21.1.10

Kenali Potensi Diri...Work 4 IT dan Anda akan Bahagia -Berjaya

Pelajar cemerlang PMR mahir lukis komik Mangga



MUHAMAD Afiq (kanan) dibantu abangnya Muhamad Nazry melakar lukisan komik di rumahnya, semalam.

JOHOR BAHRU: Pelajar Muhamad Afiq Abu Salam, bukan saja cemerlang dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) pada tahun lalu, tetapi mempunyai kemahiran melukis komik berkonsepkan komik Mangga dari Jepun sehingga memberi pendapatan lumayan kepada remaja seusia 16 tahun itu.

Tanpa meminggirkan pelajarannya, anak bongsu daripada enam adik beradik yang memperoleh 8A dalam PMR serta 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) itu, kini sudah menghasilkan komik berjudul Aviasi Fantasi bersama abangnya, Muhamad Nazry.

Selain itu, karya mereka turut dimuatkan dalam kompilasi komik berjudul Aku, Kau, Komik yang terbaru mula dipasarkan pada 8 Januari lalu.

Afiq berkata, beliau memang minat membaca komik sejak kecil disebabkan abang dan kakaknya turut memiliki minat sama.

Katanya, minat itu semakin bercambah sehinggalah Muhamad Nazry mencadangkan mereka bekerjasama mencipta komik sendiri dan kini beliau berupaya meraih pendapatan lebih daripada RM2,000 setiap kali karyanya dicetak dan merancang menghasilkan antara tiga hingga empat komik setahun.

“Saya belajar melukis sendiri tanpa mendapat latihan dari mana-mana kelas lukisan ataupun mereka yang pakar dalam bidang ini, semuanya kerana minat saya untuk mendalami bidang ini yang sebenarnya boleh menghasilkan pulangan lumayan, ” kata pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Mutiara Rini di Skudai itu kepada

Berita Harian, semalam.

Afiq turut bertuah mempunyai keluarga yang memiliki bakat melukis dengan abang dan kakaknya juga banyak membantunya mempertajamkan lagi minat selain ibunya, Khairani Osman, 50, sentiasa menyokong usaha anak bongsunya itu dengan menghantarnya menyertai pertandingan di seluruh negara.

Katanya, dia akan melukis antara tiga hingga empat jam sehari dengan setiap helaian komik mampu disiapkan selama satu atau dua hari dan ia dilakukan selepas membuat kerja sekolah dan mengulangkaji pelajaran manakala abangnya akan menyiapkan ringkasan cerita terlebih dulu sebelum beliau mula melukis komik hitam putih di kertas.

“Buat masa ini, saya masih tidak boleh melakukan dua kerja sekali gus, abang saya akan mencari jalan cerita dan saya akan melukis mengikut jalan ceritanya, kadangkala ada percanggahan pendapat tetapi sebenarnya ia baik untuk menghasilkan adunan cerita dan lukisan berkualiti,” katanya.

Nazry berkata, beliau dan adiknya mahu melihat masyarakat di negara ini menerima budaya membaca komik sebagai sesuatu yang bagus, bukannya aktiviti yang membuang masa dan mendatangkan kesan negatif terhadap pembaca terutama

golongan remaja.

“Banyak penerbit komik sekarang mensyaratkan penggunaan bahasa terbaik dalam komik dihasilkan, bukan lagi bahasa pasar, ia baik untuk pembacaan semua golongan terutama pelajar sekolah,” katanya.

No comments: