SIAPALAH AKU TANPAMU....FELDA, ALHAMDULILAH! (Coretan bersiri kisah benar) Nukilan : Kamari Kasan, A.N.S. (SAYA : mengenali saudara Kamari Kasan ketika beliau diundang oleh Yayasan tempat saya bekerja(sebagai pengurus) sebagai penceramah kami di sekolah-sekolah terpilih... idea teknologi ilmunya begitu bagus untuk difahami oleh pelajar dan guru - mindaperkasa.blogspot.com)
Era kehidupan bangsa Melayu dalam zaman 50-an adalah merupakan usia bangsa yang masih berada dalam lingkungan kanak-kanak meskipun sejarah bangsanya dibuminya sendiri ini telah bermula sejak lebih dari 600 tahun dulu lagi.
Pada 1511M iaitu diwaktu kehadiran penjajah Portugis, usia kematangan pendewasaan bangsa Melyau masih berada di tahap remajanya. Usia ini namanya begitu popular dan harum. Jejakanya dikagumi dan anak gadisnya diminati. Uis ini sarat dengan kisah peminangan, pertarungan kerana gadis idaman, dan kisah-kisah berkisar dalam keseronokan menjelajah kebenua-benua seperti Cina dengan persembahan-persembahan (konsert agaknya dalam konteks hari ini). Nama-nama besar seperti Hang Tuah, Tun Teja, Puteri Gunung Ledang dan Puteri Hang Lee Poh begitu memenuhi carta kisah popular era berkenaan.
Namun sebaik sahaja era remaja menjangkau belia itu, bangsa Melayu berdepan dengan kehadiran portugis yang berkedatangan sebagai saudagar tetapi lengkap dengan ‘security team’ yang bersenjata dan dibenarkan atas kuasa Kerajaan Negara mereka. Pada usia itu, bangsa Melayu tidak mempunyai tokoh ekonomi terlatih, tiada tokoh korporat yang berilmu, tiada suatu struktur Kerajaan yang mempunyai agenda rancangan negara lima tahunnya. Penjajah hadir hanya bertemu dengan struktur sosial mudah iaitu suatu bangsa yang bernama Melayu dan mempunyai kedaulatan pada jajahan kuasanya di mana wujud rakyat dan wujud penguasaannya kepada kawasannya itu, tetapi tidak tahu tentang nilai ekonomi flora dan faunanya seperti rempah dan juga hidupan liarnya. Penjajah mendapati bangsa yang muda belia ini tandus dengan ilmu dan sangat mudah di ‘sakat’ dan begitu ‘emosional’ tetapi sangat rapuh pertahanan diri dan negaranya.
Keadaan ini bagai sang penangkap ular bermain dan mempermainkan ular berbisa. Tiada sedikitpun yang akan menakutkan dan membimbangkan mereka. Itu semua kerana ‘ilmu’. Ia merupakan suluhan cahaya yang menunjukkan segala jejek-jejak laluan dalam apa jua liku kehidupan yang dihamparkan di hadapan mereka. Kehidupan yang mereka temui setiap hari seumpama batang lilin (maklumat) dan mereka mempunyai teknologi menyalakan lilin itu untuk menerbitkan cahaya iaitu ilmu. Teknologi itu saya namakan sebagai teknologi ilmu (knowledge technology).
‘East India Timur’ adalah sebuah syarikat korporat dan jika pada zaman itu pemimpin Melayu yang menanti ialah Allahyarham Tun Abdul Razak (yang membina Felda) maka sudah barang tentu pelbagai jalinan MOU (memorandum of understanding) telah dilakukan dan perperangan bertukar kemeja tektikal perundangan dan kemudian berpindah kedaftar pasaran saham ekonomi. Namun zaman remaja menjadi belia tentulah zaman yang emosi mengatasi aqal dan era inilahbangsa melayu menemui sentuhan pintu pra-globalisasi itu.
Sejak 1511 dan sampailah kepada era 1700M, penjajah mula mendatangkan pekerja upahan (buruh asing) mereka sendiri yang terdiri dari kaum Cina (untuk menjadi pekerja di lombong-lombong bijih mereka) dan Kaum India (menjadi pekerja di syarikat perladangan mereka). Sementara kaum melayu dibiar kerana bangsa ini tidak banyak mengganggu urusan seharian mereka selagi mereka memelihara hubungan dengan tampok kepimpinan dan kedaulatan bangsa melayu tersebut iaitu Institusi Kesultanan. Jika ada pun bangsa Melayu adalah mereka yang terpilih dari kalangan istana untuk menemani urusan dengan rakyat jelata dan urusan sepermainan mereka,sementara sekelumit-lainnya adalah menjadi peon (budak pejabat), pemandu, amah, penari dikabaret dan segala cara kehidupan yang sekadar melukut tepi gantang. Rakyat jelata sekadar kais pagi makan pagi.
Bangsa melayu ini ‘terbiar’ hampir ratusan tahun meskipun dalam ratusan tahun itu jugalah bangsa Cina dan India yang didatangkan sebagai pekerja dan yang tinggal dalam lingkungan perkampungan-tertutup mereka, telah membangunkan struktur sosial yang kuat sebagai sebuah komuniti berbudaya, berbangsa dan membawa segala ciri-ciri bernegara mereka di sini. Mereka berniasa semasa mereka, mereka membina kongsi-kongsi gelap mereka, mereka membina institusi kewangan mereka, mereka mempelajari hampir segenap aspek kehidupan bernegara moden sepanjang ratusan tahun dalam ‘kandang’ atau dunia tertutup mereka itu. Amat kecil sekali interaksi mereka dengan dunia melayu dan kalau adapun dalam skala yang amat sederhana.
Jadi bayangkanlah; jika suasana yang wujud itu ialah - selama 300 tahun lebih bangsa Cina dan India bermastautin sebagai ‘pekerja asing’ (kepada semua kepentingan syarikat penjajah) yang mempunyai struktur ekososial yang sempurna dan mempunyai kehidupan sarat dengan daya saing dan ilmu pengetahuan amaliah; dan dalam tempuh yang sama itu juga bangsa Melayu dibuai dengan kebahagiaan dan kebanggaan melankolia minda mereka.
Sudah barang pasti usia belia Melayu pada 1511 telah begitu ‘terencat’ dan bangsa ini berada dalam suatu episod situasi-masa yang terhenti. Terhenti buat 400 tahun lebih. Budayanya, sistem keilmuannya, pengetahuan dan teknologinya, adat dan istiadatnya, sampailah kepada aspek perkembangan kegiatan ekonomi dan apalagi bidang teknikal lain seperti perakaunan, undang-undang dan sebagainya. Bukti ‘terhenti’nya kehidupan suatu bangsa melayu itu jelas dapat diperhatikan dalam sisip-sisip adat kehidupan mereka yang sepatutnya jika zaman 400 tahun dulu sifatnya sedemikian, maka sampai ke era kini sepatutnya ia telah mengalami perkembangan mendalam bukan dalam sesuatu jenis kehidupan semata-mata tetapi mencakupi keseluruhan bentuk kehidupan dengan begitu teratur dan kemas.
Lalu, apabila kemerdekaan tiba; Melayu berdepan dengan suatu siri kejutan; pertama, kejutan kemerdekaan kerana arus kemerdekaan sekitar (Indonesia contohnya); kedua, kejutan kerana kekalahan Jepun selepas mereka menghalau penjajahan British; ketiga, kejutan kerana selepas kesedaran kemerdekaan itu, ia telah dimarakkan lagi oleh keganasan atau perbuatan ganas dengan tidak ada asal dan puncanya oleh kaum Cina (yang telah lama menjalani kursus jati-diri mereka di perkampungan tertutup mereka dan di tambah oleh bantuan pihak luar dengan segala kelengkapan ; sedangkan di kala itu Melayu dengan tidak mempunyai senjata lain melainkan ‘parang panjang’ @ ’parang panjang terbang’) menerusi gerakan ‘bintang tiga’; keempat, kejutan selepas rakyat menderita oleh tekanan pasca jepun dan kegilaan kaum cina menerusi bintang tiga serta gerakan pondok menerusi akhbar jawi mereka yang menyuarakan ‘jihad’.
Kesemua kejutan itu tidak mungkin dengan tiba-tiba mendewasakan Melayu yang proses belianya dulu telah terbantut pada 1511.
Sementara pada 1946 (selepas 400 tahun lebih) , meskipun Melayu berjaya disatukan dan berjaya memberi impak kemerdekaan, namun Melayu yang baru mula menyambung usia belianya itu dipaksa menerima kemasukan ‘pekerja asing’ syarikat penjajah itu (kaum Cina dan kaum India itu).
Di saat penjajah mahu meninggalkan tanah jajahannya; mereka semestilah menyedari hakikat bahawa semasa kehadiran mereka dulu; negara ini mempunyai kedaulatannya sendiri dan mempunyai struktur kepimpinannya sendiri (institusi Raja-Raja). Maka sudah tentulah bila mereka meninggalkan negara ini amatlah wajar mereka meletakkan semula (reinstatements) kepada pihak yang mereka kenali dan temui semasa mereka mula menjejekkan kaki mereka di sini dulu. Sementara mereka juga sedar bahawa bangsa lain selain melayu adalah bangsa pekerja asing yang mereka datangkan dari negara asal mereka dan bangsa itu mempunyai hak kedaulatannya dari negara asal mereka sendiri.
Namun oleh kerana ‘kos besar’ yang bakal ditanggung oleh penjajah, mereka meninggalkan kaum berkenaan di negara ini dengan dalam masa yang sama bangsa Cina dan India itu pula sedia menjadi rakyat Malaysia (Tanah Melayu) dan begitu keberatan untuk kembali ketanah air mereka...?, maka mereka bersetuju dengan susunan syarat kontrak sosial yang cukup berat (tetapi kini telah begitu dipermudahkan oleh kerana kealpaan barisan pimpinan sekunder kita sendiri), sedangkan Melayu pada ketika itu (mereka pun tahu) adalah Bangsa yang baru mula menemui usia belianya berbeda dengan bangsa mereka yang telah cukup dewasa dan cukup bersedia untuk keluar dari rumah dan perkampungan tertutup mereka itu.
Maka apabila kemerdekaan menjamah bumi bertuah negara ini.....kita menyaksikan kemiskinan sebagai hasil dari suatu pertandingan yang sangat tidak sihat dan tidak sempurna. Bila penjajah meniup wisel permulaan pada 31 hb. Ogos 1957 dan Melayu merayakannya setiap tahun di padang Sultan Sulaiman..., maka pada setiap itulah pertandingan antara kaum di negara ini telah dimulakan dengan cara yang sangat tidak seimbang dan tidak betul. Bangsa melayu baru mula mengenal kehidupan bersaing sementara kaum Cina dan India telah berlatih tubi bersaing dalam koloni dan perkampungan tertutup mereka itu. Mereka telah mengenali ekonomi, bank, perakaunan, perundangan, dan sebagainya sementara bagi Melayu baru mula tergamam dengan segala bentuk peraturan permainan kehidupan yang tiba-tiba terjadi itu. Persaingan amat tidak sihat. Melayu berada di garisan mula sementara bangsa lain telah berada di garisan penamat siap merebut segala peluang yang terbuka atas nama demokrasi.
Sebagai mengimbau kisah duka nestapa itu saya sisipkan cerita nukilan Allahyarham Tun Ghaffar Baba yang kita tahu ia adalah wajah kepimpinan dari sinar keperitan hidup bangsa ini dari buku beliau dengan bait-bait berikut:...[1]
22. Malang sekali bagi saya baru berumur 7 tahun ibu meninggal dunia dalam tahun 1932[2], waktu berumur 38 tahun selepas melahirkan anak terakhirnya, Abdul Aziz. Sungguh-sungguh saya kesedihan kerana tidak ada lagi tempat hendak bermanja. Bapa berkahwin lagi dengan Puteh bte Yasin, Paya Rumput, Sungai Udang. Tiada anak.
23. Dua tahun kemudian, berumur 40 tahun bapa saya meninggal dunia, sakitnya tidak diketahui. Waktu itu saya baru berumur 9 tahun. Saya tidak kesedihan sangat dengan kematiannya itu sebab bapa saya garang. Perasaan kasih sayang antara bapa dan anak boleh dikatakan tidak ada, mungkin disebabkan desakan hidup. Walau bagaimanapun setelah dewasa saya tetap mengenanginya dan kalau ia masih hidup saya akan membalas budinya kerana jasanya menghidupkan saya dan menghantar saya ke sekolah. Kalau tidak tentulah saya hari ini termasuk dalam golongan orang buta huruf.
24. Setelah kedua-dua ibu bapa meninggal dunia tiga orang adik beradik yang masih hidup; Rahmah, Jamiah dan Zakaria berpindah ke Sungai Udang, Melaka menumpang duduk di rumah Cikgu Hitam Abdullah (pesara) , abang kepada bapa saya. Abang saya Nurdin ke Singapura menjadi tentera laut British.
25. Hanya saya seorang sahaja yang tidak mahu berhijrah ke Melaka. Saya buat keputusan mehu menetap di Kuala Pilah kerana saya mencintai tempat tumpah darah saya itu walaupun saya tahu tidak ada tempat hendak bergantung lagi. Saya ingin berdikari dan percaya saya akan berjaya. Setiap pagi jumaat waktu tidak bersekolah saya ke tanah perkuburan di kampong Gemuroh membersihkan kubur kedua-dua ibu bapa, kakak saya Zauyah, abang saya Sha’rani dan adik saya Aziz dan membaca doa untuk mereka. Bahkan itulah yang menjadi sebab utama mengapa saya mahu terus menetap di Kuala Pilah. “siapa lagi yang akan membersihkan tanah perkuburan itu kalau saya juga turut berpindah ke Melaka? “ Fikir saya………..
42. Apabila kedua-dua ibu bapa sudah meninggal dunia dan mempunyai empat orang adik beradik saya yang lain meninggalkan Kuala Pilah saya tinggal sebatang karah, jadi anak yatim. Kehidupan saya bertambah menderita. Sebelah pagi dalam perjalanan kesekolah, tidak kira dimana saja tidur malam sebelumnya, tidak pernah miss saya singgah disebuah kedai kopi seorang Cina Hailam memungut reja-reja roti yang telah dibuang kedalam tong sampah. Itulah yang jadi sarapan pagi saya setiap hari.
43. Sebelah malam kalau saya tidak balik ke rumah bapa saudara saya itu, saya menumpang tidur di rumah kawan-kawan. Kadang-kadang saya tidur di dalam bilik darjah, gelap, dan penuh dengan nyamuk.
Allahyarham Tun Ghaffar Baba tidak menjadi peneroka FELDA, tetapi dia antara orang miskin yang berjuang untuk terbentuknya FELDA. Dia langsung tidak sempat menikmati usaha perjuangannya tetapi terus bekerja dalam apa juga posisinya untuk rakyat khususnya bangsanya.
Sorotan ini juga adalah lanjutan kisah dari kehidupan yang mencubit cebisan kisah-kisah duka bangsa sebelum menyertai FELDA dan FELDA telah menyebabkan kehidupannya kini begitu jauh berubah…ikutilah kisah ini sebagai renungan agar kita sentiasa…berbudi…mengenang budi……membalas budi……
Emak, semoga tenanglah mak!...; sorotan kisah
..Allah lah penentu segalanya. Ditaqdirkan untuk aku kehilangan ayah tercinta di usia 5 tahun lagi.
Malang silih berganti. Penderitaan demi penderitaan.[3]
Bebanan ibu membesarkan 6 orang anaknya dengan berbekalkan sebidang tanah seluas 2 ekar. Separuh darinya baru sahaja ditebang tebas oleh ayah dan separuhnya lagi masih riuh suara riang-riang kerana habitat hutan tropika mereka masih belum diteroka lagi.
Hutan ini adalah sebahagian dari ribuan ekar hutan hujan tropika memanjang hingga ke Sungai Karang dan di sinilah pertempuran sengit antara tentera Indonesia dan tentera Malaysia[4] terjadi. Peristiwa itu berlaku selepas setahun ayah meninggalkan kami sekeluarga dan tidak tahu entah di mana.
Abang yang tua baru berusia 13 tahun dan dikala rakan-rakan mereka berangkat melanjutkan pelajaran ke tingkatan satu sekolah Menengah, dia terpaksa berhenti untuk bekerja sebagai orang gaji di Singapura untuk mencari pengalaman sambil dapat mengurangkan bebaban keluarga.
Aku belum bersekolah tetapi sudah layak untuk menyertai kelas TADIKA. Itu cerita di zaman sekarang, kerana pada zaman itu kanak-kanak tidak dapat memahami apa itu TADIKA kerana mereka hanya tahu sekolah di tahun satu sahaja.
Dua orang saudara tua ku iaitu kakak dan abang masih bersekolah di sekolah Rendah sementara aku akan berada di sisi ibu untuk menjaga dua orang adik-adik yang berusia kira-kira 4 tahun dan 2 tahun. Di wilayah yang penuh misteri ini, kami tidak mempunyai saudara mara dan kalau adapun beliau adalah ayah kepada ibu aku yang tinggal dalam 2 batu dari tempat kami mendirikan pondok buruk itu. Dia seumpama duri dalam daging kerana sikapnya yang sangat kejam dan diiringi oleh dayang-dayang iaitu isteri serta anak-anaknya yang sangat angkoh dan sombong serta zalim terhadap keluarga kami.[5] Isterinya itu adalah ibu tiri kepada ibuku.
Jiwaku sentiasa remuk dan hancur dengan luka yang tidak tahu berapa kali sudah berdarah tetapi masih terus seperti dihiris ketajaman dedaun lalang bila setiap kali mendengar bunyi muzik padang pasir menjelangnya saat maghrib. Saat inilah aku menitiskan air mata merenung ke sudut lorong dari hutan tebal itu dengan doa moga-moga wajah ayah muncul dan memberi harapan keceriaan keluarga meskipun wajahnya itu tidaklah segagah mana; tetapi dialah kebanggaan kami dan senandung hiburan jiwa kami. Namun setiap kali kegelapan menerpa pintu pondok kami dan setiap kali anak mataku pudar melihat lorong hitam itu; maka sesaat itu jugalah pipi cengkung ini digenangi oleh serakan air mata. Aku tersedu sendirian dan menahan sebak untuk tidak dilihat oleh ibu atau adik-adik lainnya.
“sudahlah nak, abah pasti akan datang semula dan balik. Tidak esok tentu lusa dia akan pulang” bisik ibuku yang dengan senyap mendekati aku untuk memberi semangat kepadaku. Di saat itu aku berlari jauh ketepi parit meredah maghrib dan disitu aku menutup mulut untuk menahan sebak sambil mencuci muka dengan air parit dari tanah gambut yang hitam pekat itu.
Aku memeriksa beberapa batang pancing ikan yang telah dipasang petang tadi untuk mendapatkan bahan lauk bagi makan malam nanti.[6] Kemudian aku akan segera mengambil air solat dan terus naik ke pondok tanpa bilik itu untuk menyalakan lampu minyak tanah dan kemudian mengerjakan solat .....
…………………………………………. ....terlalu panjang butiran kisah untuk dikenangkan dari usiaku 5 tahun sampailah kepada usia 13 tahun di mana aku bersekolah dalam tingkatan satu. Aku sudah begitu dewasa. Kebun yang dulunya hutan tebal telah mampu diterangkan oleh kudrat ibu tunggal muda yang ketika ayah meninggalkan aku ibu berusia kira-kira 29 tahun. Namun ibu muda inilah yang bingkas membela nasib anak-anaknya dengan sungguh berani meski saban malam aku terpaksa bangun memicit dan memeluk ibu ini dengan rayuan agar dia bersabar dan mengusapkan lenangan air matanya.
Sukar untuk digambarkan jika pada satu ketika ibu muda ini bagai dilanda kehampaan dan di saat itu aku dalam perjalanan ke Sekolah. Di perjalanan itu aku pastikan ibu mendapat bekalan ‘lempeng’ masakanku, sebelum aku melangkah kesekolah. Biasanya ibu akan kekebun getah milik seorang cina itu untuk menorih getah bersama dua adik-adik yang belum sekolah. Mereka akan bermain-main sekitar ibu sambil ibu sebuk terjungkang-jongkit menyembah batang-batang getah. Aku melihat adik-adik ku pejam mata di pangkal getah sedang ibu ku meratapi kehilangan suaminya dengan raungan yang sungguh halus tetapi amat menyebakkan. Ditangannya terpegang sebotol cuka getah dan dia bagaikan hilang pedoman. Di saat dia mahu menghirup cairan cuka getah itulah, aku sampai dan terus meningkah dengan jeritan seorang anak kecil yang tidak mahu kehilangan seorang lagi dalam hidupnya.
“ya Allah mak....tolonglah mak....janganlah mak buat macam ini. Sabarlah mak...” aku menjerit dengan penuh kegilaan. Kalau aku jeritkan meminta tolong sekalipun, kebuh ini dan hutan serta belukar sekitar tidak mampu menyampaikan jeritan itu ke telinga orang-orang kampung lainnya. “mak, ampunkanlah aku mak, ...mengapa adik-adik dah senyap mak... mengapa mereka mati mak?... fikiran ku bingung.
Ibuku terpaku melihat aku dengan pakaian sekolah yang tidak seperti pelajar lain dan tergamam melihat cuka getah yang berada di tangannya. Dia terduduk disisi adik-adik ku yang pejam kaku itu.
Aku terus menerpa botol cuka getah itu dan merampasnya dengan keras lalu memlontarkan jauh-jauh. Aku memeluk kaki ibu sambil meraung dengan tangisan yang tidak terhinggakan lagi. Aku tak peduli. Aku tidak mahu kehilangan ibu sesudah bayang-bayang ayah tidak pernah muncul lagi.
“mak, janganlah mak bunuh diri mak. Kalau mak mati, siapalah lagi yang boleh kami boleh hidup mak...aku takut atuk mak, aku takut tinggal di rumah tanpa emak ...! “ raunganku terus menggila....
Adik-adikku terbangun, dan mereka terpingga-pingga tetapi beberapa ketika selepas itu mereka terpanggil untuk merasa sebak dengan deretan kata-kata rayuanku yang tak henti-henti itu. Mereka turut memeluk kaki ibuku.
Hari itu aku tidak ke sekolah. Aku tidak mahu berpisah dengan ibu dan adik-adik lagi...
....demikan ....dan ... panjang lagi ukiran seni kepayahan hidup dalam dunia kemanusiaan yang kejam dan penuh dengan tipu muslihat...
Pada suatu ketika dan aku berada di tingkatan satu,...tiba-tiba penderitaan itu tidak mahu memberi nokhtahnya; bila muncul seorang lelaki yang datang kepondok buruk kami untuk memberi amaran supaya kami meninggalkan tanah tempat kami bersabung nyawa itu. Dia menyeluarkan pelbagai kata-kata kesat dan pedih lagi hina. Ditangannya ada segulung surat dan dokumen hakmilik tanah yang membuktikan bahawa tanah di mana kami menikmati kehidupan ini adalah tanah miliknya. Kami dituduh menceroboh.[7]
.....inilah detik genting dan detik yang tidak dapat dijual beli oleh sesiapa juga....
….hanya, tiba-tiba dengan takdir Allah (dalam suatu kisah panjang lainnya) ibuku diundang menyertai sebuah keluarga di FELDA dan aku menjadi penumpang dalam warga yang sudah mendapat begitu banyak rahmat darinya. Namun sebagai penumpang aku sudah cukup mensyukuri teramat sangat kerana aku mula menempa kejayaan demi kejayaan menerusi FELDA……Siapalah aku…tanpamu….FELDA.
|
[1] “ PENITIANKU” : Sebuah cacatan peribadi Allahyarham Tun Abdul Ghaffar Baba , Sure Focus Sdn. Bhd. 2006, halaman 9 - 18
[2]Untuk makluman, Y M Raja Alias, tokoh yang membela Melayu menerusi ilham Tun Abdul Razak menerusi FELDA telah dilahirkan pada 10 Ogos, 1932 (dikawasan keperitan Allahyarham Tun Ghaffar Baba) dan kemudian beliau membesar di Kuala Pilah. Inilah juga tempatnya (dalam sudut kehidupan yang lain) membesar dan dewasalah seorang watak pejuang bangsa bernama Allahyarham Tun Ghaffar Baba yang hidup bergelut dengan warna kemiskinan. Fenomena kehidupan ini (pada masa itu ) adalah lumrah dan mencari Bangsa Melayu yang kaya dan berjaya seumpama mendapatkan antah dalam beras seperti sukarnya mencari melayu miskin dari siri program ”BERSAMAMU” kini.
[3] Cerita ini diringkaskan , perkembangan lebih trajis dan terperinci akan dapat ditatap dalam tulisan lengkap sebenar.
[4] Peristiwa menarik seorang anak kecil melihat perperang dihadapan mata dan bagaimana tentera Indosenia mengalami kekalahan serta bagaimana tentera berikat Barat seperti Australia, British dan lainnya hanya menjadi jentera bantuan semata-mata.
[5] Cerita ini diringkaskan , perkembangan lebih trajis dan terperinci akan dapat ditatap dalam tulisan lengkap sebenar.
[6] Banyak lagi cerita yang bakal anda temui yang menggambarkan penderitaan trajis sebuah kemiskinan manifestasi dari kekejaman dunia yang tidak menyediakan keadilan (kecuali di Skim Rancangan Felda nantinya).
No comments:
Post a Comment