25.3.12

Jangan KELIRU TENTANG HADIS "Ghadir Khum"

Hadis Ghadir Khum

Dalam video ini juga Ustaz Kamil juga menyentuh tentang perbezaan antara Syiah dan Sunnah.Apa bezanya?

Perbezaannya menurut Ustaz Kamil ialah jawatan Khalifah selepas kewafatan Nabi s.a.w sepatutnya dipegang oleh Saidina Ali r.a.Ini keyakinan Syiah.

Syiah menegaskan premis ini menggunakan hadis yang dikenali sebagai hadis Ghadir Khum yang diseleweng maksudnya.

Kita lihat apakah hadis Ghadir Khum itu:

Hadith Ghadir Khum telah diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam Sahih Muslim.Ia bersumber dari hadith sahabat Zaid Ibn Arqam r.anhu.Ia telah diriwayatkan dalam Kitab Fadhail (Kelebihan) Para Sahabat dalam Bab Kelebihan Saidina 'Ali r.anhum ajma'in (no 2408).{Takmilah Fath al-Mulhim Syarah Sahih Muslim,jil 5,ms 59,edisi Dar al-Qalam}.

Zaid Ibn Arqam r.anhu telah meriwayatkan bahawasanya Rasulullah SAW telah berkhutbah pada suatu hari di satu mata air (ghadir) yang bernama Khum yang terletak antara Makkah dan Madinah.Baginda Rasul SAW telah memuji Allah SWT,memberi peringatan dan nasihat dan kemudiannya Rasulullah SAW telah bersabda : " Wahai manusia,aku adalah manusia dan aku merasakan bahawa telah hampir waktu untuk datangnya utusan Tuhanku (malaikat maut untuk mencabut nyawa Baginda SAW).Aku tinggalkan pada kamu semua thaqalain (2 perkara yang besar).Yang pertama ialah Kitabullah.Di dalamnya terdapat petunjuk dan cahaya.Maka berpeganglah dengan Kitabullah." Selepas itu,Rasulullah SAW telah menyampaikan saranan secara tegas dan bersungguh-sungguh agar berpegang teguh dengan Kitabullah.Kemudian Rasulullah SAW telah bersabda," Aku memperingat kalian terhadap ahli keluargaku.Aku memperingatkan kalian terhadap ahli keluargaku.Aku memperingatkan kalian terhadap ahli keluargaku."

Murid kepada Zaid Ibn Arqam r.anhu iaitu Hushain r.alaih telah bertanya tentang siapakah ahli bait Rasulullah SAW.Kata beliau, " Bukankah para isteri Rasulullah SAW adalah ahli bait Baginda?"

Maka Zaid Ibn Arqam telah menjawab, " Isteri Rasulullah SAW adalah ahli bait Baginda Rasulullah SAW.Dan yang dimaksudkan dengan ahli bait di sini ialah mereka-mereka yang diharamkan menerima sedekah iaitu ahli keluarga Ali,'Aqil,Ja'far dan Abbas r.anhum."{Hadith yang panjang ini telah diringkaskan dan terjemahan adalah berdasarkan makna,bukannya lafaz}.

Inilah hadith yang berkaitan dengan Ghadir Khum.Ia juga dikenali sebagai hadith thaqailain (Kitabullah dan Ahli Bait).

Dalam riwayat Imam Tirmizi (no 4046),Ahmad (no 19302) dan lain-lain,ada dinyatakan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda :

"Barangsiapa yang aku adalah pemimpinnya,maka Ali adalah pemimpinnya"

Dalam sesetengah riwayat ada diriwayatkan bahawasanya Rasulullah SAW telah bersabda :

"Ya Allah,jadilah pemimpin bagi sesiapa yang mengangkat Ali sebagai pemimpin dan musuhilah sesiapa yang memusuhinya"

{penomboran hadith adalah berdasarkan edisi Syaikh Syuaib al-Arnauth dan rujukan-rujukan lain boleh ditemui dalam nota kaki tahqiq Syaikh Syuaib}

Para ulama' hadith telah berselisih pendapat tentang dua versi riwayat di atas.Sebahagian kecil para ulama' hadith menghukum hadith tersebut sebagai hasan atau sahih (boleh diterima pakai).Dan majoriti para ulama' hadith yang pakar dalam kecacatan hadith menghukumnya sebagai dhaif dan tidak boleh dipakai dan dijadikan hujjah apatah lagi jika ia melibatkan persoalan akidah dan syariat.

Ulasan:

Hadith Ghadir Khum yang bersumber dari riwayat Zaid Ibn Arqam adalah ringkas.

Dalam riwayat yang lain yang juga terdapat dalam kitab-kitab Syiah,dinyatakan bahawa Rasulullah SAW telah menghantar Ali ke Yaman untuk mengutip 1/5 harta rampasan perang yang pada masa itu,pasukan tentera Islam dipimpin oleh Khalid al-Walid.

Secara ringkasnya,telah berlaku perselisihan faham antara Ali dan beberapa orang sahabat r.anhum dalam beberapa isu seperti isu wanita tawanan perang (sabiyy) yang akhirnya telah menyebabkan ketegangan di kalangan mereka.

Semasa perjalanan pulang Rasulullah SAW dari Makkah,mereka telah bertemu di satu tempat yang bernama Ghadir Khum.Oleh kerana keadaan menjadi tegang,maka Rasulullah SAW telah berkhutbah di kalangan para sahabat dan menyatakan kelebihan Ali r.anhu,serta mengingatkan bahawa Ali r.a adalah keluarganya dan perlu menghormatinya sebagaimana menghormati baginda.

Tiada perkara yang pelik dalam hadith tersebut.Namun kerana akal pengikut agama Syiah yang telah rosak,maka semuanya menjadi pelik dan bermasalah.

Jika difahami kenyataan Rasulullah SAW di atas secara sihat dan waras,maka sebenarnya tiada sebarang masalah akan timbul.

Ini kerana,Saidina Ali adalah utusan Rasulullah SAW ke Yaman.Maka mentaati Saidina Ali r.a adalah wajib seperti mentaati Rasulullah SAW.Dan ini bukan pertama kali Rasulullah SAW memerintahkan agar ditaati wakil Baginda Rasul.Jika begitu,adakah setiap wakil yang dihantar baginda Rasul dan diwasiatkan agar ditaati perintahnya,maka mereka juga berhak menjadi Imam Ma'sum dan menjadi Khalifah setelah wafatnya Rasulullah SAW?Sememangnya Syiah memang suka mereka-reka cerita karut.

KESAN

Dari penyelewengan hadis ini,maka para Syiah berusaha mencari-cari kesalahan peribadi Saidina Abu Bakar As-Siddiq untuk membuktikan bahawa beliau tidak layak menjadi khalifah dan bersalah kerana kononnya 'tidak mematuhi' hadis Ghadir Khum.Aktiviti mencari-cari kesalahan berakhir dengan mencaci-maki sahabat utama Rasulullah s.a.w ini,menuduhnya dengan pelbagai maksiat dan keburukan sifat serta ada yang sampai mengkafirkan beliau.