Demikian kata Hanim Mamit, 42, peserta atau Sahabat AIM yang mendapat manfaat menerusi bantuan pinjaman AIM sejak 18 tahun lalu.
Hanim daripada Kampung Talang, Kuala Kangsar, Perak yang bermula dengan menjual kuih secara kecil-kecilan kini boleh berbangga dengan Restoran Talang miliknya di tengah-tengah Bandar Diraja Perak itu.
“Mula-mula saya kerja kilang di Ipoh. Lepas berkahwin dan mendapat anak pada 1991, saya berhenti kerja dan pulang ke kampung.
“Suami pula kerja atendan pam di stesen minyak. Berapa sangatlah gajinya dan saya cuba membantu dengan menjual kuih. Namun pendapatan tidak seberapa, nak dapatkan RM200 sebulan pun susah,” kata ibu kepada empat anak ini.
Wanita gigih ini kemudian diperkenalkan dengan AIM oleh rakannya sebelum dia membuat pinjaman awal sebanyak RM500 menerusi Skim Pembiayaan Ikhtiar (SPI) pada 1995 untuk membuka kedai makan.
Berbekalkan kepakarannya dalam bidang masakan, Hanim menjadikan masakan kampung seperti gulai tempoyak, sambal petai ikan bilis dan banyak lagi sebagai tarikan di kedainya.
Selepas ia makin mendapat sambutan, Hanim menambah pinjaman setiap tahun dan tahun lalu dia membuat pinjaman AIM berjumlah RM28,000 bagi meluaskan perniagaan.
Bermula dengan seorang pekerja, kini Restoran Talang mempunyai enam pekerja dan sebahagian besar penduduk Kuala Kangsar mengenali restoran ini yang popular dengan masakan kampung.
“AIM memberi banyak peluang kepada orang susah untuk keluar daripada kepompong kemiskinan. Yang penting, kita kena ikhlas dan buat betul-betul.
“Jika kita berdisiplin, insya-Allah tidak akan ada masalah dan mudah untuk mendapatkan pinjaman lagi. Selain itu, kena bijak menggunakan wang pinjaman itu.
“AIM adalah yang terbaik. Saya sudah 18 tahun bersamanya dan memang sudah sebati,” katanya.
Yang pasti, berkat kerja keras dan keikhlasannya menjalankan perniagaan dengan bantuan AIM, Hanim berjaya meneruskan kelangsungan hidup dan keluar daripada kemiskinan.
Hasilnya, bukan saja berbangga dengan restoran sendiri tetapi wanita ini mampu memiliki dua rumah, kebun getah seluas 1.2 hektar, dua kereta dan dua motosikal.
No comments:
Post a Comment