|
DAMSYIK - Sejumlah pejuang veteran dalam perang saudara di Libya pada
tahun lalu kini tampil di barisan hadapan untuk membantu melatih dan
menyusun pemberontak dalam situasi yang lebih meruncing berbanding
ketika perang menentang Muammar Gaddafi, kata seorang pejuang berdarah
Libya-Ireland kepada agensi berita Reuters.
Gaddafi mati dibelasah para pemberontak Libya pada 20 Oktober tahun
lalu selepas berbulan-bulan menghadapi tentangan daripada penduduknya.
Pejuang veteran Libya yang bertempur bersama kumpulan pemberontak di
Syria itu, Hussam Najjar berasal dari Dublin dan memiliki bapa berdarah
Libya manakala ibunya berbangsa Ireland.
Dia yang menggelarkan dirinya Sam, merupakan seorang penembak tepat terlatih.
Sam dahulunya merupakan anggota unit pemberontak yang menggempur
kompleks Gaddafi di Tripoli setahun lalu. Unit tersebut diketuai oleh
ketua militia dari pergunungan barat Libya, Mahdi Al-Harati.
Mahdi kini mengetuai sebuah unit pemberontak di Syria yang
kebanyakannya disertai oleh warga tempatan selain beberapa pejuang asing
termasuk 20 anggota kanan yang pernah menganggotai unit pemberontak di
Libya pada tahun lalu.
Menurut Hussam, dia diminta oleh Mahdi untuk menyertai unit tersebut dari Dublin beberapa bulan lalu.
Pasukan pejuang Libya itu membantu pemberontak Syria itu termasuk
beberapa pakar komunikasi, logistik, isu kemanusiaan dan senjata berat.
Menurut Hussam, mereka mengendalikan kem latihan dan mengajar kecergasan serta taktik di medan perang.
Sementara itu, satu klip video di YouTube menunjukkan seorang juruterbang tentera Syria ditahan beberapa anggota pemberontak.
Juruterbang itu menaiki sebuah jet tentera Syria yang jatuh ditembak di Deir el-Zour, Syria kelmarin.
Konflik di Syria bermula pada Mac tahun lalu apabila para pemberontak menentang tentera Presiden Bashar Al-Assad.
Lebih 20,000 orang dianggarkan terbunuh dalam pertempuran antara kumpulan pemberontak dengan tentera Bashar.
Para pemberontak menuntut Bashar meletakkan jawatan ekoran gagal membawa pembaharuan demokrasi dalam pentadbirannya. - Agensi
No comments:
Post a Comment