5.1.10

KALIMAH ALLAH HANYA DI DALAM AL_QURAN DAN AS_SUNNAH

Isu kalimah Allah yang dibenarkan oleh mahkamah ke atas majallah kristian menjadi satu isu hangat, umat islam terbahagi kepada dua...menyokong dan menentang.... ada berpandangan politik, ada pandangan agama, ada berpandangan jauh.... namun begitu...cuba lihat kesan jauh dan berpanjangan akibat kebenaran penggunaan kalimah itu dalam ajaran kristian kepada anak bangsa Muslim yang jahil Islam...?


=============================================



Kenyataan Media ABIM - Polemik Kalimah Allah: ABIM Kesal Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur



Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) ingin menyatakan rasa kesal terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang telah membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh majalah Harold : The Catholic Weekly. Kesan utama kepada penggunaan ini ialah masyarakat bukan Islam diberikan hak berdasarkan tafsiran perlembagaan untuk menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan ataupun penggunaan seharian, dan sebarang larangan oleh pihak berkuasa atau otoriti agama Islam adalah tidak sah.

ABIM menilai keputusan ini tidak bertepatan dengan semangat peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan Islam di tempat yang istimewa di kalangan agama-agama lain di negara ini. Ia juga bertentangan dengan larangan penggunaannya yang dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri dan Majlis-Majlis Agama Islam Negeri kerana ia dikenalpasti bakal mengelirukan akidah dan konsep ketuhanan di kalangan umat Islam, merobek sensitiviti umat Islam selaku majoriti di negara ini serta berpotensi menimbulkan ketidaktenramaan awam sekiranya tidak ditangani secara baik..


Justeru Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) memohon campur tangan Majlis Raja-Raja Melayu untuk menghentikan segera polemik kalimah Allah. Gesaan ini selari dengan peruntukan perlembagaan persekutuan, yang menetapkan segala urusan berkaitan dengan hal ehwal agama Islam diletakkan di bawah kuasa serta naungan Raja-Raja Melayu.

ABIM juga menyeru agar pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) bertindak lebih tegas mengikut peruntukan perlembagaan, undang-undang sedia ada dan enakmen undang-undang Islam di negeri-negeri dan tidak mengeluarkan permit penggunaan tersebut pada masa-masa akan datang. ABIM juga menyeru agar pihak KDN menggunakan segala saluran perundangan yang ada untuk mengemukakan rayuan terhadap keputusan yang merobek sensitivit umat Islaam tersebut.

Akhir sekali, ABIM memohon agar semua pihak bertenang dan menghormati keputusan ini dan tidak bertindak secara emosional demi untuk menjaga keharmonian serta kestabilan hubungan di antara kaum di negara ini.

" Menegakkan Kebenaran & Keadilan "

MOHAMAD RAIMI AB.RAHIM
Setiausaha Agung Angkatan Belia Islam Malaysia


=============================================

Kufur Jika Sokong Guna Kalimah Allah - Haron Din

BANGI: Mana-mana umat Islam yang menyokong keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan penggunaan kalimah 'Allah' dalam akhbar mingguan Herald-The Catholic Weekly dalam penerbitannya boleh membawa kepada kekufuran.

Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din berkata, menyokong kepada sesuatu perkara yang salah di sisi Islam juga secara tidak langsung boleh menyebabkan berlakunya kekufuran dan syirik.

"Saya menyeru kepada sahabat-sahabat saya supaya mempertimbangkan semula pendirian mereka.

"Kalau kita sokong perkara yang kufur, kita pun secara tak langsung akan kufur sama," katanya dalam sidang media di kediamannya di sini hari ini.

Tokoh agama itu turut melahirkan kekesalannya terhadap beberapa penulis blog termasuk di kalangan beberapa pemimpin parti-parti politik yang menyatakan sokongan mereka kepada keputusan berkenaan.

"Saya harapkan orang-orang ini boleh bersatu pandangan, memanglah setiap orang itu ada kebebasan bersuara.

"Kalau hal politik memanglah ada banyak pandangan, tapi kalau hal agama, kita perlu balik kepada kaedah agama.

"Kalau kita berpuas hati dengan perkara yang syirik ia akan membawa kepada kekufuran," katanya tanpa menyebut secara khusus blog-blog berkenaan.

Baru-baru ini Yang Dipertua PAS Shah Alam, Khalid Samad dalam blognya menyatakan sokongan terhadap keputusan membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan sebuah akhbar mingguan katolik.

Pandangan beliau itu menimbulkan reaksi negatif daripada banyak pihak termasuk Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Nordin yang menggesa Ahli Parlimen Shah Alam itu supaya keluar PAS.

Khamis lalu, Mahkamah Tinggi membenarkan Herald-The Catholic Weekly menggunakan kalimah Allah dalam penerbitannya atas alasan ia mempunyai hak dalam Perlembagaan.

Hakim Datuk Lau Bee Lan menegaskan, KDN telah bertindak secara salah ketika mengenakan larangan penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan akhbar mingguan itu.

Pada 16 Februari lalu, Ketua Paderi Roman Katolik Kuala Lumpur, Tan Sri Murphy Pakiam, sebagai penerbit akhbar itu memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi menuntut deklarasi bahawa keputusan Menteri Dalam Negeri melarangnya menggunakan perkataan Allah adalah haram dan perkataan itu bukan eksklusif bagi agama Islam.

Dalam pada itu, Haron din turut meragui niat akhbar berkenaan yang bertegas mahu mendapatkan kebenaran menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan mereka.

"Kenapa sekarang nak gunakan nama Allah? Saya yakin mesti ada niat yang tersurat dan tersirat.

"Kalau niat mereka baik, saya nasihatkan supaya jangan gunakan kalimah itu kerana ia tidak baik untuk kita umat Islam... sesuatu yang mendatangkan keburukan mestilah dicegah," katanya.

Selain itu Haron Din berkata, pada masa akan datang perkara yang melibatkan hal agama sepatutnya dibicarakan di Mahkamah Syariah.

"Hal Allah ini adalah hal agama, jadi tempat penyelesaiannya adalah di Mahkamah Syariah.

"Kenapa nak bawa kes ini ke Mahkamah Sivil? Saya menyeru kes ini supaya kes ini diselesaikan di Mahkamah Syariah," katanya.

Beliau juga meminta semua pihak termasuk kerajaan dan Majlis Raja-Raja supaya segera menyelesaikan isu berkenaan.

"Saya merayu Raja-Raja Melayu supaya jangan memandang ringan perkara ini, selesaikan dengan cara setiakawan dan faham memahami perasaan masing-masing," katanya.

=====================================

PAS KECEWA MAHKAMAH BENARKAN PERKATAAN ALLAH DALAM MINGGUAN HERALD THE CATHOLIC Parti Islam Semalaysia (PAS) kecewa dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membenarkan akhbar mingguan Herald-The Catholic Weekly menggunakan perkataan Allah dalam penerbitannya.

.Pas bimbang dengan membenarkan penggunaan nama Allah dalam penerbitan ini akan menimbulkan kekeliruan di kalangan orang Islam terutama di kalangan muallaf dan mereka yang hendak mendekatkan diri dengan Islam.Penggunaan nama Allah telah dianggap sebagai serasi dengan masyarakat Islam dan bukan Islam di negara ini yang merujuk kepada penggunaan itu hanya untuk agama Islamagama Kristian di negara ini.Penggunaan nama Allah dalam al-Quran,

maksudnya “Dan jika kamu bertanya kepada mereka siapa yang menjadikan langit dan bumi, nescaya mereka mengatakan Allah”. Allah yang mereka akur ialah sebagai tuhan “pencipta”, bukan sebagai Allah yang tunggal yang patut disembah. Ini dinamakan kepercayaan Rububiyyah, bukan kepercayaan Uluhiyyah.Pas mengharapkan supaya pihak Kerajaan membuat rayuan ke mahkamah yang lebih tinggi supaya ia mendatangkan kebaikan kepada kita bersama.

Menghalang penggunaan nama Allah ini sebagai satu langkah “Saddu Zarai’c” untuk menutup pintu keburukan di kalangan masyarakat Islam khususnya dan masyarakat Malaysia amnya. Perlu ditegaskan ini bukan berarti Pas menentang kebebasan agama lain untuk mengamalkan ajaran mereka sediri di negara ini.

Selama ini Pas yang memerintah di Kelantan hampir 20 tahun memberi kebebasan kepada penganut agama yang manoriti mengamalkan agama mereka tanpa apa-apa gangguan daripada pihak berkuasa Pas di Kelantan.

Idris Haji Ahmad

Ketua Penerangan Pas Pusat sahaja.

==========================================

Kalimah Allah: NGO mahu Majlis Raja-Raja campur tangan

KUALA LUMPUR, Jan 1 — Kerajaan digesa mempercepatkan rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi semalam yang membenarkan akhbar mingguan Herald untuk menggunakan perkataan "Allah" dalam penerbitannya.

Selain itu Majlis Raja-Raja juga diminta agar campur tangan untuk menghentikan segera polemik penggunaan kalimah "Allah" ini.

Menurut Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara (Perkasa) pihaknya akan memohon Majlis Raja-Raja supaya membincangkan keputusan Mahkamah Tinggi semalam.

Presidennya Datuk Ibrahim Ali berkata, urusan berkaitan Islam adalah di bawah Majlis Raja-Raja dan Islam adalah agama rasmi Persekutuan yang mempunyai kedudukan istimewa dalam negara.

"Perkara ini termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara 153.

"Inilah masanya raja-raja Melayu bertindak melindungi Islam dan umat Islam menanti tindakan itu dengan penuh harapan," katanya.

Setiausaha Agung Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Mohamad Raimi Ab. Rahim berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu menggunakan saluran perundangan yang ada untuk mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu yang disifatkan merobek sensitiviti umat Islam.

“ABIM juga memohon campur tangan Majlis Raja-Raja untuk menghentikan segera polemik penggunaan kalimah Allah ini.

“Gesaan ini selari dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan segala urusan berkaitan dengan hal ehwal agama Islam diletakkan di bawah kuasa raja-raja Melayu,” kata beliau dipetik Utusan Malaysia hari ini.

Mahkamah Tinggi membenarkan Herald menggunakan perkataan "Allah" dalam penerbitannya atas alasan ia mempunyai hak dalam perlembagaan.

Hakim Datuk Lau Bee Lan menegaskan bahawa KDN telah bertindak secara salah ketika mengenakan larangan penggunaan perkataan Allah dalam penerbitan akhbar mingguan itu.

Mohamad Raimi berkata, keputusan itu tidak bertepatan dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan Islam di tempat yang istimewa berbanding agama-agama lain di negara ini.

“Kesan utama kepada penggunaan ini ialah masyarakat bukan Islam diberikan hak berdasarkan tafsiran perlembagaan untuk menggunakan kalimah Allah dan sebarang larangan oleh pihak berkuasa atau autoriti agama Islam adalah tidak sah,” katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden Peguam Syarie Malaysia (PGSM) Musa Awang pula berkata, pihaknya tetap berpendirian perkataan "Allah" hanya eksklusif kepada penganut Islam.

“Bagaimanapun PGSM akur dengan keputusan tersebut kerana menghormati mahkamah. Namun akan mengkaji keputusan itu bersama pertubuhan bukan kerajaan lain termasuk membawanya ke mahkamah yang lebih tinggi,” katanya.

Persatuan Peguam Muslim turut kecewa dengan keputusan itu dan mahu kerajaan mengambil langkah sewajarnya kerana perkataan "Allah" bukan satu mainan terutamanya untuk orang bukan Islam.

Timbalan Presidennya Muhamad Burok berkata perkataan Allah ditauhidkan sebagai “satu” dan bukannya Tuhan seperti yang difahami orang bukan Islam.

“Umat Islam memahami penggunaan perkataan Allah mengikut syahadah iaitu Allah adalah satu dan Nabi Muhammad SAW itu pesuruh Allah dan ini bertentangan dengan pemahaman orang bukan Islam,” katanya.

Presiden Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM), Zaid Kamaruddin pula berkata, keputusan itu dilihat bertentangan dengan undang-undang yang terdapat di 10 negeri yang melarang penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam.

“JIM berasakan perlu penglibatan Mahkamah Syariah dalam isu melibatkan penggunaan kalimah Allah,” katanya.

Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia Muhammad Faisal Abdul Aziz pula berkata, pihaknya akan mengemukakan rayuan bersama KDN untuk menyemak semula keputusan Mahkamah Tinggi itu.

Menurutnya, dalam konteks masyarakat Malaysia dan Melayu, kalimah Allah adalah bersifat eksklusif yang hanya merujuk kepada konsep tuhan yang difahami oleh umat Islam sahaja.


No comments: