Awas helah psikologi
SEJAK akhir-akhir ini, seperti yang dilaporkan dalam akhbar, begitu banyak ahli masyarakat khususnya di luar bandar yang terpengaruh dengan skim cepat kaya.
Ada yang ditipu dengan begitu mudah hingga tergadai harta dan wang ringgit semata-mata termakan pujukan individu yang menawarkan mereka jalan pintas menjadi jutawan.
Apakah sebenarnya yang menyebabkan segelintir ahli masyarakat kita mudah terpedaya, walaupun dalam pertimbangan logik adalah sangat mustahil untuk mencapai kekayaan tanpa perlu melakukan sebarang usaha?
Mengapa ada orang yang terpesona dengan janji manis melihat angka keuntungan?
Sebenarnya, inilah antara isu yang sering menjadi topik perbincangan dalam bidang psikologi. Adakalanya orang terpengaruh dengan kesan ‘meminta yang kecil, mengambil yang besar’. Ada pula yang tertipu dengan ‘meminta yang besar, mengambil yang kecil’.
Ia simptom yang sering muncul dalam kehidupan kita yang adakalanya tidak kita sedari.
Misalnya, ada penjual produk tertentu yang menggunakan helah meminta yang kecil, mengambil yang besar apabila datang ke rumah kita. Mulanya, mereka akan bertanya sama ada kita boleh memberikan mereka sedikit air sejuk untuk diminum.
Setelah kita menghidangkan mereka dengan segelas minuman, mereka akan meminta pula untuk berehat seketika. Setelah permintaan mereka dipenuhi, mereka kemudiannya akan mula menunjukkan produk yang dijual, adakalanya hanyalah sebagai helah sahaja.
Jangan mula beri peluang
Secara psikologikalnya manusia akan lebih mudah memberi sesuatu yang lebih besar setelah mula memberikan sesuatu yang lebih kecil. Ini kerana pemberian kecil yang pertama tadi membuatkan mereka terbuka untuk memberikan hal yang lebih besar lagi.
Lama-kelamaan, mereka akan terus memberi kalau diminta lagi sekalipun ia permintaan yang besar.
Ia ibarat diberi betis, kemudiannya paha. Banyak kes, anak gadis yang terpedaya apabila mereka mulanya hanya diminta dengan sesuatu yang mudah, misalnya memberikan nombor telefon.
Kemudiannya, apabila keadaan kian mesra, mereka akan lebih mudah untuk diajak keluar. Lama-kelamaan mereka akan sanggup menjualkan maruah diri hanya kerana mula memberikan sesuatu yang kecil sahaja.
Sebab itulah, kalau kita didatangi dengan manusia yang tidak dikenali atau dicurigai yang meminta sesuatu, ada baiknya kita jangan memberikan mereka sebarang peluang untuk melakukan permintaan.
Begitu juga dengan kes meminta yang besar, mengambil yang kecil. Ia selalu juga terjadi.
Misalnya, kita ditawarkan dengan produk yang harganya sangat mahal dan tidak masuk akal. Bagaimanapun, apabila kita ditunjukkan dengan sesuatu yang sangat murah, kita bersedia menerimanya. Ini kerana secara psikologinya, kita merasa beruntung dan tidak kehilangan wang yang banyak.
Hakikatnya, penjual tadi hanya ingin menjual sesuatu yang murah itu sahaja. Produk yang mahal hanyalah sekadar umpan sahaja.
Semua ini adalah simptom psikologikal yang sering memerangkap kita.
Bagaimana dengan konteks skim cepat kaya? Biasanya pelanggan akan dipujuk untuk melakukan pelaburan yang kecil sahaja. Dalam beberapa minggu, mereka akan mula mendapat pulangan yang sangat besar.
Setelah itu, mereka akan diminta lagi untuk melakukan pelaburan yang lebih besar kerana kononnya pulangan yang diterima akan lebih menakjubkan. Biasanya, mereka yang mula melakukan pelaburan yang kecil pada awal tadi, akan sanggup juga untuk memberikan pelaburan yang lebih besar.
Semua ini hanyalah helah psikologikal yang akan memerangkap sesiapa sahaja sekiranya tidak berhati-hati. Ia simptom yang berlaku dalam kehidupan kita sehari-harian.
Ia juga boleh menyebabkan kita terpedaya dalam banyak hal, bukan sekadar wang ringgit, malah adakalanya melibatkan maruah diri.
Jalan terbaik untuk kita semua adalah dengan tidak membuka ruang kepada mereka yang tidak dikenali apabila mereka mula memintakan sesuatu, sama ada permintaan itu kecil atau besar.
Ia jalan terbaik menyelamatkan kita daripada manipulasi manusia berniat buruk dan berhati jahat.
No comments:
Post a Comment