BENARKAH SAHABAT BERSENGKETA?
OLEH: MUHAMMAD ASRIE AL-MADANI
{Satu Kajian yang dibuat oleh Muhammad Asrie sebagai penulis artikel ini}
Selamat Membaca!
==================
Telah masyhur dalam sejarah Islam
bahawa selepas kewafatan baginda Rasulullah s.a.w dan selepas
terbunuhnya Khalifah al-Rasyidin yang ketiga; Usman bin Affan r.h, umat
Islam berada dalam keadaan perpecahan dan perbezaan pendapat yang
membawa kepada pertumpahan darah.
Sering
diwar-warkan di merata ceruk bahawa persengketaan yang berlaku dalam
peperangan Jamal dan Siffin adalah persengketaan antara Sahabat-sahabat
Rasulullah r.hum dan mereka ini berperang sesama sendiri.
Namun, berapakah jumlah Sahabat
yang berperang sesama sendiri ini? Adakah semua Sahabat yang hidup
ketika itu terlibat dalam persengekataan sesama sendiri ini? Syiah
Rafidah mendakwa semua Sahabat menjadi kafir kecuali beberapa kerat
kerana mereka semua terlibat dalam pertumpahan darah ini. Benarkah
sedemikian rupa?
Jawapan yang tepat dan tidak
teragak-agak adalah dakwaan dan tohmahan jijik Rafidah ini adalah dusta
sama sekali kerana para Sahabat ridwanullahi ‘alaihim majoriti mereka
langsung tidak terlibat dalam pertempuran sesama sendiri ini.
Imam Muhammad bin Sirin r.h, salah seorang Tabiin yang menyaksikan persengketaan ini dengan dua matanya berkata:
هاجت الفتنة، وأصحاب رسول الله صلى الله عليه وسلم عشرة آلاف، فما حضرها منهم مائة، بل لم يبلغوا ثلاثين
Maksudnya: “Berlaku
fitnah sedangkan jumlah para Sahabat Rasulullah s.a.w semuanya (yang
masih hidup) ketika itu 10,000 (sepuluh ribu) orang, tidak ikut serta
dalam fitnah itu daripada mereka kecuali 100 (seratus) orang bahkan
mungkin tidak sampai 30 (tiga puluh) orang sekalipun”. [al-Bidayah wan Nihayah, 7/281].
Hal ini juga dapat dilihat dalam
kitab-kitab sejarah Islam yang muktabar seperti al-Bidayah wan Nihayah
oleh Ibn Kasir dan Tarikh al-Islam Imam al-Zahabi. Al-Imam Ibn Kasir
r.h ketika menyenarikan nama-nama pembesar Sahabat yang terbunuh semasa
peperangan Jamal menyebut hanya dua orang iaitu Talhah r.a dan
al-Zubair r.a sedangkan kata Ibn Kasir r.h jumlah keseluruhan yang
terbunuh dalam peperangan Jamal adalah 10,000 orang.
Bandingkan jumlah korban
keseluruhan dengan jumlah Sahabat yang terkorban dalam peperangan Jamal
ini, menunjukkan betapa sedikitnya Sahabat yang terlibat dalam
peperangan ini.
Bahkan lebih menarik, Al-Zubair
r.a tidaklah dibunuh di medan peperangan namun seorang Rafidah yang
terlibat dalam pembunuhan Usman r.a mengekori beliau semasa beliau
meninggalkan medan peperangan lalu si celaka ini membunuh beliau secara
tipu muslihat ketika beliau sedang tidur reda Allah sebanyak-banyaknya
atas beliau-Hawari Rasulillah s.a.w-.
Ketika berlaku peperangan Jamal
ini, Saidina Al-Zubair r.a sebuah hadis Nabi s.a.w kepada beliau ketika
Nabi s.a.w menemui beliau sedang duduk bersama Ali r.a lantas Nabi
s.a.w bersabda: “Adakah kamu mencintainya wahai Zubair?” Jawab Zubair: “Apakah yang menghalangi aku untuk mencintainya?” Lalu Nabi s.a.w bersabda: “Maka bagaimana pula keadaan kamu nanti ketika kamu memeranginya sedangkan kamu berlaku zalim kepadanya?”
Apabila beliau teringat akan
hadis ini, maka Saidina Zubair r.a segera beredar daripada pertempuran
dan bersumpah tidak akan memerangi Ali r.a. [al-Bidayah wan Nihayah,
7/268-269].
Demikian
juga telah tsabit semua Sahabat ridwanullahi ‘alaihim yang terlibat
dalam peperangan Jamal ini menyesal dan mengaku mereka bersalah dalam
tindakan mereka dan terjadi perdamaian antara mereka sebaik sahaja
selesai peperangan.
Imam al-Sya’bi r.h begitu mengingkari ramainya Sahabat yang terlibat dalam peperangan Jamal sehingga beliau berkata:
لم يشهدها إلا علي، وعمار، وطلحة، والزبير من الصحابة
Maksudnya: “Tidak turut serta dalamnya (perang Jamal) melainkan Ali, Ammar, Talhah, dan al-Zubair daripada Sahabat”. [Tarikh al-Islam, 3/484]
Malah riwayat-riwayat sejarah
lainnya menyatakan para Sahabat yang turut serta bersama Ali r.a dalam
peperangan Jamal ini tidak lebih daripada 1000 sahabat sahaja sedangkan
seperti kata Ibn Sirin r.h jumlah Sahabat yang masih hidup ketika itu
adalah 10,000 orang. Bayangkan terdapat 9000 lagi sahabat ridwanullahi
‘alaihim tidak menyertai fitnah yang terjadi ini. [Ibid]
Sudahlah bilangan Sahabat yang
turut serta ini sedikit, peperangan yang berlaku pula bukan berpunca
daripada mereka ridwanullahi ‘alaihim sebagaimana yang ditegaskan para
sejarawan Islam. Berkata Imam al-Zahabi r.h menyatakan pendapat para
Ahli Sejarah:
اصطف الفريقان، وليس لطلحة ولا
لعلي رأسي الفريقين قصد في القتال، بل ليتكلموا في اجتماع الكلمة، فترامى
أوباش الطائفتين بالنبل، وشبت نار الحرب، وثارت النفوس
Maksudnya: “Kedua-dua
pasukan berada dalam barisan dan tiada niat dalam diri Talhan dan Ali,
ketua kedua-dua pasukan untuk berperang bahkan untuk berbincang untuk
menyatukan suara lalu sekelompok orang daripada kedua-dua pihak mula
melontarkan lembing maka menyala lah api peperangan dan berkobarlah
jiwa…”.[Tarikh al-Islam, 3/486].
Jelas kalimah أوباش menunjukkan
yang memulakan peperangan adalah kaum yang tidak diketahui dan
bukanlah daripada kalangan Sahabat sendiri bahkan mereka itu sangat
berusaha untuk menyatukan kaum muslimin, bahkan Aisyah r.ha Ummul
Mukmini sendiri ketika memujuk Kaab bin Sur keluar bersamanya ke Jamal
berkata: “Sesungguhnya tujuanku hanyalah untuk memperbaiki antara manusia”.[Ibid]
Bahkan
Kaab bin Sur al-Azdi r.h (Abu Nuaim r.h memasukkan beliau dalam
kalangan Sahabat) keluar sebagai pemegang tali unta Ummul Mukminin
membawa Mushaf dan perisai sahaja dan sepanjang peperangan beliau
mengajak manusia supaya berdamai namun dia terbunuh terkena panah sesat
(dan kita tidak meragui kemungkinan besar kaum Sabaiah –Rafidah- yang
memanah beliau kerana tidak mahu peperangan dihentikan).
Demikian juga Muslim al-Juhani
r.h daripada pihak Ali r.a diarahkan oleh Ali r.a untuk mengarak Mushaf
dan menyeru supaya mereka berhenti berperang dan kembali kepada hukum
al-Quran namun dia juga dibunuh bahkan dikatakan orang pertama yang
terbunuh.[ibid, m.s 490].
Lihat,
para Sahabat dalam peperangan Jamal ini sentiasa berusaha untuk
menghentikan peperangan yang bukan mereka mulakan. Maka Laknat Allah
atas tangan-tangan tersembunyi di sebalik kejadian ini yang tidak lain
tidak bukan pengikut Abdullah bin Saba’, pengasas ajaran Syiah.
Berpindah pula kepada fitnah yang kedua iaitu peristiwa Siffin yang berlaku antara Saidina Ali r.a dan Saidina Muawiyah r.a.
Berkata al-Imam Ahmad bin Hanbal
r.h: Menceritakan kepada kami Umayyah bin Khalid, dikatakan kepada
Syu’bah: Ibn Abi Syaibah telah meriwayatkan daripada al-Hakam daripada
Abdul Rahman bin Abi Laila berkata: “Turut serta dalam peperangan Siffin
daripada Ahli Badar 70 (tujuh puluh) orang”. Berkata Syu’bah: “Abu
Syaibah salah, kami telah berdiskusi dengan al-Hakam berkenaan perkara
ini dan kami tidak dapati Ahli Badar yang menyertai Siffin kecuali
Khuzaimah bin Tsabit[1]”.
Dikatakan juga turut serta dalam Siffin daripada Ahli Badar, Sahl bin
Hunaif r.a dan Abu Ayyub al-Ansari r.a. [al-Bidayah wan Nihayah,
7/281].
Al-Zahabi
r.h menukil daripada Khalifah bahawa Sahabat Ahli Badar yang menyertai
Siffin bersama Ali r.a adalah: ‘Ammar bin Yasir, Khawat bin Jabir,
Sahl bin Hunaif, Abu Saad al-Sa’idi, Abul Yusr, Abu Rifa’ah al-Ansari
dan Abu Ayyub al-Ansari.
Sahabat yang bukan Ahli Badar pula adalah: Khuzaimah bin Tsabit[2],
Qais bin Saad bin Ubadah, Abu Qatadah, Sahl bin Saad al-Sa’idi, Qurzah
bin Kaab, Jabir bin Abdullah, Ibn Abbas, al-Hasan, al-Husein, Abdullah
bin Jaafar bin Abi Talib, Uqbah bin ‘Amir, Abu ‘Ayyash al-Razki, ‘Adi
bin Hatim, al-Asy’as bin Qais, Sulaiman bin Surad, Jundub bin Abdullah,
dan Jariah bin Qudamah”.
Lihat
jumlah Sahabat yang menyertai peperangan Siffin ini boleh dibilang
dengan jari sahaja wahai kaum Muslimin sekalian, masih terdapat
beribu-ribu Sahabat lain lagi yang tidak turut serta dalam peperangan
ini.
Adapun riwayat daripada Abdul Rahman bin Abza r.a:
شهدنا مع علي ثمانمائة ممن بايع بيعة الرضوان، قتل منهم ثلاثة وستون رجلاً، منهم عمار
Maksudnya: “Kami menyertai Ali bersama 800 orang yang berbaiat dalam Baiat al-Ridwan, terbunuh antara mereka 360 lelaki antaranya Ammar”. [Tarikh al-Islam, 3/545].
Riwayat ini munkar kerana
perawinya: Yazid bin Abdul Rahman adalah Abu Khalid al-Dalani kerana
dia sahaja bernama Yazid bin Abdul Rahman yang mempunyai riwayat yang
diriwayatkan oleh Abdul Salam bin Harb.
Yazid
ini dihukum Layyin oleh Ibn Adi dalam al-Kamil fid Dhu’afa’ dan
cukuplah menjelaskan kedaifannya dengan disenaraikan dalam al-Kamil,
kitab yang khusus menceritakan perawi yang daif sahaja dan Syuraik
berkata: “Dia seorang Murjiah, kami berlindung dengan Allah daripadanya”. [Lihat al-Kamil, 7/277-278 dan al-Tarikh al-Kabir , al-Bukhari, 8/346-347].
Maka jelas kepada kita jumlah
Sahabat yang terlibat dalam peperangan Siffin tidak sampai beberapa
kerat sahaja, maka di manakah kesahihan tohmahan Rafidah bahawa ‘SEMUA
SAHABAT KECUALI BEBERAPA KERAT’ kafir mereka kerana berperang sesama
sendiri??
Kemudian, adakah mereka yang
terlibat dalam peperangan Kafir? Demi Allah, sama sekali tidak kerana
Nabi s.a.w telah menamakan mereka sebagai MUSLIMIN sebagaimana dalam
sabda baginda:
إنَّ ابني هذا سَيِّدٌ ، ولعَلَّ اللهَ أَنْ يُصلِحَ به بَيْنَ فِئتَينِ عَظِيمَتَينِ من المسلمين
Maksudnya: “Sesungguhnya
anak ku ini (yakni al-Hasan bin Ali r.hma) adalah Sayyid (penghulu),
mudah-mudahan Allah akan membaikkan dengannya dua puak yang besar
daripada Muslimin”. [al-Bukhari].
Hadis ini mengisyaratkan islah
yang dilakukan oleh Saidina al-Hasan r.a dengan menyerahkan jawatan
Khalifah kepada Saidina Muawiyah r.a yang dengan itu kaum muslimin
berkumpul semula di bawah satu Khilafah dan dinamakan tahun itu sebagai
‘Tahun Jamaah’.
Jelas dan terang lagi bersuluh
Nabi s.a.w menamakan kedua-dua kumpulan yang menyokong Ali r.a dan
Muawiyah r.a sebagai MUSLIMIN, maka siapakah Rafidah sehingga
berani-berani sahaja mengkafirkan para Sahabat Nabi s.a.w. Sungguh
rahmat dan reda Allah tidak putus-putus mencurah ke atas para Sahabat
Rasulullah s.a.w dan tidak putus-putus pula laknatNya atas kaum Rafidah
yang zalim dan fasiq ini.
[1] Kedudukan Khuzaimah bin Tsabit r.a sebagai Ahli Badar terdapat pertikaian.
[2] Atas pendapat beliau bukan Badri
No comments:
Post a Comment