RAMPAS...anggota penguat kuasa KPDNKK merampas barangan elektrik dan tilam jed dalam serbuan, semalam.
KUALA LUMPUR: Hanya bermodalkan ratusan ringgit, sebuah syarikat
‘gores dan menang’ mengaut keuntungan mencecah RM200,000 sehari hasil
penipuan.
Mereka menjanjikan hadiah kereta mewah seperti dipamerkan pada kad
yang diserahkan kepada mangsa untuk mencuba nasib, bagaimanapun sebaik
mangsa menyerahkan wang tunai, mereka menukarkan hadiah kepada tilam jed
yang hanya bernilai RM200.
Itu antara taktik syarikat terbabit yang turut merekrut beberapa kakitangannya bagi mengaburi mata pelanggan mereka.
Namun, kegiatan mereka tumpas sebaik pejabat latihan dan stor
simpanan di tingkat satu Jalan Kuchai Maju 13, Kuchai Lama, di sini,
diserbu pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan
Kepenggunaan (KPDNKK) jam 12 tengah hari, semalam.
Pengarah KPDNKK Wilayah Persekutuan, Abu Samah Shabudin berkata, serbuan terbabit dilakukan hasil maklumat awam dan risikan pihaknya sejak beberapa bulan lalu.
“Serbuan diketuai Penolong Pegawai Penguatkuasa Kanan, Amran Daud bersama empat anggota lain dan mendapatkan waran geledah berikutan premis terbabit tidak berpenghuni.
“Hasil serbuan, kami menemui sebuah stor simpanan yang ditempatkan
tersorok di belakang almari. Anggota kami mengalihkan almari itu sebelum
menemui pelbagai barangan seperti kad gores dan menang, tilam jed,
mesin jahit, mesin urut kaki dan dapur elektrik,” katanya.
Menurut Abu Samah, premis itu dijadikan pejabat urusan dan pusat latihan kakitangan syarikat terbabit berdasarkan dokumentasi yang ditemui selain dijadikan stor simpanan.
“Sebelum ini KPDNKK sudah menyerbu tiga premis di Bandar Tasik
Permaisuri, Sungai Besi dan Kuchai Maju 8 yang dipercayai didalangi
kumpulan sama berdasarkan modus operandi dan dokumen yang ditemui,”
katanya
No comments:
Post a Comment