1.5.12

TEKNIK URUTAN MODEN

DI PINTU masuk pusat terapi ini tertera perkataan Selamat Datang ke Maju Therapy Zone. Sebelum anda dibenarkan masuk, seorang gadis akan menulis butiran mengenai penyakit dan rawatan diperlukan. 

Selepas itu anda akan dibawa menemui tukang urut yang berada di dalam bilik disediakan.

Berbeza dengan kebanyakan pusat terapi dan urut yang menggunakan gadis jelita sebagai pakar terapi, pusat perkhidmatan urut milik Siti Hadijah Abu Bakar, 37, bersama rakan kongsi Hasidi Hassan ini menawarkan tukang urut yang bukan saja berpengalaman dalam bidang urutan tetapi kesemua mereka terdiri daripada orang kelainan upaya (OKU). Daripada pemilik, penyambut tetamu, kerani dan enam tukang urut, kesemuanya menghadapi masalah cacat penglihatan.

Menurut Hadijah, hampir 90 peratus pelanggan terdiri daripada mereka yang bermasalah. Ada yang datang memberitahu sakit tangan namun setelah dirawat ia berpunca daripada masalah tulang belakang. Jadi tukang urut akan memperbetulkan dulu masalah ini sebelum ke bahagian lain.

Menyedari hakikat setiap orang memerlukan teknik rawatan berbeza, Hadijah bersama rakan kongsinya Hasidi mengadaptasikan teknik urutan seperti urut Thai, tradisional dan teknik tuna yang berasal dari China. Aplikasi teknik akan dibuat dalam irama tertentu untuk mengembali dan menjaga keharmonian badan agar sentiasa seimbang.

“Rekondisi daripada urutan mampu membuatkan pesakit tidur lebih lena, kurang tekanan, wajah lebih berseri, cergas dan sentiasa ceria,” katanya.

Tambahnya, banyak manfaat diperoleh daripada rawatan terapi urut. Antaranya membantu untuk melancarkan peredaran darah, meningkatkan daya ketahanan badan, mengurangkan sakit kepala, masalah kencing manis, gout, darah tinggi, tulang belakang, saraf tersepit dan sakit sendi.

Di samping itu, rawatan ini juga mampu meningkatkan kecergasan, kadar metabolisme dan mengurangkan lenguh badan.

Selain mementingkan kualiti, setiap tukang urut dilatih dalam bidang urutan dan mempunyai pengalaman yang luas. Mereka juga sangat berdisiplin dan bekerja bermula jam 10 pagi hingga 8 malam setiap hari.

Bagi pelanggan setia, �Hairizan Hamzah sejak �setahun lalu dia mendapatkan rawatan urut badan di pusat Therapy Zone, Maju Junction sekadar ingin mencuba.

Namun selepas kali pertama, dia berasa selesa dan secara berterusan menjalankan urut badan setiap bulan. Dia yang sebelum ini membuat urut badan secara tradisional mengakui walaupun diurut tukang urut buta namun perkhidmatan diberikan sangat berkualiti dan memuaskan.

“Saya memang ingin mencari tukang urut berpengalaman. Ini kerana mereka lebih mahir mengenai setiap inci tubuh dan mampu mengurangkan kelegaan selepas seharian bekerja di pejabat,” katanya.

Hasilnya dengan urutan setiap bulan, badan berasa lebih ringan, kurang sakit kepala dan lebih mudah bangun pagi. Malah ia sangat sesuai bagi wanita yang sering menghadapi masalah angin kerana ia mampu mengurangkannya.

“Sebelum ini saya selalu penat, sakit bahu dan belakang badan kerana duduk terlalu lama tetapi selepas menjalani sesi urutan selama beberapa bulan, lama-kelamaan masalah yang saya alami semakin berkurangan.

“Selain itu teknik urutan yang tidak menggunakan minyak memudahkan saya untuk bekerja semula. Mereka juga memberi penerangan mengenai setiap teknik digunakan serta masalah dihadapi pelanggan. Harga ditawarkan juga murah untuk satu jam hanya RM45 saja,” katanya yang turut membawa rakan-rakan bersama.

No comments: