11.10.12

Lagi Perddebatan Tentang UCAPAN Ustaz Nasa di Seminar Dakwah...

Harun Taib: Nasha cakap perkara betul
ROBIATULADAWIYAH ABD RASHAD
11 Oktober 2012
Harun Taib
Harun Taib
SHAH ALAM - Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib berpendapat apa yang dinyatakan Bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa itu adalah betul.

“Betullah tu apa yang dikatakannya. Islam perlu jadi perkara utama... hal-hal lain perlu jadi perkara susulan,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Kelmarin, Ahli Parlimen Bachok itu mengingatkan Pas agar tidak mengutamakan kuasa semata-mata sehingga sanggup meletakkan prinsip Islam di tempat kedua.

Kata Nasharudin, dalam konteks politik hari ini, masalah perpecahan umat Islam sering dilupakan sedangkan ia adalah masalah utama yang perlu diselesaikan terlebih dahulu.

Kenyataan terbuka yang dikeluarkan Nasharudin itu telah menimbul pelbagai persepsi  banyak pihak  sehingga ada andaian menyatakan Pas telah lari dari perjuangan asal.

Harun berkata, Pas tidak pernah lari daripada perjuangan asal dan masih menjadikan Islam sebagai pegangan utama.

Ketika ditanya sama ada Nasharudin berhak berkata demikian, Harun berkata, Nasharudin boleh menyuarakan pendapat beliau tidak kira secara dalaman atau terbuka.

“Beliau bebas... boleh kata apa sahaja, beliau juga ahli Majlis Syura. Tidak salah beliau gunakan Majlis Syura untuk suarakan pandangan ini.

“Apa yang berlaku sekarang ini ramai yang berkata atas kepentingan diri sendiri,”katanya.

Dalam perkembangan sama, Ketua Penerangan Pas Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyifatkan apa yang dikatakan Nasharudin itu sebagai perkara biasa.

“Saya tidak melihat kenyataan yang dikeluarkan oleh beliau (Nasharudin) sebagai sesuatu perkara yang pelik... apa yang diperkatakan adalah sebagai memperingati dasar perjuangan kita,” katanya.

Sehubungan itu tegas beliau, untuk memerintah, kuasa yang diperoleh menerusi pilihan raya akan memberi jalan untuk melaksanakan dasar perjuangan Pas.

Tambah beliau, kuasa yang ada akan memberi parti jalan untuk memerintah

==========================

DAP: 'Nasha tidak ada semangat Pakatan'
Wartawan Sinar Harian
11 Oktober 2012
Tony Pua
Tony Pua
SHAH ALAM – Hubungan sesama komponen Pakatan Rakyat (PR) langsung tidak terjejas walaupun timbul kenyataan melaga-lagakan daripada bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa kelmarin, kononnya DAP berdoa untuk menjadikan Malaysia negara Kristian.

Bercakap kepada Sinar Harian Online di sini malam tadi, Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua berkata, “kita semua faham apa yang berlaku adalah unsur-unsur luar kawalan kita."

Meskipun mengakui imej DAP tercalar dengan kenyataan Nasharudin yang mendapat liputan meluas media, beliau kecewa kerana Nasharudin sama sekali tidak pernah membangkitkan hal ini dalam perbincangan parti itu.

“Beliau seorang pemimpin yang tidak bersemangat Pakatan Rakyat.

"Beliau tidak pernah pun membangkitkan isu ini sama ada dalam majlis Pakatan Rakyat atau pun kepada pihak DAP.

“Beliau seolah-olah tidak faham bahawa parti DAP bukan parti berdasarkan agama. Majoriti ahli dalam DAP bukan Kristian. Jadi kalau majoriti bukan Kristian, tidak terfikir pun, parti DAP mungkin nak tubuhkan negara Kristian,” tambah beliau.

Semalam, Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Khalid Samad juga mendakwa  Nasharudin mempunyai agenda politik tertentu sehingga tergamak mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang boleh menggugat hubungan di antara parti komponen PR.

Presiden Jalur Tiga (Jati), Datuk Dr Hasan Ali pula menerusi satu kenyataan media menyelar pihak dalam Pas yang dakwanya berfikiran dangkal kerana “sebarang kenyataan yang bertentangan dengan kemahuan golongan parasit dalam Pas pada setiap ketika dikaitkan dengan Umno."

“Adakah semua pendapat yang menyelar Pas sudah tergelincir daripada landasan perjuangan menegakkan negara Islam dan melaksanakan hudud juga didalangi oleh Umno,” soal beliau.

Selain mendakwa berlaku pergolakan dalaman di dalam Pas sendiri, Nasharudin turut menyentuh hubungan sesama parti yang memperlihatkan seolah-olah Pas sentiasa tunduk terhadap PKR dan DAP.

Beliau mengeluarkan kenyataan mengenai majlis kesyukuran DAP Sarawak berdoa untuk menjadikan Malaysia negara Kristian dan parti itu mendakwa ia adalah kenyataan peribadi Nasharudin.

 =================

Hasan Ali: 'Majlis Syura kembali wibawa'
Wartawan Sinar Harian
10 Oktober 2012
Hasan Ali
 
Bekas Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Ali 
 
SHAH ALAM – Presiden Jalur Tiga (Jati), Datuk Dr Hasan Mohamed Ali hari ini menyatakan sokongan kepada bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa, yang semalam mengingatkan supaya tidak mengutamakan soal kuasa semata-mata, sambil menyifatkan Majlis Syura parti itu kini "kembali berwibawa."
"Saya gembira melihat Majlis Syura Ulama telah mula kembali berwibawa," kata bekas Pesuruhjaya Pas Selangor ini.

Menerusi satu kenyataan dikeluarkan hari ini, Hasan berkata: "Saya harap Majlis Syura Ulama dapat mengambil tindakan drastik dalam masa terdekat membebaskan Pas daripada musuh-musuh Islam dari luar dan golongan parasit dari dalamnya."

Bahkan menurut Hasan, apa yang diperkatakan oleh Nasharudin bukan sesuatu yang baru.
“Ustaz Nasharudin hanya mengulangi pendirian beliau terhadap masalah besar yang sedang dihadapi oleh Pas.

“Antaranya Pas terpaksa tunduk kepada DAP dan PKR berhubung dengan negara Islam dan hudud. Pas juga didakwa menjadikan isu negara Islam sebagai isu kedua manakala mendapatkan kuasa dengan menawan Putrajaya sebagai matlamat utama,” katanya yang dipecat oleh Pas awal tahun ini.

Selepas mengeluarkan kenyataan yang mempersoalkan pelbagai perkara dalam parti yang menggabungkan, Pas, PKR dan DAP termasuk keutamaan Pas dalam politik, Nasharudin terus mendapat kecaman hebat daripada pimpinan parti.

Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar hari ini berkata, Nasharudin telah “menyentuh dan mencabar” keputusan Majlis Syura apabila mendakwa parti itu mengutamakan kuasa dan meletakkan prinsip di tempat kedua.
Sambil menekankan kuasa dan Islam tidak boleh dipisahkan, Mahfuz berkata, Pas memang memerlukan kuasa yang meluas untuk menegakkan Islam di negara ini.

"Jadi, apabila Ustaz mempertikaikan pendirian parti, bermakna beliau telah menyentuh dan mencabar Majlis Syura sendiri," katanya kepada Sinar Harian Online.

Namun menurut Hasan lagi, apa yang diperkatakan oleh Nasharudin memang berlaku dalam Pakatan dan tidak harus dikaitkan dengan Umno.

“Jelas kelihatan pimpinan Pas benar-benar ketandusan modal sehingga mengambil jalan pemikiran yang paling mudah dan dangkal bahawa sebarang kenyataan yang bertentangan dengan kemahuan golongan parasit dalam Pas pada setiap ketika dikaitkan dengan Umno.

“Adakah semua pendapat yang menyelar Pas sudah tergelincir daripada landasan perjuangan menegakkan negara Islam dan melaksanakan hudud juga didalangi oleh Umno,” katanya lagi.
Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Khalid Samad hari ini memberitahu tidak ada keperluan untuk mengadakan muktamar agung tahunan khas bagi membincangkan mengenai konflik dalaman yang dicetuskan Nasharudin.

 
KENYATAAN AKHBAR DR HASAN MOHAMED ALI, PRESIDEN JATI
 
Kenyataan YB Ustaz Nasharudin Mat Isa sewaktu membentangkan kertas kerja di dalam Seminar Dakwah Islamiyyah anjuran Muafakat di PWTC semalam telah menimbulkan berbagai reaksi daripada pimpinan Pas dan DAP.

Pimpinan Pas menganggap kenyataan Nasharudin sebagai pendapat peribadi tidak mewakili parti. Sementara pimpinan DAP mahu melihat pimpinan tertinggi Pas mengambil tindakan terhadap Nasharudin yang menyentuh kaitan DAP dengan pembentukan Malaysia sebagai negara Kristian.

Bagi saya Nasharuddin hanya mengulangi pendirian beliau terhadap masalah besar yang sedang dihadapi oleh Pas. Antaranya Pas terpaksa tunduk kepada DAP dan PKR berhubung dengan negara Islam dan hudud. Pas juga didakwa menjadikan isu negara Islam sebagai isu kedua manakala mendapatkan kuasa dengan menawan Putrajaya sebagai matlamat utama.

Nasharudin tidak berganjak dari segi posisi yang beliau ambil mengenai penguasaan DAP dan PKR terhadap Pas dan juga penghinaan terhadap Islam yang dilakukan oleh pimpinan DAP dan PKR.
Ada di antara pimpinan Pas seperti biasa mendakwa Nasharudin mempunyai agenda politik tersendiri yang dikaitkan dengan agenda Umno.

Jelas kelihatan pimpinan Pas benar-benar ketandusan modal sehingga mengambil jalan pemikiran yang paling mudah dan dangkal bahawa sebarang kenyataan yang bertentangan dengan kemahuan golongan parasit dalam Pas pada setiap ketika dikaitkan dengan Umno.

Adakah kenyataan-kenyataan yang hampir serupa nadanya yang keluar dari mulut Ketua Dewan Ulama, Timbalan Murshidul Am Pas dan lain-lain pemimpin yang mengeluarkan kenyataan yang agak keras mengenaihalatuju Pas dewasa ini juga dikaitkan dengan Umno? Adakah semua pendapat yang menyelar Pas sudah tergelincir daripada landasan perjuangan menegakkan negara Islam dan melaksanakan hudud juga didalangi oleh Umno? Adakah suara-suara yang semakin lantang di kalangan ahli dan penyokong Pas di merata tempat menyuarakan ketidakrelaan mereka menjadi kuda tunggangan DAP dan PKR juga kerja Umno?

Pimpinan Pas yang tidak sedarkan diri ini perlu melihat ke arah cermin menyaksikan wajah sendiri di samping melihat kerja-kerja dua lagi rakan kongsi mereka DAP dan PKR. Kedua-dua rakan kongsi ini dikatakan begitu licik dan semakin berani mengutuk dan menghina Islam.

Reaksi pemimpin-pemimpin tahap kedua dan tahap ketiga dalam hierarki Pas seperti yang dilaporkan bagi saya tidak lebih daripada memberi gambaran darjah kecelaruan dan kegoyahan Pas untuk menghadapi PRU13. Saya mendapat tahu dalam perjumpaan-perjumpaan yang diadakan di berbagai peringkat, pimpinan tidak dapat berhujah dan memberi jawapan yang memuaskan kepada ahli dan penyokong parti terutama yang berkaitan dengan isu Pas terpaksa tunduk kepada kandungan Buku Jingga dan mengenepikan Kitab ALLAH yang menghendaki hamba-Nya melaksanakan tatacara hidup berpaksikan Islam.

Sekali lagi saya menyokong pendirian dan ketegasan yang ditunjukan oleh Nasharudin. Dalam banyak hal saya sependapat dengan beliau terutama dalam perkara-perkara yang bersifat fundamental seperti negara Islam dan hudud. Juga termasuk usaha mempertahankan maruah Islam. Kami bersetuju kita tidak perlu berkompromi dalam perkara-perkara pokok ini.

Saya gembira melihat Majlis Syura Ulama telah mula kembali berwibawa. Saya harap Majlis Syura Ulama dapat mengambil tindakan drastik dalam masa terdekat membebaskan Pas daripada musuh-musuh Islam dari luar dan golongan parasit dari dalamnya.

 ==================

Tuan Ibrahim: Kenyataan Nasha bukan perkara pelik
ARASHY AZIM
10 Oktober 2012
Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man
Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man
SHAH ALAM - Kenyataan bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa semalam, yang mengingatkan parti itu agar tidak mengutamakan kuasa semata-mata sehingga sanggup meletakkan prinsip Islam di tempat kedua, bukan sesuatu yang pelik, kata seorang pemimpin kanan parti itu.

"Saya tidak melihat kenyataan yang dikeluarkan oleh beliau (Nasharudin) sebagai sesuatu perkara yang pelik... apa yang diperkatakan adalah sebagai memperingati dasar perjuangan kita," kata Ketua Penerangan Pas Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man kepada Sinar Harian Online.


Sehubungan itu tegas beliau, untuk memerintah, kuasa yang diperoleh menerusi pilihan raya akan memberi jalan untuk melaksanakan dasar perjuangan Pas.


"Bagi pendapat saya, kuasa yang ada akan memberi kita jalan untuk memerintah," kata beliau yang juga Pesuruhjaya Pas Pahang.


Justeru, beliau turut tidak menafikan berbeza pendapat dengan orang lain juga sebagai perkara biasa.


"Saya memberikan contoh, dasar Pas tidak pernah berganjak, berbeza pendapat dengan parti lain akan terjadi," tambah beliau.


Namun beliau turut mengingatkan bahawa dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), pelbagai pihak akan cuba untuk memperlihatkan Pas tidak sehaluan dalam Pakatan Rakyat (PR).


Pas berada dalam Pakatan Rakyat (PR), yang turut dianggotai DAP dan PKR.


"Dalam situasi kita untuk menempuh PRU13, kita akan mempertahankan kenyataan PR untuk tidak memberikan senjata kepada musuh dan tidak sesekali menghunus senjata terhadap kawan kita sendiri," ujar beliau lagi.


Tuan Ibrahim yang juga ahli Majlis Syura mengulas kenyataan Nasharudin semalam, dalam menghadapi PRU13, mengingatkan parti itu agar tidak mengutamakan kuasa semata-mata dan sehingga sanggup meletakkan prinsip Islam di tempat kedua.


Nasharudin juga ahli Majlis Syura Pas.


Kata Nasharudin, dalam konteks politik hari ini, masalah perpecahan umat sering dilupakan sedangkan ia adalah masalah utama yang perlu diselesaikan terlebih dahulu.


Nasharudin berkata, beliau turut hairan mengapa usaha untuk membincangkan masalah umat Islam terutamanya melibatkan dua parti terbesar orang Melayu Islam iaitu parti Umno dan Pas sering dilihat 'taboo'.


"Jika umat Islam negara ini terus berpecah belah, apakah yang bakal terjadi kepada umat untuk lima, 10 atau 15 tahun lagi? Adakah umat Islam tergelincir?


"Adakah agama mengajar umatnya meletakkan ajaran Islam di tempat kedua semata-mata mahu mendapatkan kuasa?" kata beliau pada Seminar Dakwah Islamiyyah Sebagai Tunggak Kekuatan Ummah di PWTC, semalam.


Katanya lagi, kemenangan Islam terletak di tangan umatnya sendiri tanpa bantuan dari bukan Islam.


Terdahulu,  Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar menyifatkan kenyataan Nasharudin sebagai "menyentuh dan mencabar" keputusan Majlis Syura apabila mendakwa parti itu kini mengutamakan kuasa dan meletakkan prinsip Islam di tempat kedua.


Sambil menekankan kuasa dan Islam tidak boleh dipisahkan, kata Mahfuz, Pas memang memerlukan kuasa yang meluas untuk menegakkan Islam di negara ini.


Katanya, aspek itu yang diputuskan oleh Majlis Syura selaku badan tertinggi membuat keputusan dalam Pas.

No comments: