Robot semakin mirip manusia
|
ROBOT keluli yang berketinggian 35 sentimeter itu boleh melakukan
banyak formasi seperti seorang manusia. Anggota badannya lengkap dengan
sepasang kaki dan tangan, badan serta kepala.
Ia yang dikenali sebagai UTM Humanoid itu boleh duduk, berjalan,
menari, mengimbangi badan ketika menuruni curam dan melakukan push-up.
Biarpun lincah menyusun langkah, robot yang dihasilkan sejak tahun 2005 hingga 2008 itu masih jauh untuk menyamai manusia.
Jika manusia memiliki 360 sendi pada tubuh, UTM Humanoid pula mempunyai 21 motor untuk menggerakkan anggotanya.
Kaki robot seberat kira-kira 7 kilogram itu dibuat lebih lebar supaya
boleh mengimbangi badan daripada terjatuh ketika melakukan formasi.
"Kami bangga terhadap penghasilan robot humanoid itu, tetapi sifatnya
belum dapat menyamai keupayaan fizikal manusia," jelas Ketua Kumpulan
Kajian Robotik, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Skudai, Johor,
Prof. Dr. Shamsudin Mohd. Amin.
Robot humanoid yang direka oleh sekumpulan pengkaji daripada UTM itu
boleh dibanggakan kerana menggunakan kepakaran teknologi tempatan dalam
penghasilan keseluruhan komponennya.
"Kita memang tidak boleh menandingi robot-robot humanoid yang telah maju kerana mereka tidak menjual komponen dan teknologinya.
"Hanya beberapa motor ringkas yang berada di pasaran. Yang selebihnya kita perlu buat sendiri," ujarnya.
Robot humanoid termaju pernah dihasilkan di dunia adalah rekaan
syarikat Honda di Jepun. Robot yang digelar Asimo itu mampu meniru
gerakan persis manusia.
Asimo
Asimo pernah membawa kejutan kepada komuniti pengkaji robotik apabila
ia diperkenalkan dalam sebuah konferen robotik di California, Amerika
Syarikat pada tahun 1997.
Ketika itu, pengkaji lain baru sahaja berada pada peringkat
penghasilan kaki robot, tetapi Jepun hadir memperkenalkan Asimo yang
dikenali sebagai P1.
"Kemunculan Asimo begitu mengejutkan. Jepun hadir dengan robot itu tanpa sebarang klu.
"Ia merupakan robot humanoid tercanggih. Pada saat pengkaji lain baru
mencipta bahagian kaki, Honda memberi kejutan dengan memperkenalkan
robot humanoid penuh. Mereka benar-benar mendahului orang lain dalam
penciptaan robot humanoid," katanya.
Asimo tidak dihasilkan dalam sekelip mata kerana jurutera Honda
mengambil masa selama lebih 15 tahun untuk menjadikannya realiti pada
tahun 2000.
Evolusi impian itu bermula sejak tahun 1986 apabila jurutera Honda
memulakan kajian berkaitan perkara asas yang membolehkan robot berkaki
dua bergerak.
"Dari tahun 1987 hingga 1991, kami mengkaji cara manusia berjalan
untuk membolehkan robot tersebut bergerak dengan lebih pantas.
"Kemudian, pada tahun 1991 hingga 1993, kami berjaya membuat robot
tersebut menaiki dan menuruni tangga, berjalan di laluan curam dan
melangkah halangan.
"Akhirnya, pada tahun 1993 hingga 1997, sebuah robot berbentuk manusia yang mempunyai anggota badan berjaya dicipta.
"Dengan penambahan saiz, berat serta peningkatan teknologi berjalan,
pada tahun 2000 terciptalah Asimo," jelas Ketua Pegawai Eksekutif Honda
Malaysia, Atsushi Fujimoto.
Bola sepak
Dalam pada itu, Shamsudin yakin robot humanoid bakal menyerupai sifat dan kelakuan manusia suatu hari nanti.
Masanya akan tiba apabila sebuah sistem perkomputeran yang setanding dengan otak manusia dicipta.
"Apabila ada sistem perkomputeran yang sama dengan otak manusia,
ketika itulah sebuah robot humanoid akan boleh bersifat seperti manusia
sebenar.
"Walaupun sekarang sudah ada banyak robot humanoid, tetapi ia ibarat
seorang kanak-kanak berusia lima tahun. Ini termasuklah Asimo sendiri,"
terang Shamsudin kepada Jurnal.
Komuniti pengkaji robotik dunia sepakat menjangkakan robot humanoid
yang menyerupai manusia sebenar akan dapat dihasilkan pada tahun 2045.
"Pada tahun tersebut akan diadakan perlawanan bola sepak sebelas
sebelah antara robot humanoid dan pemain bola sepak terbaik dalam
perlawanan Piala Dunia.
"Buat masa ini, pengkaji sedang bersedia ke arah itu," kata Shamsudin.
Bagaimanapun, pada masa yang sama, pengkaji menyuarakan kebimbangan
memandangkan manusia turut berpeluang berkahwin dengan robot.
Jelas pengkaji kecerdasan buatan di Universiti Maastricht, Belanda,
David Ley, bukan suatu yang pelik jika manusia menjadikan robot sebagai
teman hidup.
"Ramalan saya adalah pada tahun 2050, Massachusetts, Amerika Syarikat
akan menjadi negeri pertama yang membenarkan perkahwinan antara robot.
"Ia tidak mustahil kerana kini pun ramai manusia yang melakukan
hubungan seks dengan robot, apatah lagi setelah pemikiran robot sama
seperti manusia," jelas Ley.
Sebenarnya, komuniti pengkaji robot telah sepakat mewujudkan etika khusus dalam penghasilan robot humanoid.
Etika yang diguna pakai sejak tahun 2000 itu penting untuk mengelakkan penciptaan robot yang boleh mengancam ketenteraman dunia.
"Apa-apa boleh terjadi andai manusia sudah menguasai teknologi, jadi satu etika perlu diikuti.
"Contohnya, penciptaan robot seks atau dikenali sebagai Roxxxy yang
dipasarkan, ia lebih bersifat sebagai alat permainan seks semata-mata.
"Dari segi etika, ramai yang menentang pengeluaran robot yang seks seperti itu," katanya Shamsudin
No comments:
Post a Comment