.

Tambah Jobs yang mengahwini Laurene Powell di Yosemite, AS, pada tahun 1991: “Saya pernah berniat untuk menjadi sami di biara Jepun daripada mengasaskan Apple. Tetapi guru saya, Kobun Chino menyakinkan bahawa saya masih boleh meneruskan anutan ini dan pada masa yang sama mengusahakan bisnes komputer.”

Sehubungan itu, sekembalinya dia ke Silicon Valley, pada tahun 1974, dia membawa agama Buddha dengan penampilan rambut botak dan menyarungkan pakaian tradisional India.

Menyentuh mengenai penglibatan Jobs dalam bidang komputer dan gajet semuanya bermula selepas perkenalannya bersama Stephen Wozniak atau Woz yang pintar dalam hal berkaitan komputer dan elektronik. Walaupun usia Jobs lima tahun lebih muda daripada Woz, tetapi bagaikan wujudnya keserasian antara mereka berdua.

Penglibatan dunia komputer

Persahabatan yang tersemai itu akhirnya menarik minat Jobs menyertai Kelab Homebrew Computer pada tahun 1975 bersama Woz. Sepanjang melibatkan diri dalam kelab berkenaan, Jobs mendapati, hasil kajian dan pengamatannya industri komputer mempunyai potensi terbaik untuk jangka masa yang panjang.

Hasil perbincangan yang dilakukan mereka berdua melancarkan syarikat Apple Inc. pada 1 April 1976.

“Pemilihan nama Apple cukup ringkas dan simbolik. Ia sentiasa mengingatkan saya pada memori memetik buah epal pada musim panas,” jelas Jobs yang memperoleh modal permulaan bisnes sebanyak AS$1,300 (RM3,963), hasil menjual microbus salah satu komponen komputer manakala Woz menjual kalkulator.

Walaupun berpejabat di dalam sebuah garaj dan fasa permulaan hanya menjual papan sirkit iaitu papan memegang salah satu komponen dalaman komputer, tetapi bisnes mereka berkembang baik selepas menjual komputer pertama Apple I yang bernilai AS$666.66 (RM2,026). Kemudian, diikuti pula dengan komputer Apple II dan rangkaian produk yang lain sehingga Apple Inc., mula menjual saham syarikat sekitar Disember tahun 1980.

Namun jodoh Jobs bersama Apple Inc. tidak bertahan lama. Gara-gara tidak berpuas hati dengan lembaga pengarah, akhirnya dia mengambil keputusan meninggalkan Apple Inc., lantas membuka syarikat sendiri, NeXT, pada tahun 1986.

“Jika Apple Inc., terkenal dengan penghasilan komputer peribadi tetapi NeXT pula sebaliknya. Kami lebih fokus pada pembangunan perisian untuk komputer.

“Menariknya, pada kemuncak bisnes NeXT, kami merupakan jenama yang memainkan peranan utama pada pembentukan e-mel dan jaringan sejagat (WWW),” ulas Jobs yang kemudian dilantik semula menjadi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Apple Inc., selepas syarikat tersebut membeli NeXT yang hanya beroperasi selama sedekad.

Sehingga ke hari ini Jobs kekal menyandang kerusi CEO. Kebanyakan pakar IT dan penganalisis ekonomi menyifatkan rahsia jenama Apple Inc., yang hampir bankrap pada tahun 1990 terus kukuh kerana semangat dan etika kerja yang dipamerkan Jobs.

Inovasi dan kreativiti

“Saya mengikuti kisah Steve Jobs sewaktu menuntut di Universiti Iowa, AS dua dekad lepas. Pada waktu itu, orang ramai enggan melepaskan peluang memiliki komputer Apple II kerana Apple Inc., merupakan pengeluar tunggal menghasilkan komputer peribadi.


ORANG ramai sanggup berkhemah di depan kedai Apple bagi mendapatkan produk iPhone terbaru.


“Namun komputer Macintosh jenama Apple Inc., yang dikeluarkan pada tahun 1986, menarik minat saya untuk memilikinya. Ia merupakan sebuah komputer skrin hitam dan putih, meskipun orang ramai mengharapkan komputer skrin berwarna. Tetapi Jobs bertegas grafik lebih penting daripada warna,” jelas pakar teknologi komunikasi maklumat (ICT), Azli Paat yang turut memberitahu autograf Jobs turut tertera di dalam komputer berkenaan.

Tambah Ketua Pegawai Eksekutif Dapat Vista Sdn. Bhd., itu, Jobs merupakan individu yang berdisiplin, kreatif dan berwawasan. Setiap produk keluaran Apple Inc., mampu menarik minat pembeli dan ideal dengan trend semasa.

Dalam pada itu, Azli turut mengakui Jobs bijak dalam aspek pemasaran dan berinovasi tinggi.

“Misalnya, penggunaan tetikus. Ke banyakan individu berpendapat Apple Inc, yang bertanggungjawab mencipta tetikus padahal produk tetikus itu dihasilkan oleh jenama Xerox.

“Ini disebabkan pada awal penghasilkan tetikus, Xerox tidak yakin bahawa tetikus bakal disukai ramai, memandangkan masyarakat pada waktu itu sudah terbiasa menggunakan tetikus pada papan kekunci. Namun pemikiran Jobs berbeza. Ia melihat penggunaan tetikus secara berasingan memudahkan pengguna,” kata Azli

24.2.11

Gajet Mengubah Aktiviti Sel Otak....? Barah ke?

Boleh ubah aktiviti sel otak

CHICAGO 23 Feb. - Berbual menggunakan telefon bimbit dalam tempoh 50 minit sudah cukup untuk mengubah aktiviti sel dalam bahagian otak kerana ia berada paling hampir dengan antena gajet tersebut.

Bagaimanapun, saintis di Institut Kesihatan Kebangsaan (NIH) semalam menyatakan bahawa masih belum jelas sama ada ia mendatangkan kesan buruk kepada pengguna atau sebaliknya.

Jelas saintis, kajian yang mereka jalankan tidak melihat kebimbangan berulang tentang kaitan antara telefon bimbit dengan kanser otak.

"Apa yang kami tunjukkan adalah peningkatan metabolisme glukosa iaitu satu aktiviti otak pada individu yang terdedah terlalu lama kepada telefon bimbit di bahagian otak paling dekat dengan antena," kata Dr. Nora Volkow daripada NIH dalam kajiannya yang disiarkan dalam Jurnal Pertubuhan Perubatan Amerika.

Katanya, kajian itu dibuat bagi meneliti bagaimana reaksi otak kepada medan elektromagnet yang disebabkan isyarat telefon tanpa wayar.

Volkow berkata, beliau terkejut apabila mendapati radiasi radioaktif lemah dari telefon bimbit boleh memberi kesan kepada aktiviti otak, tetapi penemuan itu, katanya tidak menerangkan sama ada telefon bimbit boleh mengakibatkan kanser.

"Kajian ini langsung tidak menyentuh mengenai kanser otak.

"Ia hanya menunjukkan otak manusia sangat sensitif kepada radiasi elektromagnet akibat pendedahan kepada telefon bimbit," katanya.

Penggunaan telefon bimbit meningkat mendadak sejak ia diperkenalkan pada pertengahan 1980-an dan kini ia digunakan oleh kira-kira lima bilion individu di seluruh dunia.

Sesetengah kajian mengaitkan pendedahan kepada telefon bimbit dengan risiko kanser otak, tetapi sebahagian besar penyelidikan oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) tidak memberikan sebarang kesimpulan tersebut. - Reuter

Kenapa Anda Byk Saman?

Bayar sekarang!


Solah Mat Hassan (kiri) bersama Abdul Aziz Yusof (tengah) dan Timbalan Pengarah Penguatkuasaan Jabatan Keselamatan dan Penguatkuasaan DBKL, Mohamad Sauffi Mohamad pada sidang akhbar mengenai pelaksanaan kadar kompaun baru kesalahan lalu lintas di Putrajaya, semalam.


PUTRAJAYA 23 Feb. - Lebih 18 juta saman tertunggak dicatatkan oleh tiga agensi penguat kuasa kesalahan lalu lintas iaitu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam tempoh 2000 hingga 2009.

Daripada sejumlah saman itu, 15.6 juta daripadanya merupakan saman polis, 1.8 juta saman DBKL dan kira-kira 606,800 lagi saman JPJ.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Solah Mat Hassan berkata, semua pesalah trafik yang menerima saman daripada JPJ dan polis mesti menyelesaikan saman mereka selewat-lewatnya 28 Februari ini atau nama mereka disenaraihitamkan.

Statistik menunjukkan hanya 113,447 saman polis dan 1,227 saman JPJ dijelaskan dalam tempoh 11 Februari hingga 17 Februari, walaupun pemandu terbabit berdepan risiko disenaraihitam.

Statistik turut menunjukkan bahawa hanya 35 saman DBKL dijelaskan dalam tempoh sama sekali gus menunjukkan sikap orang ramai yang selalu mengabaikan saman pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Kerajaan tidak akan menangguhkan tempoh pembayaran saman, orang ramai dinasihatkan membuat pembayaran secepat mungkin dan jangan menunggu sehingga hari terakhir.

"Mereka boleh membayar secara dalam talian, di kaunter agensi atau melalui 688 buah pejabat pos seluruh negara," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Dalam pada itu, Solah berkata, JPJ, polis dan DBKL telah bersetuju dan bersedia melaksanakan kadar kompaun baru mulai 1 Mac seperti yang diumumkan oleh kerajaan baru-baru ini.

"Kadar kompaun lama bagaimanapun masih terpakai untuk saman-saman yang dikeluarkan sebelum 1 Mac.

"Untuk saman PBT, buat masa ini hanya DBKL yang terlibat dengan kadar kompaun baru tetapi ia akan diperluaskan ke lebih banyak tempat selepas ini," katanya.

Dalam pada itu, Solah berkata, pesalah trafik yang menerima saman daripada PBT termasuk DBKL buat masa ini tidak akan disenaraihitamkan walaupun pindaan Akta Pengangkutan Jalan membenarkan tindakan tegas itu diambil.

"Hanya penerima saman polis dan JPJ yang akan disenaraihitamkan pada peringkat ini.

"Kita bagaimanapun dalam proses untuk pastikan saman lain (termasuk daripada DBKL) akan disenaraihitamkan pada masa depan apabila mekanisme dan sistem komputer yang lengkap disediakan," katanya

TEKNOLOGI TINGGI dan Mahal bukan bereerti Smart!

iPhone bukan telefon pintar paling laris


DUA buah telefon pintar iPhone.


LONDON - Satu kajian terbaru mendapati telefon pintar keluaran Apple Inc, iPhone bukan lagi antara gajet paling laris di Britain, lapor sebuah akhbar semalam.

Telefon pintar iPhone kini berada di tempat keenam senarai telefon pintar terlaris di negara itu dengan orang ramai cenderung memilih gajet serupa yang jauh lebih murah.

Kajian tersebut dibuat oleh laman web uSwitch.com Mobile, yang menyenaraikan telefon pintar yang paling popular pada masa kini di Britain berdasarkan nilai jualan dan pencarian di Internet.

Ia mendapati telefon pintar Desire keluaran syarikat Taiwan, HTC menduduki tempat pertama senarai itu dengan diikuti HTC Desire HD dan HTC Wildfire.

"Selain boleh mengakses beribu-ribu aplikasi seperti iPhone, HTC Desire memiliki kelebihan lain yang memikat pengguna," kata komen di uSwitch.

Telefon HTC dan beberapa gajet lain meniru aplikasi skrin sentuh iPhone yang menjadi popular.

Semua telefon pintar kini menawarkan akses Internet kelajuan tinggi bersama-sama video, muzik dan pelbagai jenis permainan. - Agensi

Kehendak Dunia diutamakan daripada kehendak akhirat......Harta lebih utama daripada kebajikan...

Sikap kejam pencuri beras


AHMAD ROZLIN yang dirawat di HRPB, Ipoh semalam menceritakan kekecewaannya dibiarkan selama sejam atas jalan oleh orang ramai.


IPOH – Seorang pemandu treler kecewa dengan sikap orang ramai yang ghairah mengutip beras yang bertaburan dalam satu nahas daripada menyelamatkan dia dan rakannya yang terlibat dalam kemalangan di Kilometer 394.4, Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Behrang-Tanjung Malim, Kuala Kubu Bharu kelmarin.

Ahmad Rozlin Ahmad Murad, 22, mendakwa sikap jelik pengguna jalan raya yang tidak menghiraukan rayuannya supaya menghubungi pihak berkuasa untuk menyelamatkan kelindan lori, Hanafi Mohd. Daud, 19, tidak akan dilupakan sampai bila-bila.

Dalam kejadian itu, Hanafi meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan manakala Ahmad Rozlin cedera parah di tangan dan kaki kiri.

Lebih mengharukan apabila Ahmad Rozlin mendakwa dia dibiarkan terlantar selama lebih sejam di atas bahu jalan tanpa dipedulikan oleh orang ramai yang ghairah mengutip 43 tan beras tempatan pelbagai gred yang tumpah selepas kemalangan. Ketika itu dia dalam perjalanan ke Puchong, Selangor dari Perlis.

21.2.11

Buku Bisness Adalah Jihad, sesuai untuk Melayu

Bisnes sebagai satu budaya


MUHAMMAD ALI mahu mengajak orang Melayu supaya menjadikan bisnes sebagai satu kerjaya serius.


TAN Sri Muhammad Ali Hashim merupakan tokoh yang tidak perlu diperkenalkan. Jangan sesiapa berani menafikan kredibiliti dan keupayaan anak kelahiran Johor itu di pentas bisnes. Mantan Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation (JCorp) itu telah melakukan satu pencapaian yang sangat luar biasa.

Sebelum mengucapkan selamat tinggal kepada entiti korporat yang dikendalikannya selama hampit tiga dekad, beliau meninggalkan satu nama dan legasi perniagaan yang cukup hebat. JCorp kini mempunyai lebih daripada 280 anak syarikat dan membuka pintu rezeki kepada lebih 65,000 pekerja. Terlalu banyak kejayaan yang dilakar hingga boleh dijadikan satu buku bersiri.

Syarikat konglomerat semasa pentadbirannya juga mencipta satu sejarah dunia. JCorp dilabel syarikat pertama yang mentransformasikan JCorp kepada Perbadanan Wakaf pertama di dunia. Akhbar melaporkan, JCorp mewaqafkan saham bernilai RM200 juta (nilai aset bersih) kepada Waqaf An-Nur Corporation Bhd. Seterusnya, pada tahun 2007, syarikat itu sekali lagi mewaqafkan saham miliknya di dalam TPM Management Sdn. Bhd. yang memiliki premis membeli-belah Larkin Sentral di Johor Bahru bernilai RM50.3 juta.

Katanya : “Bisnes bukan sekadar mencari keuntungan, tetapi bisnes itu adalah jihad.”

Muhammad Ali masih sibuk seperti dulu. Beliau masih merupakan Timbalan Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM). Terkini, beliau adalah seorang penulis buku.

“Saya ingin berkongsi pengalaman saya bersama J-Corp dengan pembaca, justeru saya menulis buku yang bertajuk Bisnes Satu Cabang Jihad.

“Karya ini bukannya menumpukan kepada strategi atau teknik pengurusan tetapi mahu mengajak masyarakat Islam menghayati dan membudayakan bisnes secara serius,” katanya yang juga menulis buku bertajuk Membujur Lalu : Suatu Pengalaman Orang Melayu Dalam Pengurusan.

Buku setebal 240 muka surat itu mengandungi pecahan empat bab utama iaitu Mengenggam Pedoman, Membisneskan Budaya, Membudayakan Bisnes dan Mendaki Ombak yang antara lain mengupas tentang krisis ekonomi Asia dan cabaran serta ancaman korporat Barat.

Bisnes sebagai pekerjaan

Buku itu mengajak orang Melayu menjadikan perniagaan atau bisnes satu kerjaya serius supaya tidak ketinggalan, melonjakkan pendapatan semua, langsung meningkatkan taraf hidup menjadi bangsa maju.

Sebagai seorang Muslim yang arif dalam selok-belok perniagaan, Muhammad Ali melihat, orang asing sering melontarkan persepsi bahawa Islam adalah sebuah masyarakat yang kecundang dan antibisnes.

“Justeru, saya ingin membangkitkan semangat orang kita agar segera menjadikan bisnes sebagai teras kekuatan dan ketahanan Islam.

“Pada masa sama, saya menyeru agar mereka menyuntik nur Islam dalam amalan dan gerak kerja perniagaan yang dijalankan, jangan terpedaya dengan budaya kapitalisme Barat,” tegasnya yang turut mengadakan ceramah-ceramah bisnes berlandaskan prinsip jihad di seluruh negara.

Secara kesimpulannya, buku itu menyeru masyarakat Islam memahami peranan dan mengiktiraf potensi bisnes dalam mengatasi krisis dan ancaman sekali gus membina kekuatan dan kekebalan ekonomi dalam mempertahankan hak dan kedudukan.

Buku yang akan diterjemahkan dalam bahasa Inggeris ini kata Muhammad Ali, bukan saja sesuai dirujuk kepada usahawan malah kepada pelajar sekolah menengah dan mahasiswa. “Sesungguhnya, budaya perniagaan harus diterap sejak kecil, tambahan, seruan agama menyatakan sembilan per sepuluh punca rezeki adalah melalui bisnes,” ujarnya yang akan mengeluarkan sebuah buku lagi pada April ini.

Hasil karyanya begitu menarik kerana Muhammad Ali turut menyelitkan beberapa peribahasa dan pantun yang mempunyai perkaitan secara langsung dengan dunia perniagaan.

Untuk keterangan lanjut mengenai jihad dan buku-buku terdahulu, layari www.businessjihad.com

Pro n Cons Mandi Sauna..

Pitam mandi sauna


MANDI sauna boleh membantu membakar sehingga 3,000 kalori dalam satu-satu masa.


SAUNA mungkin menjadi tarikan utama pengunjung di hotel, spa atau pusat kesihatan yang dahagakan sensasi kenikmatan bersifat menenang dan mendamaikan jiwa.

Ada yang menjadikan sauna sebagai lokasi rawatan alternatif untuk mengurangkan berat badan.

Menurut kajian yang dijalankan oleh badan ketenteraan Amerika Syarikat (AS), sebanyak 3,000 kalori dibakar dalam badan setiap kali sesi mandian sauna.

Secara saintifiknya, hasil rembesan hormon endorfin daripada kelenjar peluh mampu menyingkirkan toksin yang tidak diperlukan oleh badan menerusi liang-liang peluh.

Manfaat lain yang diperoleh antaranya mampu meningkatkan keupayaan buah pinggang agar berfungsi lebih baik serta meningkatkan peredaran dan tekanan darah dalam badan.

Malah, kulit lebih segar hasil daripada wap air dari bilik sauna manakala otot menjadi kendur usai menikmati aktiviti tersebut.

Menurut kajian oleh sepasukan pakar dari Jerman, mandian sauna meletakkan diri seseorang dalam keadaan ‘sakit.’

Hal ini bertujuan untuk menstimulasi sistem pertahanan badan dan akan menjadikan tubuh pengguna yang kerap bersauna agar lebih berdaya tahan menentang penyakit.

Namun, tanpa disedari mandian sauna juga mempunyai kesan sampingan yang tersendiri sama ada dari sudut dalaman badan mahupun luaran.

Hakikatnya, suhu bilik sauna sebenarnya boleh mencecah sehingga 100 darjah selsius dan kesannya akan mengakibatkan suhu kulit meningkat sehingga 40 darjah selsius.

Mekanisme badan bertindak balas dengan berpeluh secara cepat dan banyak manakala jantung berdegup semakin laju.

Pakar Perunding Kardiologi Pusat Perubatan Tropicana, Dr. Haizal Haron Kamar berkata, peningkatan kadar denyutan jantung yang melampau boleh mengakibatkan bahana kepada pesakit yang tidak biasa dengan mandian sauna.

Jelasnya ketika dihubungi Jurnal baru-baru ini, suhu tinggi akan menyebabkan pembuluh darah di bawah permukaan kulit membesar dan tekanan darah akan menurun secara mendadak.


UNIT sauna mudah alih boleh menjadi alternatif untuk individu yang mempunyai keperluan khas atau terlalu sibuk. - Gambar hiasan


Fenomena ini menyebabkan jumlah kandungan air berkurang akibat perpeluhan melampau. Pada satu peringkat, seseorang itu akan mengalami tekanan darah terlalu rendah sehingga menyebabkan pening dan pitam.

“Elak mandian sauna jika ada penyakit jantung koronari, penyakit lemah jantung dan injap jantung sempit,” nasihatnya.

Tambah Haizal lagi, simptom awal seperti kulit kelihatan kemerahan merupakan petanda pengaliran darah dalam badan berkurangan.

“Ini kerana pengaliran darah di kulit meningkat sebanyak 70 peratus daripada jumlah pengeluaran darah jantung,” ujarnya yang menyarankan individu penghidap komplikasi jantung berbincang dengan pakar sebelum bersauna.

Menurut pakar perunding masalah kulit dan dermatologi Pusat Perubatan Pantai, Dr. Steven Chow pula, pengguna sauna yang mempunyai masalah kulit perlu mengelak daripada menggunakan kemudahan sauna.

Radang

“Kulit manusia tidak mempunyai kefungsian suhu dan perpeluhan yang normal, akibatnya tindak balas individu akan berbeza-beza,” katanya yang menyatakan pesakit masalah kulit akan mengalami sensasi seumpama terbakar apabila bersauna.

Kulit juga akan menjadi kekeringan, menggelupas dan kurang selesa kepada persekitaran biasa selepas aktiviti bersauna.

“Apabila suhu persekitaran badan meningkat, badan kita perlu menambahkan jumlah tenaga haba untuk dikeluarkan melalui pertambahan jumlah peredaran darah ke permukaan kulit badan,” jelasnya mengenai proses peningkatan peluh bertujuan menyejukkan badan.

Saranan Steven, pesakit yang mempunyai masalah kulit perlu memakai krim yang mempunyai kesan melembapkan bagi mengelak kerengsaan ketika bersauna.

Selain itu tegasnya, individu yang mempunyai masalah sama juga digalakkan agar mencari jalan alternatif lain untuk bersantai bagi tujuan terapi fizikal.

Pakar Seksual Lelaki, Wanita dan Reproduktif, Dr. Ismail Thamby mengakui mandian sauna berupaya melancarkan perjalanan darah di samping menyegarkan badan.

Kesuburan

Bagaimanapun katanya yang dihubungi Jurnal baru-baru ini, tahap kepanasan yang melebihi paras tertentu berupaya menjejaskan kualiti kesuburan lelaki.

“Jika tahap kepanasan melebihi 35° Celsius, kilang sperma tergendala dan pemprosesan sperma juga akan turut tergendala.

“Kesannya, sperma yang aktif menjadi kurang akibat terdedah kepada kepanasan yang terlampau,” ujarnya.

Saranan Ismail, lelaki yang mempunyai masalah sperma dari segi kualiti dan bilangan sperma ditegah daripada bersauna.

“Jika pendedahan ini ketara dan untuk jangka masa lama, sudah tentu akan mengambil masa untuk kilang sperma pulih.

“Lebih baik elakkan mandian sauna sama sekali jika berkeinginan untuk mendapatkan cahaya mata,” nasihatnya kepada lelaki yang akan berkhawin dalam masa yang terdekat.


WARGA Rusia, Vladimir Ladyzhensky melecur teruk sehingga membawa kematiannya akibat berada dalam bilik sauna terlalu lama semasa menyertai Kejohanan Sauna Antarabangsa pada Ogos 2010.


Ketua Pengarang penerbitan Harvard Men’s Health Watch di Universiti Perubatan Harvard, Dr. Harvey Simon berkata, masih kurang bukti sahih yang menyatakan bahawa mandian sauna boleh memberi faedah berpanjangan kepada kesihatan pengguna.

“Jika mandian sauna tidak menjejaskan kesihatan penggunanya maka tiada halangan untuk melakukan aktiviti ini, sebaliknya bagi individu yang mempunyai komplikasi jantung amalan ini mungkin boleh mengundang bahaya,” ujarnya.

Selain itu, tambahnya, pesakit yang mempunyai penyakit tekanan darah lemah, denyutan jantung tidak stabil dan saluran pembuluh darah kecil dinasihatkan supaya mengurangkan aktiviti mandian sauna.

Harvey juga menyarankan supaya pesakit yang mempunyai masalah jantung sentiasa membuat pemeriksaan kesihatan sebelum menggunakan sauna.

Sementara itu, menurut Persatuan Sauna Finland, individu yang perlu mengelakkan bersauna adalah mereka yang demam atau mempunyai penyakit dan kecederaan yang berisiko untuk berjangkit.

“Individu yang mempunyai penyakit yang berpotensi untuk berjangkit dengan individu lain perlu mandi menggunakan sauna peribadi,” saran persatuan tersebut selain tidak menggalakkan peminum alkohol menggunakan sauna

17.2.11

1 Mac 2011 adalah Tarikh Gabungan Saman JPJ, Polis dan PBT

Makin lewat saman dibayar lebih tinggi kompaun dikenakan terhadap pesalah lalu lintas

PUTRAJAYA: Makin lewat dibayar lebih tinggi kompaun akan dikenakan terhadap pesalah lalu lintas mengikut penyelarasan kadar kompaun dan penyusunan semula kategori kesalahan lalu lintas berkuat kuasa 1 Mac.

Kadar kompaun baru itu akan dikenakan kepada empat kategori kesalahan berbanding tiga kategori sebelum ini dengan kompaun minimum RM40 dan maksimum RM300.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha, berkata kadar kompaun baru itu ditetapkan mengikut kelas kenderaan; tahap keseriusan dan jenis kesalahan.

Penyelarasan dan penyusunan semula kompaun yang dikeluarkan polis, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu dipersetujui Kabinet semalam mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 2010).

Sistem baru itu turut menawarkan pengurangan kadar kompaun lebih tinggi jika pesalah lalu lintas melunaskan bayaran lebih cepat iaitu dalam tempoh 15 hari pertama, 15 hari kedua dan 30 hari berikutnya kecuali bagi kesalahan serius dalam kategori pertama.

“Saman lalu lintas yang tidak dibayar selepas hari ke-60 akan terus didaftarkan sebagai kes mahkamah dan hukuman akan dijatuhkan mahkamah mengikut akta berkenaan," katanya pada sidang media selepas majlis sambutan Tahun Baru Cina peringkat kementeriannya, di sini semalam.
Cho Ha berkata, mengikut kategori pertama, kenderaan dibahagikan kepada dua kelas iaitu kelas pertama motosikal 250cc ke bawah dan kelas kedua membabitkan semua jenis kenderaan lain.

"Kategori kedua, kadar kompaun mengikut tahap serius sesuatu kesalahan dan jenis kesalahan manakala kategori ketiga menetapkan nilai kompaun mengikut prinsip 'the more you delay, the more you pay.

"Kategori keempat ialah kompaun berganda terhadap pemandu yang melakukan kesalahan berulang, termasuk kesalahan kategori pertama, kedua dan ketiga atau gandingan mana-mana kesalahan dalam kategori itu sebanyak tiga kali atau lebih dalam tempoh dua bulan daripada tarikh melakukan kesalahan pertama," katanya.

Tiga kategori kompaun yang dikenakan sekarang, ialah pertama, membabitkan kesalahan secara langsung yang boleh menyebabkan kemalangan, menjejas kepentingan awam dan kepentingan penguatkuasaan, kompaun antara RM200 hingga RM300.

Kategori kedua, bagi kesalahan secara tidak langsung menyebabkan kemalangan, menjejaskan kepentingan awam dan kepentingan penguatkuasaan kompaun dikenakan antara RM150 hingga RM200 manakala kategori ketiga membabitkan kesalahan selain kategori pertama dan kedua dikenakan kompaun antara RM100 hingga RM150.

Mengenai hubungan sistem KEJARA dan penggantungan lesen memandu, Cho Ha berkata, mereka yang melunaskan kompaun dalam tempoh tiga bulan selepas dikeluarkan tidak akan diberikan mata demerit.

Pada masa ini, pemegang lesen memandu percubaan (PDL) yang menerima 10 markah demerit KEJARA akan dikenakan tindakan digantung lesen manakala tindakan sama dikenakan terhadap pemilik lesen memandu kompeten (CDL) yang mengumpul 15 markah demerit apabila melakukan kesalahan tertentu.

Jika markah habis ditolak kali pertama, lesen akan digantung sebulan, kali kedua tiga bulan, kali ketiga enam bulan dan selepas kali ketiga lesen akan digantung terus.

Katanya, majoriti pesalah enggan menjelaskan bayaran kompaun pada masa sekarang adalah kerana khuatir dikenakan mata demerit dan kemungkinan lesen memandu digantung atau dibatalkan.

"Kadar maksimum kompaun dikekalkan RM300 bagi kesalahan yang menyumbang kepada kadar kemalangan, kesesakan lalu lintas dan kesalahan berkaitan perkhidmatan teksi manakala bagi kategori lain, kadar kompaun adalah berdasarkan tempoh pembayaran dan mengikut tahap serius sesuatu kesalahan.

"Kesalahan serius adalah yang menyumbang kepada kadar kemalangan dan kematian yang tinggi seperti memandu melebihi had laju, memandu terlalu hampir dengan kenderaan di hadapan, melanggar lampu isyarat, memotong di garisan berkembar, memotong barisan, memandu di lorong kecemasan dan menggunakan telefon bimbit ketika memandu.

"Ini ditakrif pihak polis dan JPJ sebagai kesalahan serius yang perlu dikenakan kompaun lebih tinggi iaitu maksimum RM300, berbanding kesalahan lain," katanya.

==================================

Kadar kompaun diselaras 1 Mac

PUTRAJAYA – Kementerian Pengangkutan akan menyelaraskan kadar kompaun baru kesalahan lalu lintas di bawah Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987 berkuat kuasa 1 Mac ini.

Menterinya, Datuk Seri Kong Cho Ha berkata, penyelarasan tersebut adalah susulan daripada persetujuan jemaah menteri untuk menyusun semula kesalahan lalu lintas daripada tiga kategori kepada empat kategori.

Menurutnya, ia termasuklah jenis kelas kenderaan, tahap keseriusan kesalahan dan tempoh pembayaran serta kesalahan yang dilakukan berulang kali oleh pengguna jalan raya.

“Kadar kompaun ini hanya akan dilaksanakan ke atas saman-saman yang dikeluarkan pada atau selepas 1 Mac 2011 dengan nilai minimum RM40 dan maksimum RM300.

“Saman yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan juga mendapat keistimewaan ini sekiranya kesalahan dilakukan di bawah akta berkenaan,” katanya.

16.2.11

Ibu jari palsu pada kaki mumia Mesir kuno



ORGAN ibu jari palsu yang tertua di dunia disimpan di Muzium Mesir, Kaherah.


LONDON - Satu ibu jari kaki palsu yang ditemui pada kaki mumia Mesir kuno dipercayai merupakan organ palsu tertua di dunia, lapor sebuah akhbar semalam.

Artifak tersebut yang diperbuat daripada kayu dan kulit, kini disimpan di Muzium Mesir, Kaherah.

Ia digunakan pada tahun 600 Sebelum Masehi bagi membantu orang yang hilang ibu jari kaki berjalan seperti biasa.

Ibu jari kaki palsu itu beberapa ratus tahun lebih tua daripada kaki palsu Empayar Rom yang dipercayai organ palsu terawal ditemui sebelum ini. - Agensi

Sepasang naga dilihat di Kalimantan



SEORANG penumpang bot sempat merakamkan gambar naga raksasa sepanjang 40 meter

di Sungai Mahakam, Kutai Barat, Indonesia pada 29 Januari lalu.


KUTAI BARAT - Penduduk di Kutai Barat, wilayah Kalimantan Timur digemparkan dengan kemunculan sepasang naga raksasa sebesar sepanjang 40 meter.

Haiwan itu dilihat menyusur di permukaan air di Sungai Mahakam yang menghubungkan Riam Haloq, Kampung Long Tuyoq, Kecamatan Long Pahangai di sini.

Naga raksasa seperti ular itu didapati melintas di sungai ini diyakini masyarakat suku Dayak sebagai naga.

Berdasarkan maklumat yang diperoleh akhbar Tribun, peristiwa kemunculan naga tersebut berlaku pada 29 Januari lepas.

Pada hari kejadian, sejumlah penumpang dan pemandu sebuah bot panjang yang dalam perjalanan ke sini melihat sepasang naga mirip ular raksasa itu melintas di permukaan Sungai Mahakam dari arah berlawanan.

Bimbang mereka akan menjadi korban haiwan raksaksa itu, pemandu bot berkenaan mengemudi botnya ke tepi sungai untuk memberi laluan.

"Kedua-dua ekor naga itu bergerak terus dan tidak merasa terganggu dengan kehadiran bot itu," kata seorang penduduk tempatan, Dodik, yang mendengar tentang peristiwa itu daripada keluarganya di Mahakam Ulu.

Pemandu dan beberapa penumpang bot itu kemudian merakamkan gambar raksaksa tersebut dengan menggunakan telefon bimbit berkamera.

Gambar-gambar naga raksasa itu kemudian tersebar dan menggemparkan masyarakat tempatan.

Menurut seorang penduduk di sini, terdapat dua naga yang dilihat. Salah satu haiwan itu dipercayai jantan kerana terdapat dua tanduk di kepala manakala naga betina pula tidak bertanduk.

Kedua-dua haiwan itu memiliki empat kaki, kulit berwarna hitam dengan panjang sekitar 40 meter. - Agensi

13.2.11

Ikhwanul Muslim kagum perjuangan rakyat Mesir


12/02/2011 3:20am

KAHERAH 12 Feb. - Kumpulan pembangkang paling berpengaruh, Ikhwanul Muslim menyambut baik perletakkan jawatan oleh presiden Hosni Mubarak dan mengucapkan terima kasih kepada tentera yang telah menunaikan janji mereka.

“Kami sangat kagum dan menghormati perjuangan rakyat Mesir serta pihak tentera yang memenuhi janji mereka,” kata Essam el-Erian, pemimpin kanan Ikhwanul Muslim.

Tokoh pembangkang terkemuka Mesir, Mohammed ElBaradei ketika ditemuramah oleh stesen televisyen Al-Jazeera pula berkata, perletakan jawatan oleh Mubarak telah mengembalikan semula kehidupan rakyat Mesir.

Menteri luar Turki mengucapkan tahniah kepada rakyat Mesir kerana berjaya menjatuhkan Mubarak dan berharap akan muncul sistem baru untuk rakyat negara itu.

Turut mengalu-alukan pengunduran Mubarak adalah pemimpin Hamas dan penduduk Palestin yang sama meraikan kejayaan rakyat Mesir di seluruh Gaza City. - AFP

12.2.11

Dunia IT adalah cabaran kepada kanak-kanak terutama Porno..

Candu video lucah


MERAKAM aksi lucah untuk simpanan sendiri boleh menjerat pelakunya.


KECANGGIHAN gajet seperti kamera dan perakam video serta Internet yang lebih mudah diakses menyebabkan penyebaran imej dan klip video lucah di negara ini kian menular.

Walaupun kemudahan tersebut dicipta untuk perkara lebih baik, ada juga yang menjadikannya medium paling murah untuk merakam dan menonton aksi pornografi.

Ada pengguna yang sengaja merakam aksi intim sendiri untuk dijadikan koleksi peribadi.

Namun, ramai juga yang menggunakannya untuk mendapatkan wang, sama ada melalui jualan ataupun peras ugut.

Tidak hairanlah pada zaman dunia tanpa sempadan ini peratusan remaja yang terbabit dalam seks bebas menurut satu kajian dianggarkan lebih 27 peratus kerana peluang dan ruang semakin terbuka termasuk mendapat bahan lucah di telefon bimbit dan Internet.

Penyebaran melalui sistem pesanan ringkas (SMS) dan muat turun yang boleh dibeli pada harga murah memberi pengaruh negatif kepada kanak-kanak dan remaja.

Bersaing

Bermula dengan tengok sekadar suka-suka, ia boleh menjadi ketagihan sehingga timbul perasaan ingin mencuba.

Sebagai contoh, penyebaran meluas rakaman video membabitkan kanak-kanak yang juga adik-beradik berumur antara 11 hingga 14 tahun yang sedang melakukan hubungan seks akhir tahun lalu membuktikan pengaruh filem porno mengundang masalah yang lebih besar di negara ini.

Perlu diakui, zaman remaja adalah peringkat perkembangan individu mencari identiti diri.

Sekiranya tiada didikan daripada ibu bapa, mereka akan terpesong apatah lagi jika akrab dengan rakan sebaya yang sudah rosak akhlak.


PENYEBARAN video lucah semakin sukar diperangi.


Pensyarah Kanan, Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan Universiti Malaya (UM), Prof. Madya Dr. Mariani Md. Nor memberitahu, kanak-kanak dan remaja yang terdedah kepada perlakuan seks terutama secara langsung di depan mata mereka sendiri akan mempelajari dan menimba kemahiran tertentu, cuma belum sampai ke tahap mengamalkannya.

Beliau mempunyai pengalaman menjalankan satu kajian ke atas remaja perempuan berusia 12 tahun yang mengatakan melakukan seks tidak menjadi kesalahan, bahkan sering melakukannya dengan lebih daripada seorang pasangan.

“Itu kajian lima tahun dulu, remaja itu sudah sampai ke tahap begitu serius dalam seks bebas, apatah lagi pada peringkat usianya sekarang yang sudah 17 tahun,” katanya.

Kosmo! sebelum ini mendedahkan hasil satu kajian yang dibuat oleh seorang pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 2009 yang mendapati 60 peratus kes perzinaan berpunca daripada menonton bahan-bahan lucah.

Pakar Psikologi Kanak-Kanak dan Remaja UKM, Dr. Khaizil Ismail berkata, Kajian Remaja Berisiko Tinggi yang dijalankan selama enam bulan di pusat-pusat pemulihan akhlak di seluruh negara itu merangkumi kira-kira 600 responden yang berumur antara 15 dan 20 tahun.

Khaizil juga menyokong kenyataan bahawa kes buang bayi yang semakin banyak berpunca daripada menonton bahan lucah.

Selain cenderung melakukan zina, penyelidik di Pusat Penyelidikan Seks, Kesihatan dan Masyarakat Australia, Universiti La Trobe di Melbourne, Australia, Michael Flood mendapati kanak-kanak yang sering menonton filem porno menganggap kekerasan dalam hubungan seksual adalah perkara biasa.

Nafsu


BERMULA dengan tengok sekadar suka-suka, ia boleh menjadi ketagihan sehingga timbul perasaan ingin mencuba. - Gambar hiasan


“Menonton filem lucah adalah sumber pembelajaran seks yang salah kerana secara realitinya, aksi yang ditunjukkan adalah aksi yang keterlaluan.

“Filem lucah tidak menunjukkan kasih sayang, keintiman dan keistimewaan hubungan antara pasangan, sebaliknya ia mempamerkan kekasaran dan kekerasan lelaki terhadap perempuan demi memuaskan nafsu,” jelasnya kepada USA Today.

Jelas Flood lagi, bukti dari seluruh dunia mendapati pornografi memberikan kesan negatif bukan sahaja kepada individu, tapi juga komuniti.

Bahkan, hasil daripada soal selidik yang dijalankan secara rambang, Flood merumuskan kanak-kanak yang suka menonton aksi lucah sering gagal dalam membina hubungan dengan pasangan dan kebanyakannya lebih gemar melakukan hubungan seks bebas.

Tahun lalu juga, akhbar-akhbar di Indonesia menyiarkan Komisi Perlindungan Anak Indonesia (KPAI) menerima laporan mengenai kes perkosa melibatkan 33 kanak-kanak.

Ia dikatakan berpunca daripada pengaruh video porno penyanyi Ariel Peterpan yang ditonton.

Di Amerika Syarikat pula, dianggarkan kanak-kanak dan remaja lelaki berumur 12 hingga 17 tahun adalah golongan terbesar yang menonton video lucah kategori ekstrem yang menayangkan aksi seks kasar.

Suruhanjaya Kajian Pornografi Kebangsaan di negara itu pada tahun 1970 dan 1986 mendapati seorang daripada lima kanak-kanak lelaki serta seorang daripada 10 kanak-kanak perempuan mendapat pendedahan pertama kepada filem lucah seawal usia 12 tahun.

Merayakan Hari Valentine/Hari Kekasih Adalah Haram, Haram dan Haram Bagi Umat Islam

Jakim jelas tentang sambutan Hari Valentine

12/02/2011 6:37pm

PUTRAJAYA — “Amalan merayakan Hari Valentine atau Hari Memperingati Kekasih yang tiba setiap 14 Feb tidak pernah dianjurkan oleh Islam.

"Roh perayaan ini mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam,” inilah kata putus Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam Malaysia yang bersidang buat kali ke-71, hampir enam tahun yang lalu berkaitan Valentine Day.

"Islam tidak menolak apa sahaja yang baik yang datang dari Barat apatah lagi jika ia berkaitan dengan berkasih sayang,” kata Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz.

Namun katanya Islam juga pada masa yang sama akan menolak sesuatu yang datang waima dari Timur sekalipun jika ia bertentangan dengan prinsip dan amalan agama Islam.

Wan Mohamad berkata, Islam bukan agama yang menyekat atau menghalang untuk penganutnya meluahkan kasih sayang tetapi apa yang disekat adalah perbuatan maksiat yang dilakukan semasa menyatakan kasih sayang itu. — Bernama

7.2.11

Berduaan di alam siber sama seperti khalwat

KUALA LUMPUR: Wanita dan lelaki bukan mahrim yang berbual berduaan biarpun di alam siber, melakukan perlakuan sama seperti berkhalwat kerana ia mengundang bisikan syaitan yang akhirnya akan menarik mereka melakukan perbuatan mungkar, termasuk curang pada suami atau isteri.

Sehubungan itu, penceramah dan pakar motivasi, Datuk Mohd Zawawi Yusoh, berkata mereka yang menggunakan kemudahan Internet perlu meletakkan sempadan syariat dan sempadan hati supaya teknologi itu tidak disalah guna atau menjadi alat perantaraan untuk membuat maksiat.


Beliau berkata, isteri tidak seharusnya membenarkan lelaki bukan mahrim memasuki rumahnya ketika suami tiada di rumah, begitu juga halnya dengan perbuatan isteri berbual dengan lelaki lain menerusi Internet, seumpama membenarkan individu itu memasuki rumahnya, seterusnya merosakkan rumah tangga.

“Membenarkan perkara sebegini memasuki rumah bermakna membenarkan ia memasuki hati dan apabila manusia sudah keluar daripada sempadan, manusia itu akan menjadi rosak,” katanya ketika dihubungi, semalam.


Beliau berkata, bisikan syaitan menjadikan seseorang itu merasakan sesuatu perkara itu begitu menyeronokkan hingga sanggup melakukan perkara mungkar termasuk meninggalkan suami, isteri atau anak-anak, sedangkan ia bakal menyesali perbuatannya kerana keseronokan berkenaan hanya bersifat sementara disebabkan ia berada dalam alam fantasi.


Katanya, alam khayalan dan realiti tidak sama dengan di alam nyata, kita semua mempunyai tanggungjawab dan amanah yang perlu dipikul, bukan sekadar untuk berseronok.

Kata Hassan al Banna - adalah sesuatu kebenaran - pandangan jauh beliau tika itu!

lombong kebangkitan.

salam satu agama.

ingat tak pesan Al-Banna?


"kami (ikhwan) takkan bangkit dengan cara rusuhan. tapi percayalah, kalau ini berterusan, satu hari nanti lihat sahajalah, rakyat mesir akan bangkit sendiri."

hari ini aku dalam sejarah. aku menyaksikan kata2 ulamak itu.
aku di sini.
menyaksikan sejarah.
saat keluarga risau di tanahair,
aku bersyukur diberi tuhan peluang untuk jejakkan kaki di sini.
untuk aku saksikan sendiri perjuangan dan mendalamai erti,
dan melihat kekuatan pemuda pemudi.
biar pemimpin mereka goyah, cuak,
melihat bangkitnya rakyat yang muak dengan korupsi sang dia

KURSUS ASUHAN DI RUMAH SECARA PERCUMA!

kURSUS PERCUMA, JANGAN LEPASKAN PELUANG INI? Khas untuk 1.Graduan yang ingin menceburi bidang penjagaan di rumah 2. Suri Rumah sepenuh ...