Beberapa penduduk memerhatikan kepulan
 asap dari lori-lori tangki selepas kenderaan itu terkena tembakan jet 
pejuang di daerah Bab al-Nayrab, bandar Aleppo, Syria, semalam. - 
REUTERS 
BEIRUT 27 Ogos - Sekurang-kurangnya 14 lagi mayat
 ditemui di Daraya selepas aktivis, semalam melaporkan tentang insiden 
'pembunuhan beramai-ramai' mengerikan setelah lima hari tentera kerajaan
 melancarkan serangan ke atas bandar tersebut.
Pertubuhan Pemantau Syria bagi Hak Asasi Manusia, semalam melaporkan,
 menemui 320 mayat di Daraya selepas pemberontak menyatakan tentera 
melancarkan serangan hebat, melaksanakan 'hukuman mati' dan serbuan dari
 rumah ke rumah di bandar di pinggir Damsyik itu.
Menurut pertubuhan itu, 14 lagi mayat ditemui semalam dan mereka turut telah mengenal pasti 220 mayat yang ditemui kelmarin.
Sebuah rangkaian aktivis di Syria, Jawatankuasa Pengurusan Tempatan, 
menyifatkan pembunuhan itu sebagai 'pembunuhan beramai-ramai' oleh 
kerajaan Presiden Bashar al-Assad.
Pertubuhan Pemantau Syria bagi Hak Asasi Manusia turut menyatakan 
bahawa sekurang-kurangnya 149 orang maut di seluruh Syria semalam 
terdiri daripada 105 orang awam, 26 pemberontak dan 18 askar kerajaan.
Tentera kerajaan turut membedil Basra al-Sham di wilayah Daraa menyebabkan sekurang-kurangnya 17 orang awam terbunuh.
Bedilan baru terus berlaku hari ini, mengorbankan tiga lelaki dewasa,
 tiga kanak-kanak dan dua wanita di Kafr Batna, wilayah Damsyik, menurut
 pertubuhan pemantau yang beribu pejabat di London itu. - AFP
No comments:
Post a Comment