Muqaddimah: Rata-rata penulis sejarah Islam meletakkan kesalahan di atas bahu ‘A`ishah dengan menuduhnya sebagai punca berlakunya fitnah perang Jamal yang berakhir dengan kekalahannya kepada tentera Sayyidina ‘Ali. Beliau didakwa mempunyai maksud untuk menjatuhkan Khalifah ‘Ali yang telahpun dibai’ah. Mereka mengaitkan juga dengan kegagalan Sayyidatina ‘A`ishah di dalam peperangan Jamal itu dengan sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Sekali-kali tidak akan berjaya golongan yang dipimpin oleh seorang perempuan”. Persoalannya adakah benar begitu pendirian Sayyidatina ‘A`ishah, isteri Rasulullah s.a.w. di dunia dan akhirat, guru kepada sekalian sahabat dan juga ibu kepada orang-orang mu`min? Apakah maksud memimpin orang-orang Islam menemui Sayyidina ‘Ali dan adakah wanita sama sekali tidak boleh menjadi pemimpin?
حَدَّثَنَا عُثْمَانُ بْنُ الْهَيْثَمِ حَدَّثَنَا عَوْفٌ عَنْ الْحَسَنِ عَنْ أَبِي بَكْرَةَ قَالَ لَقَدْ نَفَعَنِي اللَّهُ بِكَلِمَةٍ أَيَّامَ الْجَمَلِ لَمَّا بَلَغَ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّ فَارِسًا مَلَّكُوا ابْنَةَ كِسْرَى قَالَ لَنْ يُفْلِحَ قَوْمٌ وَلَّوْا أَمْرَهُمْ امْرَأَةً
Diriwayatkan daripada al-Hasan daripada Abu Bakrah katanya: “Allah memberi satu faedah dan pengajaran kepada saya apabila berlaku peperangan Jamal iaitu bila sampai kepada Rasulullah orang-orang Parsi melantik anak perempuan Kisra sebagai raja. Baginda bersabda: “Tidak akan berjaya satu kaum yang melantik perempuan memegang urusan mereka”. (al-Bukhari, no: 7099)
Apa yang disebutkan oleh Abu Bakrah sebenarnya adalah hasil kesimpulannya dan pemahamannya sendiri. Padahal peperangan Jamal tercetus bukan kerana permusuhan dan perebutan kuasa di antara Sayyidatina ‘A`ishah dan Sayyidina ‘Ali tetapi kekeliruan akibat pertempuran yang dirancang di antara dua kumpulan Saba`iyyah (golongan Syiah) yang menyelinap masuk dalam kumpulan ‘A`ishah dan Sayyidina ‘Ali. Kumpulan Saba’iyyah inilah yang bertanggungjawab membunuh Sayyidina Uthman.
Sayyidatina ‘A`ishah, yang mempunyai kedudukan dan berwibawa di kalangan umat Islam, telah didatangi oleh sekumpulan dari mereka supaya mencari jalan supaya tindakan diambil ke atas pembunuh-pembunuh Sayyidina Uthman. Untuk memenuhi permintaan tersebut, beliau bercadang menemui Sayyidina ‘Ali untuk menasihatinya supaya mengambil tindakan ke atas pembunuh Sayyidina Uthman demi mengelakkan fitnah yang lebih besar. Bersama dengan beliau ada dua orang sahabat besar iaitu Talhah dan al-Zubair r.a. Mereka berdua telah pun berbai’ah dengan Sayyidina ‘Ali dan meminta keizinan dari beliau (‘Ali) untuk menyelesaikan masalah darah Khalifah.
Pada masa itu, Sayyidatina ‘A`ishah dalam perjalanan pulang ke Madinah setelah menunaikan haji. Demi untuk menyelesaikan kekusutan tersebut beliau terpaksa berpatah balik ke Mekah.
Tujuan Sayyidatina ‘A`ishah pergi ke Mekah ialah untuk mendamaikan bukan untuk menonjolkan dirinya untuk menjadi khalifah. Fakta sejarah telah diselewengkan dengan mengatakan tujuan kedatangan ‘A`ishah adalah untuk merampas jawatan khalifah. Sedangkan yang sebenarnya, beliau datang adalah untuk kedamaian iaitu untuk menyelesaikan kes pembunuhan Khalifah ‘Uthman.
Golongan munafikin yang membunuh Khalifah ‘Uthman membuat perhitungan iaitu jika Sayyidina ‘Ali dan ‘A`ishah berdamai maka keselamatan mereka akan tergugat dan mereka akan dibunuh. Mereka segera mengatur rancangan dan membuat keputusan bahawa satu kumpulan dari mereka akan berada di pihak ‘A`ishah manakala satu lagi kumpulan akan menyelinap ke dalam kumpulan Sayyidina ‘Ali. Sebelum Sayyidina ‘Ali dan para Sahabat mencapai apa-apa persetujuan, mereka secara senyap telah mencetuskan kekacauan dengan saling menyerang di antara satu sama lain menyebabkan berlaku kekeliruan kepada kedua-dua belah pihak. Orang-orang yang berada di pihak Sayyidatina ‘A`ishah menyangka mereka diserang oleh pihak Sayyidina ‘Ali dan begitu juga sebaliknya.
Keadaan menjadi kelam-kabut dan berselerakan dan terjadilah pertumpahan darah sesama muslimin. Tercapai lah hajat musuh-musuh Islam tersebut.
Semuanya ini berlaku disebabkan oleh perancangan licik pembunuh-pembunuh Khalifah ‘Uthman. Pada hal, kedua-dua pihak Sayyidina Ali dan Sayyidatina ‘Aishah masih lagi berunding untuk menyelesaikan kes pembunuhan Sayyidina Uthman.
Amat malang niat mereka yang datang untuk berdamai dan memulihkan keadaan tetapi muncul pula fitnah yang lain.
Dengan kekuatan tentera yang dimilikinya, Sayyidina ‘Ali berjaya menguasai pasukan Sayyidatina ‘Aishah kerana pada masa itu, pasukan Sayyidatina ‘A`ishah tidak mempunyai kelengkapan yang mencukupi. Ini adalah kerana tujuan kedatangan mereka adalah bukan untuk berperang tetapi untuk mencari jalan perdamaian. Malah amat jauh sekali untuk memberontak dan merebut jawatan khalifah daripada Sayyidina ‘Ali.
Walaupun telah menguasai pertempuran, Sayyidina ‘Ali tetap menunjukkan sikap hormatnya kepada Sayyidatina ‘A`ishah. Beliau menghantar Sayyidatina ‘Aishah pulang ke Madinah dalam keadaan tidak diapa-apakan dan terhormat. Kepada pasukannya, beliau berpesan supaya tidak menjadikan peperangan ini seperti peperangan lain kerana perang ini berlaku sesama sendiri. Harta pihak ‘A`ishah tidak boleh dijadikan sebagai ghanimah. Mereka yang lari tidak boleh dikejar dan yang terbunuh hendaklah disemadikan sebagai seorang Islam(2).
Abu Bakrah yang berpendapat bahawa apa yang berlaku adalah kesilapan ‘A`ishah kerana beliau seorang perempuan dan tidak layak memimpin sesuatu pasukan. Beliau memahami hadis “tidak akan berjaya satu kaum yang melantik perempuan memegang urusan mereka” sebagai berlaku kepada ‘A`ishah. Apa yang difahami oleh Abu Bakrah sebenarnya adalah pendapatnya sendiri dan bukan mewakili pendapat semua sahabat.
Dengan bersandarkan pendapat Abu Bakrah inilah, ada ulama menyimpulkan bahawa wanita tidak boleh menjadi pemimpin baik di peringkat mana pun, sama ada di peringkat rendah, apatah lagi diperingkat tinggi.
Boleh atau tidaknya seorang perempuan menjadi pemimpin adalah merupakan khilaf di kalangan ulama dan kita tidak boleh berhujah dengan hadis ini dengan mengatakan wanita tidak boleh menjadi pemimpin sama sekali. Ini kerana apa yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w. itu mempunyai latar belakang dan sebab yang khusus iaitu merujuk kepada Kisra Parsi yang melantik anak perempuannya sebagai raja.
Sekiranya wanita adalah secara mutlak tidak boleh menjadi pemimpin tentu sekali Sayyidina ‘Umar tidak akan melantik Shifa` binti ‘Abdullah menjadi ketua yang bertanggunjawab terhadap bandar Madinah. Keluarnya Sayyidatina ‘A`ishah menemui ‘Ali dengan tujuan untuk menasihatinya menunjukkan wanita boleh keluar dari rumahnya sekiranya ada keperluan dan dengan maksud yang baik malah dia juga boleh terlibat dengan urusan politik. Sekiranya ‘A`ishah mengetahui dan memahami hadis tersebut iaitu perempuan tidak boleh menjadi pemimpin (seperti yang difahami oleh Abu Bakrah) tentu dari awal lagi beliau tidak akan terlibat dengan urusan negara ini. Ini menunjukkan bahawa ‘A`ishah berpendapat bahawa harus keluar jika mempunyai maksud yang baik .
Cuma apa yang berlaku kepada ‘A`ishah adalah sesuatu yang di luar jangkaannya. Kedatangan beliau dan rombongannya dengan tujuan yang baik dan suasana yang damai telah bertukar menjadi fitnah akibat konspirasi dan perancangan jahat golongan munafikin atau Saba`iyyah. Adalah tidak benar untuk meletakkan kesalahan ini kepada beliau dengan semata-mata beralasan bahawa beliau seorang wanita.
Pada kenyataannya, jatuh bangun sesebuah kerajaan bukan terletak kepada jantina pemerintahnya, tetapi berdasarkan kepada kebijaksanaan, ketelusan dan keadilannya. Sekian banyak negara yang ma’mur dan maju di bawah pemerintahan wanita yang adil dan bijaksana. Sementara itu, berapa banyak kerajaan yang telah hancur walaupun diperintah oleh orang lelaki bilamana pemimpin tersebut lemah dan korup.
Malah ada ulama yang berpendapat wanita boleh menjadi pemimpin di semua peringkat kecuali di peringkat wilayah kubra iaitu kepimpinan tertinggi negara.
Yang menariknya, al-Qur`an merakamkan kisah Baqis yang menjadi raja sebuah negara yang ma’mur dan maju. Kehebatan kerajaannya itu tidak dapat dikalahkan kecuali oleh kerajaan Nabi Sulaiman.
Sifat atau keadaan pendapat Abu Bakrah ini sama seperti pendapat sahabat yang lain di mana mereka mengemukakan pendapat mengikut pemahaman masing-masing. Sebagaimana adanya khilaf di kalangan sahabat dalam masalah-masalah fiqh maka begitu juga dalam masalah ini. Tidak semestinya seseorang itu terikat dengan pendapat salah seorang sahabat.
SISIPAN:
Sedutan dari artikel bertajuk: Apakah Yang Telah Diseludup Oleh Syi`ah Ke Dalam Sejarah Islam Karangan Shaikh Soleh bin Abdullah al-Muhaisin, Dekan Fakulti Dakwah dan Usuluddin, Universiti Islam Madinah.
Riwayat-Riwayat Syi`ah Rafidhah Tentang Peperangan Jamal.
Apabila kita cuba melihat peperangan Jamal, kita dapati Syi`ah Rafidhah telah menutup sepenuhnya hakikat suasana peperangan tersebut kerana dilindungi oleh tutupan yang dibuat oleh mereka. Oleh itu apabila anda memeriksa halaman kitab-kitab sejarah anda hanya mendapati makian, cemuhan, celaan dan fitrah yang suci akan merasa kesal untuk mendengarnya. Namun di sini, penulis akan menyebutkan fakta-fakta yang disebutkan oleh sejarah melalui riwayat-riwayat yang sahih walaupun tidak disukai oleh Syi`ah dan penulis-penulis sejarah yang terpengaruh dengan barat.
Hakikat Pertama
Riwayat-riwayat yang sahih menyebutkan bahawa tujuan sebenar Talhah, al-Zubair dan orang-orang yang bersama mereka keluar ialah untuk membaiki keadaan dan menghapuskan orang-orang yang melakukan kerosakan dengan membunuh Uthman. Mereka tidak keluar untuk kepentingan kuasa atau mana-mana tujuan duniawi bahkan mereka sekali-kali tidak bermaksud untuk memerangi Ali dan orang-orang Islam bersamanya. Hakikat ini telah dikemukakan oleh Ibn Kathir. Beliau menulis: “Sesungguhnya Ali telah mengutuskan al-Qa`qa` sebagi utusan untuk menemui Talhah dan al-Zubair mengajak mereka kepada kesatuan dan jamaah dan menyatakan kepada mereka berdua betapa besarnya perpecahan dan perselisihan. Lalu al-Qa`qa` menuju ke Basrah dan orang yang pertama ditemuinya ialah `Aishah. Beliau berkata: “Wahai Ummu Mukminin, apakah yang mendorong ibu menjejakkan kaki di bumi ini?”. `Aishah menjawab: “Wahai anakku, untuk mendamaikan antara manusia.” Kemudian al-Qa`qa` meminta supaya `Aishah menjemput Talhah dan al-Zubair datang menemui `Aishah lalu mereka berdua tiba. Al-Qa`qa` berkata: “Saya telah bertanya kepada Ummu Mukminin sebab mengapa beliau menjejakkan kaki ke sini dan beliau menjawab untuk mendamaikan antara manusia.” Lalu mereka berdua menyatakan: “Kamipun dengan tujuan yang sama.”
Jelas dari riwayat di atas Aishah, Talhah dan al-Zubair mengatakan bahawa mereka datang hanya untuk mendamaikan antara manusia. Sesungguhnya mereka telah bercakap benar dan Syi`ah telah berdusta. Ini dibuktikan dengan mereka telah berdamai dan Ibn Kathir telah menyebutkan daripada Ali ketika beliau ditanya oleh Abu Salam al-Dala’i: “Adakah mereka itu (Mu`awiyah dan orang-orang bersamanya) mempunyai hujah berkenaan tuntutan mereka terhadap darah ini (darah Uthman) jika mereka benar-benar ikhlas kerana Allah dalam perkara ini? Ali menjawab: “Ya.” Abu Salam bertanya lagi: “Adakah tuan mempunyai hujah mengapa tuan menangguhkannya?” Ali menjawab: “Ya.” Apa yang dikatakan oleh Ali ini merupakan pegangan Ahli Sunnah berkenaan peristiwa yang berlaku sesama sahabat. Ahli sunnah beriktiqad bahawa masing-masing mereka itu mujtahid, jika benar mereka mendapat dua pahala tetapi jika tersilap mereka mendapat satu sahaja.
Hakikat Kedua
Para sahabat telah bersetuju untuk tidak meneruskan perselisihan tersebut dan tidak terlintas kepada mereka kecuali segala-galanya telah berakhir dan tidak ada sebarang peperangan. Namun golongan Saba’iyyah yang melakukan pembunuhan khalifah Uthman tidak berpuas hati lalu mereka mengatur satu pakatan untuk mencetuskan peperangan maka berlakulah peperangan Jamal.
Ini telah dinyatakan oleh Ibn Kathir dan lain-lain bahawa al-Qa`qa` tatkala dihantar oleh Ali untuk menemui Talhah, al-Zubair dan `Aishah dan menawarkan kepada mereka perdamaian. Mereka menjawab: “Anda memang benar dan melakukan yang terbaik. Oleh itu, pulanglah, jika Ali datang dan dia berpandangan seperti anda, keadaan akan menjadi baik.” Lalu al-Qa`qa` pulang menemui Ali dan mencerita apa yang berlaku dan itu benar-benar mengkagumkan Ali. Kemudian Ali menemui orang-orangnya supaya mereka sama-sama berdamai. Lalu mereka yang benci, tetap membenci dan orang yang reda, tetap reda. `Aishah kemudiannya menulis surat kepada kepada Ali menyatakan beliau datang untuk tujuan perdamaian, lalu pihak masing-masing gembira. Kemudian Ali menulis kepada Talhah dan al-Zubair: “Jika pendirian kamu berdua masih seperti ketika al-Qa`qa` meninggalkan kamu berdua, maka tunggulah sehingga kami datang dan membincangkan perkara ini. Lalu mereka berdua menjawab: “Sesungguhnya kami masih lagi berpendirian seperti ketika al-Qa`qa` meninggalkan kami iaitu untuk berdamai.” Hati dan jiwa kedua-dua belah pihak menjadi tenang dan reda lalu mereka berkumpul. Pada waktu petang Ali menghantar Abdullah bin Abbas sebagai wakil dan pihak Talhah menghantar Tulaihah al-Sajjad. Pada malam itu, mereka melalui malam yang paling baik dan indah tetapi pembunuh-pembunuh Uthman melalui malam yang paling buruk bagi mereka dan mereka merancang dan berpakat untuk mencetuskan peperangan pada waktu malam yang akhir. Lalu mereka keluar sebelum fajar menyinsing. Bilangan mereka itu hampir 2,000 orang. Masing-masing menuju kepada yang berdekatan mereka dan melancarkan serangan dengan pedang-pedang. Maka setiap kumpulan bangkit menuju ke pasukan masing-masing untuk menghalang mereka. Orang ramai terjaga dari tidur dan mendapatkan senjata. Mereka berteriak: Ahli Kufah telah mendatangi dan menyerang kami pada waktu malam. Mereka telah menipu kita. Mereka menyangka ini adalah perbuatan orang-orang Ali. Lalu hal ini sampai kepengetahuan Ali dan beliau bertanya: Apa yang telah terjadi kepada orang ramai? Mereka menjawab: Ahli Basrah telah menyerang kami pada waktu malam. Lalu semua kumpulan mendapatkan senjata, memakai baju besi dan menaiki kuda. Tidak siapapun di kalangan mereka yang menyedari perkara sebenar yang terjadi. Dan ketetapan Allah itu suatu ketetapan yang pasti berlaku.
No comments:
Post a Comment