26.7.12

GSS menyeru Kerajaan Malaysia Mengusir Duta Syria Di Malaysia

KENYATAAN MEDIA
 
GABUNGAN SELAMATKAN SYRIA (GSS)
 
Gabungan Selamatkan Syria menyambut baik tindakan Kerajaan Malaysia Menutup Kedutaan di Syria
 
24 JULAI 2012 / 4 RAMADHAN 1433H
 
Gabungan Selamatkan Syria (GSS) yang diwakili oleh Pertubuhan Ikram Malaysia, ABIM, Haluan Malaysia beserta gabungan melebihi 30 NGO di Malaysia  menyokong tindakan kerajaan Malaysia menutup kedutaan Malaysia di Syria, walaupun tindakan ini dilihat agak terlewat berbanding negara maju lain yang telah lebih awal mengusir kedutaan Syria di negara mereka seperti Jerman,Jepun dan Australia.
 
Justeru, GSS menggesa  kerajaan Malaysia untuk turut mengambil tindakan mengusir kedutaan Syria di Malaysia dan menghentikan hubungan diplomatik dengan kerajaan rejim Bashar Al-Assad bagi membuktikan kesungguhan kita menolak semua bentuk kezaliman yang berlaku di Syria serta sokongan moral kita terhadap rakyat Syria. Selain dari itu, tindakan membekukan sebarang aset milik keluarga Basyar Al-Assad sekiranya berada di Malaysia juga perlu diambil.
 
Kerajaan Syria pimpinan Basyar Al-Assad dan orang yang sepertinya sekarang berpolitik ala Firaun seperti mana yang dilakukan oleh pemerintah Tunisia, Mesir, Yaman, dan Libya sebelum ini.Mereka mencuri harta-harta rakyat dan memakannya dengan cara yang haram, memenjarakan rakyat sendiri, membunuh para ulama, melakukan pembunuhan beramai-ramai, merogol dan mencabul kehormatan wanita-wanita, menghalang perempuan beriman daripada memakai hijab serta menindas orang yang lemah seperti orang tua dan kanak-kanak.
 
Kerajaan Malaysia tidak seharusnya mencontohi Republik Iran yang masih mempertahankan tindakan ganas rejim Hafez dan Basyar Al-Assad yang membunuh rakyatnya sendiri, begitu juga Hizbullah di Lubnan yang menyokong tindakan Basyar yang merupakan Syiah Alawiyah. Sehingga hari ini Iran dan Hizbullah di Lubnan yang berfahaman Syiah masih menyokong rejim Basyar di Syria.
 
Selaku sebuah Negara yang dihormati oleh Negara Islam, Malaysia haruslah memainkan peranan besar dalam membantu perjuangan rakyat Syria yang mendapat sokongan Kesatuan Ulama Sedunia yang diketuai oleh Sheikh Dr Yusuf Al-Qardhawi. Rumusan Muktamar Ulama Sedunia yang berlangsung di Istanbul pada 1-3 Julai lepas telah berseutuju bahawa:
 
“Muktamar menegaskan bahawa revolusi rakyat Syria dari segenap sudutnya adalah revolusi yang haq/benar menentang kezaliman, revolusi yang adil menentang kejahatan dan permusuhan, revolusi untuk kebebasan melawan pelampau, diktator, kerosakan, pembunuhan dan pencerobohan, serta revolusi tuntutan yang bebas, adil dan terhormat yang berkait dengan asas ummah dan identitinya dan memelihara kesatuan bumi Syria serta rakyatnya dan mengekalkan kemerdekaannya yang total”
 
Selaras dengan fatwa yang dikeluarkan ketika Muktamar agar;
 
“Wajib ke atas setiap pemimpin umat Islam agar menyatakan sokongan dan dokongan kepada kebangkitan rakyat Syria. Sokongan samada dari sudut bantuan kewangan, senjata dan pelbagai bantuan agar kebangkitan mereka mendapat kemenangan. Mereka juga perlu menyatakan sokongan dan memberi bantuan senjata kepada Tentera Pembebasan Syria yang telah berjihad dan berjuang melawan regim Basyar yang zalim”
 
Menjadi satu kewajipan bagi Kerajaan dengan kerjasama seluruh rakyat Malaysia bagi membantu perjuangan rakyat di Syria dengan:
 
1.   Memberikan sokongan moral kepada rakyat Syria
2.   Menghentikan hubungan diplomatik Kerajaan Malaysia dan Syria sehingga Kerajaan Syria baru yang demokratik ditubuhkan
3.   Membantu mangsa kezaliman yang berlindung di kem pelarian di sempadan Syria
4.   Menganjurkan misi kemanusiaan bagi menyediakan kemudahan perubatan kepada mangsa yang cedera
5.   Memberikan bantuan material seperti bahan perubatan,makanan,dan wang ringgit bagi menampung keperluan pelarian
6. Berdoa dan bermunajat sempena Ramadan untuk kemenangan perjuangan rakyat Syria
 
Sebagaimana usaha kerajaan dan rakyat Malaysia membantu mangsa kezaliman rejim Zionis di Palestin, pengemblengan usaha ini juga harus dilaksanakan kerana mereka menjadi mangsa kezaliman rejim yang membunuh rakyat mereka sendiri.
 
Oleh yang demikan, GSS yang mewakili 30 NGO pelbagai latarbelakang agama dan bangsa  di Malaysia menyeru Kerajaan Malaysia mengambil tindakan proaktif dan tegas dalam menangani kemelut yang melanda saudara kita di bumi Syria ini sebagai solidariti kita sebagai umat Islam sempena bulan Ramadhan yang mulia ini. Semoga usaha kita akan diberkati dan kemenangan akan berpihak kepada kebenaran dan keadilan.
 
Naim Jusri
Pengerusi
Sekretariat Gabungan Selamatkan Syria (GSS)

No comments: