Ahlan Wasahlan...

Jawatan Kosong Untuk Gadis Bawah 27 Tahun

Minuman Kesihatan dan Kekuatan

Minuman Kesihatan dan Kekuatan
Belum Cuba ..Belum Tahu... Cuba dulu baru tahu..

AL-KHOMEINIAH/KHOMEINISMA oleh Saied Hawwa Siri 1

Saya petik daripada terjemahan Pelajar-Pelajar Melayu Di Mesir.

Bahagian 1
TERJEMAHAN KITAB
(AL-KHOMEINIAH/KHOMEINISMA)
karangan oleh : Saied Hawwa

PENDAHULUAN KITAB

Sesungguhnya cinta kepada Ahli Keluarga Nabi s.a.w. merupakan kefardhuan kepada tiap-tiap muslim lelaki dan perempuan. Akan tetapi telah tersebarnya pengaruh dan dakyah-dakyah pelik sepanjang sejarah dengan pelbagai pegangan aqidah yang fasid dan pendirian-pendirian yang buruk lagi jahat menyebabkan kecintaan kepada Ahli Bait Nabi s.a.w. disalah ertikan.

Sejak munculnya Ayatullah al-Khomeini,[1] ramai yang beranggapan bahawa dia pemimpin yang berkarisma dan akan membawa proses penjernihan serta membebaskan ajaran-ajaran Syiah daripada aqidah-aqidah yang palsu dan tipu.

Namun dia terus menggubal kerajaannya dengan menyebarkan fahaman Syiah acuannya (Khomenisma) secara meluas dengan pelbagai penyelewengan dan pengubahsuaian yang pelik-pelik dan ganjil. Akibatnya konsep taqrib (pendekatan) antara Syiah dan Sunni semakin tidak menemui jalan penyelesaian.

Maka seharusnya bagi setiap penuntut ilmu membongkarkan kebenaran dan menjelaskan keadaan sebenar tentang kelampauan dan kebiadaban mereka terhadap Islam, Rasul dan umatnya. Ianya supaya kita tidak tertipu dan dijauhi daripada penyelewengan tersebut yang akan membawa kepada gugurnya keimanan kita.

Al-Khomeini telah mencampur adukkan dalam manhaj gerakan dakwahnya dengan dakyah kebatinan, bermuka-muka dengan konsep taqiyyah dan mendapatkan pertolongan daripada Zoroastrianism (pemuja-pemuja api) untuk menjayakan rancangan dan tujuannya.

Tiga tujuan utamanya :
1. Merosakkan Akidah umat Islam
2. Menghapuskan petanda-petanda Islam dan memutar belitkan petunjuk-petunjuk
    yang mulia
3. Memenuhi keinginannya untuk menguasai dan memerintah

Kitab kecil ini mengandungi Dua Bab, Bab Pertama menceritakan tentang aqidah dan pegangan-pegangan pelik oleh al-Khomeini, manakala Bab Dua pula menjelaskan Pendirian-pendirian pelik oleh dia. Penutup kitab menerangkan kepada pemuda pemudi dikalangan umat islam supaya berpegang dengan Aqidah Ahli Sunnah wal Jamaah kerana kebenaran yang ada padanya dan keadilan yang sejagat.


BAB PERTAMA : Antara Pegangan-pegangan Syiah Yang Diseleweng Oleh Ayatullah Khomeini

Semenjak tersebarnya pengaruh Syiah yang mempunyai pelbagai tafsiran dan pandangan agama yang pelik-pelik menyebabkan banyak kerosakan berlaku, lebih-lebih lagi dalam aspek aqidah. Adapun pengaruh tersebut kadang-kadang akan membawa kepada kekufuran.

Setelah itu timbullah pelbagai firqah (puak/kumpulan) dalam Syiah seperti Ismailiah, Nusairiah, Alawiyyah, Druze dan lain-lain yang merupakan puak-puak Batiniah yang bersepakat dalam mengkafirkan kelompok Ahli Sunnah wal Jamah dan Syiah Isna ‘Asyar.

Sesungguhnya Syiah Isna ‘Asyar (yang diimani oelh al-Khomeini) banyak berselisih dalam pelbagai masalah Usul dan Furu’ dengan puak-puak tersebut namun mereka itu dianggap rakan karib dalam memerangi kelompok Ahli Sunnah wal Jamah.

Antara Aqidah dan pegangan pelik yang diimani oleh Khomeini secara ringkas :

1. Melampau dalam berpegang kepada 12 Imam mereka (konsep Imamah)

Sebagaimana maklum bahawa pengikut agama Kristian (setelah agama mereka diubah) menjadikan Nabi Isa a.s. sebagai Tuhan, begitulah juga al-Khomeini dan pengikutnya, mendakwa Imam-imam mereka itu maksum (daripada tersalah, lupa, lalai, tidak pernah lakukan dosa) bahkan wajib bagi setiap pengikut Syiah menganggapnya sebagai perkara Usul yang perlu diimani.

Sebagaimana yang dinyatakan oleh al-Kulaini dalam kitabnya Usul al-Kafi (kitab yang paling muktabar selepas Al-Quran disisi Syiah) mereka mengatakan bahawa Imam-imam mereka lebih tinggi kedudukan daripada Nabi-nabi termasuk Nabi Muhammad s.a.w.[2]

Mereka juga berpendapat bahawa Imam-imam mereka menyamai dengan Ilmu Allah dalam mengetahui perkara-perkara ghaib. [3]

Perkara-perkara tersebut dinyatakan senndiri oleh Khomeini dalam kitabnya : “Adapun perkara yang wajib berpegang dalam mazhab kita bahawa tidak ada yang boleh menyamai kedudukan Imam-imam kita walaupun mana-mana Malaikat dan Nabi sekalipun yang diutus.”[4]

2. Berpegang bahawa Al-Quran telah diubahsuai 
    dan diputarbelitkan

Mereka berpendapat bahawa Al-Quran telah dipinda dengan beberapa tambahan dan pengurangan. aqidah ini muncul secara jelas ketika kurun ke-2 Hijrah. 

Kemudian dihidupkan kembali pada era kerajaan Safavid oleh Mirza Hussien al-Nuri al-Thabarisi pada kurun ke-13 Hijrah melalui kitabnya "Faslu al-Khitab fi Ithbat Tahrifi Kitabi Rabbil Arbab". Dalamnya memuatkan lebih daripada 2000 riwayat yang dianggap Syiah sudah diseleweng.


Imam al-Kulaini ada menyatakan dalam kitabnya : “Sesungguhnya apa yang benar pada kita sekarang adalah Mushaf daripada Fatimah sahaja”[5]

Begitu juga Imam al-Baqir ada menyatakan : “Sesungguhnya banyak dan jelas tentang pengurangan Al-Quran dan penukarannya”[6]

Al-Khomeini ada menyatakan dalam Kasyful Asrar : "Perkara ini amatlah mudah bagi mereka (sahabat-sahabat Nabi), bahawasanya mereka semua telah mengeluarkan sebahagian daripada riwayat dan ayat-ayat Al-Quran dan memindah masuk daripada kitab-kitab Samawi lain dengan penelewengan". 
3. Pandangan mereka terhadap hadith-hadith Nabi s.a.w.

Telah bersepakat kesemua pengikut Syiah bahawasanya tidak boleh behujjah (tidak boleh dijadikan hukum dan panduan) daripada Sunnah Nabi kecuali apa yang selari dengan pegangan mereka. Mereka menyatakan bahawa umat Islam keseluruhannya telah murtad selepas kewafatan Nabi s.a.w. kecuali empat orang sahaja (Salman al-Farisi, Miqdad bin Aswad, Abu Dzar al-Ghifari, Ammar bin Yasser).

Banyak daripada hadith yang sampai kepada tahap Mutawatir[7] mereka menafikannya daripada Nabi s.a.w. Begitu juga hadith-hadith Sahih yang tidak selari dengan pandangan mereka dikatakan palsu.
Sebagaimana yang dikatakan oleh Syeikh Muhammad Hassan Ali Kasyif al-Ghita’ : “Adapun periwayatan Hadis Nabi s.a.w. yang sanadnya melalui Abu Hurairah, Samurah bin Jundub, Marwan bin al-Hakam, Imran bin Hattan, Amru bin al-As, disisi Syiah Imamiah tidak mengiktiraf kedudukan mereka”.[8]

Al-Khomeini dalam kitabnya ada menyebut : “Bahawasanya Abu Bakar al-Siddiq telah mereka-reka hadith palsu, begitu juga Samurah bin Jundub”[9]

Sebagai ganti kepada sunnah yang didustakan, mereka beriman pula dengan pendapat-pendapat khurafat yang dinisbahkan kepada para Imam-imam mereka sebagaimana yang terdapat dalam Usul Min Al-Kafi oleh Al-Kulaini. Majoriti riwayat di dalam ‘kitab suci’ Syiah ini adalah riwayat marfu’ yang dinisbahkan kepada para imam oleh perawi yang ada di antaranya hidup beberapa kurun selepas imam berkenaan! 
Al-Khomeini mengangkat riwayat-riwayat khurafat ini ke martabat Al-Quran dengan kata-katanya : "Sesungguhnya pengajaran para imam adalah seperti pengajaran Al-Quran yang wajib dilaksana dan dipatuhi".
3. Pandangan mereka terhadap para sahabat Nabi s.a.w.

Mereka secara terangan mencerca para sahabat Nabi s.a.w. Mereka telah mengatakan sesat dan terang-terangan melafazkan laknat kepada Abu Bakar, Umar, Uthman, Talhah, Zubair, Abu Ubaidah, Abdurrahman bin ‘Auf, Sayyidah ‘Aisyah dan lain-lain. Bahkan sesetengah mereka ada yang mengkafirkan sahabat.

 Al-Khomeini ada menyebut : “Adapun kita tidak bersama dengan kedua-duanya (Abu Bakar dan Umar) terhadap apa yang mereka berdua telah bersalahan dengan Al-Quran dan bermain-main dengan hukum-hukum Allah, apa yang yang dihalal dan diharamkan dalam Al-Quran adalah daripada pandangan mereka berdua, mereka berdua telah menindas Fatimah dan bermusuh dengan anak cucunya, bahkan apa yang kita dapati daripada mereka berdua itu adalah jahil dengan hukum Allah dan agama”[10]

Mereka tetap berpegang bahawa Nabi s.a.w. telah melantik Ali bin Abi Thalib sebagai khalifah selepas kewafatan baginda dengan berpegang kepada hadith Nabi s.a.w. Namun para sahabat telah mengingkari dan mengkhianati Ali arahan Nabi lalu memilih Abu Bakar sebagai pengganti.

4. Merendah-rendahkan kedudukan Nabi sebagai Rasul.

Pada pandangan mereka, wajib bagi Nabi s.a.w. mempunyai sifat taqiyyah (berolok-olok demi melepaskan diri sebagaimana sifat munafik dengan perbuatan atau lisan) kerana takut apabila menerima ancaman dan ugutan dalam melakukan dakwah. Bahkan harus bagi Nabi nyatakan kekufuran demi menjaga nyawa baginda.

Mereka menyamakan kedudukan Nabi s.a.w. dengan Ali bin Abi Thalib. Bahawa Nabi s.a.w. bersama-sama dengan Ali ketika peristiwa Isra’ Mi’raj dan masing-masing menerima wahyu. Cume bezanya adalah Nabi s.a.w. secara musyahadah (bersaksi dengan mata kepala akan Dzat Allah yang Maha Agung) adapun Ali mendengar Kalamullah al-Qadim sahaja.[11]  

5. Mengingkari dan menyalahi daripada Ijma’

Antaranya adalah mereka mengharuskan Nikah Mut’ah[12] yang menyalahi dengan Ijma’ (Imam Malik, Hanbali, Syafie, Hanafi dan semua Imam-imam Muslim kecuali Syiah).
Sedangkan Ibn ‘Abbas pernah menyatakan dalam khutbahnya yang diriwayatkan oleh Sa’ied bin Jabir bahawa : “Sesungguhnya Nikah Mut’ah itu seumpama bangkai, darah dan daging babi (yang haram dimakan)”.

Ianya umpama memperdagangkan wanita-wanita dengan beberapa perjanjian berbentuk kontrak dan sedikit bayaran demi memuaskan nafsu. Boleh dijual beli tanpa harga diri sedangkan Islam mengambil berat tentang keturunan dan maruah.[13]

7. Pendirian Syiah terhadap Ahli Sunnah wal Jamaah

Syiah Isna 'Asyar berpendapat, sesiapa sahaja yang tidak beriman kepada 12 imam mereka maka diharamkan baginya Syurga dan wajib masuk Neraka. Bagi mereka, Al-Quran dan Sunnah telah diubahsuai maka harus untuk menyalahi dan menyanggahinya.

Al-Khomeini dalam kitabnya : “Bahawa boleh jadi nas-nas daripada Ahli Sunnah wal Jamah terbahagi kepada dua : Selari dengan Al-Quran dan Sunnah, bersalahan kesemuanya”.[14]

Sebab itulah mereka tidak berpegang dengan Sunnah Nabi dan fatwa Imam-imam Mujtahid seperti Imam Malik, Hanbali, Syafie dan Hanafi bahkan mereka menyarankan untuk mengingkarinya. Apabila bergaul dengan pengikut Ahli sunnah wal Jamaah mereka anggap samalah bergaul dengan Yahudi dan Kristian yang wajib untuk diperbalahinya.

8. Melampau mereka terhadap memuja Fatimah al-Zahra’

Dalam kitab-kitab Syiah menyebutkan bahawa Fatimah al-Zahra’ juga menerima wahyu daripada Allah taala seusai ayahnya (Rasulullah s.a.w.) menerima wahyu. Al-Khomeini menambah dalam kenyataannya bahawa Fatimah al-Zahra’ diangkat kedudukannya sehingga sebaris bersama Nabi-nabi a.s.

Kenyataannya ketika menghuraikan Usul al-Kafi : “Setelah wafat Rasulullah 75 hari, telah datang Jibril menemui Fatimah dengan mengucapkan takziah dan memberitahu perkara-perkara yang akan berlaku nanti (sebagaimana wahyu yang diterima oleh Rasulullah)”.

Al-Khomeini mendakawa bahawa keberjayaannya dalam Revolusi Iran adalah sebahagian daripada apa yang diberitakan Jibril kepada Fatimah.

Dia berkata lagi : “Turunnya Jibril kepada kepada seseorang bukanlah perkara yang remeh temeh melainkan terhadap mereka yang benar-benar agung, ini boleh dinisbahkan tingkatan yang pertama (paling agung) sebagaimana turunnya Jibril kepada Isa, Musa, Ibrahim dan seumpama mereka para Nabi dan Rasul”.[15]


Bersambung pada Bab Kedua (Pendirian-pendirian Pelik Khomeini)….


Wallahu a'lam.



Diterjemahkan oleh :

Muhammad Zuhairi bin Zainal Abidin
Felo MANHAL PMRAM



[1] Ayatullah Khomeini lahir di Khomein pada 24 oktober 1902. Khomein, merupakan dusun yang berada di Iran tengah. Keluarga Khomeini adalah keluarga Sayyid Musawi.
[2] Kitab Hayatil Qulub oleh Imam Muhammad al-Baqir al-Majlisi  : juzu’ 3 m/s 10
[3] Kitab Usul al-Kafi oleh Imam Muhammad bin Yaakub al-Kulaini : m/s 287
[4] Kitab al-Hukumah Islamiyyah oleh Ayatullah Khomeini : m/s 52
[5] Usul al-Kafi : m/s 239
[6] Kitab Mir’aatul Qulub oleh Muhammad al-Baqir al-Majlisi : m/s 253
[7] Mutawatir ialah Hadith Nabi yang diriwayatkan oleh ramai sahabat yang tidak mungkin bersepakat para sahabat untuk menipu dan memalsukannya.
[8] Kitab Aslu al-Syiah wa Usuliha oleh Syeikh Muhammad Husain Ali Kasyif al-Ghita’ : 
m/s 79
Beliau juga daripada Syiah Isna ‘Asyar namun beliau banyak menyingkapkan pelbagai kerosakan dan penyelewengan yang dilakukan oleh Syiah Isna ‘Asyar.
[9] Kitab Kasyful Asrar karangan Ayatullah al-Khomeini : m/s 112
[10] Kasyful Asrar : m/s 107-108
[11] Kitab al-Syiah baina al-I’tidal wal Ghuluw oleh Dr. Anuar Hamid Isa : m/s 90
[12] Nikah Mut’ah adalah nikah untuk melepaskan keinginan nafsu dan bersedap-sedap. Hukum ini telah dinasakh dan Ijma’ mengharamkan pada zaman sekarang. Jika dilakukan juga ianya menjadi zina.
[13] Al-Syiah baina al-I’tidal wal Ghuluw : m/s 163
[14] Kitab al-Ta’adil wa al-Tarjih oleh Ayatullah al-Khomeini : m/s 82
[15] Pada hari Ahad bersamaan 2/3/1986 ketika sambutan kelahiran Sayyidah Fatimah al-Zahra

No comments: