Jati memperjuangkan tiga teras yang membentuk Perlembagaan Malaysia iaitu Islam, Melayu dan Raja (IMR) serta menjadi pelengkap kepada NGO lain yang mempunyai agenda sama.
Dalam satu wawancara dengan Utusan Malaysia baru-baru ini, Naib Presidennya, PROFESOR DATUK DR. SIDEK BABA (gambar) menjelaskan IMR adalah suatu simbiosis yang menjadi tunjang kepada kekuatan umat Melayu
dan tenaga pengimbang yang baik untuk mengekalkan keamanan di Malaysia.
UTUSAN: Dalam senario NGO dan politik yang ada, mengapa Jati muncul di gelanggang?
SIDEK: Jati muncul di gelanggang sebagai wadah alternatif ke arah strategi wehdah atau kesatuan umat Melayu. Ia adalah pelengkap kepada suatu situasi yang memerlukan pendirian dan sikap yang lebih jelas dan tegas terhadap isu Islam, umat Melayu dan institusi Raja berasaskan Perlembagaan negara. Asas perlembagaan yang menjadi fokus kepada Jati sekian lama menjadi tiang seri kepada binaan negara kerana mempeleceh tiang seri ini ibarat anai-anai yang berhasrat meruntuhkan suatu binaan yang menjadi pelindung sekian lama.
Jati tampil sebagai jalur tengah antara dua tebing yang dalam jurangnya supaya berlaku penjambatanan yang lebih bijaksana supaya kalangan pendukung dan yang partisan dengannya boleh membuat pendirian dan pilihan yang bijak ke arah keteguhan Islam, keperkasaan umat Melayu dan kekebalan institusi Raja.
Apa sebenarnya asas-asas penting perjuangan Jati?
Asas perjuangan Jati sebagai mata rantai perjuangan cuba menimbulkan kesedaran di kalangan warga umat Melayu yang kadang-kadang jadi keliru dan celaru mengenai pentingnya Islam diberi makna sebagai Agama Persekutuan seperti yang terungkap dalam tafsir Perlembagaan. Memartabatkan perjuangan Islam perlu bijaksana supaya rupa bentuk umat Melayu dijiwai dengan watak Islami. Ia amat penting supaya pembangunan negara berada dalam acuan yang betul dan fitrah.
Kedua, memperkasa kedudukan umat Melayu supaya mereka menjadi penyumbang yang bermakna terhadap pembangunan negara Malaysia. Umat Melayu akhir- akhir ini cuba dipinggirkan atas sikap orang Melayu sendiri yang menyatakan perjuangan umat Melayu adalah asabiah kaumiyah dan ia bercanggah dengan Islam.
Dari sudut dakwah dan tarbiyah memperkasa umat Melayu adalah suatu tuntutan dan ia suatu proses sepanjang zaman. Harus dielakkan suatu garis pemisah yang tajam antara Melayu dan Islam kerana takrif Melayu dalam Perlembagaan negara memberi asas Melayu itu Islam, berbahasa Melayu dan mengamalkan budaya Melayu.
Antara pencapaian yang sudah ada dan cabaran yang sedang menunggu, ada cabaran fikrah atau pemikiran yang tajam yang kena dileraikan dan cabaran strategi yang kena dibangunkan supaya umat Melayu terdiri daripada kalangan orang yang ada keberanian untuk menyatakan kebenaran dan hak tanpa merungkai maksud Perlembagaan yang menjadi pedoman bernegara kita.
Tidakkah memperjuangkan isu umat Melayu suatu bentuk asabiyah dan menafikan peranan bukan Melayu?
Umat Melayu sebagai kelompok teras di Malaysia mesti diperkasakan. Dari sudut sejarah, budaya, tradisi dan resam pembangunan di Malaysia faktor umat Melayu amat penting sebagai kuasa pengimbang yang membolehkan pemartabatan umat Melayu terjadi dan keupayaan bukan Melayu membangun juga berlaku.
Memperjuangkan umat Melayu dikatakan assabiyah kaumiyah sekiranya berlaku kezaliman terhadap orang lain. Apakah ekuiti atau pegangan orang bukan Melayu yang agak besar dan umat Melayu merasakan mereka masih terpinggir itu membayangkan suatu keadaan yang seimbang dan baik untuk masa depan Malaysia.
Memang benar umat Melayu memerlukan kekuatan peribadi dan tekad yang tinggi untuk melakukan transformasi bagi mengelakkan ketirisan amanah dan penyimpangan dasar tetapi usaha pembaikan mesti dilakukan. Ada pihak juga menganggap memperkasa umat Melayu itu asabiyah dan bercanggah dengan Islam. Kenyataan ini harus dibuat dalam konteks yang betul.
Memartabat bahasa Melayu yang ada kaitannya dengan orang Melayu, terhubung dengan ribuan istilah yang telah diresapi dengan nilai-nilai Islami. Istilah amanah, adil, berkat, muafakat, mesyuarat, nikmat, hajat dan banyak lagi adalah istilah al-Quran. Apakah memartabat bahasa Melayu dalam konteks Melayu dan keperluan masyarakat dianggap sebagai asabiah kaumiyah.
Ibn Khaldun dalam bukunya Al Muqaddimah memberikan perincian yang menarik mengenai makna asabiyah dalam konteksnya. Rasulullah SAW dalam hubungannya dengan kaum Quraish mempunyai beberapa pandangan yang menarik untuk dijadikan pedoman. Jangan pertajamkan hubungan sesama umat Melayu semata-mata seronok menggunakan istilah, klise atau slogan yang menajamkan lagi hubungan sesama seagama hingga menyebabkan kita saling melemahkan bukan saling mengukuhkan.
Ambillah maksud litaarrafu atau kekenalan dalam al-Quran (Al-Hujurat: 13) dan jadikan Surah Al-Asr – watawa saubil haq , watawa saubis sabr – nyatakan yang haq dan benar dengan sabar sebagai pedoman melakukan dakwah dan tarbiyah.
Ada orientasi dakwah dan politik dalam Jati. Bagaimana hal ini dapat ditanggapi?
Jati sebenarnya adalah badan NGO yang oientasinya dakwah. Tetapi pendukung Jati tetap waspada dan peka dengan perkembangan semasa termasuk politik. Pak Muhamad Nasir Ketua Dewan Dakwah dan pernah menjadi Perdana Menteri Indonesia yang pertama menyatakan bahawa dia adalah ahli politik dan memilih jalur dakwah sebagai suatu pendekatan.
Pendukung dan simpatisan Jati harus kukuh dengan orientasi dakwah dan tarbiyah supaya maksud wehdah atau kesatuan umat dapat diperkukuhkan dan kepekaan terhadap ehwal semasa tetap teguh.
Sekira terdapat antara pendukungnya ingin terlibat bertanding dalam pilihan raya untuk kebaikan umat Melayu, Jati tidak menyekatnya tetapi kedudukannya dalam Jati harus ditentukan. Kita perlukan ahli politik yang mempunyai kualiti dan integriti supaya umat Melayu terbimbing dengan kepimpinan yang baik.
Mengapa institusi Raja penting dipertahankan?
Sejarah kebangkitan Melaka adalah sejarah Raja dan Sultan. Sejarah pengembangan Islam di Melaka ada kaitannya dengan Raja dan Sultan. Sejarah Tanah Melayu juga ada kaitan dengan Raja dan Sultan.
Raja Berperlembagaan selepas merdeka menjadikan simbol ketaatan dan lambang perpaduan bagi warga Malaysia yang majmuk. Bagi umat Melayu Raja dan Sultan adalah pelindung yang sekian lama menjaga kepentingan agama dan bangsa.
Islam, Melayu dan Agama atau IMR yang menjadi landasan perjuangan Jati menginsafi bahawa ada kaitan yang rapat antara kuasa dan wibawa Raja terhadap Islam dan umat Melayu. Sekiranya ia terpelihara dengan baik bermakna kedudukan masyarakat teras akan menjadi lebih terjamin dan mampu memberikan perimbangan yang baik kepada masa depan Malaysia.
Apakah tumpuan kepada Islam boleh menimbulkan kegelisahan di kalangan masyarakat bukan Islam?
Tumpuan kepada Islam sebagai faktor pengukuh membangun peribadi umat Melayu adalah sesuatu yang sihat. Sekiranya umat Melayu diperkukuh dengan ilmu agama dan pengahayatan yang betul, ia baik untuk Malaysia dan baik untuk bukan Melayu.
Sekiranya umat Melayu dibina dengan keyakinan bahawa Islam itu adalah suatu sistem kepercayaan dan juga suatu cara hidup dengan sendiri kepimpinan di kalangan umat Melayu adalah kepimpinan yang amanah dan adil. Adil bagi pemimpin Melayu ada kebaikannya kepada orang bukan Melayu.
Mana lebih baik mempunyai umat Melayu yang faham tentang amanah dan adil seperti yang dianjurkan oleh Islam atau orang Melayu tanpa kekuatan agama yang memiliki faham bangsa yang sempit menyebabkan sikap rasis terjadi.
Jati dikatakan sebagai jalur tengah dalam realiti sosio-politik di Malaysia. Apa kebijaksanaan dalam menanganinya.
Apabila hubungan sesama umat Melayu menjadi terlalu tajam, perlu ada penjambatanan yang sifatnya melengkapi supaya faktor perimbangan berlaku. Sekiranya pendekatan ini tidak dilakukan ada kecenderungan faktor lain akan merosakkan perimbangan ini.
Apabila Jati tampil ke gelanggang untuk memperjelaskan keadaan dengan mengambil pendekatan jalur tengah ia diharapkan menimbulkan kesedaran baru di kalangan yang sudah putus harap, kecewa dan mencari arah dan pedoman supaya berfikir semula bahawa mengundurkan diri dari terlibat memperkasa Islam, Melayu dan institusi Raja, akibatnya jauh lebih mengecewakan menyebabkan umat Melayu menyesal tak sudah. Hidup itu adalah perjuangan.
Perjuangan utama umat Melayu ialah memperkasa Islam dalam penghayatan dan amalan. Jalur perjuangan Islam tidak mudah. Usaha memperkasa umat Melayu supaya dapat berdiri sama tinggi dengan orang lain adalah suatu usaha yang payah.
Kemunculan Jati dikatakan boleh memecahbelahkan umat Melayu di Malaysia. Apakah ini benar?
Perkara ini akan berlaku di sebaliknya. Kemunculan Jati tidak menolak kehadiran organisasi lain yang sedia ada di Malaysia dan memainkan peranan yang sama. Kehadiran Jati adalah pelengkap dan salah satu alternatif untuk membangunkan umat Melayu dengan strategi dakwah dan tarbiyahnya. Jati akan jadi faktor pemecah sekiranya ia menganggap dirinya sebagai satu-satunya bukan salah satu daripadanya. Jati cuba menyumbang untuk meniti jalur tengah supaya mengimbangi keadaan yang berlaku.
Ia adalah usaha yang tidak mudah. Jati bersama-sama dengan organisasi dan tokoh-tokoh gabungan yang lain ingin menyumbang ke arah kekuatan dan kestabilan negara. Jati juga ingin memelihara kedaulatan Perlembagaan supaya Malaysia tidak bertukar menjadi sebuah republik dan meletakkan Islam dan umat Melayu sebagai kelompok teras yang perlu dihormati.
No comments:
Post a Comment