29.1.10

Mesin Wuduk Umat Islam Dicipta Oleh Syarikat yang CEOnya Bukan Islam..Menarik BUkan?

AACE hasilkan mesin wuduk automatik


NAJIB Tun Razak mencuba mesin Auto Wudu Washer sambil diperhatikan Anthony Gomez semasa melancarkan mesin tersebut di Kuala Lumpur, malam tadi.


KUALA LUMPUR 28 Jan. - Datuk Seri Najib Tun Razak malam ini melancarkan mesin wuduk automatik yang dibangunkan sebuah syarikat tempatan, AACE Tecnologies Sdn. Bhd. (AACE) di sebuah hotel di sini.

Bagi menyempurnakan pelancaran mesin yang dinamakan 'Auto Wudu Washer' itu, Perdana Menteri menadah tangan bagi mengalirkan air dari mesin tersebut sebagai simbolik mengambil wuduk.

Ketua Pegawai Eksekutif AACE, Anthony Gomez berkata, antara keistimewaan mesin itu ialah ia hanya memerlukan 1.3 liter air untuk seseorang itu menyempurnakan wuduk berbanding lapan liter air jika menggunakan paip biasa.

"Mesin ini boleh menjimatkan penggunaan air yang agak kritikal bekalannya terutama di negara-negara Asia Barat,'' katanya pada sidang akhbar selepas acara pelancaran itu. Hadir sama, Penasihat AACE, Dr. Taufiq Thiagi.

Katanya, sebagai contoh, mesin itu hanya memerlukan 10 juta liter air untuk kegunaan wuduk harian bagi dua juta umat Islam ketika musim haji di Mekah.

Anthony berkata, mesin itu akan dipasarkan pada Julai ini dengan harga kira-kira RM10,000 seunit.

Menurutnya, mesin tersebut mudah dipasang dan sesuai digunakan di kediaman, masjid, surau serta kapal terbang penumpang.

Selain mempunyai dua bahagian punca air, mesin wuduk automatik itu juga dilengkapkan dengan sistem pengering dan lampu.

=====================================================

Sungguh menarik artikel ini/laporan ini... mesin ambil air sembahyang umat islam dicipta oleh syarikat yang ceonya bukan islam bagi membantu umat islam jimatkan air dari 8 liter per ambil wuduk kpd 1.3 liter....


Maknanya kita umat islam membazirkan air setiap kali mengambil air sembahyang sebab tekniknya tak kena..... teknik apa? teknik membuka air/kelajuan air... lepas ni memasing kena slowkan sedikit airnya sebelum ambil wuduk atau guna aje kolah....


++++++++++++++++++++++++++++++++++++++

Elak jangkitan dan pembaziran




RAMAI yang maklum betapa perlunya penyediaan tempat mengambil wuduk yang selesa, lebih-lebih lagi jika kekerapan ia digunakan digandakan lagi dengan bilangan orang yang menggunakannya.

Mungkin apa yang difikirkan paling sempurna bagi seseorang pengguna adalah aspek keberkesanan fungsi. Lebih penting, ketika berwuduk, perkara yang perlu dijaga selain adab adalah soal kesucian kawasan atau tempatnya serta cara mengelakkan pembaziran air kerana itu menyumbang kepada kekhusyukan dalam beribadah.

Apabila memikirkan perkara-perkara tersebut, ilham boleh datang kepada sesiapa pun melalui pemerhatian. Sama seperti yang dialami seorang ahli perniagaan, Anthony Gomez, dalam satu kejadian pada tahun 2006.

Pengalaman hendak menggunakan tandas di dalam sebuah feri dalam perjalanan dari Pelabuhan Aqaba, Jordan ke Pelabuhan Taba, Mesir telah membuka Anthony untuk mencipta satu inovasi terkini bagi membantu umat Islam mengambil wuduk.

Ketua Pegawai Eksekutif AACE Technologies Sdn. Bhd., (AACE Technologies) itu berasa terkejut apabila melihat keadaan tandas sempit yang dipenuhi kira-kira 40 jemaah haji. Mereka dilihat sedang mengambil wuduk dengan menggunakan besen.

Anthony seperti terpanggil untuk melakukan sesuatu demi membantu sekali gus mengatasi masalah keselesaan para jemaah di dalam feri itu.

Sistem praktikal

Dia yang berpengalaman luas dalam bidang kejuruteraan penerbangan mula memikirkan tentang suatu ciptaan berteknologi tinggi namun mudah, ergonomik dan praktikal.


MESIN Auto Wudu Washer tercipta selepas mengambil kira beberapa faktor dan sebab.


“Saya telah mengambil masa kira-kira dua tahun dalam penyelidikan dan pembangunan untuk membangunkan mesin automatik Auto Wudu Washer. Ia adalah mesin wuduk pertama di dunia yang dihasilkan syarikat tempatan.

“Hampir semua bahan yang digunakan untuk membangunkan produk ini adalah bahan tempatan. Kos bagi penyelidikan dan pembangunan bagi Auto Wudu Washer pula mencecah AS$1 juta (RM3.4 juta) dan keseluruhan pelaburan untuk projek membabitkan kira-kira AS$2.5 juta (RM8.5 juta),” katanya.

Beliau menambah, terdapat dua model dalam proses pengeluaran AACE Technologies iaitu model 707 dan model 708 dijangka akan memasuki pasaran pada bulan Julai ini.

Perbezaan mengenai dua model ini ialah model 707 disasarkan untuk kegunaan di pejabat dan rumah.

Ia mempunyai ketinggian 190 sentimeter (sm) dan lebar 110 sm manakala model 708 dibina khusus bagi kegunaan seperti masjid, lapangan terbang, hotel serta pusat membeli-belah dengan ketinggian 150 sm serta lebar 86 sm.

Ujar Anthony, antara keistimewaan mesin ciptaannya adalah ia tidak menggunakan air yang begitu banyak dan hanya memerlukan 1.3 liter untuk seseorang menyempurnakan wuduk.

Katanya, ia tentu sekali dapat menjimatkan penggunaan air kerana berbanding menggunakan paip biasa, seseorang tanpa disedari akan ‘membazirkan’ lapan liter air.

“Sebagai contoh, mesin ini hanya memerlukan 10 juta liter air untuk kegunaan wuduk harian bagi dua juta umat Islam ketika musim haji di Mekah.

“Sebab itu AACE Technologies menyasarkan pasaran di negara Asia Barat untuk menjual mesin wuduk ini kerana kebanyakan daripada negara tersebut berdepan kekurangan bekalan air,” ujarnya lagi.

Menghindar jangkitan

Selain daripada menjimatkan air, mesin Auto Wudu Washer turut mengetengahkan teknologi khas bagi memastikan ia bersih dan selamat digunakan.


PERBUATAN tidak membazir air ketika berwuduk membantu kekhusyukan dalam solat. – Gambar hiasan


Penasihat AACE Technologies, Dr. Taufiq Thiagi, berkata: “Dalam pembangunan mesin wuduk automatik ini, kita telah membuat kajian agar pengguna terhindar daripada mendapat jangkitan kuman atau kulat air pada kaki mereka.

“Teknologi nano yang diterapkan dalam pembangunan mesin wuduk ini amat membantu. Nano perak yang terdapat pada mesin ini biasanya digunakan untuk mengecat dinding hospital kerana ia membunuh kuman.

Ujar beliau lagi, mesin wuduk tersebut juga didatangkan dengan sistem pengering untuk membolehkan pengguna berada dalam keadaan kering apabila menggunakan Auto Wudu Washer.

Katanya, itu menggalakkan persekitaran tempat mengambil wuduk sentiasa dalam keadaan kering. Idea ini dipraktikkan kerana kuman boleh merebak dengan pantas di persekitaran yang basah dan lembap.

“Secara tidak langsung, kelembapan yang dapat dielakkan itu dapat mengurangkan kerosakan pada permaidani dan mengatasi masalah bau hapak di masjid atau surau,” ujarnya.


PANCURAN air pada bahagian atas mesin ini memudahkan basuhan muka, tangan dan kepala.


Kualiti amat ditekankan dalam pembangunan mesin automatik wuduk ini apabila sistem pengesan pemencar (diffuse sensor) turut digunakan agar ia lebih tahan lama.

“Misalnya, jangka hayat mesin basuh dapat dipanjangkan apabila mekanisme yang sama digunakan untuk mengelakkan kerosakan akibat terkena air, hentakan dan sebagainya.

Dalam pada itu, Dr. Taufiq menjelaskan, mesin wuduk yang diperbuat daripada keluli tahan karat itu berfungsi dengan dua bahagian punca air.

Di bahagian atas mesin ini terletak tiga titik pancuran air untuk keperluan membasuh muka, tangan dan kepala manakala satu lagi pancuran terletak di bahagian bawah mesin.

“Terdapat lampu pemancar cahaya diod (LED) yang akan membimbing pengguna ketika menggunakan punca air di bahagian atas atau bawah.

“Selain daripada itu, mesin ini turut menggunakan program komputer untuk memberitahu turutan melakukan wuduk,” ujarnya.

Memandangkan teknologi ini direka bagi membantu penjimatan air, program komputer yang terdapat pada mesin wuduk ini membolehkan pengguna untuk mengubah kadar dan sukatan air digunakan mengikut kesesuaian masa serta lokasi ia dipasang kelak.

Dr. Taufiq menambah, mesin tersebut mudah dipasang dan amat sesuai digunakan di kediaman, masjid, surau, pejabat serta kapal terbang penumpang.

Katanya lagi, setakat ini AACE Technologies telah menerima tempahan dari Kuwait dan banyak lagi negara Asia Barat yang melahirkan minat untuk mendapatkan mesin automatik ini.

Mesin Auto Wudu Washer ini dijangka akan dijual pada harga RM8,000 hingga RM14,000 bergantung kepada bahan dan perjanjian pengedar nanti.

No comments: