140 lagi korban pertempuran di Syria
Seorang penduduk Syria dibantu 
rakannya mengangkat seorang kanak-kanak yang cedera dalam serangan udara
 tentera kerajaan ke atas bandar Azaz di pinggir Aleppo pada 15 Ogos 
lalu yang memusnahkan kira-kira 10 buah rumah penduduk. - AP 
BEIRUT 21 Ogos - Pertempuran antara tentera 
kerajaan dan pemberontak di seluruh Syria terus berlarutan pada Hari 
Raya kedua semalam, menyebabkan lebih 140 orang lagi terkorban.
Kebanyakan yang terkorban ialah di selatan wilayah Daraa, pusat 
kebangkitan rakyat Syria terhadap kepimpinan Presiden Bashar al-Assad, 
menurut pertubuhan Pemantau Syria bagi Hak Asasi Manusia.
Pertubuhan yang beribu pejabat di London itu berkata, seorang 
wartawan wanita Jepun yang membuat liputan di bandar Aleppo turut 
terkorban semalam, manakala tiga lagi wartawan dari Turki, Lebanon dan 
negara Arab dilaporkan hilang.
Menurut aktivis, bedilan kuat berlaku di Daraa kerana tentera 
kerajaan percaya beberapa pembelot yang berjawatan tinggi, termasuk Naib
 Presiden Farouk al-Sharaa, dipercayai bersembunyi di situ.
Pejabat Naib Presiden, bagaimanapun menafikan laporan yang menyatakan
 Sharaa telah belot dan agensi berita kerajaan turut menafikan Menteri 
Luar Walid al-Moallem telah dilantik untuk mengisi kekosongan itu.
Bekas Perdana Menteri Riad Hijab, seorang lagi pemimpin kerajaan 
berprofil tinggi yang belot, sebelum ini dipercayai berada di Dara 
sebelum melarikan diri ke Jordan
No comments:
Post a Comment