Penduduk Syria berdepan keganasan dahsyat
BEIRUT 23 Ogos - Amnesty International hari ini berkata, penduduk 
awam Syria di bandar komersial Aleppo berdepan keganasan dahsyat 
ekoran pertempuran yang tercetus antara tentera kerajaan dan 
pemberontak.
Pertubuhan antarabangsa itu turut mengecam tentera Syria yang didakwa
 melancarkan serangan secara semborono sehingga mengorbankan banyak 
orang awam.
Penasihat Tindak Balas Krisis Amnesty International yang baru kembali
 dari Aleppo, Donatella Rovera berkata, tentera Syria menggunakan 
senjata yang tidak bersesuaian seperti bom tanpa arah, bedilan meriam 
dan mortar, sekali gus membahayakan orang awam.
Beliau yang telah menyiasat kira-kira 30 serangan ketika lawatannya 
ke Aleppo, baru-baru ini berkata, ramai orang awam yang tidak terlibat 
dengan pertempuran itu, kebanyakannya kanak-kanak dan wanita, terkorban 
atau cedera ketika berada di rumah atau sedang beratur mengambil makanan
 di pusat perlindungan.
Menurutnya, serangan tentera selalunya gagal membezakan antara 
pemberontak dan penduduk awam serta selalunya dilancarkan secara rawak 
di kawasan kediaman yang dikuasai pemberontak.
Orang awam di beberapa daerah di bandar Aleppo berdepan serangan 
meriam dan udara setiap hari yang dilancarkan oleh tentera kerajaan.
Kebanyakan mereka, tidak ada lagi tempat selamat dan terpaksa hidup dalam ketakutan menanti serangan seterusnya," kata Rovera.
Beberapa orang awam turut terbunuh di tempat mereka mendapatkan 
perlindungan, selepas terpaksa meninggalkan kediaman ekoran pertempuran 
tersebut.
Menurut Amnesty, kebanyakan mangsa terbunuh akibat serangan udara dan bedilan meriam oleh tentera kerajaan.
Lebih 23,000 orang maut sejak tercetusnya kebangkitan rakyat di Syria
 pada Mac tahun lalu, menurut pertubuhan Pemantau Syria bagi Hak Asasi 
Manusia. - AFP
No comments:
Post a Comment