16.10.12

PRINSIP MEMORI BAHAGIAN 2

PRINSIP MEMORI BAHAGIAN 2
MENGINGAT SECARA MUDAH
APABILA peperiksaan hampir tiba, pelajar-pelajar mula risau sama ada ia boleh mengingat atau tidak fakta-fakta yang telah dipelajarinya. Bolehlah dikatakan bahawa sekiranya seseorang pelajar itu lupa tentang apa yang hendak ditulisnya, kemungkinan, kemahiran untuk mengingat bahan pelajaran sangatlah penting bagi pelajar. Di dalam buku-buku kemahiran belajar telah ditunjukkan berbagai-bagai teknik mengingat yang utama adalah bergantung pada diri kita sendiri, walaupun ada juga pengaruh daripada faktor luar. Sekiranya kita mempunyai keazaman yang tinggi untuk mengingat, kita tentu akan berusahamengingatnya dengan menggunakan teknik tertentu. Teknik mengingat hanyalah sebagai alat untuk lebih menyenangkan kita mengingat.

1 Daya Ingatan
SESEORANG yang boleh mengingat bahan pelajaran dengan cekap dikatakan mempunyai daya ingatan yang baik. Daya ingatan boleh dianggap sebagai kekuatan minda kita menyimpan apa sahaja yang kita pelajari, sama ada secara langsung ataupun tidak untuk satu jangka masa yang tertentu. Ahli Sains yang mengkaji tentang ingatan ini telah membahagi ingatan kepada dua, iaitu ingatan jangka pendek dan ingatan jangka panjang.
Ingatan jangka pendek dikatakan sebagai kebolehan menyimpan maklumat pembelajaran selama kurang daripada 5 minit, selepas itu maklumat pembelajaran itu akan beransur-ansur hilang dan dilupakan. Dengan adanya ingatan jangka pendek, kita boleh mengambil nota apabila guru bercakap di depan kelas. Kalau guru terus bercakap tanpa mengulang bahan pelajaran yang sama, bahan yang telah ditulis itu akan dilupakan kerana tumpuan kita adalah kepada perkara yang dilupakan kerana tumpuan kita adalah kepada perkara yang baru. Dengan kata lain, ingatan jangka pendek akan berlaku selepas kita mendapat satu maklumat dan maklumat itu tidak perlu kita ingati lagi. Misalnya kita bertanya harga sebuah buku. Selepas kita beli buku tersebut, mungkin kita tidak perlu mengingat harganya lagi, kerana buku itu telah kita miliki.
Ingatan jangka panjang sangat penting bagi seseorang pelajar. Dengan ingatan jangka panjang, pelajar akan dapat menjawab soalan-soalan dalam peperiksaan. Apabila maklumat atau kesan pembelajaran itu telah berada dalam ingatan jangka panjang, ia senang diingat kembali apabila diperlukan.
Mengingat untuk Peperiksaan
TUJUAN utama pelajar mengingat bahan pelajar ialah untuk menghadapi peperiksaan. Kalau kita boleh mengingat, senanglah kita menjawab soalan-soalan peperiksaan.
Berikut disenaraikan 14 patah perkataan. Ingati perkataan-perkataan tersebut dalam masa 45 saat sahaja.
wayar               seterika
positif               atom 
keupayaan       elektrik
lampu               negatif
kimia                cahaya
haba                 bateri
bunyi                 kinetik
Selepas 45 saat, tutup perkataan-perkataan itu dan cuba ingati perkataan-perkataan tersebut semula. Bagaimana anda boleh mengingat perkataan-perkataan tersebut? Apakah teknik yang anda gunakan untuk mengingat perkataan-perkataan ini?
  1. Titian Memori
    1. DALAM Titian Memori, ada 6 cara yang dapat anda gunakan untuk mengingat. Titian tersebut ialah:
      1. Mnemonik, iaitu dengan cara menggunakan huruf atau perkataan bagi sesuatu maklumat.
      2. Emosi, iaitu dengan cara mengaitkan nilai dan motivasi seseorang pelajar dengan bahan-bahan pelajaran.
      3. Mengulang, iaitu dengan cara menggunakan maklumat untuk sesuatu aktiviti dan juga membuat ulangkaji.
      4. Organisasi, iaitu dengan cara menyusun bahan-bahan tersebut daripada bentuk yang kurang sesuai dan tidak biasa kepada bentuk yang sesuai dan lebih dekat dengan kita.
      5. Ringkasan, iaitu dengan cara memendekkan atau memadatkan isi kandungan pelajaran agar lebih senang diingat atau dihafal.
      6. Ikatkan dan imaginasi, iaitu dengan cara mengikat sesuatu maklumat itu dengan perkataan atau objek tertentu.
      M.E.M.O.R.I. adalah berdasarkan huruf awal daripada perkataan Mnemonik, Emosi, Mengulang, Organisasi, Ringkasan dan Ikatan. M.E.M.O.R.I. juga bermakna ingatan, jadi senanglah kita mengingat Titian Memori ini.
Cara Mnemonik
      CARA Mnemonik merupakan satu cara mengingat yang telah lama diketahui dan senang digunakan oleh pelajar. Cara ini telah juga digunakan dalam kehidupan kita seharian dengan tidak kita sedari.
      Huruf Ringkas
      DALAM pelajaran Sains, nama bahan kimia dan nama bahan tertentu diringkaskan sahaja berdasarkan huruf pertama setiap perkataan, sehingga cara ini telah menjadi amalan biasa dan diiktiraf sebagai satu cara yang berkesan untuk mengingat.
      Contoh penggunaan huruf ringkas ialah seperti
      ATP - iaitu untuk Adinosin Triposfat
      DNA - iaitu untuk Asid Deoksi Nukleid (atau Deoxy Nucleic Acid)
      Kadang-kadang ia telah menjadi simbol atau istilah yang mesti dipakai, seperti:
      Pb = Plumbum
      K = Kalium
      Cl = Klorin
      Penggunaan Huruf Pangkal
      PENGGUNAAN huruf pangkal untuk sesuatu perkataan boleh menyenangkan kita mengingat sesuatu bahan pelajaran atau istilah yang berbentuk siri. Huruf pangkal setiap istilah itu dijadikan perkataan yang senang diingat.
      Contoh 1:
      Kelas haiwan vertebrata ialah reptilia, ikan, amfibia, burung dan mamalia. Setiap huruf pangkal kelas haiwan vertebrata, iaitu R, A, I, B dan M disusun menjadi satu perkataan. Contohnya ialah RIMBA. Jadi apabila mengingat kelas haiwan vertebrata ialah RIMBA, dengan sendirinya kita boleh mengingat kelas haiwan itu, iaitu:
      R = Reptilia
      I = Ikan
      M = Mamalia
      B = Burung
      A = Amfibia
      Contoh 2:
      Pelajar selalu mengingat vitamin larut lemak sebagai ADEK, iaitu vitamin A, vitamin D, vitamin E dan vitamin K.
      Contoh 3:
      Peringkat mitosis ialah IPMAT, iaitu I (Interfasa), P (Profasa), M (Metafasa), A (Anafasa) dan T (Telofasa).
      Penggunaan Huruf Pangkal Bagi Lebih daripada Dua Perkataan atau Satu Kenyataan
      Huruf pangkal atau huruf penting bagi sesuatu perkataan boleh juga digunakan untuk sesuatu kenyataan. Kemudian huruf pangkal itu dijadikan satu perkataan atau ayat.
      Contoh 1:
      Tanah terdiri daripada BAU-BOM, iaitu
      B untuk Butiran dan batuan
      A untuk Air tanah
      U untuk Udara tanah
      B untuk Bahan organik
      O untuk Organisma tanah
      M untuk Mineral, iaitu garam mineral

      Membuat Ayat Berdasarkan Huruf Pangkal
      Selalunya pelajar menggunakan huruf pangkal untuk membuat satu ayat. Huruf pangkal ini memberi satu kekunci untuk istilah atau perkataan yang diperlukan.
      Contoh 1:
      Nama 5 enzim yang terdapat pada jus usus kecil yang dirembeskan oleh sel dinding ileum. Boleh digunakan ayat yang berikut:
      "Sukri marah lalat, lipas pening."
      S (ukri) untuk Sukrase
      M (arah) untuk Maltase
      L (alat) untuk Laktase
      L (ipas) untuk Lipase
      P (ening) untuk Peptidase
      Ayat yang digunakan mestilah yang biasa dengan kita dan senang diingati.
      Contoh 2:
      Cara ini sesuai digunakan untuk mengingat contoh-contoh sesuatu bahan, misalnya contoh pelarut-pelarut bukan air. Boleh digunakan ayat yang berikut:
      "Ali tolong emak buat kuih."
      A (li) untuk Alkohol
      T (olong) untuk Turpentin
      E (mak) untuk Eter
      B (uat) untuk Benzen
      K (uih) untuk Kerosin
      Membesarkan Huruf
      Ini dilakukan di dalam buku nota atau kad belajar. Prinsipnya sama seperti Mnemonik yang lain, iaitu menggunakan huruf pangkal untuk sesuatu istilah atau perkataan.
      Contoh 1:
      AGen HAKisan fizikal
      Dalam cara ini, huruf besar pada perkataan itu membawa makna tertentu yang berkaitan dengan agen hakisan fizikal, iaitu:
      A untuk Air
      G untuk Glasier
      H untuk Haba
      A untuk Angin
      K untuk Kilat
      Contoh 2:
      Ada juga cara membesarkan huruf ini untuk kekunci untuk menerangkan sesuatu istilah atau perkataan, misalnya:
      HabiTat
      Di sini dibesarkan huruf H dan T. Huruf H dikaitkan dengan perkataan ‘hidup’ dan T dikaitkan dengan perkataan ‘tempat’. Jadi apabila hendak mengetahui makna habitat, dua perkataan penting yang mesti ada ialah ‘hidup’ dan ‘tempat’. Pelajar boleh mengingati tempat di mana sesuatu organisma itu hidup, iaitu habitatnya.
      Rumusan
      PENGGUNAAN cara Mnemonik selalunya berdasarkan huruf pangkal sesuatu perkataan. Anda boleh menggunakannya dalam pelbagai cara anda sendiri.
  1. Emosi

MENGINGAT menggunakan cara emosi merupakan satu cara yang terdapat pada pelajar yang mempunyai motivasi dan dorongan yang tinggi. Emosi dikaitkan dengan memahami dan menghayati sesuatu ilmu pengetahuan untuk diri sendiri. Ia diterima tanpa paksaan, sehingga membentuk satu pegangan, iaitu mencari ilmu satu kewajipan, menerima ilmu satu pilihan dan mengamalkan ilmu satu kesepaduan.
Mencari Ilmu
MENCARI ilmu satu kewajipan, bermakna pelajar telah memahami bahawa belajar itu adalah satu tanggungjawab yang mesti disempurnakan. Jika telah mempunyai pemikiran yang sedemikian, segala tindak-tanduk dan perlakuannya akan dihalakan kepada mencari ilmu. Dengan sendirinya beberapa ‘rintangan’ dalam pembelajaran dapat dikurangkan. Semakin kurang ‘rintangan’ dalam pembelajaran, semakin meningkat daya ingatan seseorang pelajar itu. Rintangan dalam pembelajaran ialah seperti tidak menepati masa belajar dan pengurusan masa, melanggar peraturan sekolah, tidak sukakan guru, merasa bosan dalam kelas, tiada usaha untuk memperbaiki pelajaran dan juga masalah berkaitan dengan cinta remaja. Walau bagaimanapun, jika rintangan pembelajaran difikirkan daripada aspek positif dan diubahkan kepada kesan untuk positif, ia boleh menjadikan seseorang pelajar berfikiran positif terhadap ilmu pengetahuan.
Seperti manusia biasa, pelajar tidak boleh lari daripada memerlukan ganjaran apabila melakukan sesuatu. Apabila sudah dapat memahaminya, pelajar mesti mencari ilmu dan pada masa yang sama mengingati ilmu-ilmu itu. Pertanyaan yang terlintas di fikiran kita ialah untuk apa kita mengingati isi pelajaran itu ? Di sinilah kita mesti fikirkan ganjarannya. Ganjaran yang kita perolehi apabila kita mengingati bahan dan isi pelajaran ialah semasa berada dalam dewan peperiksaan dan apabila menerima keputusan peperiksaan.
Di dewan peperiksaan, sekiranya anda dapat mengingat kembali ilmu-ilmu yang telah dipelajari, anda tentu merasa gembira dan senang hati. Inilah ganjaran yang diperolehi. Apabila anda menerima keputusan dan mendapat keputusan yang cemerlang, di sinilah letaknya ganjaran anda mengingat. Anda merasa puas hati kerana dengan usaha anda mengingat itu, anda telah mendapat ganjaran yang setimpal.
Oleh yang demikian, sebagai pelajar anda mestilah melatih minda anda supaya memberi keutamaan kepada mengingati bahan pelajaran untuk masa hadapan, iaitu pada akhir persekolahan anda bagi menghadapi peperiksaan. Anda mesti fikir bahawa perkara yang anda lakukan itu, iaitu mengingati bahan pelajaran adalah berharga bagi anda sebagai seorang pelajar.
Menerima Ilmu
MENERIMA ilmu satu pilihan, bermakna kita mesti mempunyai keupayaan untuk memilih ilmu atau bahan pelajaran yang perlu diingati. Sebelum menerima ilmu pengetahuan dan berhasrat untuk mengingat ilmu pengetahuan itu, anda perlu mengambil langkah-langkah berikut:
  1. Baca sepintas lalu dahulu dan dapatkan idea keseluruhan daripada bahan bacaan itu. Kalau boleh tuliskan dalam bentuk kata kunci atau bentuk ringkas. Pada peringkat ini mungkin anda belum memahami dengan betul idea yang hendak disampaikan oleh penulis.
  2. Setelah mencatat ringkasan bacaan itu, anda perlu memikirkan apakah bahan atau kata kunci yang perlu diingat. Pada peringkat ini, anda hendaklah mencari soalan-soalan yang biasa keluar dalam peperiksaan atau ujian pada tahun-tahun lepas. Berdasarkan soalan-soalan itu, anda boleh mengenal pasti kata kunci yang penting misalnya dalam pelajaran Sains, Bab Mikrobiologi, pertanyaan yang mungkin timbul ialah ‘Apakah yang dimaksudkan dengan mikroorganisma’? Berdasarkan soalan ini, anda hendaklah mencatatkan takrif mikro-organisma, kepentingan mikroorganisma dan contoh-contoh mikro-organisma yang mudah.
  3. Sekarang anda telah mengenal pasti bahan yang perlu diingat. Sebelum mengingat, fikirkan kembali soalan itu dan tajuk perkara yang akan diingat. Mungkin anda boleh lakukan perkara ini dua minit sebelum mengingat.
  4. Anda boleh mengingat dengan dua cara, iaitu sedikit demi sedikit ataupun sekaligus. Sedikit demi sedikit, tumpukan perhatian kepada perkataan tersebut – cuba ingat dengan menulis kembali atau melafazkannya dengan lisan atau mengucapkannya dalam hati. Apabila dirasakan telah ingat, teruskan kepada isi pelajaran yang seterusnya. Jika mengingat sekaligus, baca dan fahami semua isi kandungan pelajaran itu, tulis kembali apa yang hendak diingat atau berkata-kata dalam hati atau lafazkan apa yang hendak diingatkan itu.
  5. Perkara yang harus diingat ialah apabila anda hendak mengingat, sekiranya badan terasa letih atau fikiran terawang-awang, berhenti dahulu daripada mengingat dan berehatlah sebentar. Selalunya selepas lebih kurang 1 jam anda mengingat sesuatu perkara, badan akan berasa letih. Apabila letih, tunaikanlah sembahyang sunat atau melihat keindahan alam atau bergembira sebentar dengan keluarga. Apabila sudah merasa tenang, mulakan kembali mengingat pelajaran itu, iaitu terus tulis atau ucapkan apa yang hendak anda ingat itu.
Mengamal Ilmu
MENGAMALKAN ilmu satu kesepaduan, bermakna anda mesti menghubungkaitkan ilmu itu di antara satu sama lain. Penting juga mengaitkan ilmu itu dengan nilai-nilai dan masyarakat kita. Dalam pelajaran Sains umpamanya, banyak istilah dalam bahan pelajaran ditulis dan Bahasa Inggeris. Oleh itu sangat penting anda mengetahui Bahasa Inggeris supaya lebih senang mengingat.
Misalnya istilah fototropisme (phototropism). Sekiranya anda tahun bahawa foto (photo) itu bermakna berkaitan dengan cahaya dan tropisme (tropism) berkaitan dengan gerak balas, dengan senang anda dapat membuat telahan bahawa fototropisme berkaitan dengan pergerakan tumbuhan menghala kepada cahaya. Begitu juga istilah fotosintesis. Istilah ini berasal daripada dua perkataan, iaitu ‘photo’ dan ‘synthesis’. Dengan mengetahui makna ‘photo’ dan ‘synthesis’, pelajar dapat mengingat maknanya dengan senang.
Di samping itu ada istilah yang menggunakan awalan yang memberi gambaran tertentu, seperti awalan:
  1. mikro, contohnya mikroorganisma.
  2. homo, contohnya homogen dan homozigot
  3. hetero, contohnya heterogen dna heterotrof
Seandainya anda menganalisa perkataan awalan dan perkataan berikutnya dan dengan senang anda dapat mengingat contoh-contoh yang diberi, ternyatalah istilah-istilah yang dicipta oleh ahli pendidik itu mempunyai nilai dan makna yang tertentu. Dengan mengetahui asas daripada istilah itu akan menyenangkan anda mengingat maksud istilah tersebut.
Mengamalkan ilmu juga berkaitan dengan diri anda. Anda akan senang mengingat sesuatu apabila anda melakukannya atau perkara itu ada kaitan dengan anda. Dalam pelajaran yang terdapat latihan amali, seperti Sains dan Geografi, kerja amali atau kerja lapangan yang dilakukan itu boleh menambahkan daya ingatan anda. Menulis sesuatu perkara juga boleh menambahkan daya ingatan anda terhadap apa yang anda tulis.
Dalam hal-hal tertentu, kita boleh mengingat sesuatu perkara sekiranya ‘terpaksa’. Ini semuanya berkaitan dengan emosi. Kita akan merasa tidak perlu mengingat sekiranya sesuatu itu tidak bernilai kepada kita. Jadi, kita mesti menghubungkan sesuatu perkara yang dipelajari itu untuk diamalkan supaya ia lebih bermakna kepada kita.
Meningkatkan Daya Ingatan dengan Minda
Berkaitan dengan emosi itu, kita boleh meningkatkan daya ingatan kita dengan latihan minda melalui dua cara, iaitu:
  1. bercakap positif terhadap daya ingatan.
  2. Mempercayai daya ingatan dan imaginasi.
A. Bercakap Positif Terhadap Daya Ingatan
SECARA sedar atau tidak, kita sebenarnya selalu berkata-kata dengan diri kita sendiri. Kita selalu memberitahu sesuatu tentang diri kita kepada diri kita sendiri. Ahli psikologi telah membuktikan bahawa di antara percakapan kita dengan diri kita sendiri, secara mudah dibahagikan kepada dua, iaitu bercakap positif dan satu lagi bercakap negatif. Darjah atau kekuatan percakapan kita itu daripada segi nilainya bergantung pada diri kita sendiri. Mungkin kita bercakap terlalu positif tentang diri kita atau mungkin juga kita bercakap terlalu negatif pada diri kita. Dengan mengenal diri sendiri, kita akan mengetahui apa yang kita cakapkan pada diri kita.
 
Bagi meningkatkan daya ingatan, kita mestilah merasakan bahawa daya ingatan kita bertambah kuat dari hari ke hari dan dari semasa ke semasa. Bukanlah sesuatu yang aneh kita bercakap dengan diri kita sendiri. Bercakap pada diri sendiri yang dimaksudkan di sini ialah berkaitan dengan minda kita. Ini semua berlaku dalam minda kita.
Awas, jangan menyalahertikan bahawa bercakap dengan diri sendiri itu sebagai kelupusan akal!
Cuba fikirkan sebentar tentang diri anda sekarang. Dua tahun yang lalu, anda mungkin tidak mengetahui banyak istilah. Sekrang anda telah mengetahui banyak istilah. Ada istilah Matematik, ada istilah Sains dan ada istilah Bahasa. Semakin hari semakin banyak istilah yang anda ketahui dan perolehi. Ini menunjukkan bahawa diri anda semakin bertambah ilmunya dan dengan sendirinya daya ingatan anda turut bertambah.

Fikirkan bahawa setiap hari melalui pancaindera, kita memperolehi maklumat.

Kenapa anda boleh mengingati masakan emak anda yang sedap itu? Kemudian anda buat perbandingan dengan masakan emak kawan anda. Anda telah berfikir dan menggunakan proses membanding untuk mengingati masakan emak anda.
Seterusnya anda menilai masakan mana yang sedap dan membuat keputusan. Ini adalah satu aliran pemikiran yang mudah untuk menyatakan bahawa masakan emak anda itu sedap. Hal ini hanya anda sahaja yang dapat menyatakannya kerana anda mempunyai daya ingatan. Daya ingatan anda bertambah dengan pengalaman yang baru. Anda tentu boleh memilih restoran mana yang sedap masakannya. Pilihan ini disebabkan daya ingatan anda bertambah. Ini berkaitan dengan pancaindera anda, iaitu sentuhan – rasa masakan.

Organ deria kita seperti mata, telinga, hidung dan kulit boleh menguatkan ingatan kita terhadap sesuatu perkara. Dalam kes merasa makanan tadi, lidahlah yang berperanan. Oleh yang demikian, organ-organ deria yang dikurniakan oleh Tuhan kepada kita menyebabkan daya ingatan kita meningkat.
Kalau kita selalu lupa, ini sebenarnya menunjukkan bahawa kita selalu bercakap negatif dengan diri kita dan tidak memberi perhatian tentang rangsangan yang dikesan oleh pancaindera kita. Kita mesti yakin bahawa setiap saat daya ingatan kita bertambah.
Daya ingatan kita akan semakin bertambah dengan usaha kita sendiri. Misalannya kalau kita diajar sesuatu ilmu, kemudian kita mengamalkannya untuk diri kita, dengan sendirinya ingatan kita terhadap ilmu itu bertambah. Ingatan terhadap ilmu itu akan bertambah lagi sekiranya kita menerangkan ilmu itu kepada orang lain. Daripada kajian yang dibuat, didapati bahawa seseorang yang mengajar atau memberitahu orang lain tentang sesuatu maklumat, ingatannya tentang perkara itu boleh mencapai 95%. Ini adalah bukti bahawa aktiviti tertentu boleh meningkatkan daya ingatan kita.
Amalan kita ‘bercakap’ dengan diri kita akan menambahkan lagi daya ingatan kita. Dengan itu selalulah kita berkata, "Daya ingatan saya meningkat dari hari ke hari."
Pelbagai latihan boleh dijalankan bagi menghentikan kita daripada mengatakan bahawa daya ingatan kita lemah. Antara cara yang paling senang ialah dengan mengingat kembali apa yang berlaku pada diri kita setiap hari.
Contohnya, sebelum tidur cuba fikirkan dan ingatkan apa yang anda lakukan, bermula dari pagi hingga masa anda hendak tidur. Misalnya anda ingat tentang bangun tidur, gosok gigi, mandi dan sembahyang Subuh. Seterusnya anda boleh memikirkan dan mengingati peristiwa yang berlaku pada diri anda berdasarkan masa. Pukul 7.30 pagi apakah yang anda buat. Pukul 8.00 pagi apakah yang berlaku? Pukul 9.00 pagi apakah yang anda lihat? Pukul 10.00 pagi apakah yang terjadi? Dan seterusnya hingga ke saat anda memikirkan tentang perkara-perkara itu. Dengan usaha ini, minda anda sentiasa diasuh untuk mengingat. Latihan yang berterusan dengan menggunakan teknik-teknik yang tertentu akan menghasilkan daya ingatan yang baik.
Anda juga boleh melatih diri anda memikir dan mengingat perkara-perkara yang telah lalu, iaitu perkara-perkara yang baik yang boleh merangsang peningkatan daya ingatan anda, misalnya kejayaan anda dalam pelajaran atau peperiksaan. Sekiranya anda tidak dapat mengingat atau berfikir, tentu anda tidak akan mendapat kejayaan itu. Dengan memikirkan tentang perkara ini dan menyatakan bahawa anda sedang mengingat, daya ingatan anda akan meningkat dari hari ke hari.
Oleh yang demikian, asuhlah diri anda supaya menghentikan pemikiran yang membawa erti daya ingatan anda lemah. Justeru itu cuba hindarkan menyebut, "Saya tidak tahu", "Saya cepat lupa", "Saya tidak ingat", "Entah, saya tidak tahu" dan sebagainya. Ayat-ayat atau sebutan-sebutan ini akan menyebabkan daya ingatan anda menjadi lemah. Amalkan menyebut kata-kata yang positif, seperti "Biar saya fikir dahulu", "Saya cuba sekarang", "Saya akan laksanakan" dan sebagainya. Sebutan-sebutan atau ayat-ayat seperti ini merangsang minda anda untuk berfikir dan mengingat. Dengan sendirinya daya ingatan anda bertambah. Teknik menggunakan kuasa perkataan adalah sangat penting dan akan dibincangkan dengan lebih lanjut lagi.
Sebagai rumusannya, kita berusaha untuk mempunyai keyakinan bahawa kita mempunyai daya ingatan yang kuat. Jika kita ada kemahuan ke arah itu, daya ingatan kita akan bertambah dan meningkat. Selepas kita berikhtiar, haruslah kita berserah kepada Allah, moga-moga segala apa yang kita hajati itu akan dimakbulkan-Nya. Allah sentiasa memberkati usaha ke arah kebaikan dan kita berharap dengan bertambahnya daya ingatan kita, kita akan menjadi hamba Allah dan pelajar (insan) yang terbaik – untuk kejayaan di dunia dan di akhirat. Oleh yang demikian, hentikanlah daripada mengatakan bahawa daya ingatan kita lemah. Mulailah berkata bahawa daya ingatan kita meningkat dari masa ke semasa. Semoga Allah memberhati usaha kita ini.
B. Mempercayai Daya Ingatan dan Imaginasi
ANDA sudah mula membaca tulisan ini. Kenapa anda membacanya? Fikirkan sebentar mengapa anda membaca tulisan ini. Anda boleh memberi beberapa alasan. Orang lain juga boleh memberi alasan yang sama atau tidak sama dengan alasan yang anda kemukakan. Secara sedar atau tidak, satu daripada alasan mengapa anda membaca tulisan ini ialah kerana anda mempunyai kepercayaan bahawa anda mampu dan boleh membaca tulisan ini. Maknanya anda mempunyai keyakinan bahawa abjad yang disusun sedemikian rupa boleh memberi suatu pengertian dan maklumat kepada anda.
Kepercayaan pada Daya Ingatan
SANGATLAH penting mempunyai satu kepercayaan terhadap sesuatu yang anda lakukan. Jika anda fikir anda tidak boleh membaca tulisan ini, tentulah anda tidak akan membaca hingga had ini. Keyakinan dan kepercayaan anda pada diri sendiri merupakan anugerah Allah kepada makhluk-Nya. Anugerah ini mestilah anda gunakan dengan sebaik-baiknya agar anda dapat menuju ke arah untuk menjadi seorang insan yang sempurna di dunia dan akhirat. Apabila anda mempunyai kepercayaan, umpamanya terhadap sesuatu aktiviti, aktiviti itu akan dapat dilakukan dengan senang. Dengan sendirinya kekangan aktiviti itu dapat dikurangkan ataupun ditiadakan.
Misalan yang paling dekat ialah diri anda sendiri. Anda percaya pada diri anda sendiri bahawa anda boleh membaca tulisan ini sampai habis. Jika diizinkan Allah, hasrat anda itu akan terlaksana. Fikirkan sekarang, adakah anda percaya bahawa anda boleh menghabiskan membaca artikel ini? Kalau anda jawab ‘ya’ secara ikhlas dan jujur, teruskan membaca artikel ini sehingga habis.
Secara mudah, bolehlah kita rumuskan bahawa kepercayaan terhadap sesuatu adalah penting untuk mendapatkah hasil atau ‘output’ yang kita harapkan. Begitu juga dengan meningkatkan daya ingatan kita ialah kepercayaan kita terhadap daya ingatan dan imaginasi kita sendiri.
Jika minda kita mengakui dan percaya terhadap daya ingatan kita, dengan sendirinya daya ingatan kita akan bertambah. Bagaimanakah kita boleh membuktikan bahawa kita percayakan ingatan kita itu?
Pelbagai cara boleh digunakan untuk membuktikan bahawa kita mempunyai ingatan dan kita percaya akan ingatan kita itu. Cara yang paling senang ialah dengan mengenang kembali kisah silam.
Sekarang lakukan aktiviti-aktiviti berikut:
    1. Kosongkan minda anda sekarang.
    2. Fikirkan satu peristiwa manis yang telah anda alami.
    3. Cuba bayangkan dalam minda anda urutan peristiwa tersebut.
    4. Kemudian pejamkan mata. Sekarang fikirkan dan bayangkan urutan peristiwa tersebut sekali lagi. Ingat! Pejamkan mata anda.
Ingatan terhadap peristiwa manis yang menjadi kenangan ini dapat anda rasai kembali dengan adanya kepercayaan bahawa daya ingatan anda kuat dan boleh mengingat peristiwa itu.
Begitu juga, air mata kita mungkin berlinang jika kita mengingat urutan peristiwa yang manyayat hati kita. Ini semuanya bergantung pada kepercayaan terhadap daya ingatan kita.
Kepercayaan Terhadap Imaginasi
KEPERCAYAAN terhadap daya ingatan ini dapat dilengkapkan dengan adanya kepercayaan kita terhadap imaginasi. Banyak perkara boleh dibicarakan tentang imaginasi, tetapi dalam kaitannya terhadap meningkatkan daya ingatan, imaginasi lebih merupakan latihan kepada minda kita. Anak-anak kecil lebih banyak berimaginasi daripada orang dewasa.
Apabila mengingati peristiwa yang indah dan manis, kadangkala kita mengimaginasikan ia telah berulang kembali. Kita berimaginasi sehingga ada masanya menyentuh perasaan, sehingga menyebabkan kita menangis atau tersenyum sendiri. Ini menunjukkan bahawa kita percaya pada daya ingatan dan imaginasi kita, sehingga kita berasa gembira atau sebaliknya.
Kita mestilah percaya akan imaginasi untuk meningkatkan daya ingatan kita. Pelajar selalu melakukan aktiviti yang berkaitan dengan percaya akan daya ingatan dan imaginasi. Misalnya, cuba fikirkan bagaimana anda hendak berjumpa dengan Pengetua pada esok hari untuk berbincang tentang aktiviti pelajar. Di sini anda akan mengimaginasikan aktiviti tersebut berdasarkan daya ingatan yang lalu ketika bertemu dengan Pengetua. Ingatan anda akan memberi maklumat tentang tatacara untuk berjumpa dengan Pengetua, kemudian anda boleh membuat imaginasi. Contoh imaginasi yang boleh anda buat:
(a) Anda keluar dari bilik asrama.
(b) Anda membawa buku nota untuk dibincangkan dengan Pengetua.
(c) Anda pergi ke tempat kawan yang akan bersama-sama anda berjumpa Pengetua.
(d) Anda keluar dari kawasan asrama dan berjalan menuju ke pejabat Pengetua.
(e) Anda boleh mengimaginasikan semasa berjalan menuju ke pejabat Pengetua, anda akan melintasi dewan makan, surau dan dewan besar.
(f) Anda akan berjumpa dengan penyambut tetamu di pejabat Pengetua.
(g) Anda boleh bayangkan cara anda bercakap, cara kawan anda bercakap dan cara Pengetua menyambut hujah-hujah anda berdua.
Latihan
Sebagai latihan untuk menpercayai daya ingatan dan imaginasi, anda boleh lakukan aktiviti-aktiviti berikut:
1. Aktiviti beli barang: Sekiranya anda hendak ke kedai untuk membeli barang harian, anda boleh lakukan aktiviti ini. Katakan anda hendak membeli pensel, dakwat, buku, nota, setem, berus gigi, kapur, kasut getah pemadam, pembaris dan sampul surat. Ada 10 barang yang hendak dibeli. Langkah pertama anda senaraikan barang-barang tersebut dalam dairi atau kertas. (Boleh digunakan kaedah Mnemonik kalau anda sudah tahu menggunakannya). Baca nama barang-barang itu. Apabila hendak pergi ke bandar, tinggalkan senarai barang itu di rumah. Anda ingatkan bahawa anda hendak membeli 10 jenis barang. Tidak payahlah anda hafalkan sangat. Perilah ke kedai macam biasa. Apabila sampai di kedai, ingati kembali barang-barang yang hendak dibeli. Anda harus ingat, ad 10 barang yang hendak dibeli. Kalau anda percaya akan daya ingatan anda, anda tentu boleh mengingat semua barang itu.
2. Aktiviti istilah baru: Anda sediakan buku kecil atau kad. Setiap kali selepas kelas, dengan segera tuliskan pada kad tersebut istilah atau perkataan yang baru pertama kali anda dengar. Pada akhir persekolahan hari ini, tentu anda ada beberapa istilah. Baca dan kiralah berapa istilah atau perkataan baru yang anda temui hari itu. Katakan anda telah perolehi 15 istilah baru. Pada malam nanti, sebelum tidur, cuba anda ingat dan fikirkan istilah-istilah tersebut. Ataupun anda boleh cuba memikirkan istilah-istilah itu pada keesokan harinya. Latihan begini akan meningkatkan daya ingatan anda.
3. Aktiviti memberi penerangan: Sekiranya anda membaca artikel seperti ini, mestilah ada tujuan atau matlamatnya. Bagi aktiviti ini, antara matlamat utama membaca ialah untuk menerangkan isi kandungan artikel tersebut pada kawal baik anda. Oleh yang demikian, anda akan membaca dan memahami artikel ini. Tuliskan maklumat yang hendak anda sampaikan kepada kawan anda itu. Pada keesokan harinya, anda berikan maklumat yang ada dalam artikel yang anda baca itu kepada kawan anda. Dengan memberi penerangan kepada kawan anda tanpa melihat kertas nota, anda telah memberi kepercayaan kepada daya ingatan anda. Dengan adanya matalamat dan percaya akan daya ingatan, anda tentu boleh menerangkan isi kandungan artikel ini dengan mudah.
Anda tentu boleh memikirkan strategi dan aktiviti lain yang sama seperti di atas untuk memberi kepercayaan kepada daya ingatan dan imaginasi anda.
Secara am, sebenarnya untuk meningkatkan daya ingatan, kita mesti percaya pada diri kita. Kitalah yang mengetahui dan kenal diri kita. Kita percayakan diri kita bahawa kita boleh lakukan sesuatu. Kita percayakan diri kita bahawa kita makhluk yang istimewa. Kita percayakan diri kita bahawa kita boleh meningkatkan daya ingatan kita. Seterusnya kita memberi kepercayaan kepada daya ingatan kita. Apabila kita telah percaya pada daya ingatan kita, orang lain juga akan percaya pada daya ingatan kita.
Rumusan
MEMPUNYAI daya ingatan yang kuat sememangnya diingini oleh semua orang. Keinginan ini mesti disertai dengan kemahuan untuk berusaha. Kata orang, kalau hendak seribu daya dan di mana ada kemahuan di situ ada kejayaan. Dengan mempercayai daya ingatan kita sendiri, kita akan berjaya meningkatkan daya ingatan kita. Semoga usaha kita untuk ke jalan yang benar itu diredai oleh Allah Taala

No comments: