5.8.12

Perokok Tidak Gentar Penyakit COPD? Kena

COPD serang secara senyap

Oleh HIDAYATUL AKMAL AHMAD (yang mengikuti rombongan syarikat farmaseutikal, Takeda, ke Seoul di Korea Selatan, baru-baru ini)
hidayatulakmal@hmetro.com.my
RAWATAN AWAL... bertemu doktor bagi menjalani ujian pengesanan awal boleh mengurangkan simptom COPD supaya tidak melarat.
RAWATAN AWAL... bertemu doktor bagi menjalani ujian pengesanan awal boleh mengurangkan simptom COPD supaya tidak melarat.
TINDAKAN UNIK... Daxas yang dikeluarkan dalam bentuk tablet untuk pesakit COPD.
TINDAKAN UNIK... Daxas yang dikeluarkan dalam bentuk tablet untuk pesakit COPD.
BANYAK iklan sudah dibuat, pelbagai kempen di sana sini, jutaan ringgit dilaburkan tetapi perokok masih tidak boleh meninggalkan tabiat berbahaya itu.
Malah ada yang berkata, ‘kalau nak mati, mati juga’. Mungkin mereka tidak terasa apa-apa kesan sekarang tetapi 10 atau 20 tahun akan datang, mereka mungkin tersenarai antara pesakit sekatan pulmonari kronik atau chronic obstructive pulmonary disease (COPD).

Kunjungan penulis ke Seoul, baru-baru ini, atas jemputan syarikat farmaseutikal terkenal Jepun, Takeda, bagi menghadiri persidangan The Epic Asia Survey bertajuk Epidermiologi dan Kesan COPD di Asia, memberi pengetahuan baru terhadap penyakit ini.
COPD adalah penyakit memudaratkan yang menimbulkan beban besar di Asia. Ia sejenis penyakit paru-paru tegar akibat pernafasan tersekat disebabkan kerosakan dan radang paru-paru.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), ia adalah masalah kesihatan utama membabitkan kira-kira 65 juta orang di seluruh dunia.

COPD juga punca kematian kelima paling utama di seluruh dunia dan WHO meramalkan ia akan menduduki tempat ketiga menjelang 2030.
Kaji selidik Epic Asia menekankan beban sosioekonomi berat serta kesukaran dihadapi penghidap COPD. Lebih tiga daripada 10 responden di Malaysia tidak bekerja sepenuh masa disebabkan penyakit itu.

Profesor Madya Pusat Pengajian Perubatan Duke-Nus di Singapura, Profesor Sam Lim, berkata COPD adalah bebanan berat, terutama di Asia.
“Ramai masih tidak menyedari bahaya penyakit ini disebabkan kurang pendedahan dan pengetahuan. COPD sinonim dengan perokok, di mana 90 peratus penyakit ini disebabkan tabiat merokok tetapi masih ramai mengambil ringan mengenainya.

“Kepada perokok tegar, anda dinasihatkan berhenti segera bagi mengelakkan mudarat di kemudian hari. Perlu diingatkan, COPD menyerang secara senyap.

“Kita tidak akan menyedari kehadirannya sehingga timbul rasa kurang selesa dan sukar bernafas, malah kebanyakan yang datang berjumpa doktor tidak tahu mereka ada COPD,” katanya.

Hasil kaji selidik penting baru bertajuk ‘Epidemiologi dan Kesan COPD di Asia’ (kaji selidik Asia Epic) mendapati, COPD menjejaskan kualiti hidup dan memberi kesan terhadap produktiviti kerja.

Malah, hasil tinjauan Asia Epic yang dijalankan Takeda di Asia meliputi 112,000 isi rumah di China, Hong Kong, Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura, Taiwan, Thailand dan Vietnam membabitkan lebih 1,800 responden mengalami COPD yang disahkan atau disyaki di seluruh Asia, termasuk 200 responden Malaysia, memberikan maklumat mengenai beban, persepsi dan fahaman penyakit progresif yang membawa maut ini.

Menurut kaji selidik Epic Asia, penularan COPD di kalangan mereka berusia lebih 40 tahun di negara ini meliputi kira-kira lima peratus daripada penduduk.

Ketua Penjagaan Paru-paru dan Kritikal Pusat Perubatan Jantung Filipina, Dr Teresita De Guia dalam hujahnya berkata, COPD dilihat sebagai bebanan di negara Asia.

“Kesedaran mengenai impak COPD masih rendah dan ia benar-benar membimbangkan. Ramai ambil ringan mengenai simptom seperti batuk kerana menganggap ia hanya perkara biasa tanpa mengetahui ia boleh membawa kesan negatif jika tidak dirawat.

“Rawatan awal mampu mengelakkan COPD menjadi lebih teruk. Jalani hidup sihat dan jangan merokok. Segera berjumpa doktor jika rasa tidak sihat kerana mencegah lebih baik daripada merawat,” katanya.

Timbalan Pengarah Institut Penyakit Respirotari dan Asas Percubaan Klinikal Kebangsaan Kolej Perubatan Guangzhou, Profesor Zheng Jin Ping pula berkata pengesanan awal mampu mengurangkan simptom COPD supaya tidak melarat.

“Kebanyakan yang berjumpa doktor selalu datang pada saat akhir. Jadi, tidak banyak yang boleh dilakukan. Sebenarnya, tidak susah mengelakkan diri daripada COPD.

“Paling utama, jauhi rokok kerana ia punca utama. COPD bukan penyakit biasa kerana ia memberi kesan terhadap pesakit. Ia juga menyebabkan pesakit tidak mampu bekerja sepenuh masa kerana sering mengalami gangguan kesihatan,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Institut Perubatan Pernafasan, Hospital Kuala Lumpur (HKL) Datuk Dr Abdul Razak Abdul Mutallif, berkata tinjau selidik Epic Asia mendedahkan dalam tempoh 12 bulan lalu, responden di Malaysia kekal dalam rumah secara purata 67 hari disebabkan penyakit dialami.

“Bergantung kepada tahap penyakit, COPD boleh menjadikannya sukar melakukan kegiatan harian biasa seperti kerja dan mandi. Secara tidak langsung, ia menghalang keupayaan seseorang bekerja apabila penyakit bertambah teruk.

“Penghidap COPD biasanya membuat keputusan tinggal di rumah dan tidak mahu keluar kerana terlalu sukar,” katanya pada pelancaran Daxas (roflumilast), rawatan terbaru pesakit COPD yang berupaya mengurangkan risiko serangan paru-paru COPD di ibu negara, baru-baru ini.

Ubat oral itu kini boleh didapati di semua hospital swasta dan dalam perancangan diedarkan ke hospital awam di seluruh negara di dalam bentuk tablet.

Ia disarankan sebagai rawatan penyenggaraan COPD teruk yang dikaitkan dengan bronkitis kronik di kalangan pesakit dewasa yang mempunyai sejarah peningkatan penyakit yang bertambah teruk dan bertindak sebagai terapi tambahan menangani bronkodilator.

“COPD penyakit yang semakin membimbangkan di Asia dan perlu ditangani segera menerusi pelbagai pendekatan. Industri penjagaan kesihatan harus berusaha menyebarkan maklumat mengenai penyakit ini demi meningkatkan kadar diagnosis dengan mendidik mereka yang mengalami gejala ini.

“Maklumat terbaru daripada Epic Asia serta pilihan rawatan terkini membolehkan profesional penjagaan kesihatan mengesahkan diagnosis dan menguruskan COPD dengan lebih berkesan,” katanya.

Roflumilast mempunyai kaedah tindakan unik iaitu perencatan enzim fosfodiesterase 4 (PDE4). Ia mengurangkan aktiviti keradangan sel.

Apabila digunakan seiring dengan terapi penyenggaraan utama, ia memberi manfaat tambahan mengurangkan risiko penyakit daripada menjadi lebih teruk.

Data terbaru juga menunjukkan, roflumilast berupaya menstabilkan pesakit yang kerap mengalami COPD daripada bertambah teruk.

Hadir sama, Ketua Unit Pernafasan, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) merangkap Presiden Persatuan Torasik Malaysia, Dr Roslina Abdul Manap, dan Pengarah Urusan Nycomed Malaysia, Kwa Kheng Hoe.

No comments: