Mati mengejut kerana arteri tersumbat
|
JANGAN sesekali memandang ringan jika anda atau ahli keluarga
terdekat mengalami simptom-simptom seperti sakit dada, sesak nafas,
pening kepala dan mengalami palpitas iaitu denyutan jantung yang pantas,
kuat atau tidak teratur.
Tanda-tanda tersebut merupakan siren awal yang memberitahu seseorang itu menghidap penyakit arteri koronari.
Penyakit arteri koronari merujuk pada penyempitan dan penyumbatan
arteri yang membekalkan darah kepada jantung melalui pengumpulan lemak
dan kolesterol.
“Proses ini dipanggil koronari aterosklerosis yang menyebabkan
peredaran darah lemah, miokardium anoksia dan juga miokardium nekrosis.
“Dalam kes yang teruk, pesakit boleh meninggal dunia disebabkan
jantung terhenti secara tiba-tiba atau dikenali sebagai serangan
jantung,” kata pakar runding kardiologi, Profesor Dr. Sim Kui Hian.
Tambahnya, seseorang yang menghidap masalah penyakit arteri koronari
juga biasanya akan berasa sakit di dada seperti rusuk dihimpit-himpit
dan tidak kurang juga yang sakit di bahagian tangan kiri, siku dan
perut.
Kui Hian memberitahu, penyakit arteri koronari terjadi apabila
berlakunya pengumpulan lemak, kolesterol, kalsium dan bahan lain dalam
darah yang dikenali sebagai plak.
Pengumpulan plak
Apabila plak tersebut terkumpul ia dipanggil koronari aterosklerosis.
“Pengumpulan plak ini selalunya berlaku dalam tempoh yang lama dan
apabila ia mengeras, arteri akan tersumbat lalu menyebabkan peredaran
darah menjadi lemah.
“Keadaan ini dinamakan aterosklerosis. Penyempitan arteri koronari
ini menyebabkan darah beroksigen yang dihantar ke otot jantung
berkurangan mengakibatkan sakit dada atau angina pektoris,” ujarnya.
Menurut Kui Hian, jika plak tersebut menghalang arteri koronari
sepenuhnya atau pecah, ia boleh membawa kepada serangan jantung
(infarksi miokardium).
Faktor risiko penyebab utama penyakit tersebut ialah tekanan darah
tinggi, kolesterol tinggi, obesiti, merokok, kencing manis, amalan gaya
hidup sedentari dan sejarah keluarga.
Bagi mengesan seseorang itu menghidap penyakit arteri koronari,
seseorang doktor itu akan melakukan beberapa diagnosis seperti
elektrokardiogram (ECG), ujian senaman treadmill, ekokardiografi,
Myocardial Perfusion Scan, Cardiac Computed Tomography (CCT), Cardiac
Magnetic Resonance Imaging (CMR), Cardiac Catheterization dan Coronary
Angiogram.
|
“Secara umum, doktor akan memilih penyelesaian terapeutik mengikut
keadaan penyakit dan keadaan kesihatan pesakit selepas membuat diagnosis
yang tepat tentang penyakit arteri koronari.
“Perubahan gaya hidup seperti berhenti merokok, pemakanan seimbang
dan senaman yang mencukupi banyak membantu dalam pemulihan penyakit
arteri jantung,” katanya.
Jelas beliau, pada masa sekarang, kaedah terapeutik yang digunakan
untuk merawat penyakit arteri koronari ialah rawatan perubatan,
pembedahan pintasan arteri koronari (CABG), percutaneous coronary
intervention (PCI) yang lebih dikenali sebagai belon angioplasti dan
pembedahan pintasan jantung.
Terdapat pelbagai jenis sten yang digunakan dalam teknik angioplasti
iaitu menggunakan bare metal stent (BMS), drug-eluting stent (DES) dan
bio-engineered stent (BES).
Kebiasaannya, pilihan rawatan berdasarkan faktor yang ditentukan oleh gejala-gejala yang dialami pesakit.
Dalam kebanyakan kes, jika arteri tersumbat kurang daripada 70 peratus, maka ubat akan menjadi pilihan rawatan baris pertama.
Jika pembedahan diperlukan, BES ialah sten yang sesuai untuk semua pesakit.
Pemasangan sten menawarkan penyelesaian bagi kumpulan pesakit
tertentu seperti mereka yang memerlukan pembedahan dalam jangka masa
pendek, pesakit yang tidak boleh menggunakan Dual Antiplatelet Therapy
(DAPT) iaitu rawatan perubatan yang membabitkan pengambilan agen
pencairan darah seperti aspirin dan agen antiplatlet untuk jangka masa
panjang dan warga emas.
Pesakit yang menjalani rawatan memasukkan sten boleh menjalani kehidupan seperti biasa dengan membuat senaman aerobik.
Namun begitu, pesakit arteri koronari harus melakukan ujian stres
terlebih dulu sebelum memulakan program senaman bagi mengukur kemampuan
mereka untuk bersenam.
“Mereka dinasihatkan supaya melakukan senaman ditemani orang lain
dan tidak berseorangan selepas beberapa bulan pertama menjalani rawatan.
“Gaya hidup yang sihat seperti berhenti merokok, mengamalkan diet
sihat dan senaman dengan kerap sangat penting untuk mengekalkan
kesihatan jantung,” ujarnya.
Dahulu, penyakit jantung hanya menyerang individu berusia, kini
situasinya berbeza kerana golongan individu berusia bawah 50 tahun turut
berdepan dengan risiko penyakit tersebut.
Gaya hidup
Menurut Kui Hian, keadaan itu berlaku akibat gaya hidup tidak sihat,
tidak melakukan senaman, obesiti, merokok, tekanan darah tinggi dan
kolesterol tinggi.
“Penyakit ini berpunca daripada gaya hidup tidak sihat.
“Bagi mengelakkan penyakit ini, kita perlu mengamalkan gaya hidup
yang sihat seperti kurangkan pengambilan makanan yang banyak mengandungi
lemak, kolesterol dan garam, jangan merokok, kurangkan tekanan dan
selalu bersenam,” nasihatnya.
Dalam pada itu, Hindon Abdul Aziz, 55, tidak menyedari sama sekali
bahawa dia menghidap penyakit arteri koronari sehinggalah beliau membuat
pemeriksaan penuh kesihatan yang disarankan oleh tempat kerjanya.
Selepas melakukan ujian stres dengan treadmill, doktor memberitahu
bahawa Hindon mempunyai masalah saluran jantung tersumbat dan
menyarankannya menjalani rawatan angioplasti.
“Ahli keluarga saya ramai meninggal akibat penyakit yang berkaitan jantung seperti kolesterol tinggi dan angin ahmar.
“Sebulan jugalah saya membuat keputusan untuk membuat angioplasti.
Prosedur angioplasti ini mengambil masa lebih kurang satu jam,” katanya.
Selepas membuat pemasangan sten, doktor menasihatkannya membuat perubahan pada diet.
“Makanan laut tidak boleh makan kerana kandungan kolesterolnya
tinggi, makanan berminyak dan bersantan selain mengamalkan gaya hidup
sihat seperti tidak merokok.
“Jika tidak berpantang, ada kemungkinan saluran tersebut tersumbat
kembali. Apabila rakan-rakan tahu saya menghadapi masalah penyakit ini,
ramai yang menyarankan supaya makan epal hijau, saderi, lemon dan teh
hijau,” ujarnya.
Ditanya mengenai rawatan ubat tradisional yang banyak diamalkan oleh
segelintir masyarakat, Hindon memberitahu doktor mengingatkannya supaya
tidak mencampurkan pengambilan ubat doktor dengan ubat tradisional.
“Tidak dinafikan selepas didiagnosis menghidap penyakit ini, diet
saya sekeluarga berubah dan jarang sekali makan di luar seperti sebelum
ini.
“Sekarang ini, tengok sahaja orang makan nasi lemak sepinggan penuh
saya sudah takut. Mula-mula dapat tahu menghidap penyakit ini, saya
tidak lagi makan nasi lemak dan bertukar kepada capati,” katanya yang
kini menyediakan makanan menggunakan kaedah rebus, kukus dan panggang.
Secara peribadi, Hindon memberitahu, pemeriksaan kesihatan sekurang-kurangnya setahun sekali amat penting.
“Lebih baik dapat tahu awal daripada tidak tahu langsung dan tiba-tiba sahaja mendapat serangan jantung.
“Sehingga hari ini, setiap hujung minggu sebaik sahaja selepas subuh
saya dan suami akan berkebun untuk mengeluarkan peluh,” ujarnya yang
banyak membawa artikel-artikel mengenai arteri koronari.
No comments:
Post a Comment