Penangan cinta online
|
DAHULU, orang menulis surat sambil menyapukan minyak wangi, lalu
diposkan kepada kekasihnya yang jauh yang mungkin tidak dikenalinya.
Berbulan-bulan ditunggu, adakalanya dijawab, adakalanya tidak.
Bernasib baik kalau surat itu dijawab. Kini, posmen tidak lagi perlu
menjadi orang tengah menghantarkan surat cinta.
Dunia hari ini, semua jenis aplikasi online seperti Facebook,
Twitter, MySpace dan e-mel menjadi medium baharu manusia menjalinkan
hubungan cinta.
Medium baharu ini juga tidak mengenal usia, sama ada tua atau muda.
Sebab itulah, kita selalu mendengar banyak rumah tangga yang musnah
kerana cinta online. Ada yang mula menjalin semula cinta dengan kekasih
lama, walaupun pada masa yang sama sudahpun berumah tangga. Hal sebegini
selalu kita dengar.
Cinta online itu juga adakalanya menyebabkan ramai anak gadis kita
yang terpedaya. Tidak kurang juga wanita yang berkerjaya. Bahkan, ada
yang terperangkap dengan cinta palsu hingga sanggup melabur puluhan ribu
ringgit ke akaun kekasih online yang tidak mereka kenali.
Inilah hebatnya cinta dalam talian, malah ada yang patah hati dan tidak kurang juga yang membawa kebinasaan.
Tahun 2006, Megan Meier, gadis berusia 13 tahun telah membunuh diri
hanya kerana teman lelakinya, Jose, menyakiti hatinya dengan tiba-tiba
memutuskan hubungan mereka secara dalam talian.
Dua minggu setelah Jose tidak lagi membalas mesejnya, Megan akhirnya
membunuh diri. Malang sekali, 'Jose' sebenarnya tidak pernah wujud. Ia
hanya nama samaran yang Megan sendiri tidak ketahui siapakah jejaka
palsu itu.
Lantaran medium online merupakan penghubung ikatan manusia zaman
moden, banyak laman web muncul sebagai medium penjalin hubungan. Online
Dating Magazine salah satu daripadanya. Tahun 2007, dalam tempoh sebulan
sahaja, lebih 20 juta pengunjung melakukan janji temu secara online
sekurang-kurangnya sekali.
Sifat terbuka
Secara psikologinya, apakah bentuk emosi yang terjalin setiap kali
manusia melakukan komunikasi secara dalam talian? Anda sebagai pengguna
Facebook atau Yahoo Messenger tentu pernah merasainya walaupun anda
tidak tahu menghuraikannya.
Dikatakan bahawa melalui komunikasi online, manusia akan mengalami
disinhibition effects. Dalam erti kata lain, dalam keadaan yang bersifat
anonymous, didapati bahawa manusia lebih cenderung untuk bersikap
terbuka dan meluahkan emosi tanpa segan silu. Dikatakan juga bahawa
manusia lebih cenderung menyatakan rasa hati dengan lebih baik jika
dibandingkan secara bersemuka.
Kajian juga mendapati bahawa perhubungan melalui internet menjadikan
manusia lebih cepat mesra. Komunikasi secara bertulis, menjadikan
manusia berfikir dahulu apa yang patut ditulis dan bagaimana untuk
mempersembahkan diri. Ia sukar dalam keadaan perhubungan secara fizikal
kerana ada hal-hal yang tidak boleh dilakonkan.
Dikatakan juga, komunikasi melalui internet ini adakalanya lebih
memungkinkan manusia menunjukkan diri mereka yang sebenar (true self).
Mereka mungkin menyembunyikan nama sebenar tetapi watak, sifat dan diri
mereka sebenar banyak ditonjolkan melalui tulisan.
Sebab itulah, dalam banyak situasi, ada ramai manusia baik yang boleh
kita temui secara dalam talian. Bagaimanapun, jangan pula terpedaya.
Ada manusia yang pandai memanipulasi keadaan ini.
Kita sering didedahkan dengan kisah mangsa yang telah dijual ke luar
negara kerana terpedaya dengan cinta palsu, sama ada sebagai keldai
dadah atau pelacur. Ini adalah antara musibah di sebalik tabir keindahan
dunia online.
Kecurangan
Jalinan online juga sebenarnya memberikan kesan terhadap perasaan
cemburu manusia. Dulu, rasa cemburu akan timbul kalau ada pasangan yang
bermain mata dengan orang lain. Sekarang ini orang tidak bermain mata
lagi. Facebook telah menjadi medium baharu yang tidak ada pada zaman
sebelumnya.
Bagaimana agaknya sifat cemburu manusia kalau tahu pasangannya ada hubungan online dengan orang ketiga?
Kajian mendapati bahawa cybersex atau komunikasi yang terarah kepada
rangsangan seks dianggap sebagai sama dengan perlakuan melakukan
hubungan seks dengan orang lain. Ia dianggap sebagai satu bentuk
kecurangan.
Wanita juga didapati sangat marah kalau mendapat tahu bahawa pasangan
lelakinya mempunyai hubungan online dengan wanita lain, seolah-olah
pasangan lelakinya itu ada ikatan emosi dengan wanita lain. Ini
dibuktikan dalam banyak kajian.
Bahkan, wanita juga lebih besar kemungkinannya jika dibandingkan
lelaki untuk sanggup memutuskan hubungan kalau mendapat tahu pasangannya
menjalinkan hubungan online dengan wanita lain.
Bagaimana dengan anda?
Hakikatnya, medium online bukan sekadar menjadikan kita lebih mudah
menjalin hubungan dengan teman-teman lama atau rangkaian perniagaan
tetapi ia juga satu cabaran terhadap rumah tangga dan hubungan cinta.
Ia cabaran baharu yang sedang kita lalui. Bergantung sejauh manakah
kita bijak memanfaatkannya, ia juga bakal menjadi medium menjadikan
hidup manusia semakin huru-hara.
No comments:
Post a Comment