25.3.12

Hadis 12 Khalifah bukan 12 Imam

Hadis 12 Khalifah

Dalam wawancara ini juga Ustaz Kamil ada menyebut tentang satu hadis dari Rasulullah s.a.w tentang 12 orang khalifah sesudahnya.Anehnya,ustaz Syiah ini mendakwa 'khalifah' itu merujuk kepada imam-imam mereka.Ini amat salah dari segi sejarah kerana hanya seorang Imam mereka sahaja yang berjaya jadi khalifah iaitu Saidina Ali r.a.

Kita rujuk hadis ini (terdapat beberapa lagi riwayat dengan maksud yang sama):

Daripada Jabir bin Samurah r.a. katanya, “Aku pergi kepada Rasulullah s.a.w. dan ayahku bersamaku, lalu aku mendengar Baginda bersabda, “Agama ini akan terus mulia dan teguh sehingga ke dua belas orang khalifah, lalu Baginda berkata dengan kalimah yang orang ramai tidak mendengarnya, maka aku berkata kepada ayahku, “Apakah yang Baginda katakan? Ayahku menjawab, “Semua mereka dari Quraisy”.(Riwayat Muslim)

Ulasan:

Golongan Syi’ah mengatakan dua belas khalifah atau amir yang terdapat di dalam hadith tersebut adalah dua belas imam maksum di sisi mereka. Ulama-ulama AHLUS SUNNAH menolak pegangan mereka dengan beberapa alasan. Antaranya adalah:

Di dalam hadith tersebut Nabi s.a.w. menggunakan kalimah amir atau khalifah dan tidak ada satupun riwayat yang menyebutkan kalimah imam dengan mufrad atau aimmah dengan lafaz jama’. Kalau dipandang kepada kalimah sahajapun ianya sama sekali tidak menepati imam-imam Syi’ah kerana kalimah amir atau khalifah digunakan kepada pemerintah.Sedangkan di kalangan imam-imam Syi’ah hanya seorang orang sahaja yang menjadi pemerintah.