Hamka yang sederhana
TOKOH ini adalah seorang ulama, pujangga dan pendakwah terkenal serta
berpengaruh di Asia Tenggara yang lahir dengan nama Haji Abdul Malik
Karim Amrullah. Bagaimanapun, beliau lebih dikenali dengan nama Hamka.
Ketika berusia 16 tahun, Hamka merantau ke Jawa. Di sana beliau
menimba ilmu daripada HOS Tjokroaminoto, Ki Bagus Hadikusumo, RM
Soerjopranoto, KH Fakhruddin dan A.R. Sutan Mansur.
Beliau aktif dalam organisasi Muhammadiyah. Pada 1936 Hamka berpindah
ke Medan. Di sana beliau memulakan karier keulamaannya dan menulis
banyak novel. Hamka dikenali kerana berpengetahuan luas.
Selain itu, beliau juga terkenal sebagai ulama yang berandangan
sederhana. Pada tahun 1975, semasa Majlis Ulama Indonesia (MUI)
ditubuhkan, Hamka terpilih sebagai presiden.
Ulama besar dan pujangga ini meninggal dunia pada hari Jumaat, 24 Julai 1981.
Mahir dengan sendiri
Hamka tidak pernah mendapat pendidikan rasmi. Beliau
belajar agama di sekolah agama Padang Panjang dan Parabek (dekat Bukit
Tinggi) serta daripada keluarganya.
Beliau sangat berbakat dalam bidang bahasa. Hamka mampu membaca sastera Arab, termasuk terjemahan daripada tulisan Barat.
Dunia antarabangsa mengakui kemahirannya dalam bidang keislaman yang diperoleh dengan cara belajar sendiri.
Beliau memperoleh gelaran Doktor Kehormat dari Universiti al-Azhar,
Mesir dan Universiti Kebangsaan Malaysia. Salah satu karya agung Hamka
ialah Tafsir al-Azhar (30 juz).
Beliau menyiapkan tafsir al-Quran itu ketika dipenjarakan selama
beberapa tahun kerana dianggap menentang rejim pemerintahan Orde Lama.
Ulama sederhana
Pandangan sederhana Hamka membuatkan beliau diterima oleh
semua pihak. Di kalangan orang ramai, Hamka dikenali dengan pidatonya
yang menyejukan hati dan mampu menaikkan semangat. Sebagai tokoh
pembaharuan, beliau menentang penguasaan adat terhadap ajaran agama,
terutama di Minangkabau, seperti pola hubungan kekeluargaan yang
bersifat matriarki (berdasarkan kuasa ibu).
Ulama pujangga
Hamka juga dikenal sebagai pengarang novel. Beliau pernah
diberi nama julukan "Kiai Novel" kerana kegiatannya yang dianggap
menyalahi tradisi keulamaan itu. Puluhan tahun kemudian barulah julukan
itu berubah menjadi "Ulama Pujangga".
Karyanya yang berbentuk novel antaranya ialah Di Bawah Lindungan Kaabah, Mandi Cahaya di Tanah Suci, Di Lembah Nil, Merantau ke Deli, Tenggelamnya Kapal Van Ver Wijck dan Di Dalam Lembah Kehidupan.
Beliau juga meninggalkan lebih daripada 100 karya dalam pelbagai
bidang kajian seperti politik, sejarah, budaya dan ilmu keislaman.
Muhammadiyah
Perkenalannya dengan tokoh-tokoh Muhammadiyah membuatkan
Hamka aktif dalam organisasi itu. Beliau beberapa kali memangku jawatan
sebagai pemimpin Muhammadiyah , antaranya Majlis Konsul Muhammadiyah di
Sumatera Tengah (1934), pemimpin Muhammadiyah Sumatera Timur (1942) dan
anggota pemimpin pusat Muhammadiyah (1953). Sejak 1971 beliau dilantik
sebagai penasihat pemimpin pusat Muhammadiyah sehingga akhir hayat. Nama
Hamka diabadikan sebagai nama pusat pengajian tinggi kepunyaan
Muhammadiyah di Jakarta, iaitu Universiti Hamka.
No comments:
Post a Comment