wilayatul-faqih-kekufuran-atas-kekufuran
OLEH: MUHAMMAD ASRIE BIN SOBRI
Kepimpinan Ulama menjadi satu isu panas
di meja politik negara baru-baru ini berikutan sesetengah golongan dalam Parti Islam mahukan golongan Ulama sahaja yang memegang jawatan tertinggi
parti.
Kepimpinan Ulama tidak pernah muncul
dalam dunia Islam sehinggalah datangnya Syaitan Akbar, Khomeini,
pemimpin Revolusi Iran dan Pope Syiah pertama dalam Republik Syaitan
Iran. Khomeini dalam bukunya (di antara kitab-kitab yang terkufur dalam
alam ini) al-Hukumah al-Islamiah (dibaca al-Hukumah al-Iblisiah) telah
melontorkan idea Wilayatul Faqih atau Kepimpinan Ulama bagi menggantikan
pemerintahan Monarki Syah Iran.
Antara bukti yang jelas bahawa Ulama bukanlah syarat untuk menjadi seorang pemimpin adalah firman Allah Taala:
أَلَمْ
تَرَ إِلَى الْمَلَإِ مِنْ بَنِي إِسْرَائِيلَ مِنْ بَعْدِ مُوسَى إِذْ
قَالُوا لِنَبِيٍّ لَهُمُ ابْعَثْ لَنَا مَلِكًا نُقَاتِلْ فِي سَبِيلِ
اللَّهِ قَالَ هَلْ عَسَيْتُمْ إِنْ كُتِبَ عَلَيْكُمُ الْقِتَالُ أَلَّا
تُقَاتِلُوا قَالُوا وَمَا لَنَا أَلَّا نُقَاتِلَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ
وَقَدْ أُخْرِجْنَا مِنْ دِيَارِنَا وَأَبْنَائِنَا فَلَمَّا كُتِبَ
عَلَيْهِمُ الْقِتَالُ تَوَلَّوْا إِلَّا قَلِيلًا مِنْهُمْ وَاللَّهُ
عَلِيمٌ بِالظَّالِمِينَ (246) وَقَالَ لَهُمْ نَبِيُّهُمْ إِنَّ اللَّهَ
قَدْ بَعَثَ لَكُمْ طَالُوتَ مَلِكًا قَالُوا أَنَّى يَكُونُ لَهُ
الْمُلْكُ عَلَيْنَا وَنَحْنُ أَحَقُّ بِالْمُلْكِ مِنْهُ وَلَمْ يُؤْتَ
سَعَةً مِنَ الْمَالِ قَالَ إِنَّ اللَّهَ اصْطَفَاهُ عَلَيْكُمْ وَزَادَهُ
بَسْطَةً فِي الْعِلْمِ وَالْجِسْمِ وَاللَّهُ يُؤْتِي مُلْكَهُ مَنْ
يَشَاءُ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ (247)
Maksudnya: “tidakkah engkau
ketahui (Wahai Muhammad), tentang (kisah) ketua-ketua dari Bani lsrail
sesudah (wafatnya) Nabi Musa, ketika mereka berkata kepada seorang Nabi
mereka: “Lantiklah seorang raja untuk kami, supaya boleh kami berperang
(bersama-sama dengannya) pada jalan Allah” Nabi mereka menjawab:
“Tidakkah harus, jika kamu kelak diwajibkan berperang, kamu tidak akan
berperang?,” mereka berkata: “Mengapa pula kami tidak akan berperang
pada jalan Allah, sedang kami telah diusir dari kampung halaman kami,
dan (dari) anak-anak kami?” maka apabila perang itu diwajibkan atas
mereka, mereka membelakangkan kewajipan itu, kecuali sebahagian kecil
dari mereka. dan (ingatlah), Allah Maha mengetahui akan orang-orang yang
zalim. dan Nabi mereka pula berkata kepada mereka: “Bahawasanya Allah
telah melantik Talut menjadi raja bagi kamu. mereka menjawab: “Bagaimana
dia mendapat kuasa memerintah kami sedang kami lebih berhak dengan
kuasa pemerintahan itu daripadanya, dan ia pula tidak diberi keluasan
harta kekayaan?” Nabi mereka berkata:” Sesungguhnya Allah telah
memilihnya (Talut) menjadi raja kamu, dan telah mengurniakannya
kelebihan dalam lapangan ilmu pengetahuan dan kegagahan tubuh badan”.
dan (ingatlah), Allah jualah yang memberikan kuasa pemerintahan kepada
sesiapa yang dikehendakiNya; dan Allah Maha Luas (rahmatNya dan
pengurniaanNya), lagi meliputi ilmuNya.”. [al-Baqarah: 246-247].
Jelas dalam ayat ini, walaupun Bani
Israel selepas kewafatan Nabi Musa a.s dan Nabi Harun a.s mempunyai Nabi
yang menjaga mereka dalam urusan agama dan memberikan mereka fatwa
dalam ‘Nawazil’ (Perkara Baharu yang tidak dinyatakan secara jelas dalam
nas) namun Allah Taala telah melantik Talut seorang lelaki miskin
sebagai Raja kepada Bani Israel untuk memimpin mereka berjihad. Jika
seorang Nabi pun tidak menjadi syarat untuk menjadi pemimpin apatah lagi
seorang ulama yang tidaklah maksum daripada kesalahan dan dosa.
Tidak dinafikan terdapat dalam kalangan
Rasul dan Nabi yang menjadi raja, namun perlu difahami bahawa sifat
kenabian seorang Nabi atau kerasulan seorang Rasul bukanlah suatu
kedudukan yang membolehkannya memonopoli jawatan kepimpinan untuk
dirinya.
Dalam Siasah Islam, seorang pemimpin
disyaratkan mempunyai pengetahuan dalam perkara hukum hakam syarak yang
berkaitan namun tidaklah bermakna dia semestinya seorang pakar dalam
bidang syarak sehingga mencapai tahap mujtahid, bahkan cukuplah sekadar
dia mengetahui halal dan haram dan wajib atasnya melantik penasihat
dalam urusan yang tidak dipakarinya.
Dalam ayat yang lain Allah Taala berfirman:
وَمَا كَانَ الْمُؤْمِنُونَ لِيَنْفِرُوا كَافَّةً
فَلَوْلَا نَفَرَ مِنْ كُلِّ فِرْقَةٍ مِنْهُمْ طَائِفَةٌ لِيَتَفَقَّهُوا
فِي الدِّينِ وَلِيُنْذِرُوا قَوْمَهُمْ إِذَا رَجَعُوا إِلَيْهِمْ
لَعَلَّهُمْ يَحْذَرُونَ
Maksudnya: “dan tidaklah
(betul dan elok) orang-orang yang beriman keluar semuanya (pergi
berperang); oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap
puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari
secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam agama, dan supaya mereka
dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu
kembali kepada mereka; Mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari
melakukan larangan Allah).” [al-Taubah: 122].
Dalam ayat ini menjelaskan bahawa tugas
utama seorang ‘Faqih’ adalah menyebarkan ilmu dan memberi nasihat kepada
kaum mereka bukanlah semestinya mereka merebut jawatan kepimpinan untuk
diri mereka semata-mata.
Demikian juga telah berlalu dalam kurun
yang panjang kita menyaksikan tidak ada Ulama Ahli Sunnah wal Jamaah
yang mendakwa mereka lebih berhak menjadi Khalifah daripada selain
mereka, bahkan Imam Ahmad bin Hanbal langsung tidak mendakwa kepimpinan
al-Makmun sebagai tidak sah walaupun al-Makmun bukan sekadar tidak Faqih
bahkan seorang yang rosak akidah kerana bidaah. Tidak ada dalam
kalangan Imam Mazhab yang empat mahupun selain mereka yang mendakwa
bahawa Wilayah Ammah (Kepimpinan Am) merupakan hak mereka.
Oleh itu, telah menjadi Ijmak bahawa
Faqih bukanlah seorang yang boleh memonopoli jawatan Kepimpinan Am
semata-mata atas tiket dia seorang Faqih atau Alim atau Tok Guru atau
Mursyid atau Tok Lebai atau Tok Haji dan sebagainya.
Sejarah Akidah Wilayatul Faqih:
Akidah Wilayatul Faqih berkait rapat
dengan akidah Syiah Imamiah bahawa Pemimpin itu hendaklah seorang yang
maksum yakni terpelihara daripada dosa atau menurut takrif Syiah sendiri
seorang yang mempunyai kekuatan akal untuk mengawal dirinya daripada
melakukan perkara-perkara maksiat walaupun pada dirinya ada kemampuan
untuk melakukannya.
Mereka telah meletakkan hak Imamah
(kepimpinan) itu kepada 12 orang Imam menurut sangkaan mereka bermula
daripada Saidina Ali r.a dan berakhir dengan Muhammad bin Hasan
al-Askari iaitulah Imam Mahdi yang ditunggu yang menurut mereka
menghilangkan diri dan akan muncul semula. Al-Mahdi Syiah ini berbeza
360 darjah dengan Imam Mahdi Ahli Sunnah wal Jamaah sebagaimana yang
kami jelaskan dalam artikel sebelum ini.
Apabila Syah Ismail Safawi, Raja Syiah
Imamiah pertama Iran berjaya mengalahkan kerjaan Usmaniah di Iran serta
memaksa rakyata Iran memeluk agama Syiah dengan pedang, dia mendakwa
bahawa dia telah bertemu dengan al-Qaim al-Mahdi dalam sebuah gua dan
al-Mahdi telah memerintahkannya menjadi wakil Imam Ghaib untuk
mendirikan kerajaan Syiah yang bakal dipimpin oleh al-Mahdi.
Demikian juga Syah dalam usahanya
mengukuhkan kerajaan dan kekuasaannya telah pergi ke bukit ‘Amil di
Lubnan untuk mendapatkan restu daripada seorang Ulama Syiah, Ali Abdul
‘Aal al-Karki. Proses permohonan restu daripada al-Faqih oleh seorang
Raja Syiah ini menggambarkan bahawa pemikiran Wilayatul Faqih memang
telah tersedia wujud demikian juga konsep Naib Imam Ghaib jelas
tergambar pada dakwaan Syah Islamil Safawi.
Demikianlah bentuk Wilayatul Faqih
sebelum Khomeini di mana seorang Faqih tidaklah terjun secara langsung
dalam politik tetapi kedudukan Faqih itu memang lebih tinggi daripada
Syah itu sendiri. Konsep ini jelas diambil daripada agama Krsitian yang
meletakkan Pope atau Kardinal lebih tinggi daripada Maharaja Perancis
atau Raja England walaupun tidak melaksanakan pemerintahan secara
langsung.
Wilayatul Faqih Versi Khomeini:
Khomeini ketika berada di Najaf lagi
dalam usahanya merebut pemerintahan telah melontarkan konsep Wilayatul
Faqih yang lebih kehadapan di mana kali ini Faqih akan menjalankan
urusan politik secara langsung.
Dalam Perlembagaan Iran No.110 menyatakan:
“Al-Mursyid (Pemegang Jawatan Wilayatul
Faqih) adalah pemerintah tertinggi bagi kekuatan ketenteraan dan baginya
kekuasaan berikut:
- Melantik Jawatan Tertinggi Kehakiman
- Melantik dan Memecat Ketua Tentera
- Melantik dan Memecat Ketua Pengawal Revolusi
- Kekuasaan melantik Ahli Pertahanan Kebangsaan
- Melantik Panglima Tentera Udara, Darat, dan Laut
- Berkuasa melancarkan perang atau membuat perdamaian
- Berkuasa menjalankan tugas selaku Presiden
- Memecat Presiden jika keadaan memerlukan
- Memberi keampunan kepada pesalah dalam landasan Islam dan cadangan daripada Mahkamah Tinggi”
Maka kita dapati al-Mursyid atau Ruhbar
bertindak selaku Ketua Negara tidak ubah seperti Yang di-Pertuan Agong
di Malaysia. Kedudukan Wilayatul Faqih seumpama ini tidak pernah berlaku
dalam sejarah Syiah Imamiah sebelum ini.
Khomeini menyatakan kedudukan Waliyyul
Faqih sebagai berikut setelah mendatangkan beberapa dalil daripada
perkataan Imam mereka berkenaan Wilayatul Faqih:
“dan pada riwayat ini
menjelaskan seorang Mujtahid itu dianggap sebagai Hakim (Pemerintah) dan
menolak hukum Mujtahid adalah menolak Imam dan menolak Imam itu adalah
menolak Allah dan menolak Allah itu menjadikan pelakunya syirik kepada
Allah”. [Kasyful Asrar, Khomeini, 207,Dar Ammar, Amman, cet pertama].
Dalam al-Hukumah al-Islamiah dia menyatakan:
فقهاء الإسلام اليوم حجة
على النّاس كما كان رسول الله – صلّى الله عليه وآله وسلّم – حجة الله،
وجميع الأمور بيده، وكل من تخلف عنه تقام الحجة عليه. فالفقهاء حجة على
النّاس من قبل الإمام – عليه السّلام – وجميع الأمور، وكل مسائل المسلمين
موكولة إليهم. وكل من يتخلف عنهم في أمر الحكومة، وإدارة أمور المسلمين،
وأخذ الواردات العامة وصرفها، فسوف يحتج الله تعالى عليه.
Maksudnya: “Fuqaha’ Islam
(yakni Ulama Syiah) pada hari ini adalah Hujjah atas manusia seperti
mana Rasulullah s.a.w Hujjah Allah dan semua urusan berada pada tangan
baginda, sesiapa yang menyalahi perintah baginda maka akan didirkan
hujah atasnya (dihukum di akhirat). Demikian juga para Faqih adalah
hujjah atas manusia daripada Imam a.s dan semua urusan dan masalah kaum
muslimin diserahkan kepada mereka dan sesiapa sahaja yang menyalahi
perintah mereka dalam urusan pemerintahan, pentadbiran kaum muslimin,
dan urusan sumber am maka Allah akan menegakkan hujah atasnya (di
akhirat)”. [al-Hukumah al-Islamiah, m.s 125].
Jelas daripada pernyataan-pernyataan
kufur Khomeini ini, Khomeini telah meletakkan dirinya dan para Ulama
Syiah setaraf dengan Rasulullah s.a.w di mana segala undang-undang yang
mereka laksanakan hendaklah ditaati tanpa dibantah, hak Imam Maksum
Syiah kini menurut Khomeini telah berpindah kepadanya dan
sekutu-sekutunya.
Pandangan Syiah ini amat bertentangan dengan firman Allah Taala:
اتَّخَذُوا
أَحْبَارَهُمْ وَرُهْبَانَهُمْ أَرْبَابًا مِنْ دُونِ اللَّهِ وَالْمَسِيحَ
ابْنَ مَرْيَمَ وَمَا أُمِرُوا إِلَّا لِيَعْبُدُوا إِلَهًا وَاحِدًا لَا
إِلَهَ إِلَّا هُوَ سُبْحَانَهُ عَمَّا يُشْرِكُونَ
Maksudnya: “mereka menjadikan
pendita-pendita dan Ahli-ahli ugama mereka sebagai Tuhan-tuhan selain
dari Allah, dan juga (Mereka mempertuhankan) Al-Masih Ibni Maryam,
padahal mereka tidak diperintahkan melainkan untuk menyembah Tuhan Yang
Maha Esa; tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia. Maha suci
Allah dari apa yang mereka sekutukan.” [al-Taubah: 31]
Allah Taala menjelaskan bahawa kaum
Nasrani itu menjadi kufur kerana mereka meletakkan para Ulama mereka
setaraf dengan Allah Taala, mereka mengharamkan apa yang diharamkan
Ulama dan menghalalkan apa yang dihalalkan Ulama mereka selain mereka
membesarkan Ulama mereka dengan menjadikan kuburan para Paderi dan Rahib
itu tempat ibadat. [Tafsir al-Saadi, 1/334].
Demikialah Syiah hari ini, yang
menghalalkan apa sahaja yang ulama mereka halalkan dan haramkan apa
sahaja yang ulama mereka haramkan walaupun tidak ada dalil sama sekali
daripada hadis-hadis Nabi s.a.w. Antara sebesar-besar maksiat yang
mereka halalkan adalah Nikah Mutaah (Khawin Kontrak) yang merupakan
perzinaan yang jelas dan nyata bahkan dibolehkan pula Mutaah antara bapa
dan anak perempuan hasil Mutaahnya.
Mereka juga menyeru dan berdoa kepada
Imam-imam mereka dan bertabaruk (mengambil berkat) daripada para Imam
dan Ulama mereka. Sehingga kini tidak pernah lekang para kaum kafir ini
menghantar surat kepada kubur Khomeini untuk dipenuhi hajat mereka.
Kedudukan Ulama Ahli Sunnah wal Jamaah:
Ahli Sunnah wal Jamaah tidak pernah
mempertuhankan para Ulama mereka bahkan para Ulama Ahli Sunnah wal
Jamaah melarang kita bertaklid buta kepada mereka.
Kata Imam Abu Hanifah r.h:
” لا يحل لأحد أن يأخذ بقولنا ؛ ما لم يعلم من أين أخذناه “
Maksudnya: “Tidak halal bagi seseorang mengikut pendapat kami selagi dia tidak mengetahui dari mana kami mendapatnya”. [Lihat Takhrijnya dalam Asal Sifat Solat al-Albani, 1/24].
Kata Imam Malik r.h:
” ليس أحد – بعد النبي صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ – إلا ويؤخذ من قوله ويترك ؛ إلا النبي صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ “
Maksudnya: “Tidak ada seorang pun selepas Nabi s.a.w melainkan diambil dan dibuang pendapatnya kecuali Nabi s.a.w”. [Ibid, 1/27].
Kata Imam al-Syafii r.h:
” إذا وجدتم في كتابي خلاف سنة رسول الله صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ؛ فقولوا بسنة رسول الله صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، وَدَعُوا ما قلت “
Maksudnya: “Apabila kamu
mendapati dalam kitabku sesuatu yang menyalahi Sunnah Rasulullah s.a.w
maka ikutlah Sunnah Rasulullah s.a.w dan tinggalkan pendapatku”. [Ibid, 29].
Kata Imam Ahmad r.h:
” لا تقلدني ، ولا تقلد مالكاً ، ولا الشافعي ، ولا الأوزاعي ، ولا الثوري ، وخذ من حيث أخذوا “
Maksudnya: “Janganlah kamu
bertaklid kepadaku, Malik, al-Syafii, al-Auzai, dan al-Sauri, tetapi
ambil lah dari mana mereka mengambil pendapat mereka” [Ibid, 32].
Demikianlah pendirian Ulama Islam yang
sebenar bahawa kedudukan mereka hanyalah sebagai manusia biasa dan
mereka buknalah Hujah Allah atas sesiapa bahkan mereka sendiri akan
dihujah dengan al-Quran dan al-Sunnah.
Sabda Nabi s.a.w:
أني قد خلفت فيكم ما لن تضلوا بعدهما ما أخذتم بهما أو عملتم بهما كتاب الله وسنتي ولن يفترقا حتى يردا على الحوض
Maksudnya: “Sesungguhnya aku
telah tinggalkan kepada kamu apa yang tidak akan kamu sesat selama kamu
berpegang pada keduanya: Kitab Allah dan Sunnahku, keduanya tidak akan
terpisah sehingga datang kepada Haud (Kiamat)”. [al-Baihaqi dalam Sunan al-Kubra].
Kesimpulan:
Akidah bahawa Ulama sahaja yang berhak
menjadi pemimpin adalah akidah Kristian yang diserap oleh Syiah lalu
menjalar dalam sesetengah pemikiran kaum muslimin. Mereka yang berakidah
dengan akidah Wilayatul Faqih (Kepimpinan Ulama) secara total menurut
pandangan dan fahaman Syiah adalah Kafir.
Umat Islam dalam ghairah mereka
berpolitik dan berjuang menegakkan negara Islam hendaklah pandai menapis
idea-idea dan pemikiran-pemikiran asing yang dapat menjejaskan akidah
kita sebagai seorang muslim. Wallahua’lam.
Rujukan:
1- Tafsir al-Tabari
2- Tafsir Ibn Kasir
3- Tafsir al-Saadi
4- Al-Hukumah al-Islamiah, Khomeini
5- Kasyful Asrar, Khomeini
6- Mausuah al-Radd ‘ala al-Rafidah, Maktabah al-Syamilah.
No comments:
Post a Comment