Dua balai polis ditawan di Aleppo
ALEPPO - Pemberontak Syria menyerang beberapa sasaran ketenteraan dan
menawan dua balai polis di sini selepas membunuh 40 anggota
keselamatan, kata sebuah kumpulan pemantau ketika pertempuran di ibu
kota komersial Syria itu terus memuncak semalam.
Pertempuran antara pemberontak yang dikenali sebagai Tentera
Pembebasan Syria (FSA) dan pasukan keselamatan yang setia kepada
Presiden Bashar Al-Assad turut dilaporkan di ibu kota Syria, Damsyik,
bandar Deir Ezzor di timur dan Daraa di selatan negara berkenaan.
Kumpulan Pemerhati Syria Untuk Hak Asasi Manusia memberitahu, Aleppo
semalam digegarkan dengan pertempuran paling sengit selepas bandar raya
ini digempur FSA.
Seorang pegawai kumpulan berkenaan, Rami Abdel Rahman berkata,
pemberontak menggunakan sejumlah pelancar grenad dalam serangan
menjelang subuh ke atas sebuah pekarangan tentera, ibu pejabat perisikan
tentera udara dan cawangan Parti Baath di sini.
Tidak lama kemudian, beratus-ratus pemberontak menyerang beberapa
buah balai polis di kawasan penempatan penduduk Salhin dan Bab
al-Nayrab.
"Sekurang-kurangnya 40 anggota polis terbunuh dalam pertempuran
tersebut yang berlanjutan selama beberapa jam," kata Abdel Rahman.
Antara yang maut termasuk ketua polis balai Salhin, selatan bandar
raya ini manakala tiga buah kenderaan turut musnah, tambahnya.
Siri serangan itu berlaku selepas misi pemerhati Pertubuhan
Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan, tentera rejim Bashar menggunakan
beberapa buah helikopter, kereta kebal dan meriam untuk memerangi
pemberontak.
Badan pemerhati itu turut merayu kedua-dua belah pihak supaya
melindungi kira-kira 2.7 juta penduduk awam yang tinggal di bandar raya
ini.
"Pertempuran sengit ini menunjukkan betapa pentingnya bandar raya ini
kepada rejim Bashar. Mereka tidak mahu Aleppo menjadi kubu pemberontak
seperti yang berlaku ke atas bandar Benghazi di Libya," kata Abdel
Rahman.
Kelmarin, pemberontak merampas pos kawalan Anadan yang terletak
sekitar lima kilometer ke barat daya bandar raya ini sekali gus
memastikan laluan terus ke sempadan Turki.
"Dalam beberapa jam akan datang, impak kejatuhan pos kawalan ini akan
dapat dilihat apabila banyak bekalan tiba melalui pos ini untuk
dihantar ke Aleppo," tambahnya.
Penentangan rakyat Syria ke atas rejim Bashar bermula sejak Mac tahun lalu.
Lebih 19,000 orang dilaporkan terbunuh dalam pertempuran antara tentera Syria dengan kumpulan pemberontak. - Agensi
No comments:
Post a Comment