Hadits-Hadits Yang Selalu Digunakan Oleh Syi`ah Untuk Menghujah Ahli As-Sunnah Wa Al-Jama`ah
Maulana Muhammad `Asri Yusoff
www.darulkautsar.net
الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على رسوله الأمين وعلى آله وأصحابه الميامين. أما بعد:
Hadits-hadits yang selalu digunakan oleh Syi`ah untuk menghujah Ahli as-Sunnah wa al-Jama`ah dapat dibahagikan kepada beberapa kelompok berikut:
(1)
 Hadits-hadits yang memang sahih menurut piawaian Ahli as-Sunnah wa 
al-Jama`ah. Tetapi Syi`ah memakainya dengan ma`na-ma`na yang disimpul 
mereka sendiri tanpa mengambil kira pendapat Ahli as-Sunnah wa 
al-Jama`ah yang memahaminya berdasarkan qaedah-qaedah yang absah menurut
 al-Qur’an dan as-Sunnah. Antara hadits seperti ini ialah hadits 
Tsaqalain yang tersebut di dalam Sahih Muslim. 
(2)
 Hadits-hadits dha`if dan maudhu` rekaan Syi`ah yang tersebar di 
kalangan Ahli as-Sunnah wa al-Jama`ah. Walaupun ia tersebut di dalam 
kitab-kitab turats (warisan) Sunni, tetapi pengarang kitab-kitab turats 
itu biasanya mengemukakannya dengan sanad-sanad yang mengandungi 
perawi-perawi Syi`ah. Tujuan mereka memasukkan hadits-hadits Syi`ah itu 
ke dalam kitab-kitab mereka antara lainnya ialah untuk: 
a)     Memperkenalkan perawi-perawi Syi`ah. 
b)    Menyatakan
 bahawa perawi-perawi itulah yang merupakan paksi dalam penyebaran 
fahaman-fahaman Syi`ah di kalangan masyarakat Sunni. 
c)     I`tibar
 iaitu untuk perbandingan di antara riwayat-riwayat yang dikemukakan 
oleh mereka dengan riwayat-riwayat yang dikemukakan oleh tokoh-tokoh 
perawi Sunni. 
d)    Menyatakan
 ciri-ciri riwayat mereka. Riwayat dengan ciri-ciri tertentu seperti 
mengandungi unsur kebencian kepada sahabat Nabi s.a.w. atau 
memburuk-burukkan mereka, tidak terdapat kecuali pada golongan Syi`ah. 
Merekalah orang-orang yang bertanggungjawab menyebarkannya. 
e)     Perbezaan
 yang terdapat di dalam riwayat yang dikemukakan oleh perawi Syi`ah 
dengan fahaman dan pegangan mereka yang sebenar. Keadaan ini berlaku 
apabila perawi-perawi Syi`ah bertaqiyyah dalam masyarakat Sunni. 
(3)
 Hadits-hadits rekaan syi`ah yang dikatakan tersebut di dalam 
kitab-kitab utama Ahli as-Sunnah wa al-Jama`ah tertentu seperti Sahih 
Bukhari sebagai contohnya, padahal ia tidak ada pun di dalam Sahih 
Bukhari. Dengan cara ini golongan Syi`ah cuba mengelirukan orang-orang 
awam Ahli as-Sunnah wa al-Jama`ah, kononnya ia terdapat di dalam kitab 
berkenaan. 
(4)
 Hadits-hadits rekaan syi`ah yang dikatakan tersebut di dalam 
kitab-kitab tokoh-tokoh Sunni. Padahal kitab-kitab itu tidak pernah 
diterima sebagai kitab Ahli as-Sunnah wa al-Jama`ah oleh sesiapa pun. 
Penulis-penulisnya yang dikatakan Sunni itu pula sebenarnya adalah 
Syi`ah. Sebagai contohnya kitab Yanaabi` al-Mawaddah dan pengarangnya 
Sulaiman bin Ibrahim al-Qanduzi. 
(5)
 Hadits-hadits dha`if dan maudhu` yang memang tersebut di dalam 
kitab-kitab karangan tokoh-tokoh Ahli as-Sunnah wa al-Jama`ah. Tetapi 
kitab-kitab itu ditulis mereka khusus untuk menghimpun dan membahaskan 
hadits-hadits dha`if dan maudhu`. Ia tidak ditulis untuk dijadikan 
hujah. Kewujudan hadits-hadits seperti itu tidak lebih daripada 
contoh-contoh yang diberikan sahaja. Seperti Kitab al-Kaamil Fi Dhu`afa’
 ar-Rijaal oleh Ibnu `Adi, ad-Dhu`afaa’ oleh al-`Uqaili, Mizaan 
al-I`tidaal oleh az-Zahabi dan lain-lain. 
(6)
 Hadits-hadits rekaan syi`ah yang terdapat kononnya di dalam kitab-kitab
 tokoh Sunni tertentu. Dan tokoh itu menjadikannya sebagai dalil. 
Sedangkan ia adalah karangan tokoh Syi`ah yang senama dengan tokoh Sunni
 yang dida`wakan. Sebagai contohnya Ibnu Qutaibah dan kitabnya 
al-Imaamah wa as-Siaasah. Sebenarnya terdapat dua orang yang dikenali 
sebagai Ibn Qutaibah. Pertama: Ibrahim bin Qutaibah seorang Syi`ah 
pelampau dan kedua ialah `Abdullah bin Muslim, seorang tokoh Ahli 
Sunnah. Kitab al-Imaamah wa as-Siaasah yang dida`wa karangan tokoh Sunni
 `Abdullah bin Muslim itu sebenarnya ialah karangan tokoh Syi`ah Ibrahim
 bin Qutaibah tersebut.
(7)
 Hadits-hadits yang dihukum oleh sesetengah `ulama’ Sunni seperti 
Tirmizi sebagai hasan gharib menurut istilahnya sendiri. Pada hakikatnya
 hadits-hadits itu adalah hadits dha`if bahkan ada kalanya maudhu`. 
Tetapi golongan Syi`ah mengambil sebahagian saja daripada keputusan 
Tirmizi tentangnya. Misalnya dikatakan Imam Tirmizi menghukum hadits ini
 ‘hasan’ sahaja. Tanpa menyebutkan juga gharib. Padahal Tirmizi telah 
mengatakan hasan gharib.
(8)
 Hadits-hadits yang zahirnya sahih, tetapi ia syaz daripada segi sanad 
atau daripada segi matannya. Hadits-hadits seperti ini pada hakikatnya 
dha`if juga. Ia tidak harus dikatakan sahih dalam erti kata sebenarnya. 
Seperti hadits Kisaa’ dan lain-lain.
(9)
 Hadits-hadits yang menjadi bahan sendaan golongan Syi`ah terhadap 
golongan Ahli as-Sunnah wa al-Jama`ah kerana menerima dan berpegang 
dengannya. Padahal di dalam kitab-kitab mereka juga ada hadits-hadits 
itu. `Ulama’-`ulama’ mereka bahkan mensahihkannya. Sebagai contohnya 
hadits, ‘Kami para nabi tidak diwarisi…’ . Hadits Nabi s.a.w. kencing 
sambil berdiri dan sebagainya.
(10)
 Hadits-hadits dha`if dan maudhu` yang tersebar dengan agak meluas dan 
banyak pula saluran riwayatnya. Tetapi tidak ada satu pun daripadanya 
yang tsabit. Apa lagi hendak dikatakan sahih. Seperti hadits أنا مدينة العلم وعلي بابها (Aku kota ilmu dan `Ali adalah pintunya) dan sebagainya.
(11)
 Hadits-hadits sahih yang dipesong dan diselewengkan dengan diubahsuai, 
dipinda atau ditokok tambah supaya sesuai dengan pegangan dan 
kepercayaan mereka. Sebagai contohnya hadits: تركت فيكم ما إن تمسكتم [به] لن تضلوا كتاب الله وعترتي . Perkataan بهditukar mereka dengan perkataan بهما yang tentu sekali membawa pengertian yang jauh bezanya.
(12)
 Hadits-hadits mungkar yang terdapat di dalam kitab-kitab yang tidak 
mu`tabar dan tidak boleh dipertanggungjawabkan. Seperti hadits yang 
menceritakan Abu Thalib mengucap dua kalimah syahadah (memeluk Islam) 
sebelum kematiannya. Ia hanya terdapat di dalam kitab-kitab yang 
dikarang oleh orang-orang seperti Ibnu Ishaq. Dan Ibnu Ishaq itu sendiri
 adalah seorang yang dipertikaikan `aqidahnya oleh `ulama’-`ulama’ 
Sunni.
(13)
 Hadits-hadits yang memang berpunca daripada Syi`ah dan tersebut di 
dalam kitab Syi`ah juga. Tetapi mereka mengemukakannya tanpa memberikan 
rujukan sebenar. Seolah-olahnya ia hadits yang diterima oleh semua 
pihak. 
Walaupun
 pada hakikatnya golongan Syi`ah gagal menghujah golongan Ahli as-Sunnah
 wa al-Jama`ah dengan menggunakan hadits-hadits seperti itu, namun tidak
 dapat dinafikan potensinya sangat besar dalam memesongkan `aqidah umat 
Islam. Malah bukan sedikit juga orang-orang Sunni yang telah terpedaya 
dengannya. Maka adalah wajar diketengahkan kepada masyarakat 
hadits-hadits yang selalu digunakan oleh mereka itu dengan pendedahan 
kelemahan dan kekarutan di sebaliknya. Sebahagian besar daripada tulisan
 ini merupakan saringan daripada buku yang berjodol أحاديث يحتج بها الشيعة karangan
 Syeikh `Abdur Rahman Muhammad Sa`id Dimashqiya. Penyusunan 
hadits-hadits menurut abjad di dalamnya sangat menarik. Ia perlu sekali 
dikekalkan utk kemudahan pembaca. Tetapi di sana sini banyak sekali 
tambahan, pindaan dan tokok tambah dibuat oleh penulis sendiri. والله ولي التوفيق.  
(1) 
الأئمة من بعدي إثنا عشر كعدة نقباء بني إسرائيل
Maksudnya: “Para imam sesudahku dua belas orang, sebanyak bilangan nuqabaa’ Bani Isra’il.”
Hadits ini lengkap dengan sanad dan matannya adalah seperti berikut:
حدثنا
 حسن بن موسى حدثنا حماد بن زيد عن المجالد عن الشعبي عن مسروق قال: كنا 
جلوسا عند عبد الله بن مسعود وهو يقرئنا القرآن فقال له رجل يا أبا عبد 
الرحمن هل سألتم رسول الله كم تملك هذه الأمة من خليفة؟ فقال عبد الله بن 
مسعود: ما سألني عنها أحد منذ قدمت العراق قبلك ثم قال نعم ولقد سألنا رسول
 الله فقال إثنا عشر كعدة نقباء بني إسرائيل
Maksudnya:
 Kata Masruq: “Pernah kami duduk di hadapan `Abdullah bin Mas`ud ketika 
beliau mengajarkan al-Qur’an kepada kami. Tiba-tiba ada seorang lelaki 
bertanya beliau. Katanya: “Wahai Aba `Abdir Rahman, pernahkan kamu 
bertanya Rasulullah s.a.w. tentang bilangan khalifah yang akan 
memerintah umat ini?” Jawab `Abdullah bin Mas`ud: “Tidak pernah ada 
sesiapa pun sebelummu bertanya saya tentang perkara itu semenjak saya 
datang ke `Iraq ini.” Kemudian beliau seterusnya berkata: “Ya, memang 
kami pernah bertanya Rasulullah s.a.w.” Jawab Baginda s.a.w.: “Dua belas
 orang, sebanyak bilangan nuqabaa’ Bani Isra’il.” (Hadits riwayat Ahmad,
 Abu Ya`la dan al-Bazzaar).
Hadits ini dha`if.
 Di dalam isnadnya terdapat Mujaalid bin Sa`id al-Hamdaani. Dia seorang 
perawi dha`if menurut jumhur `ulama’ Rijaal Hadits. Hafiz Ibnu Hajar di 
dalam at-Taqrib berkata: ليس بالقوي و قد تغير في آخرعمره
 Maksudnya: Dia perawi tidak kuat. Di akhir hayatnya, fikirannya telah 
berubah. Demikian juga kata al-Haitsami di dalam Majma` az-Zawaa’id. 
Hadits ini juga tidak mahfuz. Kerana yang ma`lum dari Sya`bi ialah 
beliau meriwayatkannya daripada Jaabir bin Samurah menurut riwayat Ibnu 
`Aun dan Ibnu Abi Hind daripadanya. Mujaalid sendiri juga telah 
meriwayatkan begitu di dalam Musnad Ahmad. Besar kemungkinan riwayat ini
 termasuk dalam salah satu kesilapan yang telah berlaku kepada Mujaalid.
 Maka hadits ini dari sudut yang lain merupakan hadits mungkar. Dari sudut dirayah
 juga hadits ini tidak dapat diterima. Kerana Syi`ah mengemukakannya 
untuk membuktikan kebenaran dua belas orang imam mereka, sedangkan di 
dalam hadits yang merupakan puncanya tidak tersebut pun perkataan imam. 
Yang tersebut di dalamnya ialah khalifah. Seperti sedia dima`lumi semua,
 bagi Syi`ah khalifah dan imam adalah dua istilah yang berbeda. Bagi 
mereka kalifah bukan imam dan imam bukan khalifah. Kalau diandaikan 
hadits ini hasan atau sahih sekalipun, tetap juga ia tidak menunjukkan 
bilangan imam. Yang ditunjukinya ialah bilangan khalifah bukan bilangan 
imam.
(2)                           
ابحث عن دينك حتى يقال مجنون
Bermaksud: Carilah ugamamu sehingga dikatakan (engkau) gila.
Ucapan
 ini bukan hadits pun. Tetapi at-Tijaani berani mengaitkannya dengan 
Bukhari. Kononnya Bukhari telah meriwayatkannya di dalam Sahihnya! Kalau
 hendak dikatakan hadits pun boleh juga. Tetapi hadits rekaan 
at-Tijaani, seorang Syi`ah yang menda`wa dirinya telah menemui 
kebenaran!! Padahal yang telah ditemuinya itu kesesatan bukan 
kebenaran!!! Dengan lafaz di atas, tidak tersebut di dalam mana-mana 
kitab hadits pun ia sebagai hadits. Kalau ada pun hadits yang hampir 
sama dengannya, hanyalah hadits berikut ini: أكثروا ذكر الله حتى يقولوا مجنون
 Bermaksud: “Perbanyakkanlah zikrullah sehingga orang berkata (engkau) 
gila.” (Hadits riwayat Ahmad, `Abd bin Humaid, Abu Ya`la, Ibnu as-Sunni,
 Ibnu Syaahin, Ibnu Hibbaan, Baihaqi di dalam Syu`ab al-Iman dan 
Haakim). Di dalamnya tidak tersebut pun perkataan “carilah” dan tidak 
tersebut juga perkataan “ugamamu”. Hadits أكثروا ذكر الله
 ini pun tidak sahih. Ia hanya sebuah hadits dha`if dan mungkar. 
Walaupun Haakim mengatakan sanadnya sahih, tetapi sebetulnya ia dha`if. 
Sebabnya ialah di dalam isnadnya terdapat perawi dha`if bernama Darraaj 
Abi as-Samh. Kebanyakan `ulama’ Rijaal al-Hadits mengatakan dia dha`if. 
Abu Daud, Nasaa’i, Abu Haatim, ad-Daaraquthni dan Ahmad sendiri 
menganggap dia seorang perawi dha`if. Apa lagi kalau hadits itu hadits 
yang diriwayatkannya daripada Abi al-Haitsam. Ibnu `Adi, az-Zahabi dan 
lain-lain juga menganggap hadits ini termasuk dalam manaakiir 
(hadits-hadits dha`if yang diriwayatkan oleh) Darraaj daripada Abi 
al-Haitsam.
(3)
ابني هذا إمام ابن إمام أخو إمام أبو أئمة تسعة تاسعهم قائمهم اسمه كاسمي وكنيته كنيتي يملأ الأرض عدلا وقسطا كما ملئت جورا وظلما
Bermaksud: “Cucuku ini adalah imam, anak imam, saudara imam. Dia
 bapa kepada sembilan imam (seterusnya). Yang kesembilan daripadanya 
ialah Imam Mahdi. Namanya seperti namaku. Kunyahnya seperti kunyahku. 
Dia akan memenuhi bumi ini dengan keadilan dan kesaksamaan sebagaimana 
ia (sebelumnya) dipenuhi kezaliman dan kekejaman.” 
Demikianlah
 sabda nabi s.a.w. kepada cucunya Husain sebagaimana yang dida`wa oleh 
tokoh Syi`ah yang dikenali dengan Ibnu Muthahhar di dalam Minhaaj 
al-Karaamahnya. Apa yang dikatakan sebagai hadits ini hanya berpunca 
daripada Syi`ah Imam Dua Belas semata-mata. Ia langsung tidak terdapat 
di dalam kitab-kitab Sunni yang mu`tabar. Bagi `ulama’-`ulama’ Sunni 
hadits ini langsung tidak berasas dan ia hanya satu pembohongan. 
Meskipun golongan Syi`ah Imam Dua Belas menda`wa hadits ini mutawatir 
dan mereka menwarisinya turun-temurun, namun mereka sahaja yang 
membenarkannya. Adapun berpuluh-puluh lagi golongan Syi`ah, semuanya 
mendustakan hadits ini. Golongan Zaidiah, Ismailiah, Kaisaniah, 
Qaramithah, Rawandiah, Mukhtariah dan lain-lain pecahan Syi`ah tidak 
menerimanya. Mereka bahkan menganggapnya sebagai hadits rekaan golongan 
Syi`ah Imam Dua Belas semata-mata. Imam Ibnu Taimiyyah menolak hadits 
ini dengan mengemukakan dua belas hujah di dalam kitabnya Minhaj 
as-Sunnah an-Nabawiyyah. Hadits rekaan syi`ah seperti ini tidak wajar 
sama sekali digunakan oleh syi`ah untuk menghujah golongan Ahli 
as-Sunnah wa al-Jama`ah. 
bersambung…
No comments:
Post a Comment