Ahli hadis terkemuka
SAYYID Abdul Aziz (barisan depan tiga 
dari kiri), Sayyid Ahmad (berjubah putih) dan Sayyid Abdul Hayy ketika 
disambut oleh masyarakat Islam di Tanjah, Maghribi sekitar 1947  sebaik 
pulang dari Universiti al Azhar. 
AL'ALLAMAH al Muhaddith al Syarif Sayyid Abdul Aziz al Siddiq al 
Ghumari al Idrisi al Hasani dilahirkan di Tanjah, Maghribi pada 1338 
Hijrah bersamaan 1918 Masihi daripada keluarga al Siddiq yang masyhur 
dengan keilmuan dan ketakwaan.
Nasab yang penuh ialah Abdul Aziz bin Muhammad bin al Siddiq bin 
Ahmad bin Muhammad bin al Qasim bin Muhammad bin Muhammad bin Abdul 
Mu'min bin Ali bin al Hasan bin Muhammad bin Abdullah bin Ahmad bin 
Abdullah bin Isa bin Sa'id bin Mas'ud bin al Fudhail bin Ali bin Umar 
bin al 'Arabi bin 'Allal bin Musa bin Ahmad bin Daud bin Idris bin Idris
 bin Abdullah al Kamil bin al Hasan al Muthanna bin al Hasan al Sibt bin
 Ali dan Fatimah al Zahra' binti Rasulullah SAW.
Bapanya Sayyid Muhammad al Siddiq merupakan salah seorang ulama dan wali Allah yang masyhur. 
Manakala bondanya pula ialah Syarifah Fatimah al Zahra merupakan cucu
 kepada Sayyid Ahmad 'Ajibah al Hasani pengarang syarah kitab hikam yang
 masyhur iaitu Iqaz al Himam fi Syarh al Hikam dan kitab al Bahr al Madid fi Ulum al Quran al Majid.
Keberkatan bapanya juga terzahir apabila tujuh anak lelakinya menjadi
 ulama Islam yang alim lagi disegani iaitu Sayyid Ahmad, Sayyid 
Abdullah, Sayyid Muhammad al Zamzami, Sayyid Abdul Aziz, Sayyid Abdul 
Hayy, Sayyid Ibrahim dan Sayyid al Hasan. 
Menurut sejarah Islam, belum ada lagi dalam sebuah keluarga yang 
menghimpunkan ulama besar Islam seramai ini, yang membidangi kemahiran 
yang pelbagai. 
Semenjak kecil lagi beliau telah menghafaz al-Quran dan mendapat 
perhatian dan didikan yang sempurna daripada bapanya. Selepas itu beliau
 menyibukkan diri dengan menguasai ilmu-ilmu asas Islam.
Selepas kewafatan bapanya, pada tahun 1355 Hijrah, beliau ke Mesir 
bersama adiknya Sayyid Abdul Hayy dengan ditemani oleh abang sulung 
mereka, Sayyid Ahmad. Di sana beliau melanjutkan pengajian di al Azhar 
yang masyhur ketika itu menghidangkan pelbagai jenis ilmu Islam. 
Antara guru-gurunya di sana ialah Syeikh Mahmud Imam al Mansuri, 
Syeikh Abdul Salam Ghunaim al Dimyati, Syeikh Muhammad Izzat dan ramai 
lagi. Di al Azhar, Sayyid Abdul Aziz al Ghumari telah memilih untuk 
mendalami mazhab Syafii disebabkan kelebihan dan ikatannya yang kuat 
dengan hadis Nabi SAW.
Pakar hadis
Selepas melengkap dirinya dengan pelbagai bidang ilmu dalam dirinya, 
beliau pun menumpukan sepenuh perhatiannya kepada hadis dan ilmu-ilmu 
yang berkaitan dengannya. 
Hafazannya terhadap hadis amat kuat dan luar biasa ditambah lagi 
dengan kemahirannya dalam ilmu-ilmu yang berkaitan dengan hadis seperti 
ilmu 'ilal dan rijal juga al Jarh wa al Ta'dil.
Kelebihannya berdamping dengan kedua orang abangnya Sayyid Ahmad dan 
Sayyid Abdullah memberikan banyak kelebihan dan faedah kepadanya 
sehingga beliau tampil masyhur di dunia Islam sebagai seorang ahli hadis
 yang terkemuka pada zamannya.
Beliau juga turut mendapat ijazah ilmiah daripada
 ramai jaguh ulama 
zamannya seperti Syeikh Umar Hamdan al Mahrisi, Syeikh Abdullah Muhamad 
al Ghazi al Hindi al Makki, al Musnid al Muarrikh Muhammad Raghib al 
Tabbakh al Halabi, al Musnid Sayyid Ahmad Rafi' al Tahtawi, al Imam al 
Akbar Muhammad al Khadir Husain al Tunisi, al 'Allamah Muhammad Zahid al
 Kauthari, al 'Allamah Muhammad Abdul Baqi al Ansari, al Musnid Sayyid 
Abdul Hayy al Kattani dan ramai lagi.
Apabila beliau bermusafir ke Mekah, para ulama di sana akan menyambut
 dan mengalu-alukan kedatangannya sebagai ahli hadis yang dikagumi. 
Mereka juga menganjurkan majlis periwayatan hadis Nabi untuk beliau 
menyampaikan ilmunya dan majlis tersebut mendapat sambutan yang luar 
biasa dan dihadiri oleh ramai penuntut ilmu dan umat Islam yang 
berkunjung ke Tanah Suci Mekah.
Dalam satu majlisnya di Mekah pada Hari Arafah, beliau juga telah 
mengijazahkan sebilangan besar ulama Islam yang terdiri daripada tuan 
guru dan kiai dari Tanah Melayu Nusantara dengan ijazah umum. Jumlah 
mereka yang diijazahkan itu mencecah angka ratusan orang di mana 
kebanyakan mereka adalah murid kepada Musnid al Dunya al 'Allamah Syeikh
 Muhammad Yasin al Fadani dari Indonesia, Malaysia dan Pattani.
Di antara tokoh ulama dari Malaysia yang menerima ijazah tersebut 
ialah Tuan Guru Haji Abdul Rahman pengasas Madrasah Rahmaniah yang 
dikenali sebagai Pondok Lubuk Tapah dan anaknya Tuan Guru Haji Abdullah,
 Tuan Guru Yahya Junid dan ramai lagi.
Beliau adalah seorang pakar hadis yang menceburi bidang tasawuf dan 
menyelam ke dasar lautannya. Pada dirinya terhimpun akhlak mulia ahli 
sufi yang menjadi kebanggaan Islam. Beliau adalah seorang ulama dan ahli
 hadis yang mengasihi Rasulullah SAW dan ahli keluarga Nabi SAW. Sering 
sahaja beliau dilihat mengalirkan air mata apabila dihikayatkan perihal 
keperibadian, kebaikan, kemuliaan dan sirah kehidupan Baginda SAW dan 
ahli keluarganya. 
Beliau juga adalah seorang yang tegas dalam menyatakan kebenaran dan 
tidak pernah merasa takut dan gentar dalam menegakkan kalimah yang hak. 
Pelbagai ujian dan dugaan menimpa dirinya disebabkan kesungguhannya yang
 amat sangat dalam mempertahankan maruah agama dan umat Islam.
Biografi
Sebilangan daripada sanad-sanad miliknya telah ditakhrij oleh muridnya al Muhaddith Dr. Mahmud Sa'id Mamduh di bawah tajuk Fath al Aziz fi Asanid al Sayyid Abd al Aziz. Beliau juga turut menulis biografinya sendiri bertajuk Ta'rif al Mu'tasi bi Ahwal Nafsi.
Sayyid Abdul Aziz kembali ke kampung halamannya di Tanjah, Maghribi 
pada bulan Rabiulawal 1366 Hijrah selepas menghabiskan waktu selama 12 
tahun menuntut ilmu di Mesir. Di Tanjah, beliau menyibukkan diri dengan 
menyampaikan ilmu pengetahuan, menulis kitab, menyampaikan ceramah, 
khutbah dan melazimi bacaan wirid serta zikrullah. 
Beliau amat kuat menekankan tentang perlunya amal ibadah itu 
diamalkan dengan kesungguhan dan ilmu. Beliau pernah mewasiatkan kepada 
salah seorang murid kanannya agar mengkhususkan satu hari dalam seminggu
 untuk beramal ibadat dalam erti kata memenuhkannya dengan amalan sunat 
seperti solat, puasa, bacaan al-Quran, wirid dan selawat ke atas Nabi.
Setelah menghabiskan sebahagian besar usianya dalam lapangan ilmu dan
 dakwah, Sayyid Abdul Aziz dijemput menemui Ilahi pada hari Jumaat 6 
Rejab 1417 Hijrah bersamaan 17 November 1996 Masihi. Beliau disemadikan 
di sisi makam ahli keluarganya di Zawiyah Siddiqiah, Tanjah Maghribi.
No comments:
Post a Comment