***.. Dalam dunia kreativiti, kebiasaannya sesuatu kreativiti dan inovasi bermula dgn konsep meniru.... apa yang penting kepentingan pengguna diutamakan.....
========================
Apple menang kes saman paten
 
SEORANG pengurus Korea Selatan 
menunjukkan telefon pintar Galaxy S (kanan) dan iPhone (kiri) di sebuah 
kedai di Seoul pada 27 Julai lalu.  
 | 
SAN JOSE, California - Selepas setahun pertikaian di mahkamah 
membabitkan Samsung dan Apple, seorang juri di Amerika Syarikat (AS) 
kelmarin memutuskan pengeluar telefon pintar dari Korea Selatan itu 
didapati menciplak teknologi yang digunakan untuk menghasilkan iPhone 
dan iPad.
Susulan keputusan tersebut, panel juri sebuah mahkamah di sini 
memerintahkan syarikat Samsung untuk membayar ganti rugi berjumlah 
AS$1.05 bilion (RM3.25 bilion) kepada Apple. 
Bagaimanapun, Samsung yang popular dengan telefon pintar Galaxy S dan
 komputer tablet Galaxy Tab akan mengemukakan rayuan berhubung keputusan
 tersebut.
Perkembangan itu berlaku selepas sebuah mahkamah Korea Selatan 
kelmarin mendapati Samsung tidak meniru telefon bimbit keluaran Apple.
Pertikaian kedua-dua gergasi elektronik tersebut bermula apabila 
firma Apple Inc. memfailkan saman melibatkan pelanggaran paten oleh 
Samsung pada April 2011.
Apple telah melantik pasukan peguam terhandal di AS bagi menuntut 
gantirugi AS$2.5 bilion (RM7.75 bilion) daripada pesaing terhebatnya, 
Samsung.
Dalam saman tersebut, firma yang diasaskan bersama oleh mendiang 
Steve Jobs itu mendakwa Samsung Electronics Co. meniru teknologi dan 
inovasinya.
Namun, Samsung melakukan saman balas dengan menuntut gantirugi AS$399 juta (RM1.24 bilion) daripada Apple Inc.
Dalam hujah penggulungannya, peguam Apple, Harold McElhinny mendakwa 
Samsung mengalami 'kebuntuan reka bentuk' selepas pelancaran iPhone pada
 tahun 2007.
Samsung, katanya, mengambil kesempatan di atas kejayaan gajet 
berkenaan apabila memperkenalkan jenama telefon pintar Galaxy S dengan 
ciri-ciri serupa.
Terdahulu, pasukan peguam Apple menyatakan, hampir tiada perbezaan pada telefon pintar iPhone dan Galaxy.
Peguam-peguam Samsung bagaimanapun berkata, beberapa inovasi seperti 
skrin besar pada siri telefon Galaxy yang sebelum ini terdapat pada 
iPhone, diperkenalkan bagi memenuhi permintaan pengguna telefon pintar.
Panel juri berkenaan yang dianggotai oleh tujuh lelaki dan dua wanita mula bersidang Rabu lepas.
Samsung setakat ini telah menjual 22.7 juta buah telefon pintar dan tablet yang didakwa Apple meniru teknologinya. 
McElhinny seterusnya berkata, jualan gajet-gajet berkenaan mencecah AS$8.16 bilion (RM25.55 bilion) sejak Jun 2010.
Sehingga kini, Apple dan Samsung menguasai lebih separuh jualan telefon pintar di dunia.
Namun, Samsung muncul sebagai pesaing terbesar Apple dan mengatasi 
firma AS berkenaan sebagai pengeluar terbesar telefon pintar di 
peringkat global.
Model telefon pintar Galaxy dijana perisian Android yang diberikan 
percuma oleh Google Inc. kepada Samsung dan beberapa pengeluar telefon 
pintar lain.
Dalam samannya, Apple turut menuntut Samsung menarik kedua-dua jenama telefon dan komputer tabletnya daripada pasaran AS.
Saman serupa telah dikemukakan di beberapa negara lain termasuk Australia, Britain dan Jerman.
Pasaran telefon pintar dan komputer tablet global masa kini dianggarkan bernilai AS$219 bilion (RM685.79 bilion). - Agensi
No comments:
Post a Comment