3.10.12

250 pemandu teksi mogok Di Kuala Lumpur

250 pemandu teksi mogok

hmetro.com.my

PROTES...pemandu teksi mogok membantah bas Go KL yang memberi perkhidmatan percuma di Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur, semalam.
PROTES...pemandu teksi mogok membantah bas Go KL yang memberi perkhidmatan percuma di Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur, semalam.
SESAK...pemandu teksi menutup laluan ketika mogok di Jalan Bukit Bintang, semalam.
SESAK...pemandu teksi menutup laluan ketika mogok di Jalan Bukit Bintang, semalam. 
 
KUALA LUMPUR: Tidak puas hati dengan perkhidmatan bas percuma Go KL yang didakwa menyebabkan kemerosotan pendapatan sehingga 70 peratus, lebih 250 pemandu teksi bertindak mengadakan mogok di Jalan Bukit Bintang, petang semalam.
Himpunan secara aman itu bermula kira-kira jam 2 petang hingga 7.30 malam membabitkan sekitar kawasan pusat beli-belah Pavillion hingga ke Lot 10.

Perbuatan pemandu terbabit yang kebanyakannya ahli Persatuan Pemandu Teksi Bestari Kuala Lumpur menyebabkan kawasan di sekitar Bukit Bintang sesak teruk apabila laluan digunakan untuk melakukan bantahan itu terpaksa ditutup.

Berdasarkan laporan polis yang dibuat persatuan itu kelmarin, perhimpunan juga dibuat sebagai bantahan terhadap masalah ulat teksi 'Arab' dan perkhidmatan teksi sapu serta beberapa tindakan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang mereka anggap menekan pemandu teksi berlesen.

Pemandu teksi, R Ramakrishnan, 52, berkata, pendapatan hariannya merosot secara mendadak sejak sebulan lalu kerana ramai pelancong asing beralih untuk memilih menggunakan perkhidmatan bas Go KL yang tidak mengenakan sebarang bayaran ke destinasi sekitar ibu kota berbanding teksi.

Setiausaha Persatuan Pemandu Teksi Bestari Kuala Lumpur, Mohd Jamal Abdul Nasir Mohd Saad berkata, pihaknya pernah membuat 14 laporan polis ke atas aktiviti ulat dan perkhidmatan teksi sapu di Bukit Bintang namun tiada tindakan diambil oleh pihak berkaitan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Assisten Komisioner Zainuddin Ahmad berkata, pihaknya akan menyiasat kejadian mogok terbabit mengikut Akta Perhimpunan Aman (APA) kerana berhimpun tanpa permit dan menyebabkan kesesakan selain mengganggu ketenteraman awam.


Difahamkan wakil persatuan dan pemilik teksi akan mengadakan rundingan dengan pihak SPAD di pejabat suruhanjaya berkenaan hari ini.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/03

No comments: