MINGGU ini saya ingin berkongsi pengalaman bagaimana Johor Corporation (JCorp) menyusun langkah menerapkan nilai amanah dalam organisasi. JCorp adalah organisasi korporat pelbagai bisnes yang sangat kompleks. Ia memiliki lebih 280 syarikat, lapan daripadanya tersenarai (tujuh di Bursa Malaysia dan satu di pasaran saham Port Moresby dan London) serta mempunyai lebih 60,000 pekerja.
Dalam mengurus organisasi yang kompleks ini, nilai amanah tidak sesekali dikompromi.
Ia wajib dijadikan paksi sebelum sesebuah syarikat, organisasi bisnes atau korporat dapat membina reputasi dan diiktiraf sebagai sebuah organisasi yang tinggi tahap etika serta moralnya.
Dalam membina kebulatan organisasi dan memastikan tahap prestasi sentiasa berada di paras paling tinggi, peranan nilai dan budaya korporat sangat penting.
Dalam mengurus organisasi yang kompleks ini, nilai amanah tidak sesekali dikompromi.
Penerapan amanah dalam JCorp mudah diterima anggota pekerja sebagai salah satu nadi gerak bisnes dan kehidupan korporat.
Sekalipun bisnesnya pelbagai dengan berpegang teguh kepada nilai amanah, organisasi seperti JCorp memiliki satu ‘tali’ yang dapat dipegang bersama oleh semua serta mengikat dan mengukuhkan kesatuan semua anggotanya kepada satu arah tuju untuk kepentingan bersama.
Ia menjadi prasyarat bagi mendapatkan tahap perkhidmatan terbaik dan kesetiaan berpanjangan daripada semua lapisan anggota yang menjadi teras kepada sistem kawalan dan penilaian prestasi, khasnya dalam menilai keupayaan barisan pengurusan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat.
Pada pandangan kami, sehebat mana dan tinggi prestasi seseorang CEO, ia tidak berguna jika tidak amanah.
Pengalaman JCorp membuktikan pembudayaan amanah menjadi teras kepada kredibiliti sesebuah badan korporat untuk melestari organisasi untuk terus berjaya.
Tanpa amanah, sesebuah syarikat berkaitan kerajaan atau GLC seperti JCorp tidak akan mendapat keyakinan, kepercayaan dan sokongan padu prinsipalnya, iaitu kerajaan dan sistem politik yang berkuasa menentukan kelangsungan masa depan.
Andainya amanah dicabuli, sudah pasti bank dan semua yang berurus niaga dengannya akan hilang kepercayaan.
Malah pelanggan, pengguna dan masyarakat juga akan hilang kepercayaan.
Ini ditakuti akan menjadi punca kepada keruntuhan organisasi walau sebesar mana sekalipun organisasi itu.
Ini dapat dibuktikan melalui kisah kehancuran syarikat besar termasuk di negara ini apabila berlaku penyelewengan, rasuah dan penipuan di kalangan CEO, pengurusan serta pekerja.
Ini perlu diberi perhatian.
Andainya kita gagal mengambil iktibar daripada kes sebegini, tidak mustahil nasib sama bakal menimpa organisasi kita.
Justeru, cabaran terbesar ialah bagaimana hendak menerapkan amanah supaya sentiasa dijadikan pegangan semua lapisan anggota.
Lebih mencabar andainya badan korporat terbabit bercita-cita menerapkan nilai Islam ke dalam jati diri dan menjadikan bisnes satu perjuangan bertaraf jihad.
Kegagalan menerapkan amanah akan menjadikan Jihad Bisnes JCorp satu slogan kosong dan seolah-olah mempermainkan konsep jihad, sedangkan jihad adalah institusi agung dalam Islam yang pernah disifatkan ulama sebagai rukun Islam andainya terdapat rukun Islam yang keenam. Saya pernah membaca rencana seorang penulis yang berkhidmat dengan sebuah badan dakwah kerajaan yang menekankan pentingnya peranan amanah dan menyarankan supaya amanah diutamakan dalam kehidupan berorganisasi.
Malangnya, penulisan itu diakhiri dengan seruan agar kerajaan berbuat sesuatu untuk menegakkan nilai amanah menerusi usaha memperkuatkan iman anggota masyarakat.
Ada dua pandangan saya terhadap penulisan ini.
Pertama, saya tidak bersetuju meletakkan tanggungjawab kepada kerajaan untuk menyelesaikan segala masalah, lebih-lebih lagi membabitkan peningkatan darjat iman dan menegakkan amanah.
Amanah wajib ditegakkan seluruh barisan kepemimpinan sesebuah organisasi.
Selain menjadi teladan, pemimpin mesti jelas dilihat dan tegas didengar pendiriannya bagi menegakkan amanah, sebelum seluruh organisasi boleh bangun bertindak sehaluan dengannya.
Kedua, saya juga berpandangan usaha yang hanya tertumpu kepada tindakan menguatkan iman di kalangan anggota saja belum mencukupi.
Malah, jika usaha cuma difokus kepada peningkatan iman tanpa disusuli langkah lain dan tanpa ‘ditambat tali unta dulu’, bukan saja tidak mencukupi, malah boleh merugikan. Ingin saya berkongsi pengalaman ketika saya baru dilantik menjadi CEO JCorp.
Saya hairan mendapati seorang demi seorang pekerja bahagian letak kereta di syarikat pengurusan Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar), Johor Bahru milik JCorp yang mempunyai rekod baik ketika itu, meletak jawatan dan mencari kerja lain.
Setelah disiasat didapati pekerja ini tidak sanggup melihat pekerja lain hampir setiap hari makan nasi beriani sedangkan mereka hanya mampu membawa bekal dari rumah kerana gaji kecil.
Rupa-rupanya kegiatan menyeleweng duit bayaran letak kereta telah bersarang di syarikat terbabit.
Siasatan lanjut menunjukkan penyelewengan terlalu lumrah berlaku kerana tiada kawalan ‘check & balance’ dan pengurusan pula lepas tangan.
Buku resit dikeluar dengan mudah tanpa penelitian dan pengesahan.
Penyelia pula tidak ambil berat.
Kelonggaran sistem seperti ini menyebabkan kerugian berterusan kepada syarikat dan melahirkan suasana menggalakkan pecah amanah, mengakibatkan pekerja yang baik tidak sanggup lagi bersekongkol dengan yang menyeleweng.
Paling sedih apabila didapati pekerja yang dulu bersih akhirnya terikut budaya negatif ini.
Pengalaman ini membuktikan sistem yang berkesan lengkap dengan audit serta pemantauan rapi oleh ketua, penyelia dan pengurus penting.
JCorp mengambil langkah segera memperbaiki sistem kawalan dan mengatasi kebocoran yang akhirnya memudahkan pekerja menjalankan tugas dengan amanah dan bertanggungjawab.
JCorp belajar daripada peristiwa itu dan memperkenalkan langkah lebih sistematik untuk memudahkan amanah diterapkan ke dalam pengurusan.
Kita tidak boleh hanya bertawakal sekalipun pekerja menunjukkan tahap keimanan tinggi, kerana iman dan tahap amanah turun naik dan sentiasa teruji.
Demi memastikan pekerja sentiasa amanah dalam tugas, satu pembaharuan diperkenalkan pada 1996.
Pekerja di semua peringkat JCorp diwajibkan menandatangani Borang Perakuan Peradaban (yang kemudian dipanggil Borang Nahi Mungkar).
Penulis ialah Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation merangkap Timbalan Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia
No comments:
Post a Comment