Tentera Bashar bedil timur Damsyik
 
 REUTERS 
SEORANG anggota pemberontak mengibarkan bendera Islam semasa pertempuran dengan tentera Syria di pinggir bandar Damsyik kelmarin.  | 
DAMSYIK - Tentera Syria membedil timur bandar raya ini 
semalam selepas sebuah pertubuhan hak asasi manusia menyatakan seramai 
60 orang terbunuh di wilayah Damsyik pada hari sebelumnya.Pertubuhan
 berkenaan, Pemerhati Syria Bagi Hak Asasi Manusia memberitahu, angka 
kematian itu menyusul selepas 190 orang iaitu 116 penduduk awam, 40 
pemberontak dan 34 askar terbunuh di seluruh negara tersebut.
Pertubuhan pemerhati yang berpangkalan di Britain itu turut 
melaporkan beberapa daerah di timur bandar raya ini termasuk Zamalka, 
Qaboon, Jubar dan Ein Tarma dibedil bertubi-tubi oleh tentera rejim 
Presiden Bashar Al-Assad.
Serangan tersebut dilakukan bagi menghapuskan pemberontak yang dikenali sebagai Tentera Pembebasan Syria (FSA).
Kelmarin pemberontak FSA mendakwa mereka menembak jatuh sebuah 
helikopter tentera semasa pertempuran sengit berlaku di Qaboon dan Jubar
 serta beberapa bandar lain di pinggir ibu kota Syria, dekat sini.
Tentera Bashar kemudian melakukan serangan balas di timur bandar raya
 ini dan beberapa kubu kuat pemberontak di kawasan sekitarnya.
Beberapa helikopter tentera Syria turut menjatuhkan beribu-ribu 
risalah di sini dan kawasan sekitarnya semalam untuk mengugut 
anggota-anggota (FSA) supaya menyerah diri atau berdepan dengan 
kematian.
Tindakan tersebut adalah sebahagian strategi tentera Bashar untuk 
menawan kawasan-kawasan di pinggir bandar raya ini yang jatuh ke tangan 
pemberontak.
Risalah itu juga merupakan perang saraf terhadap pemberontak. Namun 
beberapa penganalisis sangsi tindakan itu akan membuahkan hasil. 
Dalam perkembangan berkaitan, beberapa kumpulan hak asasi manusia 
menyatakan, lebih 20,000 orang terbunuh di Syria sejak kebangkitan 
rakyat menentang Bashar bermula pada Mac 2011.
Penentangan itu berlaku ekoran rakyat negara itu mahukan perubahan 
dalam sistem pemerintahan negara termasuk kebebasan demokrasi.
No comments:
Post a Comment