HADIS 12 KHALIFAH
Ketika
membahas Hadis al-Tsaqalain, Muhammad Mar’i al-Amin telah
menyebut tentang ‘Ali dan kesemua sebelas anak keturunannya
sebagai para imam yang maksum. Apa yang beliau maksudkan merujuk
kepada hadis berikut daripada Jabir bin Samurah radhiallahu 'anh:
Aku
bersama ayahku masuk menemui Nabi shallallahu 'alaihi wasallam,
maka aku mendengar baginda bersabda: “Sesungguhnya urusan ini
tidak akan selesai sehingga berlaku kepada mereka dua belas
orang khalifah.”
(Jabir
meneruskan): Kemudian baginda berbicara dengan suara yang
perlahan kepada aku (sehingga aku tidak dapat mendengarnya). Aku
bertanya kepada ayahku: “Apa yang (Rasulullah) perkatakan?”
Ayahku menjawab: “Semua mereka daripada bangsa Quraisy.”
Di sisi
Syi‘ah, dua belas orang khalifah yang dimaksudkan dalam
hadis di atas ialah ‘Ali dan sebelas anak keturunannya. Hadis
ini bukan sahaja menjadi hujah di sisi Muhammad Mar’i al-Amin
tetapi kepada semua tokoh Syi‘ah. Penghujahan mereka
adalah seperti berikut:
INI ADALAH HUJAH
SYI‘AH
Muhammad
Mar’i al-Amin menulis:[1]
Pengkaji-pengkaji menegaskan bahawa hadith-hadith tersebut
menunjukkan bahawa khalifah-khalifah selepas Nabi SAWAW ialah
dua belas orang (……).[2]
Dan maksud hadith Nabi SAWAW ialah dua belas orang daripada Ahlu
l-Baitnya. Kerana tidak mungkin dikaitkan hadith ini kepada
khalifah-khalifah yang terdiri daripada (para sahabat baginda
kerana)[3]
bilangan mereka kurang daripada dua belas orang. Dan tidak
mungkin dikaitkan dengan khalifah-khalifah Bani Umaiyyah kerana
bilangan mereka melebihi dua belas orang dan kezaliman mereka
yang ketara selain daripada 'Umar bin Abdu l-Aziz. Tambahan pula
mereka bukan daripada Bani Hasyim (kerana Nabi SAWAW telah
bersabda: Semua mereka daripada Bani Hasyim).[4]
((Di dalam riwayat yang lain beliau memilih Bani Hasyim di
kalangan Quraisy dan memilih Ahlu l-Baitnya di kalangan Bani
Hasyim.))
[5]
……Sesungguhnya riwayat-riwayat yang berbilang-bilang yang datang
kepada kita menurut metod Ahlu s-Sunnah adalah sekuat dalil, dan
hujjah yang paling terang bahawa sesungguhnya khalifah selepas
Rasulullah SAWAW secara langsung ialah Imam Amiru l-Mukminin
'Ali bin Abi Talib AS. Dan selepasnya ialah anak-anaknya sebelas
imam yang maksum, pengganti Rasul dan para imam Muslimin satu
selepas satu sehingga manusia 'berhadapan' dengan Tuhan mereka.
Tiada seorangpun yang dapat mengingkari hadith-hadith yang sabit
yang diriwayatkan menurut riwayat para ulama besar Ahlu s-Sunnah
dan pakar-pakar hadith mereka, lebih-lebih lagi menurut riwayat
Syi'ah. Kecuali cahaya pemikirannya telah dipadamkan dan
dijadikan di hatinya penutup. Justeru itu ia adalah termasuk di
dalam firmanNya di dalam (Surah al-Baqarah (2): 171):
Mereka itu bisu dan buta, maka (oleh sebab itu mereka tidak
mengerti.
Dan firmanNya (Surah al-Zukhruf(43):36):
Barangsiapa yang berpaling dari pengajaran Tuhan Yang Maha
Pemurah, Kami akan adakan baginya syaitan (yang menyesatkan),
maka syaitan itulah yang menjadi teman yang selalu menyertainya.
Dan firman-Nya (Surah al-Kahf(18):57):
Kami jadikan di hati mereka tutupan (sehingga mereka tidak)
memahaminya dan (Kami letakkan) sumbatan di telinga mereka,
sekalipun kamu menyeru mereka kepada petunjuk, nescaya tidak
akan mendapat petunjuk selama-lamanya.
Demikianlah
kedudukan Hadis 12 Khalifah yang begitu jelas membuktikan
kekhalifahan ‘Ali dan sebelas anak keturunannya radhiallahu 'anhum
di sisi Syi‘ah. Sehinggakan sesiapa yang menolak
hadis ini, ternyata dia telah ditutupi indera-inderanya,
memiliki syaitan sebagai kawan karibnya dan tidak akan mendapat
petunjuk selama-lamanya.
Marilah kita
membahas darjat dan kedudukan Hadis 12 Khalifah. Di akhir
perbahasan, penulis yakin para pembaca dapat menilai sendiri
siapakah yang sebenarnya telah ditutupi indera-inderanya,
memiliki syaitan sebagai kawan karibnya dan tidak akan mendapat
petunjuk selama-lamanya.
JAWAPAN
AHL AL-SUNNAH
DARJAT
HADIS 12 KHALIFAH.
Terdapat tiga
darjat hadis yang perlu diterangkan dalam perbahasan ini:
Hadis
Pertama:
Pertama
adalah hadis yang membentuk asas penghujahan, iaitu:
Aku
bersama ayahku masuk menemui Nabi shallallahu 'alaihi wasallam,
maka aku mendengar baginda bersabda: “Sesungguhnya urusan ini
tidak akan selesai sehingga berlaku kepada mereka dua belas
orang khalifah.”
(Jabir
meneruskan): Kemudian baginda berbicara dengan suara yang
perlahan kepada aku (sehingga aku tidak dapat mendengarnya). Aku
bertanya kepada ayahku: “Apa yang (Rasulullah) perkatakan?”
Ayahku menjawab: “Semua mereka daripada bangsa Quraisy.”
Hadis ini
dikeluarkan oleh Muslim di dalam kitab Shahihnya – hadis
no: 1821 (Kitab kepimpinan, Bab manusia berbai‘ah kepada
Quraisy……) Para pengkaji Syi‘ah menyatakan hadis ini
telah diriwayatkan oleh lebih 12 orang sahabat selain Jabir bin
Samurah radhiallahu 'anhum.
Perhatian
para pembaca ditarik kepada penggunaan istilah “khalifah” dalam
hadis di atas. Inilah yang penulis maksudkan ketika membahas
Hadis al-Ghadir bahawa jika Rasulullah shallallahu 'alaihi
wasallam ingin melantik ‘Ali radhiallahu 'anh sebagai
khalifah pengganti baginda, pasti baginda akan menggunakan
istilah “khalifah” dan tidak istilah Mawla atau Wali.
Ini kerana istilah “khalifah” adalah sesuatu yang lazim baginda
gunakan, sepertimana Hadis 12 Khalifah di atas.
Jika Rasulullah memilih untuk tidak mengguna istilah “khalifah”
terhadap ‘Ali di dalam Hadis al-Ghadir, bererti baginda
sememangnya tidak bermaksud untuk melantik ‘Ali sebagai khalifah
penggantinya.
Hadis
Kedua:
Kedua adalah
dakwaan
Hadis 12
Khalifah
yang diakhiri
dengan lafaz “Semua
mereka daripada Bani Hasyim”.
Setakat ini penulis tidak menemuinya dalam mana-mana rujukan
hadis Ahl al-Sunnah bahawa Hadis 12 Khalifah
diakhiri dengan lafaz Bani Hasyim. Yang benar ia diakhiri dengan
lafaz “Semua mereka daripada bangsa Quraisy.”
Ketika mengemukakan Hadis 12 Khalifah dengan lafaz
pengakhirnya:
“Semua mereka
daripada Bani Hasyim”,
Muhammad
Mar’i al-Amin sendiri tidak memberikan catitan notakaki kepada
sumbernya, apatah lagi darjat kekuatannya.
Adapun
penyataan:
“Di dalam riwayat yang lain beliau memilih Bani Hasyim di
kalangan Quraisy dan memilih Ahl al-Baitnya di kalangan
Bani Hasyim”,
ia tidak
terdapat dalam edisi Arab yang asal. Riwayat yang dimaksudkan
dalam bentuknya yang lengkap adalah seperti berikut:
Sesungguhnya Allah telah memilih (suku) Kinanah daripada anak
keturunan Ismail dan telah memilih (bangsa) Quraisy daripada (suku)
Kinanah, dan telah memilih daripada (bangsa) Quraisy Bani Hasyim
dan telah memilih aku daripada Bani Hasyim.
Hadis ini
dikeluarkan oleh Muslim di dalam kitab Shahihnya – hadis
no: 2276 (Kitab keutamaan, Bab keutamaan nasab Nabi).
Terdapat dua perkara yang perlu diluruskan berdasarkan hadis di
atas:
1.
Dalam hadis di atas Nabi shallallahu 'alaihi wasallam
tidak menyatakan Allah telah memilih Ahl al-Bait
daripada Bani Hasyim, sebaliknya telah memilih dirinya daripada
Bani Hasyim.
2.
Hadis di atas tidak berperanan mengkhususkan 12 Khalifah
daripada bangsa Quraisy kepada Bani Hasyim sahaja. Ia hanya
menerangkan keutamaan Bani Hasyim dan bukan kelayakan mereka
secara automatis menjadi khalifah.
Hadis
Ketiga:
Dalam
sumber-sumber Syi‘ah, mereka mengemukakan beberapa hadis
yang kononnya Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam
telah menyebut satu persatu nama-nama para khalifah yang dua
belas tersebut, terdiri daripada ‘Ali dan sebelas anak
keturunannya. Malang sekali hadis-hadis tersebut dikemukakan
tanpa sanad, jauh sekali daripada dinilai darjat kekuatannya.
Oleh itu dalam perbahasan ini kita tidak akan memberi perhatian
kepada hadis-hadis tersebut kerana tanpa sanad, ia tidak
memiliki apa-apa nilai.
MAKSUD
HADIS 12 KHALIFAH
Sekali lagi, izinkan penulis memberi sebuah contoh perumpamaan
bagi memudahkan para pembaca yang budiman sekalian memahami
maksud Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam di sebalik
Hadis 12 Khalifah.
Umpamakan sebuah syarikat yang melancarkan kempen motivasi bagi
para pekerjanya demi menaikkan produktiviti kerja. Untuk
mencapai hasrat ini, pihak pengurusan syarikat merancang akan
memilih bagi setiap bulan seorang pekerja yang terbaik (staff
of the month). Pemilihan adalah berdasarkan ciri-ciri yang
ada pada seseorang pekerja seperti disiplin yang baik,
penampilan diri yang kemas, budaya kerja yang sihat, kepimpinan
yang memberi teladan kepada yang lain, komunikasi yang ramah
mesra antara pekerja dan pelbagai lagi sifat-sifat yang positif.
Dengan adanya pemilihan pekerja yang terbaik oleh pihak
pengurusan, ia memberi motivasi kepada semua pekerja untuk
memberikan prestasi yang terbaik agar mereka terpilih. Lebih
dari itu, dengan adanya pemilihan yang dilakukan pada setiap
bulan, para pekerja akan berusaha memberi prestasi yang terbaik
secara berterusan supaya jika dia tidak terpilih pada bulan
tertentu, dia akan dipilih pada bulan-bulan yang akan datang.
Percaya atau tidak, usaha memberi motivasi sebagaimana contoh di
atas yang banyak dilaksanakan di syarikat-syarikat masa kini,
sebenarnya telah diusahakan oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi
wasallam lebih 1400 tahun yang lalu. Baginda sendiri telah
banyak memberi “hadis-hadis motivasi” kepada umatnya agar mereka
berusaha keras demi kebaikan agama dan umat. Berikut adalah
tiga “hadis motivasi” yang dapat penulis kemukakan sekadar
contoh:[6]
Contoh hadis motivasi # 1:
Sesungguhnya Allah mengutus untuk umat ini pada permulaan setiap
seratus tahun seorang yang memperbaharui baginya agamanya.
Hadis ini diriwayatkan oleh Abu Hurairah radhiallahu 'anh,
dikeluarkan oleh Abu Daud di dalam kitab Sunannya dan
para imam selainnya, dinilai sahih oleh al-Albani di dalam
Shahih Sunan Abu Daud – hadis no: 4291 (Kitab al-Malahin,
Bab apa yang disebut tentang kurun 100 tahun).
Contoh hadis motivasi # 2:
Perumpamaan umatku adalah umpama hujan, tidak diketahui apakah
yang baik itu pada awalnya atau akhirnya.
Hadis ini diriwayatkan oleh Anas bin Malik, ‘Amr, ‘Ali bin Abi
Thalib dan ‘Abd Allah ibn ‘Umar radiallahu ‘anhum,
dikeluarkan oleh Ahmad, al-Tirmizi, Abu Ya’la dan lain-lain. Ia
dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih al-Jami’ al-Shagheir
– hadis no: 5854.
Contoh hadis motivasi # 3:
Masa kenabian akan berlangsung di kalangan kalian sehinggalah
satu tempoh yang dikehendaki Allah, kemudian Allah akan
mengangkatnya apabila Dia ingin mengangkatnya.
Kemudian akan berlangsung (sistem pemerintahan) khalifah yang
berada di atas manhaj Nubuwwah sehinggalah satu tempoh yang
dikehendaki Allah, kemudian Allah akan mengangkatnya apabila Dia
ingin mengangkatnya.
Kemudian akan berlangsung (sistem pemerintahan) beraja yang
menggigit (menghimpit) sehinggalah satu tempoh yang dikehendaki
Allah, kemudian Allah akan mengangkatnya apabila Dia ingin
mengangkatnya.
Kemudian akan berlangsung (sistem pemerintahan) beraja yang
mengganas (zalim) sehinggalah satu tempoh yang dikehendaki
Allah, kemudian Allah akan mengangkatnya apabila Dia ingin
mengangkatnya.
Kemudian akan berlangsung (semula sistem pemerintahan) khalifah
yang berada di atas manhaj Nubuwwah.
Kemudian baginda diam.
Hadis ini diriwayatkan oleh Huzaifah bin al-Yaman radhiallahu
'anh, dikeluarkan oleh Ahmad di dalam Musnadnya dan
sanadnya dinilai hasan oleh Syu‘aib al-Arna’uth dalam semakannya
ke atas kitab Musnad Ahmad – hadis no: 18406 (Awal
Musnad al-Kufayyan, Hadith Nu’man bin al-Basyir).
Ketiga-tiga hadis di atas bersifat memberi motivasi kepada umat
Islam dengan caranya yang tersendiri:
1.
Hadis pertama memberi motivasi kepada umat Islam untuk sentiasa
berusaha memperbaharui agama mereka, yakni dengan cara
mengembalikannya kepada bentuk yang tulen sepertimana baru,
bersih daripada bid‘ah dan penyelewengan.[7]
2.
Hadis
kedua memberi motivasi kepada umat Islam untuk sentiasa berusaha
ke arah kebaikan tanpa berputus asa kerana hasil kebaikan itu
tetap akan diperoleh satu hari nanti.
3.
Hadis ketiga menerangkan janji Allah Subhanahu wa Ta‘ala
bahawa sistem pemerintahan khalifah akan kembali mengurus umat
Islam. Umat Islam akan kembali berbai‘ah, memberi janji taat
setia kepada khalifah Islam dan meninggalkan amalan masa kini
yang berbai‘ah kepada “Bangsa-Bangsa Bersatu” atau sistem
pemerintahan ala Barat. Ia memberi motivasi kepada kita semua
untuk sentiasa berusaha ke arahnya tanpa berputus asa atau
berselesa dengan apa yang ada masa kini.
Ciri penting
untuk mengenal hadis-hadis motivasi adalah ia menerangkan
tentang perkara yang akan berlaku tanpa memperincikan sesuatu
nama, tempat atau masa.
Kini kita
sampai kepada menjelaskan maksud Hadis 12 Khalifah. Ia
termasuk dalam kategori “hadis motivasi”, bertujuan memberi
motivasi kepada para khalifah umat Islam agar mereka memimpin
umat dengan benar, adil dan berjaya. Hendaklah dia memimpin
sehingga berjaya memberi kemenangan kepada Islam dan umatnya.
Ini berdasarkan sebuah hadis yang lain yang dikeluarkan oleh
Muslim di dalam kitab Shahihnya – hadis no: 1821-3 di
mana Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam
bersabda:
Islam
akan terus menang selagi ia dipimpin oleh 12 khalifah.
Jika dikaji semua hadis yang menerangkan tentang kepimpinan 12
khalifah berdasarkan sanad yang sahih, tidak satu jua yang
menerangkan nama para khalifah tersebut mahupun masa dan pusat
pemerintahan mereka. Baginda hanya menerangkan bahawa mereka
terdiri daripada bangsa Quraisy. Ini memang merupakan ciri-ciri
hadis motivasi sebagaimana yang penulis jelaskan di atas.
Memandangkan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam
membiarkan hadis tersebut dalam bentuk yang terbuka, tidaklah
perlu untuk kita menutupnya dengan menetapkan nama-nama khalifah
tertentu. Apa yang boleh dilakukan ialah sekadar meramalkan
siapakah khalifah yang menepati ciri-ciri hadis, seperti Abu
Bakar, ‘Umar bin al-Khaththab, ‘Utsman ibn ‘Affan, ‘Ali bin Abi
Thalib, Hasan bin ‘Ali, Muawiyah bin Abi Sufyan, Harun
al-Rasyid, ‘Umar bin “Abd al-‘Aziz dan sebagainya,
radhiallahu 'anhum.
Merujuk kepada hujah Syi‘ah yang menganggap 12 khalifah
yang dimaksudkan oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam
ialah ‘Ali dan kesemua 11 anak keturunannya radhiallahu 'anhum,
ia adalah hujah yang salah lagi jauh tersasar. Sebabnya, di
kalangan ‘Ali dan kesemua 11 anak keturunannya, hanya ‘Ali dan
anaknya Hasan bin ‘Ali yang pernah menjadi khalifah umat Islam.
Baki sembilan daripada keturunan ‘Ali yang dinobatkan sebagai
khalifah oleh Syi‘ah tidak pernah menjadi khalifah,
justeru tidak pernah memimpin sehingga membawa kemenangan kepada
agama dan umat.
[1]
Mengapa Aku Memilih Ahlul-Bait? (edisi muat
turun internet, Bab: Hadith-hadith yang menghadkan
pengganti Rasulullah SAWAW kepada duabelas orang).
Bagi rujukan asal: Limaza Akhtartu Mazhab al-Syi‘ah?,
lihat ms. 171 & 180.
[2]
Terdapat teks yang tidak diterjemahkan, namun
ia tidak mencemari hujah yang cuba disampaikan oleh
Muhammad Mar’i al-Amin.
[3]
Teks ini tertinggal terjemahannya daripada
edisi Arab yang asal.
[4]
Teks ini dalam edisi muat turun internet
tertinggal terjemahannya. Akan tetapi dalam edisi
bercetak ia tidak tertinggal.
[5]
Teks dalam kurungan berganda ini tidak
terdapat dalam edisi Arab yang asal.
[6]
Inilah juga hadis-hadis yang lazim dikenali
sebagai “Hadis-hadis Akhir Zaman”. Ia seringkali
disalahfahami oleh kebanyakan orang bahawa kononnya
Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam telah
meramalkan sesuatu yang buruk lagi bersifat negatif
tentang umatnya. Padahal yang benar adalah sebaliknya.
Lebih lanjut rujuk buku penulis: Kaedah Memahami
Hadis-Hadis Musykil (Jahabersa, Johor Bahru 2003).
[7]
Apakah yang dimaksudkan sebagai “memperbaharui
agama”? Rujuk penjelasan Yusuf al-Qaradhawi dalam
Fiqih Tajdid Dan Shahwah Islamiyah (edisi terjemahan
oleh Nabhani Idris daripada judul asal: Min Ajli
Shahwatin Rasyidah Tujaddid al-Deen……wa Tanhadh bi al-Dunya;
Islamuna Press, Jakarta 1997).
[8]
Penulis menggunakan istilah “dinobatkan
sebagai imam” kerana mengikut beberapa riwayat, para
Ahl al-Bait daripada keturunan Husain bin ‘Ali
radhiallahu 'anhum telah menolak kedudukan khalifah
yang disandarkan kepada mereka oleh orang-orang
Syi‘ah. Akan tetapi orang-orang Syi‘ah tetap
berkeras menyandarkan kedudukan tersebut kepada mereka
kerana darah Parsi yang mengalir dalam tubuh mereka,
hasil perkahwinan Husain bin ‘Ali dengan puteri raja
Parsi yang ditakluk pada zaman pemerintahan ‘Umar al-Khaththab.
Menarik untuk
diperhatikan bahawa para tokoh Syi‘ah hanya
memilih 12 khalifah tersebut daripada keturunan Husain
bin ‘Ali dengan mengecualikan Hasan bin ‘Ali
radhiallahu 'anh sekalipun beliau (Hasan) pada
asalnya pernah menjadi khalifah umat Islam sebelum
menyerahkannya kepada Muawiyah radhiallahu 'anh.
|
No comments:
Post a Comment