15.8.12

Bekas PM Syria: Rejim Bashar di ambang jatuh


Wartawan Sinar Harian
15 Ogos 2012
Riad Hijab
Perdana Menteri Syria, Riad Hijab
 
AMMAN - Bekas Perdana Menteri Syria, Riad Hijab, yang berpaling tadah dengan 'melarikan diri' ke Jordan minggu lalu, mendakwa bahawa kerajaan negara itu di bawah pimpinan Presiden Bashar al-Assad kini berada di ambang kejatuhan.

Beliau berkata, kepimpinan Bashar kini semakin lemah dari segi "moral, kewangan dan ketenteraan."

Bercakap di ibu negara Jordan di sini semalam, Riad berkata, Bashar hanya menguasai 30 peratus wilayah Syria buat masa sekarang.

Syria berhadapan dengan krisis sejak Mac 2011 dan pergolakan dalaman semakin meningkat dan semakin buruk di sebalik tekanan masyarakat antarabangsa.

Wakil Khas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan Liga Arab, Kofi Annan awal bulan lalu menggambarkan Syria  berhadapan dengan risiko perang saudara.

Misi beliau di Syria pula mengalami kegagalan. Beliau tidak tahu mahu mandatnya yang akan berakhir hujung bulan ini disambung.

Dalam kenyataannya, Riad menggesa pembangkang yang kini berada di luar negara agar bersatu manakala pihak tentera pula perlu memihak kepada kehendak rakyat.

Sambil menegaskan beliau akan menyertai pihak pemberontak, Riad mahu pemimpin-pemimpin politik dan tentera menarik sokongan dan kesetiaan yang diberikan kepada Bashar.

"Saya menggesa tentera ikut apa yang berlaku di Mesir dan Tunisia, tentera menyebelahi rakyat," katanya lagi.

Kenyataan semalam adalah yang pertama sejak Riad meninggalkan Syria dan mendapatkan perlindungan di Jordan bersama keluarganya, minggu lalu.

Kenyataan itu dibuat sehari selepas Bashar menghantar orang kanannya ke China bagi membincangkan situasi di Damsyik.

No comments: