22.5.12

Siri Tokoh Ulamak Sunni: Sayyid Abdullah Al-Ghumari pakar hadis

Sayyid Abdullah Al-Ghumari pakar hadis

Sayyid Abdullah ibnu Muhammad ibnu Al-Siddiq Al-Ghumari Al-Hasani dilahirkan di Maghribi pada awal Rejab tahun 1328 Hijrah bersamaan 1910 Masihi.

Beliau lahir daripada sebuah keluarga yang jaluran nasabnya sampai kepada Saidina Al-Hasan ibnu Ali dan Fatimah Al-Zahra binti Rasulullah SAW, yang kuat berpegang dengan agama, masyhur dengan ketakwaan dan keimanan. 

Ayahnya, Sayyid Muhammad ibnu Al-Siddiq merupakan salah seorang ulama dan wali Allah yang masyhur pada zaman tersebut. 

Manakala bondanya, Syarifah Fatimah Al-Zahra merupakan cucu kepada Sayyid Ahmad ibnu Ajibah Al-Hasani pengarang syarah kitab hikam yang masyhur iaitu Iqaz Al- Himam fi Syarh al Hikam dan kitab Al-Bahr Al-Madid fi Ulum Al-Quran Al-Majid.

Pengajian Awal
Pada 1329 Hijrah Sayyid Abdullah telah dibawa oleh ayahnya bersama keluarga menuju ke Mekah bagi menunaikan fardu haji. 

Ayahnya telah memerintahkan salah seorang daripada muridnya menunaikan rukun dan amalan haji bagi pihak Sayyid Abdullah yang pada ketika itu baru berumur setahun.

Kemudian ayahnya telah menghantarnya menghafaz al-Quran dan pada umurnya lima tahun, beliau telah telah berjaya menghafaz al-Quran dengan Qiraat Warasy, matan-matan asas ilmu Islam seperti matan hadis Al-Arba'in Al-Nawawi, Al-Aajurrumiyyah dalam ilmu nahu, sebahagian besar daripada Alfiyyah Ibnu Malik, sejumlah hadis daripada kitab Bulugh Al-Maram dan sebahagian Mukhtasar Al-Khalil berkaitan Feqh mazhab Maliki. 

Kemudian Sayyid Abdullah menyambung pengajian di Masjid Al-Qurawiyyin di Fas selama enam bulan atas arahan ayahnya. Di sana beliau menghadiri halaqah-halaqah ulama yang menghidangkan pelbagai jenis ilmu Islam.

Sebaik menamatkan pengajian di Masjid Al-Qurawiyyin, Sayyid Abdullah pulang untuk menimba ilmu daripada ayahnya pula. 

Pada setiap pagi beliau akan berbincang, bermuzakarah dan bertanyakan sebarang kemusykilan ilmu pengetahuan kepada ayahnya. 

Ayahnya telah mentalqinkan wirid Tariqat al-Syazuliyyah dan memuji Sayyid Abdullah dalam salah satu ucapan: "Engkau adalah seorang faqih muhaddith yang sufi."

Taraf Keilmuannya
Sayyid Abdullah dibariskan sebagai al mutafannin pada zamannya sebaris dengan para ulama muktabar di dunia Islam pada ketika itu. Beliau mampu menguasai segenap bidang ilmu Islam seperti tauhid, hadis, tafsir, fiqh, usul fiqh, tasawuf, nahu sorof, balaghah, arudh dan qofiyah serta menjadi rujukan ulama, para penuntut ilmu Islam di timur dan barat.

Ketika berada di Mesir, Sayyid Abdullah mempunyai hubungan yang rapat dengan ulama besar dan di antara mereka ialah Al-Allamah Syeikh Muhammad Zahid Al-Kauthari. 

Sayyid Abdullah menghadapi pelbagai ujian getir dalam hidupnya. Ketika berada di Mesir, beliau telah ditangkap kerana difitnah sebagai pengintip bagi pihak Perancis terhadap Algeria. 

Keputusan mahkamah menjatuhkan hukuman mati terhadapnya telah dipinda kepada hukuman penjara.
Sayyid Abdullah Al-Ghumari telah menghasilkan lebih 30 buah karya yang mencakupi pelbagai bidang ilmu dan karya-karyanya ini menjadi rujukan dan sandaran para ulama sehingga hari ini. 

Kebanyakannya telah dicetak dan terdapat juga yang masih berbentuk manuskrip dan salinannya yang disimpan oleh ahli keluarga dan murid-murid rapatnya.

Kepulangan ke Maghribi
Beliau pulang ke tanah airnya setelah menghabiskan 40 tahun di Mesir. Di Maghribi, beliau menjalani rutin kehidupan seperti biasa sebagai ulama dan syeikh ilmu dengan membacakan kitab-kitab hadis serta ilmu-ilmu Islam yang lain, menjawab persoalan-persoalan agama serta menunaikan solat lima waktu bersama para jemaah. 

Kehidupannya amat sederhana dan zuhud. Beliau menolak segala tawaran berbentuk kebendaan tetapi memilih tinggal di tingkat atas Zawiyyah Siddiqiyyah bersama kitab-kitabnya.

Sayyid Abdullah kembali ke rahmatullah pada Khamis 19 Syaaban 1413 Hijrah bersamaan 11 Februari 1993 Masihi pada usia mencecah 85 tahun. 

Beliau disemadikan di sisi ayahanda dan bondanya di Zawiyah Siddiqiyyah, Tanjah, Maghribi. Kaum muslimin berhimpun memberikan penghormatan dan menyembahyangkan jenazahnya di Masjid Besar Tanjah, Maghribi.

No comments: