372 taska didaftarkan serta merta
20/10/2012 4:05am
KUALA LUMPUR — Sebanyak 372 buah Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska)
dikenal pasti oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk pendaftaran
serta merta di bawah Fasa 1 melalui inisiatif baharu memudahkan dan
mempercepatkan pendaftaran Taska.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata jumlah itu adalah daripada 1,180 permohonan pendaftaran.
"Inisiatif ini diperkenalkan supaya Taska yang telah mematuhi
standard minimum JKM berdasarkan aspek perkembangan, keselamatan dan
kesejahteraan kanak-kanak seperti latihan kepada pengasuh, nisbah
pengasuh dengan bilangan kanak-kanak, jadual aktiviti dan penglibatan
ibu bapa di bawah Akta Taska 1984, boleh didaftarkan oleh JKM dengan
segera,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Najib yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat
berkata sebelum ini, pengusaha Taska perlu mendapatkan kelulusan
daripada agensi teknikal terlebih dahulu seperti Pihak Berkuasa Tempatan
(PBT), Jabatan Kesihatan serta Jabatan Bomba dan Penyelamat sebelum
mereka didaftarkan oleh JKM.
Menurut Najib sehingga Oktober tahun ini, sebanyak 1,395 Taska telah pun berdaftar dengan JKM.
Beliau juga berharap lebih ramai pengusaha Taska tampil untuk mendaftarkan Taska masing-masing.
"Pengusaha-pengusaha Taska boleh menghubungi Pejabat Kebajikan
Masyarakat daerah yang terdekat untuk urusan pendaftaran atau melayari
portal ezi2care.jkm.gov.my,” katanya. — BERNAMA
No comments:
Post a Comment