PRINSIP MEMORI
BAHAGIAN 2
MENGINGAT SECARA MUDAH
APABILA peperiksaan hampir tiba,
pelajar-pelajar mula risau sama ada ia boleh mengingat atau tidak
fakta-fakta yang telah dipelajarinya. Bolehlah dikatakan bahawa
sekiranya seseorang pelajar itu lupa tentang apa yang hendak ditulisnya,
kemungkinan, kemahiran untuk mengingat bahan pelajaran sangatlah
penting bagi pelajar. Di dalam buku-buku kemahiran belajar telah
ditunjukkan berbagai-bagai teknik mengingat yang utama adalah bergantung
pada diri kita sendiri, walaupun ada juga pengaruh daripada faktor
luar. Sekiranya kita mempunyai keazaman yang tinggi untuk mengingat,
kita tentu akan berusahamengingatnya dengan menggunakan teknik tertentu.
Teknik mengingat hanyalah sebagai alat untuk lebih menyenangkan kita
mengingat.
1
Daya Ingatan
SESEORANG
yang boleh mengingat bahan pelajaran dengan cekap dikatakan mempunyai
daya ingatan yang baik. Daya ingatan boleh dianggap sebagai kekuatan
minda kita menyimpan apa sahaja yang kita pelajari, sama ada secara
langsung ataupun tidak untuk satu jangka masa yang tertentu. Ahli Sains
yang mengkaji tentang ingatan ini telah membahagi ingatan kepada dua,
iaitu ingatan jangka pendek dan ingatan jangka panjang.
Ingatan jangka pendek dikatakan
sebagai kebolehan menyimpan maklumat pembelajaran selama kurang daripada
5 minit, selepas itu maklumat pembelajaran itu akan beransur-ansur
hilang dan dilupakan. Dengan adanya ingatan jangka pendek, kita boleh
mengambil nota apabila guru bercakap di depan kelas. Kalau guru terus
bercakap tanpa mengulang bahan pelajaran yang sama, bahan yang telah
ditulis itu akan dilupakan kerana tumpuan kita adalah kepada perkara
yang dilupakan kerana tumpuan kita adalah kepada perkara yang baru.
Dengan kata lain, ingatan jangka pendek akan berlaku selepas kita
mendapat satu maklumat dan maklumat itu tidak perlu kita ingati lagi.
Misalnya kita bertanya harga sebuah buku. Selepas kita beli buku
tersebut, mungkin kita tidak perlu mengingat harganya lagi, kerana buku
itu telah kita miliki.
Ingatan jangka panjang sangat
penting bagi seseorang pelajar. Dengan ingatan jangka panjang, pelajar
akan dapat menjawab soalan-soalan dalam peperiksaan. Apabila maklumat
atau kesan pembelajaran itu telah berada dalam ingatan jangka panjang,
ia senang diingat kembali apabila diperlukan.
Mengingat untuk Peperiksaan
TUJUAN utama pelajar mengingat
bahan pelajar ialah untuk menghadapi peperiksaan. Kalau kita boleh
mengingat, senanglah kita menjawab soalan-soalan peperiksaan.
Berikut disenaraikan 14 patah perkataan. Ingati perkataan-perkataan tersebut dalam masa 45 saat sahaja.
wayar
seterika
positif
atom
keupayaan
elektrik
lampu
negatif
kimia
cahaya
haba
bateri
bunyi
kinetik
Selepas 45 saat, tutup
perkataan-perkataan itu dan cuba ingati perkataan-perkataan tersebut
semula. Bagaimana anda boleh mengingat perkataan-perkataan tersebut?
Apakah teknik yang anda gunakan untuk mengingat perkataan-perkataan ini?
- Titian Memori
DALAM Titian Memori, ada 6 cara yang dapat anda gunakan untuk mengingat. Titian tersebut ialah:
1. Mnemonik, iaitu dengan cara menggunakan huruf atau perkataan bagi sesuatu maklumat.
2. Emosi, iaitu dengan cara mengaitkan nilai dan motivasi seseorang pelajar dengan bahan-bahan pelajaran.
3. Mengulang, iaitu dengan cara menggunakan maklumat untuk sesuatu aktiviti dan juga membuat ulangkaji.
4. Organisasi, iaitu dengan cara
menyusun bahan-bahan tersebut daripada bentuk yang kurang sesuai dan
tidak biasa kepada bentuk yang sesuai dan lebih dekat dengan kita.
5. Ringkasan, iaitu dengan cara memendekkan atau memadatkan isi kandungan pelajaran agar lebih senang diingat atau dihafal.
6. Ikatkan dan imaginasi, iaitu dengan cara mengikat sesuatu maklumat itu dengan perkataan atau objek tertentu.
M.E.M.O.R.I. adalah berdasarkan
huruf awal daripada perkataan Mnemonik, Emosi, Mengulang, Organisasi,
Ringkasan dan Ikatan. M.E.M.O.R.I. juga bermakna ingatan, jadi senanglah
kita mengingat Titian Memori ini.
Cara Mnemonik
CARA Mnemonik merupakan satu cara
mengingat yang telah lama diketahui dan senang digunakan oleh pelajar.
Cara ini telah juga digunakan dalam kehidupan kita seharian dengan tidak
kita sedari.
Huruf Ringkas
DALAM pelajaran Sains, nama bahan
kimia dan nama bahan tertentu diringkaskan sahaja berdasarkan huruf
pertama setiap perkataan, sehingga cara ini telah menjadi amalan biasa
dan diiktiraf sebagai satu cara yang berkesan untuk mengingat.
Contoh penggunaan huruf ringkas ialah seperti
ATP - iaitu untuk Adinosin Triposfat
DNA - iaitu untuk Asid Deoksi Nukleid (atau Deoxy Nucleic Acid)
Kadang-kadang ia telah menjadi simbol atau istilah yang mesti dipakai, seperti:
Pb = Plumbum
K = Kalium
Cl = Klorin
Penggunaan Huruf Pangkal
PENGGUNAAN huruf pangkal untuk
sesuatu perkataan boleh menyenangkan kita mengingat sesuatu bahan
pelajaran atau istilah yang berbentuk siri. Huruf pangkal setiap istilah
itu dijadikan perkataan yang senang diingat.
Contoh 1:
Kelas haiwan vertebrata ialah
reptilia, ikan, amfibia, burung dan mamalia. Setiap huruf pangkal kelas
haiwan vertebrata, iaitu R, A, I, B dan M disusun menjadi satu
perkataan. Contohnya ialah RIMBA. Jadi apabila mengingat kelas haiwan
vertebrata ialah RIMBA, dengan sendirinya kita boleh mengingat kelas
haiwan itu, iaitu:
R = Reptilia
I = Ikan
M = Mamalia
B = Burung
A = Amfibia
Contoh 2:
Pelajar selalu mengingat vitamin larut lemak sebagai ADEK, iaitu vitamin A, vitamin D, vitamin E dan vitamin K.
Contoh 3:
Peringkat mitosis ialah IPMAT, iaitu I (Interfasa), P (Profasa), M (Metafasa), A (Anafasa) dan T (Telofasa).
Penggunaan Huruf Pangkal Bagi Lebih daripada Dua Perkataan atau Satu Kenyataan
Huruf pangkal atau huruf penting
bagi sesuatu perkataan boleh juga digunakan untuk sesuatu kenyataan.
Kemudian huruf pangkal itu dijadikan satu perkataan atau ayat.
Contoh 1:
Tanah terdiri daripada BAU-BOM, iaitu
B untuk Butiran dan batuan
A untuk Air tanah
U untuk Udara tanah
B untuk Bahan organik
O untuk Organisma tanah
M untuk Mineral, iaitu garam mineral
Membuat Ayat Berdasarkan Huruf Pangkal
Selalunya pelajar menggunakan
huruf pangkal untuk membuat satu ayat. Huruf pangkal ini memberi satu
kekunci untuk istilah atau perkataan yang diperlukan.
Contoh 1:
Nama 5 enzim yang terdapat pada jus usus kecil yang dirembeskan oleh sel dinding ileum. Boleh digunakan ayat yang berikut:
"Sukri marah lalat, lipas pening."
S (ukri) untuk Sukrase
M (arah) untuk Maltase
L (alat) untuk Laktase
L (ipas) untuk Lipase
P (ening) untuk Peptidase
Ayat yang digunakan mestilah yang biasa dengan kita dan senang diingati.
Contoh 2:
Cara ini sesuai digunakan untuk
mengingat contoh-contoh sesuatu bahan, misalnya contoh pelarut-pelarut
bukan air. Boleh digunakan ayat yang berikut:
"Ali tolong emak buat kuih."
A (li) untuk Alkohol
T (olong) untuk Turpentin
E (mak) untuk Eter
B (uat) untuk Benzen
K (uih) untuk Kerosin
Membesarkan Huruf
Ini dilakukan di dalam buku nota
atau kad belajar. Prinsipnya sama seperti Mnemonik yang lain, iaitu
menggunakan huruf pangkal untuk sesuatu istilah atau perkataan.
Contoh 1:
AGen HAKisan fizikal
Dalam cara ini, huruf besar pada perkataan itu membawa makna tertentu yang berkaitan dengan agen hakisan fizikal, iaitu:
A untuk Air
G untuk Glasier
H untuk Haba
A untuk Angin
K untuk Kilat
Contoh 2:
Ada juga cara membesarkan huruf ini untuk kekunci untuk menerangkan sesuatu istilah atau perkataan, misalnya:
HabiTat
Di sini dibesarkan huruf H dan T.
Huruf H dikaitkan dengan perkataan ‘hidup’ dan T dikaitkan dengan
perkataan ‘tempat’. Jadi apabila hendak mengetahui makna habitat, dua
perkataan penting yang mesti ada ialah ‘hidup’ dan ‘tempat’. Pelajar
boleh mengingati tempat di mana sesuatu organisma itu hidup, iaitu
habitatnya.
Rumusan
PENGGUNAAN cara Mnemonik selalunya
berdasarkan huruf pangkal sesuatu perkataan. Anda boleh menggunakannya
dalam pelbagai cara anda sendiri.
- Emosi
MENGINGAT menggunakan cara emosi
merupakan satu cara yang terdapat pada pelajar yang mempunyai motivasi
dan dorongan yang tinggi. Emosi dikaitkan dengan memahami dan menghayati
sesuatu ilmu pengetahuan untuk diri sendiri. Ia diterima tanpa paksaan,
sehingga membentuk satu pegangan, iaitu mencari ilmu satu kewajipan,
menerima ilmu satu pilihan dan mengamalkan ilmu satu kesepaduan.
Mencari Ilmu
MENCARI ilmu satu kewajipan,
bermakna pelajar telah memahami bahawa belajar itu adalah satu
tanggungjawab yang mesti disempurnakan. Jika telah mempunyai pemikiran
yang sedemikian, segala tindak-tanduk dan perlakuannya akan dihalakan
kepada mencari ilmu. Dengan sendirinya beberapa ‘rintangan’ dalam
pembelajaran dapat dikurangkan. Semakin kurang ‘rintangan’ dalam
pembelajaran, semakin meningkat daya ingatan seseorang pelajar itu.
Rintangan dalam pembelajaran ialah seperti tidak menepati masa belajar
dan pengurusan masa, melanggar peraturan sekolah, tidak sukakan guru,
merasa bosan dalam kelas, tiada usaha untuk memperbaiki pelajaran dan
juga masalah berkaitan dengan cinta remaja. Walau bagaimanapun, jika
rintangan pembelajaran difikirkan daripada aspek positif dan diubahkan
kepada kesan untuk positif, ia boleh menjadikan seseorang pelajar
berfikiran positif terhadap ilmu pengetahuan.
Seperti manusia biasa, pelajar
tidak boleh lari daripada memerlukan ganjaran apabila melakukan sesuatu.
Apabila sudah dapat memahaminya, pelajar mesti mencari ilmu dan pada
masa yang sama mengingati ilmu-ilmu itu. Pertanyaan yang terlintas di
fikiran kita ialah untuk apa kita mengingati isi pelajaran itu ? Di
sinilah kita mesti fikirkan ganjarannya. Ganjaran yang kita perolehi
apabila kita mengingati bahan dan isi pelajaran ialah semasa berada
dalam dewan peperiksaan dan apabila menerima keputusan peperiksaan.
Di dewan peperiksaan, sekiranya
anda dapat mengingat kembali ilmu-ilmu yang telah dipelajari, anda tentu
merasa gembira dan senang hati. Inilah ganjaran yang diperolehi.
Apabila anda menerima keputusan dan mendapat keputusan yang cemerlang,
di sinilah letaknya ganjaran anda mengingat. Anda merasa puas hati
kerana dengan usaha anda mengingat itu, anda telah mendapat ganjaran
yang setimpal.
Oleh yang demikian, sebagai
pelajar anda mestilah melatih minda anda supaya memberi keutamaan kepada
mengingati bahan pelajaran untuk masa hadapan, iaitu pada akhir
persekolahan anda bagi menghadapi peperiksaan. Anda mesti fikir bahawa
perkara yang anda lakukan itu, iaitu mengingati bahan pelajaran adalah
berharga bagi anda sebagai seorang pelajar.
Menerima Ilmu
MENERIMA ilmu satu pilihan,
bermakna kita mesti mempunyai keupayaan untuk memilih ilmu atau bahan
pelajaran yang perlu diingati. Sebelum menerima ilmu pengetahuan dan
berhasrat untuk mengingat ilmu pengetahuan itu, anda perlu mengambil
langkah-langkah berikut:
- Baca sepintas lalu dahulu dan dapatkan idea
keseluruhan daripada bahan bacaan itu. Kalau boleh tuliskan dalam bentuk
kata kunci atau bentuk ringkas. Pada peringkat ini mungkin anda belum
memahami dengan betul idea yang hendak disampaikan oleh
penulis.
-
Setelah mencatat ringkasan
bacaan itu, anda perlu memikirkan apakah bahan atau kata kunci yang
perlu diingat. Pada peringkat ini, anda hendaklah mencari soalan-soalan
yang biasa keluar dalam peperiksaan atau ujian pada tahun-tahun lepas.
Berdasarkan soalan-soalan itu, anda boleh mengenal pasti kata kunci yang
penting misalnya dalam pelajaran Sains, Bab Mikrobiologi, pertanyaan
yang mungkin timbul ialah ‘Apakah yang dimaksudkan dengan
mikroorganisma’? Berdasarkan soalan ini, anda hendaklah mencatatkan
takrif mikro-organisma, kepentingan mikroorganisma dan contoh-contoh
mikro-organisma yang mudah.
-
Sekarang anda telah mengenal
pasti bahan yang perlu diingat. Sebelum mengingat, fikirkan kembali
soalan itu dan tajuk perkara yang akan diingat. Mungkin anda boleh
lakukan perkara ini dua minit sebelum mengingat.
-
Anda boleh mengingat dengan dua
cara, iaitu sedikit demi sedikit ataupun sekaligus. Sedikit demi
sedikit, tumpukan perhatian kepada perkataan tersebut – cuba ingat
dengan menulis kembali atau melafazkannya dengan lisan atau
mengucapkannya dalam hati. Apabila dirasakan telah ingat, teruskan
kepada isi pelajaran yang seterusnya. Jika mengingat sekaligus, baca dan
fahami semua isi kandungan pelajaran itu, tulis kembali apa yang hendak
diingat atau berkata-kata dalam hati atau lafazkan apa yang hendak
diingatkan itu.
-
Perkara yang harus diingat ialah
apabila anda hendak mengingat, sekiranya badan terasa letih atau
fikiran terawang-awang, berhenti dahulu daripada mengingat dan
berehatlah sebentar. Selalunya selepas lebih kurang 1 jam anda mengingat
sesuatu perkara, badan akan berasa letih. Apabila letih, tunaikanlah
sembahyang sunat atau melihat keindahan alam atau bergembira sebentar
dengan keluarga. Apabila sudah merasa tenang, mulakan kembali mengingat
pelajaran itu, iaitu terus tulis atau ucapkan apa yang hendak anda ingat
itu.
Mengamal Ilmu
MENGAMALKAN ilmu satu kesepaduan,
bermakna anda mesti menghubungkaitkan ilmu itu di antara satu sama lain.
Penting juga mengaitkan ilmu itu dengan nilai-nilai dan masyarakat
kita. Dalam pelajaran Sains umpamanya, banyak istilah dalam bahan
pelajaran ditulis dan Bahasa Inggeris. Oleh itu sangat penting anda
mengetahui Bahasa Inggeris supaya lebih senang mengingat.
Misalnya istilah fototropisme
(phototropism). Sekiranya anda tahun bahawa foto (photo) itu bermakna
berkaitan dengan cahaya dan tropisme (tropism) berkaitan dengan gerak
balas, dengan senang anda dapat membuat telahan bahawa fototropisme
berkaitan dengan pergerakan tumbuhan menghala kepada cahaya. Begitu juga
istilah fotosintesis. Istilah ini berasal daripada dua perkataan, iaitu
‘photo’ dan ‘synthesis’. Dengan mengetahui makna ‘photo’ dan
‘synthesis’, pelajar dapat mengingat maknanya dengan senang.
Di samping itu ada istilah yang menggunakan awalan yang memberi gambaran tertentu, seperti awalan:
- mikro, contohnya mikroorganisma.
- homo, contohnya homogen dan homozigot
- hetero, contohnya heterogen dna heterotrof
Seandainya anda menganalisa
perkataan awalan dan perkataan berikutnya dan dengan senang anda dapat
mengingat contoh-contoh yang diberi, ternyatalah istilah-istilah yang
dicipta oleh ahli pendidik itu mempunyai nilai dan makna yang tertentu.
Dengan mengetahui asas daripada istilah itu akan menyenangkan anda
mengingat maksud istilah tersebut.
Mengamalkan ilmu juga berkaitan
dengan diri anda. Anda akan senang mengingat sesuatu apabila anda
melakukannya atau perkara itu ada kaitan dengan anda. Dalam pelajaran
yang terdapat latihan amali, seperti Sains dan Geografi, kerja amali
atau kerja lapangan yang dilakukan itu boleh menambahkan daya ingatan
anda. Menulis sesuatu perkara juga boleh menambahkan daya ingatan anda
terhadap apa yang anda tulis.
Dalam hal-hal tertentu, kita boleh
mengingat sesuatu perkara sekiranya ‘terpaksa’. Ini semuanya berkaitan
dengan emosi. Kita akan merasa tidak perlu mengingat sekiranya sesuatu
itu tidak bernilai kepada kita. Jadi, kita mesti menghubungkan sesuatu
perkara yang dipelajari itu untuk diamalkan supaya ia lebih bermakna
kepada kita.
Meningkatkan Daya Ingatan dengan Minda
Berkaitan dengan emosi itu, kita boleh meningkatkan daya ingatan kita dengan latihan minda melalui dua cara, iaitu:
- bercakap positif terhadap daya ingatan.
- Mempercayai daya ingatan dan imaginasi.
A. Bercakap Positif Terhadap Daya Ingatan
SECARA
sedar atau tidak, kita sebenarnya selalu berkata-kata dengan diri kita
sendiri. Kita selalu memberitahu sesuatu tentang diri kita kepada diri
kita sendiri. Ahli psikologi telah membuktikan bahawa di antara
percakapan kita dengan diri kita sendiri, secara mudah dibahagikan
kepada dua, iaitu bercakap positif dan satu lagi bercakap negatif.
Darjah atau kekuatan percakapan kita itu daripada segi nilainya
bergantung pada diri kita sendiri. Mungkin kita bercakap terlalu positif
tentang diri kita atau mungkin juga kita bercakap terlalu negatif pada
diri kita. Dengan mengenal diri sendiri, kita akan mengetahui apa yang
kita cakapkan pada diri kita.
Bagi meningkatkan daya ingatan,
kita mestilah merasakan bahawa daya ingatan kita bertambah kuat dari
hari ke hari dan dari semasa ke semasa. Bukanlah sesuatu yang aneh kita
bercakap dengan diri kita sendiri. Bercakap pada diri sendiri yang
dimaksudkan di sini ialah berkaitan dengan minda kita. Ini semua berlaku
dalam minda kita.
Awas, jangan menyalahertikan bahawa bercakap dengan diri sendiri
itu sebagai kelupusan akal!
Cuba fikirkan sebentar tentang
diri anda sekarang. Dua tahun yang lalu, anda mungkin tidak mengetahui
banyak istilah. Sekrang anda telah mengetahui banyak istilah. Ada
istilah Matematik, ada istilah Sains dan ada istilah Bahasa. Semakin
hari semakin banyak istilah yang anda ketahui dan perolehi. Ini
menunjukkan bahawa diri anda semakin bertambah ilmunya dan dengan
sendirinya daya ingatan anda turut bertambah.
Fikirkan bahawa setiap hari melalui pancaindera, kita
memperolehi maklumat.
Kenapa anda boleh mengingati
masakan emak anda yang sedap itu? Kemudian anda buat perbandingan dengan
masakan emak kawan anda. Anda telah berfikir dan menggunakan proses
membanding untuk mengingati masakan emak anda.
Seterusnya anda menilai masakan
mana yang sedap dan membuat keputusan. Ini adalah satu aliran pemikiran
yang mudah untuk menyatakan bahawa masakan emak anda itu sedap. Hal ini
hanya anda sahaja yang dapat menyatakannya kerana anda mempunyai daya
ingatan. Daya ingatan anda bertambah dengan pengalaman yang baru. Anda
tentu boleh memilih restoran mana yang sedap masakannya. Pilihan ini
disebabkan daya ingatan anda bertambah. Ini berkaitan dengan pancaindera
anda, iaitu sentuhan – rasa masakan.
Organ deria kita seperti mata,
telinga, hidung dan kulit boleh menguatkan ingatan kita terhadap sesuatu
perkara. Dalam kes merasa makanan tadi, lidahlah yang berperanan. Oleh
yang demikian, organ-organ deria yang dikurniakan oleh Tuhan kepada kita
menyebabkan daya ingatan kita meningkat.
Kalau kita selalu lupa, ini
sebenarnya menunjukkan bahawa kita selalu bercakap negatif dengan diri
kita dan tidak memberi perhatian tentang rangsangan yang dikesan oleh
pancaindera kita. Kita mesti yakin bahawa setiap saat daya ingatan kita
bertambah.
Daya ingatan kita akan semakin
bertambah dengan usaha kita sendiri. Misalannya kalau kita diajar
sesuatu ilmu, kemudian kita mengamalkannya untuk diri kita, dengan
sendirinya ingatan kita terhadap ilmu itu bertambah. Ingatan terhadap
ilmu itu akan bertambah lagi sekiranya kita menerangkan ilmu itu kepada
orang lain. Daripada kajian yang dibuat, didapati bahawa seseorang yang
mengajar atau memberitahu orang lain tentang sesuatu maklumat,
ingatannya tentang perkara itu boleh mencapai 95%. Ini adalah bukti
bahawa aktiviti tertentu boleh meningkatkan daya ingatan kita.
Amalan kita ‘bercakap’ dengan diri
kita akan menambahkan lagi daya ingatan kita. Dengan itu selalulah kita
berkata, "Daya ingatan saya meningkat dari hari ke hari."
Pelbagai latihan boleh dijalankan
bagi menghentikan kita daripada mengatakan bahawa daya ingatan kita
lemah. Antara cara yang paling senang ialah dengan mengingat kembali apa
yang berlaku pada diri kita setiap hari.
Contohnya, sebelum tidur cuba
fikirkan dan ingatkan apa yang anda lakukan, bermula dari pagi hingga
masa anda hendak tidur. Misalnya anda ingat tentang bangun tidur, gosok
gigi, mandi dan sembahyang Subuh. Seterusnya anda boleh memikirkan dan
mengingati peristiwa yang berlaku pada diri anda berdasarkan masa. Pukul
7.30 pagi apakah yang anda buat. Pukul 8.00 pagi apakah yang berlaku?
Pukul 9.00 pagi apakah yang anda lihat? Pukul 10.00 pagi apakah yang
terjadi? Dan seterusnya hingga ke saat anda memikirkan tentang
perkara-perkara itu. Dengan usaha ini, minda anda sentiasa diasuh untuk
mengingat. Latihan yang berterusan dengan menggunakan teknik-teknik yang
tertentu akan menghasilkan daya ingatan yang baik.
Anda juga boleh melatih diri anda
memikir dan mengingat perkara-perkara yang telah lalu, iaitu
perkara-perkara yang baik yang boleh merangsang peningkatan daya ingatan
anda, misalnya kejayaan anda dalam pelajaran atau peperiksaan.
Sekiranya anda tidak dapat mengingat atau berfikir, tentu anda tidak
akan mendapat kejayaan itu. Dengan memikirkan tentang perkara ini dan
menyatakan bahawa anda sedang mengingat, daya ingatan anda akan
meningkat dari hari ke hari.
Oleh yang demikian, asuhlah diri
anda supaya menghentikan pemikiran yang membawa erti daya ingatan anda
lemah. Justeru itu cuba hindarkan menyebut, "Saya tidak tahu", "Saya
cepat lupa", "Saya tidak ingat", "Entah, saya tidak tahu" dan
sebagainya. Ayat-ayat atau sebutan-sebutan ini akan menyebabkan daya
ingatan anda menjadi lemah. Amalkan menyebut kata-kata yang positif,
seperti "Biar saya fikir dahulu", "Saya cuba sekarang", "Saya akan
laksanakan" dan sebagainya. Sebutan-sebutan atau ayat-ayat seperti ini
merangsang minda anda untuk berfikir dan mengingat. Dengan sendirinya
daya ingatan anda bertambah. Teknik menggunakan kuasa perkataan adalah
sangat penting dan akan dibincangkan dengan lebih lanjut lagi.
Sebagai rumusannya, kita berusaha
untuk mempunyai keyakinan bahawa kita mempunyai daya ingatan yang kuat.
Jika kita ada kemahuan ke arah itu, daya ingatan kita akan bertambah dan
meningkat. Selepas kita berikhtiar, haruslah kita berserah kepada
Allah, moga-moga segala apa yang kita hajati itu akan dimakbulkan-Nya.
Allah sentiasa memberkati usaha ke arah kebaikan dan kita berharap
dengan bertambahnya daya ingatan kita, kita akan menjadi hamba Allah dan
pelajar (insan) yang terbaik – untuk kejayaan di dunia dan di akhirat.
Oleh yang demikian, hentikanlah daripada mengatakan bahawa daya ingatan
kita lemah. Mulailah berkata bahawa daya ingatan kita meningkat dari
masa ke semasa. Semoga Allah memberhati usaha kita ini.
B. Mempercayai Daya Ingatan dan Imaginasi
ANDA sudah mula membaca tulisan
ini. Kenapa anda membacanya? Fikirkan sebentar mengapa anda membaca
tulisan ini. Anda boleh memberi beberapa alasan. Orang lain juga boleh
memberi alasan yang sama atau tidak sama dengan alasan yang anda
kemukakan. Secara sedar atau tidak, satu daripada alasan mengapa anda
membaca tulisan ini ialah kerana anda mempunyai kepercayaan bahawa anda
mampu dan boleh membaca tulisan ini. Maknanya anda mempunyai keyakinan
bahawa abjad yang disusun sedemikian rupa boleh memberi suatu pengertian
dan maklumat kepada anda.
Kepercayaan pada Daya Ingatan
SANGATLAH penting mempunyai satu
kepercayaan terhadap sesuatu yang anda lakukan. Jika anda fikir anda
tidak boleh membaca tulisan ini, tentulah anda tidak akan membaca hingga
had ini. Keyakinan dan kepercayaan anda pada diri sendiri merupakan
anugerah Allah kepada makhluk-Nya. Anugerah ini mestilah anda gunakan
dengan sebaik-baiknya agar anda dapat menuju ke arah untuk menjadi
seorang insan yang sempurna di dunia dan akhirat. Apabila anda mempunyai
kepercayaan, umpamanya terhadap sesuatu aktiviti, aktiviti itu akan
dapat dilakukan dengan senang. Dengan sendirinya kekangan aktiviti itu
dapat dikurangkan ataupun ditiadakan.
Misalan yang paling dekat ialah
diri anda sendiri. Anda percaya pada diri anda sendiri bahawa anda boleh
membaca tulisan ini sampai habis. Jika diizinkan Allah, hasrat anda itu
akan terlaksana. Fikirkan sekarang, adakah anda percaya bahawa anda
boleh menghabiskan membaca artikel ini? Kalau anda jawab ‘ya’ secara
ikhlas dan jujur, teruskan membaca artikel ini sehingga habis.
Secara mudah, bolehlah kita
rumuskan bahawa kepercayaan terhadap sesuatu adalah penting untuk
mendapatkah hasil atau ‘output’ yang kita harapkan. Begitu juga dengan
meningkatkan daya ingatan kita ialah kepercayaan kita terhadap daya
ingatan dan imaginasi kita sendiri.
Jika minda kita mengakui dan
percaya terhadap daya ingatan kita, dengan sendirinya daya ingatan kita
akan bertambah. Bagaimanakah kita boleh membuktikan bahawa kita
percayakan ingatan kita itu?
Pelbagai cara boleh digunakan
untuk membuktikan bahawa kita mempunyai ingatan dan kita percaya akan
ingatan kita itu. Cara yang paling senang ialah dengan mengenang kembali
kisah silam.
Sekarang lakukan aktiviti-aktiviti berikut:
- Kosongkan minda anda sekarang.
- Fikirkan satu peristiwa manis yang telah anda alami.
- Cuba bayangkan dalam minda anda urutan peristiwa tersebut.
- Kemudian pejamkan mata. Sekarang fikirkan dan bayangkan urutan peristiwa tersebut sekali lagi. Ingat! Pejamkan mata anda.
Ingatan terhadap peristiwa manis
yang menjadi kenangan ini dapat anda rasai kembali dengan adanya
kepercayaan bahawa daya ingatan anda kuat dan boleh mengingat peristiwa
itu.
Begitu juga, air mata kita mungkin
berlinang jika kita mengingat urutan peristiwa yang manyayat hati kita.
Ini semuanya bergantung pada kepercayaan terhadap daya ingatan kita.
Kepercayaan Terhadap Imaginasi
KEPERCAYAAN terhadap daya ingatan
ini dapat dilengkapkan dengan adanya kepercayaan kita terhadap
imaginasi. Banyak perkara boleh dibicarakan tentang imaginasi, tetapi
dalam kaitannya terhadap meningkatkan daya ingatan, imaginasi lebih
merupakan latihan kepada minda kita. Anak-anak kecil lebih banyak
berimaginasi daripada orang dewasa.
Apabila mengingati peristiwa yang
indah dan manis, kadangkala kita mengimaginasikan ia telah berulang
kembali. Kita berimaginasi sehingga ada masanya menyentuh perasaan,
sehingga menyebabkan kita menangis atau tersenyum sendiri. Ini
menunjukkan bahawa kita percaya pada daya ingatan dan imaginasi kita,
sehingga kita berasa gembira atau sebaliknya.
Kita mestilah percaya akan
imaginasi untuk meningkatkan daya ingatan kita. Pelajar selalu melakukan
aktiviti yang berkaitan dengan percaya akan daya ingatan dan imaginasi.
Misalnya, cuba fikirkan bagaimana anda hendak berjumpa dengan Pengetua
pada esok hari untuk berbincang tentang aktiviti pelajar. Di sini anda
akan mengimaginasikan aktiviti tersebut berdasarkan daya ingatan yang
lalu ketika bertemu dengan Pengetua. Ingatan anda akan memberi maklumat
tentang tatacara untuk berjumpa dengan Pengetua, kemudian anda boleh
membuat imaginasi. Contoh imaginasi yang boleh anda buat:
(a) Anda keluar dari bilik asrama.
(b) Anda membawa buku nota untuk dibincangkan dengan Pengetua.
(c) Anda pergi ke tempat kawan yang akan bersama-sama anda berjumpa Pengetua.
(d) Anda keluar dari kawasan asrama dan berjalan menuju ke pejabat Pengetua.
(e) Anda boleh mengimaginasikan
semasa berjalan menuju ke pejabat Pengetua, anda akan melintasi dewan
makan, surau dan dewan besar.
(f) Anda akan berjumpa dengan penyambut tetamu di pejabat Pengetua.
(g) Anda boleh bayangkan cara anda bercakap, cara kawan anda bercakap dan cara Pengetua menyambut hujah-hujah anda berdua.
Latihan
Sebagai latihan untuk menpercayai daya ingatan dan imaginasi, anda boleh lakukan aktiviti-aktiviti berikut:
1. Aktiviti beli barang: Sekiranya
anda hendak ke kedai untuk membeli barang harian, anda boleh lakukan
aktiviti ini. Katakan anda hendak membeli pensel, dakwat, buku, nota,
setem, berus gigi, kapur, kasut getah pemadam, pembaris dan sampul
surat. Ada 10 barang yang hendak dibeli. Langkah pertama anda senaraikan
barang-barang tersebut dalam dairi atau kertas. (Boleh digunakan kaedah
Mnemonik kalau anda sudah tahu menggunakannya). Baca nama barang-barang
itu. Apabila hendak pergi ke bandar, tinggalkan senarai barang itu di
rumah. Anda ingatkan bahawa anda hendak membeli 10 jenis barang. Tidak
payahlah anda hafalkan sangat. Perilah ke kedai macam biasa. Apabila
sampai di kedai, ingati kembali barang-barang yang hendak dibeli. Anda
harus ingat, ad 10 barang yang hendak dibeli. Kalau anda percaya akan
daya ingatan anda, anda tentu boleh mengingat semua barang itu.
2. Aktiviti istilah baru: Anda
sediakan buku kecil atau kad. Setiap kali selepas kelas, dengan segera
tuliskan pada kad tersebut istilah atau perkataan yang baru pertama kali
anda dengar. Pada akhir persekolahan hari ini, tentu anda ada beberapa
istilah. Baca dan kiralah berapa istilah atau perkataan baru yang anda
temui hari itu. Katakan anda telah perolehi 15 istilah baru. Pada malam
nanti, sebelum tidur, cuba anda ingat dan fikirkan istilah-istilah
tersebut. Ataupun anda boleh cuba memikirkan istilah-istilah itu pada
keesokan harinya. Latihan begini akan meningkatkan daya ingatan anda.
3. Aktiviti memberi penerangan:
Sekiranya anda membaca artikel seperti ini, mestilah ada tujuan atau
matlamatnya. Bagi aktiviti ini, antara matlamat utama membaca ialah
untuk menerangkan isi kandungan artikel tersebut pada kawal baik anda.
Oleh yang demikian, anda akan membaca dan memahami artikel ini. Tuliskan
maklumat yang hendak anda sampaikan kepada kawan anda itu. Pada
keesokan harinya, anda berikan maklumat yang ada dalam artikel yang anda
baca itu kepada kawan anda. Dengan memberi penerangan kepada kawan anda
tanpa melihat kertas nota, anda telah memberi kepercayaan kepada daya
ingatan anda. Dengan adanya matalamat dan percaya akan daya ingatan,
anda tentu boleh menerangkan isi kandungan artikel ini dengan mudah.
Anda tentu boleh memikirkan
strategi dan aktiviti lain yang sama seperti di atas untuk memberi
kepercayaan kepada daya ingatan dan imaginasi anda.
Secara am, sebenarnya untuk
meningkatkan daya ingatan, kita mesti percaya pada diri kita. Kitalah
yang mengetahui dan kenal diri kita. Kita percayakan diri kita bahawa
kita boleh lakukan sesuatu. Kita percayakan diri kita bahawa kita
makhluk yang istimewa. Kita percayakan diri kita bahawa kita boleh
meningkatkan daya ingatan kita. Seterusnya kita memberi kepercayaan
kepada daya ingatan kita. Apabila kita telah percaya pada daya ingatan
kita, orang lain juga akan percaya pada daya ingatan kita.
Rumusan
MEMPUNYAI daya ingatan yang kuat
sememangnya diingini oleh semua orang. Keinginan ini mesti disertai
dengan kemahuan untuk berusaha. Kata orang, kalau hendak seribu daya dan
di mana ada kemahuan di situ ada kejayaan. Dengan mempercayai daya
ingatan kita sendiri, kita akan berjaya meningkatkan daya ingatan kita.
Semoga usaha kita untuk ke jalan yang benar itu diredai oleh Allah Taala