Pertempuran hidup mati pemberontak di Aleppo
|
DAMSYIK - Helikopter-helikopter tentera terus membedil pusat bandar
Aleppo semalam ketika tentera Presiden Bashar Al-Assad bersiap sedia
untuk menggempur pemberontak di bandar raya kedua terbesar Syria itu.
Menurut sumber pemberontak yang dikenali sebagai Tentera Pembebasan
Syria (FSA), pertempuran yang bakal berlaku akan menentukan hidup mati
mereka di Aleppo, bandar strategik di Syria selain ibu kotanya, Damsyik.
Perkembangan tersebut didedahkan oleh Pertubuhan Pemerhati Syria
Untuk Hak Asasi Manusia yang mengumpul maklumat mengenai kebangkitan
rakyat negara itu menentang pemerintahan Bashar sejak 16 bulan lalu.
"Helikopter-helikopter tentera mengebom daerah Salaheddine di Aleppo," kata pertubuhan itu menerusi satu kenyataan e-mel.
"Pertempuran ganas turut berlaku di satu lagi daerah, Sakhour," tambah kenyataan tersebut.
Perang menguasai Aleppo yang dihuni 2.5 juta penduduk itu merupakan
ujian penting buat Bashar selepas rejimnya mengerahkan segala kekuatan
tentera untuk menawan semula bandar raya utama itu dan Damsyik.
Setakat ini, kedua-dua belah pihak masih belum dapat menguasai bandar raya berkenaan.
Dalam pada itu, kumpulan pemerhati berkenaan memberitahu, tiga
pejuang pemberontak terbunuh dalam beberapa pertempuran di Aleppo
semalam.
Menurutnya, seramai 160 orang dilaporkan terbunuh di Syria kelmarin
dengan angka kematian keseluruhan di negara berkenaan kini meningkat
kepada sekitar 18,000 orang.
Kumpulan pemerhati itu turut menyiarkan klip video menunjukkan asap
tebal menjulang ke udara dari beberapa blok apartmen di Aleppo semalam
dengan bunyi tembakan jelas kedengaran.
- Agensi
No comments:
Post a Comment