130 maut dalam pertempuran
 SEORANG kanak-kanak lelaki  menangis 
di hadapan sebuah bangunan yang musnah akibat bedilan tentera kerajaan, 
 di bandar Aleppo, Syria, kelmarin.  - AFP 
BEIRUT 20 Ogos - Hari pertama Aidilfitri di Syria
 semalam menyaksikan pertumpahan darah terus berlaku apabila 
sekurang-kurangnya 130 dilaporkan maut di seluruh negara dalam 
pertempuran antara tentera negara dengan pemberontak.
Menurut pemerhati hari ini, kebanyakan mangsa yang terkorban adalah 
tentera, manakala Damsyik pula digegarkan dengan pertempuran antara 
pemberontak dengan tentera kerajaan.
Keganasan terbaru itu berlaku pada hari pertama Aidilfitri ketika 
wakil baru Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke Syria, Lakhdar 
Brahimi berkata, usaha mereka kini bukan lagi mahu 'menghalang 
berlakunya perang saudara', tetapi lebih kepada menamatkannya.
Pertubuhan Pemantau Syria bagi Hak Asasi Manusia berkata, sebanyak 16
 mayat ditemui di kampung al-Tall, kubu kuat pemberontak di wilayah 
Damsyik, manakala 34 lagi tentera, 28 orang awam serta 22 pemberontak 
maut di seluruh Syria, semalam.
Menurut pertubuhan pemantau beribu pejabat di Britain itu yang 
mengumpulkan maklumatnya daripada rangkaian aktivis dari tempat 
kejadian, pertempuran antara pemberontak dengan tentera kerajaan berlaku
 di beberapa kejiranan di selatan Damsyik dengan bunyi letupan kuat 
kedengaran.
Aktivis pembangkang dari Suruhanjaya Jeneral Revolusi Syria berkata, 
tentera menggunakan kereta kebal dan mesingan untuk menggempur Maadamiet
 al-Sham di pinggir bandar Damsyik sepanjang malam tadi.
Berbeza dengan kemeriahan Aidilfitri yang dirasai di negara-negara 
lain, rakyat Syria pula berdepan dengan kekurangan makanan kerana banyak
 kedai ditutup ketika sambutan lebaran tahun ini.
No comments:
Post a Comment