7.8.12

Perlukan Isteri Bekerja?

Simpanan hari tua siapa?

BUKAN Puan Aida sahaja bercerai pada usia emas, saya pun sama. Ditinggalkan dengan tiga orang anak yang sedang belajar sedangkan saya tidak bekerja, rasanya mahu tercabut nyawa daripada badan,'' luah Zurina ketika kami berbual di telefon. 

''Kalau tak bekerja tapi pandai berniaga hidup tentu tak susah, tapi saya surirumah sepenuh masa. Sejak kahwin suami suruh berhenti kerja, jaga anak-anak. Dia tak ajar saya urus belanja rumah, semua dia buat. Setiap bulan saya tahu semua stok makanan kering dah dibelikan, seminggu sekali dia ke pasar beli sayur dan ikan. Pendek kata dia tak bagi saya pegang duit.

''Kerja saya hanya masak, uruskan anak-anak dan rumahtangga. Itu saja. Nak masak lauk apa pun suami tentukan. Mesti ikut selera dia. Katanya tak mahu susahkan saya. Dia nak jadi suami sejati. Saya ikut saja lagipun tidak susahkan diri.

''Tapi kita hanya boleh merancang, tuhan menentukan segalanya. Setelah usia perkahwinan lebih 16 tahun dan anak semakin membesar, selera, penampilan dan pandangan suami pula berubah. Tak macam dulu. Beras dah nak habis baru dia nak pergi beli. Sikap terlalu berhematnya menyusahkan hidup kami.

''Sayur ikan dia beli bila suka, belanja sekolah anak selalu terlupa. Anak-anak bising, tapi mana saya nak cari duit? Lebih tiga tahun hidup kami tersekat tak seperti dulu. Lebih memeningkan kepala, suami selalu balik lewat. Anak-anak pun susah nak jumpa. Kalau saya cakap pasti kena tengking.

''Keadaan semakin gawat bila suami mula pandai tak balik rumah. Alasannya banyak kerja, tapi saya bukan bodoh sangat walaupun duduk rumah dah berbelas tahun. Saya syak suami ada kekasih gelap.

''Kalau dulu paling tidak, dua bulan sekali dia bawa kami berjalan makan angin, balik kampung saya atau mertua, kini dah mula terlupa. Raya pun dia suruh balik dulu, dia menyusul kemudian. Paling-paling dia hantar kami anak beranak balik kampung dan balik semula ke rumah dengan alasan ada kerja. 

''Namun bangkai gajah mana boleh disorokkan, akhirnya terbongkar rahsia dia ada kekasih gelap. Ia bermula dengan gurauannya dengan saya nak kahwin lagi. Tentu saya terkejut sebab dia bukan jenis suka bergurau. Bila saya tanya lebih sikit, dia terus kata sama ada saya setuju atau tidak, dia tetap akan kahwin. Kalau saya tak mahu bagi izin, dia akan nikah di sempadan. 

Terdesak"Pihak perempuan mahu adakan kenduri bersanding, sebab dia andartu 40 tahun. Suami ketika itu lebih 47 tahun.

''Isteri mana sanggup bermadu? Berhari-hari saya menangis. Kerana suami langsung tak balik rumah, kehidupan kami amat terdesak terutama belanja sekolah anak-anak sampaikan saya terpaksa minta tolong adik beradik. Rupa-rupanya mereka dah lama tahu perangai suami, cuma tak mahu bercerita pada saya dan masuk campur urusan rumahtangga kami.

Adik beradik biarkan saya selesaikan sendiri masalah rumah tangga. Soal anak-anak mereka sanggup bantu. Mereka tak mahu lihat pelajaran anak-anak saya tersekat di tengah jalan terutama yang sulung dah masuk kolej dan yang kedua sedang menunggu tempat untuk melanjutkan pengajian. Waktu itu suami langsung tak ambil kisah sebab mabuk bercinta.

''Sokongan adik beradik menguatkan semangat saya untuk menghadapi cabaran maha besar ini. Kepada suami saya tegaskan dia boleh kahwin dengan syarat mesti serahkan duit belanja kami anak-beranak. Saya minta dia buat perjanjian bertulis di mahkamah syariah. Saya juga akan serahkan surat akuan pemberian nafkah kepada majikannya untuk dibuat potongan gaji.

''Tetapi suami memberontak. Katanya saya tak perlu ajar dia bagaimana urus keluarga sebab selama ini dia yang memberi kami makan pakai. Memang saya tak nafikan, tapi itu sebelum dia ada kekasih gelap. Sejak bercinta dia semakin lupakan kami anak beranak.

''Lebih setahun kami perang dingin kerana dia enggan mengikut syarat saya. Oleh kerana godaan kekasih gelapnya lebih kuat, mereka kahwin di Siam dan buat kenduri senyap-senyap di kampung perempuan itu nun di pantai timur. Saya tak kisah jika itu kehendaknya. Tapi saya tetap akan buat tuntutan nafkah di mahkamah.

''Malangnya masuk mahkamah bukan mudah, banyak memihak kepada lelaki. Setiap kali dipanggil suami tak pernah hadir. Tapi mahkamah tidak bertindak ke atas suami saya. Apa lagi egonya makin tinggi kerana rasa kebal dengan undang-undang mahkamah syariah.

''Oleh kerana masalah kewangan amat mendesak dan suami pun jarang balik setelah kahwin, saya pergi berjumpa pegawai atasannya. Tindakan saya membuatnya naik angin. Akibatnya saya diceraikan talak satu.

''Amat sedih dan terhina rasanya. Setelah sekian lama berkorban mengikut setiap kehendaknya, saya diceraikan semata-mata kerana ada isteri muda. Saya juga kesal kerana berhenti kerja, jika tidak tentu hidup saya tidak sesusah sekarang. Duit simpanan tak ada, barang kemas memang tak pernah suami belikan kerana dia lebih pentingkan simpanan hari tua. 

''Sekarang tahulah saya simpanan hari tua yang dimaksudkannya bukan untuk dikongsi bersama saya sebaliknya untuk memudahkan dia berkahwin lagi. Patutlah dia beriya simpan duit setiap bulan dan suruh kami hemat berbelanja. Saya juga mula faham kenapa dia tidak mahu beri saya wang untuk kegunaan peribadi. 

''Ketika saya ingin mengadukan perceraian kami ke mahkamah syariah, suami memujuk rayu mahu rujuk semula. Sebenarnya saya tahu dia tidak sukakan saya lagi tetapi tak mahu gajinya dipotong untuk nafkah anak-anak yang selama ini tertunggak. Sebab dia memang cukup kedekut bab duit.'' Itu cerita Zurina yang diceraikan pada usia emas oleh suaminya yang kedekut tetapi mahu berkahwin lagi.

No comments: